Wednesday, December 29, 2010

Ujian Kebendaan

Saya selalu bersms dengan teman rapat yang seorang ini. Banyak yang kami 'bualkan' melalui sms (kalau becakap melalui telefon pasti bil melambung tinggi!). Topik anak2 dan cabaran mendidik mereka masakini adalah topik utama dalam perbincangan. Bukan sedikit cabaran dan ujian dalam mendidik anak2 di zaman millenium ini. Saya dan suami juga, setiap hari pasti ada perbincangan yang berkaitan dengan anak2.

Kami selalu teringat tentang hadis baginda Rasulullah saw yang menyatakan ibubapa adalah penentu samada anak2 menjadi yahudi, nasrani atau majusi....bermakna, sebelum kita menyalahkan persekitaran luar yang katanya membawa pengaruh buruk kepada anak2, kita wajar menyalahkan diri kita, ibubapanya, terlebih dahulu. Bukankah satu jari yang menuding kepada orang lain, empat jari lagi akan menuding kepada diri kita sendiri?


Di antara sms yang terkesan di hati saya..."mudah2an generasi kita matang dalam menilai kehidupan dengan nilai yang Allah perintahkan. Matlamat yang jauh hanya boleh dilihat dengan hati dan akal yang ada hubungan dengan Allah. Kita bimbang anak2 jadi buta dengan racun jahiliyyah. Lagi bimbang jika kita ibubapanya sendiri yang menyuapkan anak2 tu dengan racun itu...keselesaan hidup menyebabkan kita tidak berhati2 dalam memberi untuk anak2...kita tidak dapat membezakan mana satu kehendak, mana satu keperluan...".


Dalam kehidupan yang telah Allah bentangkan di hadapan kita kini, terlalu banyak ujiannya. Kesenangan dan kemewahan adalah di antara ujian2 itu. Dengan wang yang kita ada, kita mampu memiliki hampir setiap benda yang kita ingini....tidak terkecuali anak2 yang katanya kita sayang, kita manjakan mereka dengan kebendaan. Adakalanya kita tidak berkira dalam memberi...asalkan ada duit, semuanya jadi. Sedangkan banyak yang kita kena berbincang dengan anak2 tentang kemana wang kita dihabiskan....perlu atau tidak sesuatu benda itu untuk diperolehi....dll.

Kadang2 saya terfikir, di mana silapnya ada anak2 yang telah berkeluarga masih bergantung harap lagi kepada ibubapa untuk urusan hidup mereka, terutama yang berkaitan dengan wang....lebih2 lagi jika ibubapanya memang berkemampuan dari segi kewangan. Saya selalu menyuarakan kebimbangan ini kepada suami...saya tidak mahu anak2 kami jadi demikian. Kami mahu anak2 kami matang dalam menjalani kehidupan. Itu sebabnya, banyak perkara yang kami bincangkan, kami libatkan sekali anak2. Mungkin mereka belum begitu memahami bagaimana kehidupan ini perlu diuruskan, tetapi itu bukan alasan untuk kami mengabaikan mereka dalam setiap keputusan yang diambil.

Sabar kunci utama (terimakasih ayah, selalu sabar dengan umi dan anak2)....dan yang paling penting kita ada DIA untuk mengadu dan mengharapkan pertolongan.

Thursday, December 16, 2010

Asrama

Semakin hampir ke penghujung 2010, bermakna semakin hampir untuk kakak bersekolah dan tinggal di asrama, insyaAllah. Agaknya ini yang emak rasa dulu, ketika kami adik beradik seorang demi seorang keluar rumah untuk menyambung pelajaran - bimbang, sedih, gembira - semuanya menjadi satu dalam hati seorang ibu.

Ayahnya juga merasai demikian. Beberapa kali dia menyatakan seperti yang ingin saya nyatakan (tetapi ianya hanya terpendam di sudut hati saya). Saya buat2 sibuk - menjahit tudung2 kakak, menyiapkan cadarnya, menjahit telekungnya - tetapi sebenarnya saya ingin menghilangkan kesedihan...Jika bukan kami merasakan itu yang terbaik untuk kakak, mustahil untuk kami melepaskan dia pergi. Segamat - Shah Alam bukan suatu jarak yang jauh, namun ianya tetap meninggalkan sedikit kebimbangan kepada kami...bolehkah kakak menguruskan sendiri?

Kakak kelihatannya teruja, tetapi kami tahu dia juga sedang mengalami apa yang kami rasai sekarang. Banyak yang mesti saya ajarkan untuk kakak sebelum dia tinggal di asrama. Setiap hari kami mengingatkan tentang banyak perkara. Lebih2 lagi sebagai seorang perempuan, banyak yang mesti dijaga terutama dari segi aurat dan akhlaknya. Setakat ini kakak bukan seorang yang bermasalah, jadi Allah mudahkan kami dengan kakak.

Bakal sekolah kakak adalah kesinambungan dari apa yang kami sering ajarkan, bincangkan dan lakukan di rumah. Secara logiknya ia bukan masalah untuk kakak....tapi sebenarnya segala2nya adalah datang dari Allah, jadi kami mesti sentiasa berdoa dan mengharap Allah mudahkan urusan kami.

Berkatilah kami, ya Allah.

Sunday, December 5, 2010

Harapan

Di antara soalan yang ditanya kepada kakak untuk jawapan 'ya' @ 'tidak'....di rumah ada astro?...di rumah solah berjemaah?...di rumah mengaji al-Qur'an?...ada usrah?...suka mengikuti perkembangan fesyen?...suka ambil tahu tentang artis?...ada tinggal solah?...ada ahli keluarga yang merokok?...Ada 100 soalan yang kena dijawab selama 15 minit. Soalan yang banyak dengan masa yang terhad membuat kita tidak berfikir panjang, lebih2 lagi anak2, mereka tidak akan menipu dengan jawapan 'ya' @ 'tidak' yang mereka tandakan....saya kira, itulah strateginya.

Apa yang ditanyakan kepada kakak sepanjang 4 sesi ujian yang dilalui adalah juga harapan kami sebagai ibubapa...kami mahu pendidikan yang terbaik untuk anak2, dunia dan akhiratnya.

Kita tinggal doa, kak...mudah2an Allah izinkan kakak bersekolah di situ.

Hujung minggu yang memenatkan tapi ia dilalui dengan harapan menggunung...

Wednesday, December 1, 2010

Bila Umur Meningkat

Bila umur meningkat
bangun dari tidur
macam2 diingat untuk dibuat
tetapi di hujung hari
rupa2nya banyak yang tak terbuat.

Bila umur meningkat
uban tumbuh satu2
gigi mula tanggal dan jarang2
kaki dan lutut mula sakit
mata mula kabur
daya ingatan adakalanya menjadi kurang.

Bila umur meningkat
sebenarnya waktu pulang kepada-Nya
semakin dekat
jadi, apa lagi yang perlu diingat
jika bukan bekal yang berat
atau sedikit amal yang terkulat2
untuk diingat...

Bila umur meningkat
berdoalah agar waktu
yang tersisa ada berkat
kerana DIA itu yang empunya rahmat
juga paling dekat (lebih dekat dari urat leher kita sendiri!)
untuk kita rindu, rayu dan cinta...
agar hidup ini menjadi bermakna

Ya Rabbi
dengarlah bisikan hati
dari seorang hamba yang kerdil ini
tatkala ia sedar umurnya
yang semakin singkat....

(Dicatat pada 30/11/10, 10.00 pm)

Monday, November 15, 2010

Bla**b**** @Blu*b****

Kakak pernah bertanya ayahnya," Ayah taknak tukar hp ayah ke bla**b**** atau blu*b**** ke, yah?", sewaktu ia baru di keluarkan.

"Takk...ayah tak perlukan hp canggih2, kak. Setakat ni cukup dengan apa yang ada". Kakak hanya tersengih.

Baru-baru ni abang pula yang sibuk hal yang sama (abang ni kadang2 dia tertinggal sikit tentang isu terkini...tapi sekali dia tahu...macam la dia tahu semua!! :) ). Soalan yang sama macam kakak tanya diajukan kepada ayahnya....dengan sedikit maklumat tambahan, dia nampak pakcik dan makciknya memilikinya, "Siap ada internet, yah!!", bersungguh2 dia menyampaikan maklumat.

Jawapan yang sama ayahnya berikan, juga dengan sedikit tambahan, "Abang tahu, kan, bila kita banyak duit, lagi banyak Allah akan tanya kemana duit kita yang banyak2 tu, kita habiskan. Ayah tak banyak duit, tapi cuba abang fikir, sekolah kita perlukan RM1 juta lagi. Tahun depan kakak dah sekolah asrama, kena keluar banyak belanja setiap bulan. Baju2 sekolah abang pun nak tukar, kan, sebab semua dah lusuh. Adik pun nak mula sekolah tahun depan. Buku2, kitab2,...semua nak guna duit, kan".

Abang diam. Mungkin berfikir. Kakak mudah faham akan isu2 yang dibincangkan, tapi abang ni adakalanya mengambil masa lebih sedikit untuk memahaminya. Tapi kami tetap kena terangkan perkara yang sebenar.

Kadang2 memang susah untuk memahamkan anak2 tentang keperluan dan kehendak. Anak2 adakalanya membandingkan apa yang orang lain ada dengan apa yang dia ada. Mengajar anak untuk bersyukur dengan apa yang ada memang banyak menguji.

Kami sering berbincang apa yang kami patut beli atau tidak. Banyak yang akan kami bincangkan buruk dan baiknya. Adakalanya perasaan orang2 yang dekat dengan kami - keluarga dan teman2 rapat- juga kami ambil kira dalam perbincangan. Bukan semua orang mampu memiliki apa yang orang lain miliki.

Dulu kami terlibat secara langsung dalam membantu ibubapa kami mencari rezeki dengan menoreh dan berkebun. Hari ini, anak2 nampak uminya hanya duduk di rumah (nampak macam umi ni rehat2 je kat rumah), ayahnya pergi bekerja dengan pakaian kemas dan berkereta....macamana anak2 nak tahu tentang kesusahan jika mereka tidak pernah mengalaminya?

Hanya kepada-Mu Allah, kami memohon keampunan dan rahmat. Bantulah kami dalam mendidik anak2.

Thursday, November 11, 2010

Cerita Kakak Lagi...

Mesej bertalu2 tanya tentang keputusan upsr kakak. Syukur ke hadrat Allah dengan apa yang kakak perolehi. Tapi seperti kata2 dari Gurubesar sekolahnya, ia adalah satu permulaan kepada suatu perjalanan. Ia bukan penentu kejayaan di masa hadapan.

"Khadijah akan bersekolah di mana?", ini juga soalan yang saya kena jawab banyak kali...dan pasti akan ada sambungan, "Kat mana?".

Satu lagi soalan, " Umi dan ayah bagi hadiah apa?", dari mesej2 yang diterima.

"Takde hadiah. Ayah dan umi dah sediakan semua kemudahan untuk anak2 belajar...jadi anggaplah kejayaan kakak tu hadiah untuk ayah dan umi....boleh tak, kak?", saya sekadar menduga. Kakak hanya senyum.

"Kakak kena puasa, Mi".

"Ok...umi boleh temankan kakak puasa, insyaAllah".

Kejayaan hidup di dunia tidak sebanding dengan kejayaan hidup di akhirat. Bagaimana kita menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini adalah penentu kepada kehidupan kita di akhirat...itu yang selalu kami ingatkan diri kami dan anak2. Ibubapa juga yang mencorakkan anak2 menjadi yahudi, nasrani, majusi atau Muslim. Beratnya tugas ibubapa!

Ya Allah, bantulah kami.

Tuesday, November 2, 2010

Kakak

Semalam cutikan anak2 dari sekolah sebab bawa kakak melawat bakal sekolah menengahnya di Shah Alam, insyaAllah....disamping menghantar borang2 yang perlu.

Dengar2nya dah ada 4 kelas untuk tingkatan 1 tahun depan tapi kami tetap mencuba (dengan harapan yang menggunung!!).

Jawapan ustaz Muhd Asri sedikit melegakan, "InsyaAllah....ada lagi peluang...kita akan panggil temuduga dalam 20hb....2-3 hari lepas tu dapatlah jawapan", katanya lembut dan memberi sedikit harapan kepada kami.

Dalam kereta, kakak senyap. Ayahnya menegur, "Kenapa kakak senyap je?...tak seronok ke?".

"Hee...kakak suka sangat, yah, sekolah ni...sampai kakak tak boleh nak cakap apa!".

"Oo..ye ke...alhamdulillah...itulah yang umi dan ayah nak dengar....tapi kakak tak kisah ke kakak takde kawan dari Johor?", sengaja saya menduga.

"Alaa...kakak tak kisah..nantikan dapat kawan baru, yang penting kakak seronok sangat kalau dapat sekolah kat situ...", kakak masih teruja.

"Ayah pun rasa seronok dengan sekolah tu...kakak dengar tadi, kan, ustaz tu bagi tazkirah untuk pelajar2 tingkatan 3...".

"Ye...kakak dengar...hee...best la yah!!!", seronoknya kakak.

"Tapi kakak jangan lupa doa dan solah hajat...mudah2an Allah izinkan kakak sekolah di situ. Umi dan ayah pun akan berdoa dan solah hajat".

"Abang pun nak sekolah kat situ la, yah...Kita pindah Shah Alam nak yah? Nanti umi boleh mengajar kat situ, ayah boleh kerja kat UiTM Shah Alam, adik boleh sekolah tadika kat situ juga", abang mencelah tiba2.

Kami ketawa bersama....anak2....kadang2 buah fikiran mereka boleh diterima akal.

Kata orang, sekali anak kita melangkah keluar (tinggal di asrama) untuk menuntut ilmu, ketika itu adalah saat kita akan 'kehilangannya'....dia akan balik sesekali apabila cuti kerana sebahagian besar masanya akan digunakan untuk menuntut ilmu. Sedih sebenarnya kami berdua bila memikirkan hal itu....tapi kami buang jauh2 kesedihan itu. Kami mahu melihat anak kami berjaya dunia dan akhiratnya sebab itu kami memilih sekolah yang kami rasa amat sesuai untuk anak kami.

Ya Allah, kabulkan harapan dan cita2 kami. Jadikan kami tetap berada di atas jalan ini. Jadikan kami dikalangan orang2 yang berguna untuk Islam. Ameen.

Saturday, October 23, 2010

Suka nasyid, tapi...

Anak lelaki saya suka sangat dengan nasyid Maher Zain dan saya tak sangka dia boleh menghafal lirik dalam bahasa Inggeris itu dengan hanya mendengar.

"Best sangat nasyid tu, bang?", sengaja saya menimbulkan soalan berbentuk provokasi.

"Wuihhh....best, mi....abang suka sangat!", itulah jawapan setiap kali soalan yang sama saya ajukan.

"Tapi kalau dengar nasyid macam tu, patutnya kita jadi lebih baik, kan?...kena jadi anak soleh, tak lambat2kan solah, dengar nasihat umi ayah....betul tak bang?", ayahnya pula mencelah.

"Hmmmm.....".

Itulah juga cerita kita orang dewasa. Kadang2 kita tak ambil pun pengajaran dari nasyid2 yang baik atau dari buku2 yang baik yang kita telah baca (saya pun macam tu...)....ia hanya sekadar menjadi suka2 - suka dengar nasyid yang baik / suka baca buku yang baik....tapi empunya diri masih macam tu juga....belum jadi baik juga...

Kadang2 bimbang juga kalau2 kita suka penasyid tu sebab dia kacak, misalnya. Kita tidak meletakkan neraca yang betul kenapa kita suka dia. Saya ada terbaca, ada yang terjerit2 masa Maher Zain buat persembahan baru2 ni....Pelik rasanya, Maher Zain seorang penasyid...bukan rockers.

Maher Zain menjadi penasyid kerana dia hendak berubah menjadi lebih baik...sepatutnya itu yang menjadi teladan untuk kita...bukan suka Maher Zain atas sebab yang lain. Saya pernah terserempak dengan kumpulan nasyid terkenal semasa saya belajar dulu. Biasa je....tapi saya terperanjat bila ada sekumpulan remaja perempuan di belakang saya riuh rendah bila tersedar ada kumpulan nasyid tersebut di depan saya....dan yang saya nampak, penasyid2 itu pun seperti serba salah dengan remaja2 perempuan tersebut. Saya jadi malu sendiri.

Nasyid didengar untuk dihayati dan diambil iktibar inti patinya, bukan terbuai dengan kelunakan suara dan susuk luaran penasyid. Itu yang kita kena jaga hati dan perasaan kita bila mendengar nasyid, sebab secara asasnya nasyid itu mengajak orang jadi baik, bukan sebaliknya. Wallahua'lam.

Wednesday, October 20, 2010

Kak Milah

Lebih setahun dia menghidapi kanser rahim. Walaupun kansernya telah dibuang dan telah menjalani 16 sesi kimoterapi, Allah izin kansernya datang lagi. Isnin lepas dia masuk hospital semula...dan 20.10.10 pasti tarikh yang tidak akan kami lupa...dia pergi menemui Ilahi selepas waktu subuh. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali.

Saya dan beberapa teman rapat sempat menziarahinya beberapa hari sebelum itu. Amat lemah keadaannya, tapi dia gembira menyambut kedatangan kami. Kak Su yang pandai mengurut, mengambil peluang untuk mengurutnya...mengurut dengan kasih sayang kerana dialah sahabat kami. Saya sempat menyuapkan air susu kambing suam yang katanya amat sedap....saya terkenang sehingga kini....Dia terlalu ingin makan tetapi setiap makanan/minuman yang diambil katanya seperti tersekat di kerongkongnya...apakah itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami...saya hanya mampu berkata di dalam hati. Hidup, mati adalah urusan Allah yang kita tidak tahu.

Al-Fatihah untukmu...

Selamat jalan sahabat, ke kampung abadi. Kami akan sentiasa mengingatimu. Kami akan sentiasa mendoakanmu. Kami pasti akan menyusulimu. Damai dan bahagialah engkau di sana. Kami akan terus berjuang di atas jalan ini, biar betapa berat pun ia. Kita akan berjumpa di sana suatu hari nanti.

Friday, October 15, 2010

Ayat2 Cinta

Saya terpengaruh dengan kata orang tentang kehebatan novel "Ayat-ayat Cinta" sewaktu ia mencetuskan fenomena sedikit masa dulu...tapi taklah sampai membeli novel tersebut...saya meminjamnya dari seorang anak kepada teman rapat kami.

Memanglah sewaktu membacanya mungkin sedikit terbuai emosi...tapi cukuplah...saya katakan kepada suami, saya tak akan membaca novel seperti itu lagi. Kerana apa? Kerana saya sebenarnya telah memiliki watak utama yang sebenar....ia bukan sekadar ilusi di dalam novel!!.

Kesimpulan yang saya buat - pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita. Sesibuk mana pun dia, saya dan anak2 tetap diambil tahu keperluan kami. Ibubapa saya adalah juga ibubapanya. Adik beradik saya adalah juga adik beradiknya (tapi dalam batasan syarak). Kemana pun dia pergi, dia meninggalkan kasih sayangnya untuk kami. Ingatannya untuk saya dan anak2 supaya taat kepada Allah dan Rasul-Nya sentiasa ada. Bukan tiada perselisihan, tapi dia selalu mengalah terlebih dulu supaya keadaan tidak bertambah keruh. Apa lagi yang saya nak cari?

Ayat2 cinta kami adalah doa2 yang sering saya dan anak2 'Ameen'kan lewat solah2 berjemaah kami. Ujian dalam membesarkan anak2 tetap kami hadapi, tapi saya tahu, doanya supaya saya dan anak2 menjadi insan soleh dan solehah, sentiasa ada. Dia selalu ingat dia ketua keluarga dan Allah akan tanya akan tanggungjawabnya. (Saya juga pasti akan ditanya tentang tanggungjawab saya ke atas keluarga saya).

Ya Allah, jadikanlah anak cucu kami di kalangan orang2 yang mendirikan solah. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa. Ameen.

Sunday, October 10, 2010

Dilema Wanita Lambat Jodoh

Wanita lambat kahwin sering di salah tafsir. Berbaik dengan wanita bersuami, mungkin dianggap hendak merampas suami orang. Membataskan pergaulan pun dikata orang katanya tak tahu bercampur jiran....hmm...pendek kata, semuanya seperti serba tak kena di mata orang lain. Amat sedikit sebenarnya yang cuba untuk memahami dilema wanita yang lambat berkahwin.

Seorang yang rapat dengan saya mengalami demikian. Katanya, dia membataskan pergaulan dengan jiran2nya yang lebih kurang sebayanya adalah untuk mengelakkan salah faham yang dia mungkin akan 'merampas' suami orang. Apatah lagi, bila suami jiran depan rumahnya, pantang melihatnya keluar membersihkan rumah, si suami orang ini pasti juga akan keluar, kononnya membersihkan rumahnya juga. Malah adakalanya berani menegur dengan usikan yang bagi kami 'usikan gatal lagi mengada2' tatkala si isteri tiada di rumah...tetapi tidak pernah dilayan oleh teman saya. Yang kelakarnya, setiap pagi bila masing2 hendak keluar bekerja, buat2 tak nampak pula....sebab apa?....sebab ada isteri bersamanya!!.

Bukan sedikit cerita suami orang terpikat dengan orang lain. Semuanya mungkin bermula dari tegur sapa yang biasa2 sehingga akhirnya melalut pula hingga jatuh cinta dan bercerai berai di pihak yang telah berumahtangga. Inilah yang sungguh2 dielakkan oleh teman saya itu.

Siapa yang tidak ingin berumahtangga dan punya keluarga? Setiap orang pasti mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Saya kasihan kepadanya. Saya hanya mampu mendoakannya selalu mudah2an Allah temukan jodoh yang baik untuknya selepas sekian lama , yang saya pasti, dia juga mengharap. Saya katakan padanya supaya tetap dengan pendiriannya itu, jangan peduli apa orang lain kata....yang penting dia tahu mana yang betul.

Cuma kadang2 rasa kesal, kenapa wanita yang lambat jodoh sering disalah tafsirkan? Bagi wanita normal, saya kira itu bukan pilihan mereka untuk melambat2kan jodohnya.

Tuesday, October 5, 2010

Haji

Musim haji datang lagi. Sana sini kedengaran siapa2 yang akan menjadi tetamu Allah. Kakak dan abang ipar saya akan berangkat ke Tanah Suci Mekah awal November, terus ke Mekah. Rakan blogger Aniisma juga akan ke sana bersama ibu tercinta dan adik lelakinya. Semoga semuanya selamat, menjadi tetamu Allah yang istimewa.

Kami berdua juga ingin ke sana. Saya rasa, semua orang Islam pun teringin ke Mekah menunaikan fardhu haji. Sering kedengaran orang berkata, "Pergilah waktu muda, masih sihat dan kuat". Tidak kurang juga yang asyik mempersoal mengapa kami berdua tak buat haji lagi. Biarlah...hanya Allah yang Maha Tahu, walaupun ada ketikanya kami menjadi sedikit tidak selesa.

Jarang juga yang mahu berkongsi sebagaimana Prof Dr Muhd Kamil berkongsi cerita di Mekah dan Madinah. Malah ada yang berkata, "Rezeki masing2 (dengan apa yang dialami di sana)" tanpa mahu bercerita lanjut. Dan yang paling biasa, "Orang yang belum pergi Mekah tak tahu macamana rasanya bila ingat dan rindu Mekah!!"...tentulah tidak tahu sebab kami belum melalui pengalaman itu.

Benarlah haji itu melengkapkan rukun Islam yang lima, tapi janganlah memandang orang lain yang belum menunaikan haji itu seperti belum lengkap hidupnya. Bukan sedikit yang telah menunaikan haji, bila pulang masih juga dengan perangai lama...masih cuai dengan tanggungjawab yang diberikan...atau jadi bertambah 'lesu'.

Mengerjakan haji - bukan sekadar perjalanan fizikal semata2, lebih utama ia adalah perjalanan hati dan jiwa dalam mencari keredhaan Allah, meletakkan diri sebagai hamba yang hina di sisi-NYA.

Hanya kepada-Mu Ya Allah kami mohon keampunan. Engkau Maha Mendegar doa2 kami. Engkau Maha Mengetahui isi hati kami. Kami hamba-Mu yang lemah. Hanya kepada-Mu kami harapkan pertolongan dan kekuatan. Hanya Engkau yang memakbulkan doa.

Monday, October 4, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (7)

Assalamualaikum adik2ku. Semoga rahmat Allah untuk kalian. Selawat untuk junjungan Rasulullah saw, ahli keluarga serta sahabat baginda.

Lama aku tidak menulis untuk kalian, namun ingatan dan doa tetap ada untukmu. Kemana pun aku pergi, aku sentiasa ingat kepada kalian. Aku sentiasa rindu untuk bertemu kalian.

Adik2 yang aku kasihi kerana-Nya, apabila kita kasih kepada seseorang, kita yang sentiasa mendoakan dan mengharap yang baik untuknya...ini termasuk dalam hubungan kita sesama rakan, adik beradik, apatah lagi suami isteri serta anak2.

Untuk adik2 yang bakal berumahtangga, janganlah kalian berhenti berdoa agar ditemukan jodoh yang baik, lebih2 lagi jodoh dari kalangan orang yang menjaga agamanya dalam kehidupan. Pilihlah calon yang mempunyai asas kefahaman Islam yang baik, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk memikul amanah selepas perkahwinan. Tujuan utama perkahwinan adalah dalam rangka kita beribadah kepada Allah, bukan atas sebab yang lain.

Adik2 yang aku rindui, ingatkah kalian kepada fenomena novel cinta Islam "Ayat-ayat Cinta"?. Kita pasti dibuai dengan kesolehan Fahri yang memegang watak utama di dalam novel itu, kan? Watak Fahri tidak mustahil dalam dunia realiti ini, adik2ku. Ia adalah watak setiap lelaki beriman yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sebuah perkahwinan.

Lelaki beriman tidak akan mensia2kan isteri dan anak2nya. Lelaki beriman akan menzahirkan kasih sayang, bergaul secara baik, bertanggungjawab, bertolak ansur, suka berbincang, menjaga rahsia keluarga, serta banyak lagi akhlak baik yang akan dicernakan dalam rumahtangganya.

Sabda baginda saw yang bermaksud :'Sesungguhnya lelaki mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak2nya'. (HR Tirmizi).

Bagaimana pula dengan kita sebagai isterinya? Taqwa kepada Allah adalah yang utama. Bila kita bertaqwa tentu tidak sukar untuk kita taat kepada suami (selagi tidak bertentangan syarak), berhias hanya untuk suami, cinta dan kasih suami, menjaga kehormatan dan harta tatkala ketiadaan suami di sisi, menjaga rahsia rumahtangga, mengurus rumahtangga, ada izin suami untuk keluar rumah untuk tujuan yang diharuskan.

Sabda baginda saw yang bermaksud : 'Sebaik2 perempuan (isteri) ialah apabila kamu menatap wajah kepadanya, akan menggembirakan hati kamu, dan bila kamu suruh dia mengikut perintah kamu, bila kamu bersumpah keatasnya dia berbuat baik terhadap kamu, dan bila kamu tiada dia menjaga diri dan harta kamu'. (HR Tirmizi).

Adik2 yang aku harapkan kebaikan untuknya, berdoalah selalu agar kalian terhindar dari cinta palsu dan buta. Cinta palsu dan buta akan membuat kita derita dan sengsara. Berdoalah selalu agar iman kalian terjaga dan terpelihara....dengan iman sahaja kita akan mampu untuk menjaga langkah kita kerana kita akan merasai Dia sentiasa melihat kita.

Setakat ini dulu adik2ku. Mudah2an Allah izinkan aku untuk menulis di kesempatan yang lain. Sehingga ke detik itu, marilah kita saling mendoakan kebaikan sesama kita agar kita terpelihara dari kejahatan dan keburukan. Sekian, wassalam.

Thursday, September 30, 2010

Tv

Suara dari dapur, "Mak ngah makanlah kuih tu.."

Mak ngah kata,"Biasa jer....", sambil membuat memek muka.

"Mak ngah, makanlah makanan tu".

"Hmm...biasa jer", pun dengan memek muka yang sama.

Saya sedang menonton tv dengan anak2. Iklan itu biasa keluar dan anak2 biasanya tak ambil kisah pun. Tapi hari itu abang bersuara, "Tak baikkan, Mi macam tu. Nabi Muhammad kalau tak suka makanan tu, nabi akan diam aje kan".

"Ye, kalau kita tak suka kita diam je...Lebih2 lagi kalau kita berziarah ke rumah orang, tak boleh cakap macam tu. Boleh buat orang kecil hati atau sakit hati".

Saya selalu bersama anak2 ketika menonton tv kerana saya boleh buat ulasan selari terhadap apa2 yang tidak sesuai dipaparkan untuk tontonan anak2 samada iklan atau cerita/drama hatta kartun sekali pun kerana kartun2 yang dialihbahasakan setiap hari di tv adakalanya agak merapu. Tidak dinafikan adakalanya anak2 lebih mudah mengingat perkataan2 yang kurang enak untuk didengar.

"Umi....jangan tengok umi, iklan tak soleh tu....nampak aurat", kata dik Yam sambil mendepakan tangannya di hadapan skrin tv dengan harapan kami semua tidak melihatnya.

Hanya cerita2 terpilih sahaja yang kami benarkan anak2 menonton, pun dengan salah seorang dari kami ada bersama anak2 supaya kami dapat memantau apa yang ditonton. Cukuplah tv kecil yang kami ada...rasanya dah takde orang berminat tv jenis tu yang kami beli 12 tahun lepas....itu pun dah cukup untuk kami risaukan dengan apa yang anak2 tonton.

Monday, September 6, 2010

Selamat Hari Raya

Selamat hari raya diucapkan kepada pengunjung yang sudi berkunjung ke blog ini.

Kullu'am wa antum ilAllahi aqrab - Semoga setiap tahun kamu akrab dgn Allah.

TaqabbalAllahu minna waminkum - Moga2 Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua.

Friday, September 3, 2010

Khatam dan Kematian

Semalam berkhatam dengan anak2 teman rapat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sebagaimana dirancang. Ia nampak mudah tapi pergantungan kepada-Nya amat perlu agar semuanya dimudahkan. Lebih2 lagi apa yang hendak dilakukan adalah salah satu perkara yang amat digalakkan di bulan berkat ini.

Berbuka, bertarawih beramai2 bersama teman2 rapat adalah nikmat. Lebih2 lagi jika di situ ada ingatan untuk dikongsi bersama. Ingatan khusus juga diberikan kepada anak2...alhamdulillah anak2 ceria sepanjang ingatan diberikan. Mudah2an ada kesan positif dalam diri anak2 dari ingatan dan nasihat yang diberi. Jika bukan kita ibubapanya yang memberi ingatan, teguran dan nasihat kepada anak2 yang bakal menjadi pewaris, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Anak2 kena sentiasa dan terus diingatkan supaya mereka berhati2 dalam memilih jalan hidup...lebih2 lagi dalam suasana hidup hari ini yang penuh dengan cabaran iman.

Sampai rumah pukul sebelas lebih. Teringat apa nak masak untuk sahur...bergegas ke dapur untuk menjerang nasi sambil membasuh baju. Pukul 11.49 malam, mesej masuk di handphone suami. Seorang rakan kami Allah jemput menemuinya beberapa minit sebelum itu...Innalillah...Dia muda beberapa tahun dari kami, kehidupan berkeluarganya baru sahaja bermula, perniagaan komputernya telah mula berkembang....tapi siapalah kita yang mampu menolak hakikat bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Mata yang mengantuk terasa segar semula...teringat isteri dan anak2nya yang masih kecil, mudah2an mereka tabah dan sabar. Berbaring di sebelah Dik Yam yang dah mula tidur, saya memeluknya,"Maafkan umi ye dik...umi marah2 adik"....dik Yam mengangguk walaupun dalam keadaan mata separuh pejam...bersihnya hati anak2!! Hilang mengantuk walaupun kepala dah mula berdenyut.

Berita kematian adalah tazkirah untuk kita yang hidup. Ingat akan pesan Rasulullah saw, apabila mati anak adam hanya 3 perkara yang tinggal untuk membantu kita di sana-sedekah jariah, ilmu yang baik yang dimanfaatkan dan anak yang soleh....adakah pada kita semuanya atau sekurang2nya salah satu darinya?.....

Ya Allah, ampunan-Mu aku harapkan.

Tuesday, August 31, 2010

Hari Raya

"Mi, adik suka la lagu raya tu", Dik Yam seronok mendengar petikan lagu raya untuk nada dering yang diiklankan di tv. Saya hanya senyum mengiringi keseronokannya itu. Mujurlah saya amat jarang mendengar radio, jika tidak, pasti lagu2 raya berkumandang ke udara. Saya lebih suka membaca atau riuh bersama Dik Yam di waktu saya lapang.

Telah lebih sedekad saya dan suami, kami tinggalkan nostalgia lagu raya...masa dan kefahaman tentang hidup telah mengubah persepsi kami tentang hari raya. Itu juga yang kami cuba fahamkan dan ajarkan kepada anak2. Tapi naluri anak2...kami tidak boleh nafikan tentang keseronokan mereka untuk menyambut hari raya...lebih2 lagi keseronokan mereka untuk bertemu dengan sepupu2 mereka yang hanya sekali dua berjumpa dalam setahun.

Kalau dulu, ketika masih bersekolah rendah, kawan2 selalu bertanya,"Mak awak dah buat berapa jenis kuih?...Mak saya dah buat macam2 kuih!!"....Masa tu siapa2 yang emak mereka telah menyediakan pelbagai kuih, pasti seronok. Semakin banyak jenis kuih yang emak mereka buat, seolah2 semakin seronok untuk menyambut kedatangan raya.

"Kawan kakak ada yang emak dia buat kuih?", saya bertanya kakak semasa kami sibuk 'mencetak' kuih siput (itu je yang saya buat sebab suami suka). "Ada juga, tapi ramai yang macam kita...beli je". Mujurlah anak2 kami pun tak berapa kisah tentang kuih, jadi mereka terima sahaja kuih apa yang saya pilih.

Kami hendak mengajar anak2 bahawa hari raya itu adalah hari kejayaan bagi orang2 yang berpuasa dengan rasa keimanan kepada Allah...ia bukan keseronokan kerana tidak perlu puasa lagi selepas berakhirnya Ramadhan.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau suka memberi keampunan. Ampunkanlah kami, ya Allah. Berikan kami kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. Jauhkan kami dari azab api neraka. Ameen.

Monday, August 30, 2010

Terjemahan al-Hadid : 19-24

19. Dan orang2 yang beriman kepada Allah dan Rasul2-Nya, mereka itu orang2 yang tulus hatinya (pencinta kebenaran) dan saksi2 di sisi Tuhan mereka. Mereka berhak mendapat pahala dan cahaya. Tetapi orang2 kafir dan mendustakan ayat2 Kami, mereka itu penghuni2 neraka.
20. Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlomba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam2annya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.
21. Berlumba2lah kamu untuk mendapat ampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang2 yang beriman kepada Allah dan Rasul2-Nya. Itulah kurniaan Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia Kehendaki. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.
22. Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfudz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.
23. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri,
24. iaitu orang2 yang kikir dan menyuruh orang lain berbuat kikir. Barangsiapa berpaling (dari perintah2 Allah), maka sesungguhnya Allah, Dia Maha Kaya, Maha terpuji.

Thursday, August 26, 2010

Tudung lagi...

"Mi, semua kecik la, mi....dahlah tu ada belah kat belakang pula", kakak tak puashati. Dia sedang membelek2 tudung untuk dipadankan dengan warna baju rayanya.

"Yang kedai tadi tu takde belah belakang, tapi pendek", dia mengomel lagi.

"Kalau pendek, kecik, ada belah belakang...kakak nak ke?", sengaja saya menguji.

"Heee...taknak la, mi!!. Mi, kita beli je lah kain tudung macam umi punya...nanti umi buatkan untuk kakak, boleh?", dia memujuk.

Haaa....itulah sebenarnya yang saya harapkan dari mulutnya....beli kain tudung bidang 60 inci, buat sendiri....habis cerita...tak payah nak komplen keciklah, pendeklah, bla..bla..bla...

Suami saya setuju sangat dengan cadangan kakak.

Itulah dilemanya untuk anak kami mencari tudung yang sesuai dan menutup aurat dengan sempurna. Dia sendiri boleh menilai tudung2 yang dilihatnya sebenarnya tidak menepati ciri2 menutup aurat. Kami masih berkompromi dengannya pasal soal t-shirt labuh dan seluar panjang, tapi soal tudung...memang semua tak boleh nak pakai. Mungkin dia belum dewasa, tapi kami mesti menyokong kehendaknya untuk menutup aurat dengan sempurna seratus peratus. Sekurang2nya dia telah ada nilai yang dipegang dalam dirinya tentang tudung yang bagaimana yang dikatakan sebagai menutup aurat.

Seorang teman menjual tudung yang agak besar. Katanya rata2 pembeli akan bertanya, "...yang kecik sikit takde, ke?".....

Sekarang ni timbul pula fesyen seperti bonggol unta. Rasulullah pernah sebut dulu tentang cara berpakaian begini yang tiada di zaman baginda tetapi akan muncul....dan sekarang ia telah muncul...Itu belum lagi cerita tentang busana muslimah yang saya pun tak tahu kat mana yang dikatakan sebagai muslimah jika ia hanya menutup kulit tapi tidak menutup bentuk badan.

Dunia telah berada di akhir zaman. Kebanyakkan perkara2 yang Rasulullah saw sebutkan yang akan berlaku di akhir zaman, telah berlaku. Hanya iman yang boleh memandu kita membuat pilihan yang betul.

Marilah kita bersungguh2 menggunakan peluang beribadat di bulan Ramadhan yang sedang melalui 10 kedua ini untuk lebih dekat dengan Allah, untuk lebih mencintai Rasul-Nya, untuk lebih memahami deen Islam yang syumul ini. Carilah ruang dan peluang untuk kita belajar memahami Islam yang betul.

Wednesday, August 18, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (6)

Assalamualaikum adik2ku. Salam Ramadhan Kareem.

Segala puji hanya untuk-Nya, pemilik alam ini. Selawat dan salam untuk Rasulullah saw, Rasul dakwah dan tarbiyyah kita, juga untuk para sahabat baginda dan orang2 yang berjuang untuk menegakkan deen ini hingga datangnya Hari Penentuan.

Semoga adik2ku sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang-Nya, ceria dan gembira dengan kedatangan bulan yang di awalnya rahmat, pertengahan keampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Mudah2an ia akan membuahkan taqwa di akhirnya nanti sebagai bekalan perjalanan hidup yang seterusnya....hidup yang penuh dengan ujian untuk iman.

Adik2 yang aku kasihi,
Terlalu banyak kepincangan yang berlaku dalam kehidupan hari ini. Saban hari, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah yang pelbagai juga 'tema'nya...ini termasuk tentang masalah remaja seusia kalian yang semakin menjadi2.

Sebagai seorang ibu, hatiku amat pedih melihat kerosakan yang berlaku. Kehidupan seperti tidak dipandu mengikut arah yang betul...tapi ia dipandu hanya berdasarkan hawa nafsu semata2. Lebih menyedihkan, di bulan mulia yang penuh berkat ini pun, ia berlaku.

Adik2 yang aku harapkan kebaikan untukmu,
Kita tiada pilihan. Kita wajib memilih agama sebagai panduan dalam kehidupan. Meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, "agama adalah sumber kehidupan yang baik lagi sejahtera. Agama adalah penyelesaian, bukan punca kepada masalah". Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw ada menyebutkan yang maksudnya,"Jika Allah kehendaki kebaikan kepada seseorang, maka dia akan diberikan kefahaman dalam agamanya(Islam)".

Aku tahu, ada di antara kalian telah layak untuk berumahtangga. Nasihatku, carilah yang 'beragama' iaitu Islam itu menjadi panduan dalam hidupnya. Jika dia seorang yang demikian, insyaAllah dia akan bersama2 denganmu melayari bahtera kehidupan dengan menjadikan Islam sebagai panduan (Ini termasuk melayan kalian dan anak2 dengan layanan yang baik).

Orang yang beragama, jika ada masalah yang timbul, dia akan merujuk kepada Yang Esa. Hatinya akan sentiasa berhubung kepada-Nya. Tapi, andai agama bukan panduan, mereka akan lari dari masalah tanpa cuba untuk menyelesaikannya tetapi dalam masa yang sama dia akan 'create' masalah yang lain....lalu jadilah hidupnya bertimpa2 dengan masalah...yang bukan sahaja menyusahkan dirinya sendiri, tetapi juga menyusahkan orang2 yang hampir dengannya. Terlalu banyak contoh di sekitar kita, adik2ku. Bukalah mati dan hati untuk kalian melihatnya.

Adik2 yang aku sayangi,
Takutlah kita akan kemurkaan Allah yang jika ia berlaku, bukan sahaja menimpa orang2 yang bersalah tetapi ia juga akan menimpa orang lain. Oleh itu adik2ku, marilah kita sama2 menasihati orang2 yang hampir dengan kita untuk sama2 mendekatkan diri kepada-Nya. Kita 'besarkan' Allah dalam kehidupan, bukan besarkan hawa nafsu yang tidak pernah puas. Ingatlah akan ancaman Allah terhadap orang2 yang ingkar kepada-Nya...tetapi ingatlah juga bahawa Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Penyayang.

Sempena bulan yang berkat ini, aku ingin mengajak diriku dan kalian untuk kita memperbaiki diri dan amalan2 kita. Ia pasti ada ujian walaupun untuk melakukan kebaikan, tapi marilah kita cuba sedaya upaya untuk kita menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan sebaik2nya. Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dari Allah - Rabb dan Illah kita.

Sekian dulu adik2ku. Jumpa lagi dan selamat beramal. Wassalam.



Tuesday, August 17, 2010

Puasa, anak2 dan sekolah.

Telah seminggu kita berpuasa. Alhamdulillah kakak dan abang masih kuat untuk berpuasa. Abang pun tak bising macam tahun lepas nak berbuka bila balik sekolah. Puasa kali ni, sekolah balik seperti biasa.

"Puasa kali ni kita ke bazar ramadhan 2-3 kali je seminggu, bukan tiap2 hari", suami memberi syarat kepada anak2. " Kita beli yang kita rasa nak makan je...bukan nampak apa pun semua nak dibeli", tambah suami. Hmm...puaslah abang berkira2, bila kuota 2-3 hari dah habis, dia berkata2 sendiri, " alamak, dah tak boleh ke bazar ramadhan lagi la ni...", suami saya yang mendengar senyum sendiri. Tapi hakikatnya, tiap2 hari singgah untuk beli tepung pelita dan puding kesukaan anak2!!

Isnin baru ni anak2 balik dengan basah kuyup. Hujan lebat, basah semua sekali termasuk buku2 dalam beg. Mungkin kesejukan, selepas mengaji kakak dan abang tidur, tak sampai hati kami nak melarangnya. Mereka bangun bersolat isyak agak lewat sebelum menyambung tidur...kakak tak bertarawih malam tu... Esoknya ada ujian bulanan di sekolah. Saya berpesan,"baca bismillah dan doa masa nak mula jawab, baca arahan apa yang soalan nak, bukan jawab apa yang kakak dan abang nak...", masing2 mengangguk sambil bersalam. Periksa kali ini, saya dan suami tak bising menyuruh mereka mengulangkaji. Tak sampai hati rasanya nak gesa2 mereka mentelaah buku2 selepas seharian di sekolah dalam keadaan berpuasa...tapi doa dan harapan dari kami tak pernah putus agar Allah mudahkan anak2 di sekolah.

Puasa kali ini anak2 seperti telah bersedia menghadapinya. Mungkin sebab ia sering diingatkan sejak bulan Rejab lagi. Alhamdulillah...anak2 semakin matang dalam menunaikan kewajipan...itulah juga doa dan harapan kami selalu.

Ya Allah, mudah2an perubahan positif anak2 berkekalan. Jadikan kami ibubapa yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak2 kami. Jadikan kami ibubapa yang sabar. Ameen.

Friday, August 13, 2010

Di Mana Nak Bertudung?

"Kak...tolong ambil surat kat peti surat tu".

"Ok...", jawab kakak sambil menuju pintu.

"Kak! Mana tudungnya? Menonong je nak keluar!".

Kakak tersengih, sedar akan kesalahannya, lalu cepat2 mengambil dan menyarung tudungnya.

"Kita ni pakai tudung bukan sebab nak keluar berjalan je...asalkan kaki kita melangkah keluar dari pintu rumah...kena pakai tudung untuk tutup rambut, kepala, leher dan bahagian dada....ni bukan umi cakap, tapi Allah suruh semua orang perempuan Islam supaya buat macam tu". Bukan kali pertama saya 'membebel' perkara benar ini...tapi begitulah anak2 kita yang kena sentiasa diingatkan.

Anak sulung saya belum wajib menutup aurat, tapi saya telah membiasakannya bertudung sebelum dia berusia setahun, begitu juga anak bongsu saya. Anak lelaki pula saya biasakan dia berbaju (walaupun di rumah) dan berseluar panjang atau seluar di bawah lutut juga sejak dari awal lagi. Semuanya ini saya dan suami lakukan hanya kerana Allah, dengan doa dan harapan setiap masa agar anak2 boleh menjaga aurat dan akhlak mereka seumur hidup mereka.

Dalam satu majlis ilmu yang telah saya hadiri, ustaz ada menyebut kebanyakkan kita salah faham tentang aurat terutama yang berkaitan dengan tudung. Orang perempuan ni biasanya, kata ustaz, beranggapan pakai tudung tu kalau nak keluar berjalan, ke bandar contohnya...tapi nak sidai kain, pergi kedai belakang rumah, sapu2 sampah di halaman rumah, tebas2 rumput keliling rumah, main badminton dengan suami dan anak2 depan rumah....tak pakai tudung. Sedangkan aktiviti itu tetap mewajibkan orang2 perempuan untuk bertudung yang menutup aurat. Ustaz kata semua itu berlaku sebab pada anggapan mereka semua aktiviti itu dilakukan di kawasan rumah sendiri, jadi kenapa nak bertudung pula?

Kadang2 di dalam rumah pun orang perempuan wajib bertudung...bila? Bila ada tetamu lelaki yang bukan mahram termasuklah anak saudara lelaki sebelah suami atau ada abang /adik ipar lelaki...(kita boleh rujuk dalam al-Qur'an siapa yang dipanggil sebagai mahram kita).

Jadi, secara ringkasnya, sebaik sahaja seorang perempuan itu melangkah keluar pintu rumahnya, maka wajib untuknya menutup auratnya....tak kiralah samada nak berjalan jauh atau sekadar melakukan aktiviti di halaman atau keliling rumah.

InsyaAllah, hal ini tidak menyusahkan kerana Allah tidak menjadikan Islam itu untuk menyusahkan manusia, tapi ia untuk kesejahteraan kita hamba-Nya. Cuma perlukan sedikit kesedaran dan kesabaran untuk membiasakan yang betul dalam hidup kita sebagai seorang Islam. Mungkin boleh digunakan kesempatan di bulan Ramadhan yang berkat ini untuk kita melangkah menuju kepada kehidupan yang menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya. Jangan segan untuk melakukan perubahan yang baik, lebih2 lagi jika ianya adalah perkara wajib.

Mudah2an kita sentiasa mendapat petunjuk-Nya. Ameen.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan

Selamat berpuasa kepada pengunjung blog ini. Marilah kita sama2 menjaga adab2 berpuasa...jaga mata, hati, telinga, mulut...Mudah2an di akhir Ramadhan nanti ia membuahkan taqwa untuk kita sebagaimana yang Allah sebut dalam surah al-Baqarah 183. Maaf dari saya jika ada yang menyinggung dalam tulisan2 yang dikongsi di sini.

Tuesday, August 3, 2010

Peliharalah Dirimu dan Ahli Keluargamu...

Maksud firman Allah dalam Surah at-Tahrim:6 - Wahai orang2 yang beriman! Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat2 yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang DIA perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Maksud hadis : Setiap anak itu lahir dengan fitrah (suci), ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

****************

Kelmarin kakak balik dari sekolah dengan ceria...2A telah dia perolehi, tinggal lagi 3 yang belum dia perolehi untuk ujian percubaan UPSRnya minggu lepas. Semalam dia juga balik dengan ceria kerana dia dapat menjawab semua soalan lisan untuk ujian Sijil Darjah Enam Agama (SDEA)nya.

Sebagai ibubapanya, kami tumpang gembira dan bersyukur kepada-Nya. Rasanya tiada ibubapa yang tidak gembira melihat kejayaan anak2. Kita pastinya akan selalu ingat tentang hadis Nabi saw yang mengingatkan kita semua jika kita inginkan dunia hendaklah dengan ilmu, jika kita mahukan akhirat hendaklah dengan ilmu dan jika kita mahukan dunia dan akhirat hendaklah juga dengan ilmu.

Tapi kena ingat juga, hidup di dunia ini hanya sekejap dan sementara...akhirat jua kekal abadi. Jadi apa persediaan kita untuk diri kita dan anak2 menghadapi kehidupan yang kekal abadi di 'sana' nanti?

Hujung minggu lepas berpeluang mendengar perkongsian ilmu oleh seorang kaunselor dari Kementerian Pendidikan, Tuan Hj Engliman b. Roslan. Katanya :

1. Urusan keibubapaan adalah urusan syurga dan neraka sebagaimana Allah telah ingatkan kita dari surah at-Tahrim:6

2. Urusan keibubapaan adalah urusan untuk mencorakkan anak2 menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi atau Mukmin sejati.

3. Urusan keibubapaan adalah urusan untuk kecemerlangan Tarbiyyah/Pendidikan untuk mencapai matlamat di dunia dan akhirat.Tarbiyyah yang pertama adalah tarbiyyah iman. Jika iman berjaya dididik, insyaAllah urusan lain akan mudah, tetapi jika tarbiyyah iman gagal, pasti akan banyak masalah timbul dalam kehidupan. Ini diikuti dengan tarbiyyah ibadah, akhlak, kemasyarakatan, jinsiyah(gender) dan jihad. Apa yang berlaku hari ini, pendidikan gender hendak diajarkan kepada anak2 kita tetapi imannya tidak dididik terlebih dahulu...sebab itu anak remaja hari ini ramai yang 'berani mati' untuk mencuba sesuatu yang Allah larang kerana di hatinya tidak ada rasa takut kepada Allah.

Umat Islam hari ini, akhirat mereka luput, dunia pun mereka tercicir. Realitinya hari ini anak2 keseorangan dalam mengharungi kehidupan mereka. Anak2 tidak dipandu untuk memilih jalan yang sepatutnya dipilih iaitu jalan yang lurus. Hati anak2 menjadi gelap dan keseorangan. Lalu mereka beralih kepada perkara2 yang tidak syarak dan jauh dari Allah.

Di akhir program, beliau mempertontonkan kepada hadirin klip video tentang zaman keagungan Islam, keadaan di Palestin sekarang, juga realiti yang berlaku kepada anak2 kita di Malaysia hari ini. Airmata saya mengalir tanpa dapat saya mengawalnya. Teringat anak2 sendiri, juga anak2 remaja kita....banyaknya kerja kita untuk sama2 membawa anak2 kita ke jalan yang lurus dengan keadaan kita sendiri yang banyak kelemahan di sana sini...dengan kita disibukkan dengan urusan dunia yang tak habis2.

Cukupkah dengan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan atau ibadah2 khusus yang lain? Tidak, ia tidak habis setakat itu...kita mesti ajak anak2 kita untuk faham Islam. Jadi setiap kali anak2 balik dari sekolah dengan membawa berita gembira tentang peperiksaan/ujian mereka, ia selalu mengingatkan saya...secemerlang itu jugakah akhirat mereka nanti?...berjayakah kami berdua sebagai ibubapanya untuk mengajarnya bahawa kejayaan yang sebenar adalah untuk kehidupan di'sana'?

Ya Allah...hanya kepada-Mu kami memohon kekuatan dan keampunan.

Thursday, July 29, 2010

Bersyukurlah wahai diri...

Maksud hadis :'Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati sedangkan berpecah belah itu mengundang azab'. (HR Ahmad)

Suatu ketika kami diuji sedikit oleh-Nya. Apa yang kami berdua harapkan tidak kami perolehi walaupun usaha yang sepatutnya telah dibuat. Kami agak sedih dan sedikit kecewa. Beberapa hari rumah agak sunyi dari gurau senda, masing2 banyak diam dari bercakap.

Orang Islam dianjurkan supaya bersolat sunat ketika kesedihan/kekecewaan/kegembiraan dihadapi. Kami melakukannya, sendiri2, dengan doa dan harapan agar Allah beri kami kelapangan hati dan ketenangan fikiran. Dalam masa yang sama kami sedikit demi sedikit cuba melupakan kekecewaan yang kami alami dan kami melihat apa yang telah ada pada kami.

Dalam beberapa hari saja, Allah datangkan kelapangan hati serta ketenangan fikiran kepada kami. Kami bermuhasabah - kenapa perlu sedih dan kecewa dengan apa yang kami tak dapat? Sedangkan selama ini kami ada semuanya...kenapa kami tidak lebih bersyukur dengan apa yang telah dan sedang kami miliki? Kenapa mesti kami bersedih dan kecewa kepada sesuatu yang belum pasti?

Dengan izin-Nya juga saya terbaca hadis yang saya tulis di atas. Ia seperti satu tazkirah untuk kami. Rancangan motivasi di radio juga seperti membangunkan kami apabila motivatornya bercakap hal yang sama. Ya Allah...terlalu banyak sebenarnya yang telah Engkau berikan kepada kami, hanya kami yang gagal untuk merasainya kerana ianya telah ada depan mata, lalu kami menganggapnya sebagai biasa2 sahaja.

Hari ini, kami saling ingat-mengingatkan, jangan fikirkan apa yang belum pasti kita perolehi, tapi bersyukurlah banyak2 dengan apa yang telah dan sedang kami miliki. Fikirkan bagaimana kami boleh berkongsi manfaatnya dengan orang lain. Kami mahu jadi manusia yang bersyukur....

Ya Allah...kami memohon keampunan kepada-Mu.

Tuesday, July 27, 2010

Anak2 Kita

Saya selalu menghantar mesej ringkas kepada anak2 buah saya yang remaja untuk bertanya khabar, memberi sedikit nasihat dan bertanya tentang perkembangan terbaru mereka. Baru2 ini saya menghantar mesej berbentuk nasihat supaya masing2 pandai menjaga diri serta berhati2 dalam setiap tindakan yang akan dilakukan. Semuanya membalas mesej dengan ucapan terimakasih tetapi di hujung mesej mereka bertanya semula kenapa saya menasihati demikian. Saya membalas semula - kerana hidup remaja pada hari ini penuh dengan dugaan iman dan pancaroba - pergaulan bebas, mendedah aurat sesuka hati, arak, rokok, dadah, hiburan melampau dll.

Saya menjadi sedikit terkejut lalu terfikir, agaknya anak2 buah saya dan ramai remaja di luar sana tak perasan pun akan kecelaruan kehidupan di sekeliling mereka sekarang. Sedangkan kehidupan hari ini umpama buaya lapar atau harimau lapar yang sentiasa menunggu untuk membaham mangsanya. Ya Allah....Sebagai seorang ibu, senario ini amat membimbangkan saya.

Menurut kajian terbaru UPM, 3/4 dari responden remaja Melayu di bandar dan di luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas, dengan kira2 85% daripada mereka yang melakukan perbuatan itu bukan sahaja tidak kesal, malu atau takut dari dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan (Sumber: Berita Minggu, 20 Jun 2010).

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat pula, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008 (Sumber: Berita Minggu, 25 Julai 2010).

Ya Allah...Kau peliharalah dan jauhkan anak2 kami dari akhlak yang buruk....Sebagai ibubapa, kita kena ada rasa cemburu dengan keselamatan anak2 kita tatkala mereka di luar bersama rakan2. Adakalanya kita telah mendidik mereka, tetapi mereka terjumpa rakan2 yang membawa pengaruh buruk lalu terikut2...dan terlalu banyak sebenarnya ruang2 keburukan dan kejahatan yang menanti anak2 kita. Na'uzubillah.

Marilah kita berusaha sesungguh hati untuk mendidik anak2 kita supaya tidak terikut2 dengan dunia remaja hari ini yang penuh dengan keseronokan untuk hawa nafsu. Selalulah kita berdoa kepada Yang Maha Memelihara, agar Dia memelihara dan menjaga kita dan anak2 kita dari godaan dunia yang menipu ini. Marilah kita didik hati kita dan anak2 kita supaya merasai adanya pandangan Allah walau kemana pun kita pergi.

Ya Allah...kepada-Mu aku memohon keampunan.

Friday, July 23, 2010

Puasa Dah Dekat, Mi..

"Kakak dah bau puasa la, mi".
"Ha'ah...umi pun, kak".
"Kalau nak azan kat tv tu lagi... 'muzik'nya ingatkan kakak bila waktu petang disiarkan waktu berbuka".

Betul, adakalanya saya sendiri pun seperti terbau seperti di bulan Ramadhan. Hanya Allah yang maha mengetahui...mungkin semua itu sebenarnya sebagai ingatan untuk kita bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi bulan tarbiyyah. Di bulan Rejab dan Sya'aban juga biasanya mulut pun selalu terasa pahit, makan tidak begitu berselera seperti di bulan2 yang lain.

Kakak ada berpuasa sunat sepanjang dua bulan ni...kawan2nya di sekolah pun ramai yang berpuasa sunat. Ustaz dan ustazahnya mengingatkan supaya banyak berpuasa dan bersolah sunat, lebih2 lagi UPSRnya akan dihadapi pada bulan September nanti. Ini yang saya suka dengan sekolah anak2 kami, ustaz dan ustazahnya sama2 mengingatkan kepada murid2nya tentang ibadah2 sunat.

"Yeaa...tak sabar rasanya nak puasa", kata abang dengan ceria pada suatu petang sebaik saja balik dari sekolah.
"Kenapa abang suka dengan puasa?", tanya ayahnya.
"Sebab ada bazaar Ramadhan..".
"Ya Allah...sebab tu abang suka bulan puasa? Teruknya!!", sampuk kakak.
"Hmmm...abang...abang... Bulan puasa ni kan bulan nak didik hawa nafsu, bukan nak ikut semua kehendak nafsu terutama nafsu makan", nasihat ayahnya.
"Yelahhh...".

Anak2 memang kena selalu diingatkan kenapa kita berpuasa. Nak marah pun tak boleh...apa kurangnya saya masa kecil dulu, jika bertanya pada mak, sayalah yang paling banyak kerenah di bulan Ramadhan...itu dulu...sekarang giliran saya untuk melayan kerenah anak2 berpuasa...:)

Ujian Sakit

Beberapa hari ni, rumah macam klinik...bunyi batuk kami sekeluarga silih berganti. Orang kata mungkin sebab banyak makan buah - rambutan, manggis, durian...tapi itu kata orang...abang yang paling teruk walaupun abang tidak makan walau sedikit pun buah2an tempatan yang sedang musim sekarang ni... Allah lah yang mengizinkan ianya berlaku walaupun abang tak makan buah2an itu. Kakak dah mula baik dari batuk dan selsemanya.

Semalam awal pagi ke klinik 24 jam cari ubat untuk Dik Yam yang dah mula batuk dan selsema...Dik Yam ni makan semua buah2an tempatan yang ada. Pagi2 pun dah mencari2 di bawah pokok manggis di tepi rumah, kalau2 ada manggis yang jatuh @ masak. Suka sangat dia dengan manggis.

Sampai di klinik, ada seorang pemuda tertidur sementara menunggu dipanggil masuk. Sakit sangat agaknya, kesian dia...dalam hati saya berkata. Tak lama tu dia terjaga, suami saya senyum dan menyapanya. Katanya dah 3 hari dia sakit perut, seperti banyak angin tapi angin tak mahu keluar. Dah habis ubat untuk keluarkan angin diminum, tapi belum juga baik,sakitnya bukan main, katanya.

Balik rumah, suami pula rasa lain macam di perut dan pinggangnya. Sepanjang malam dia tak lena tidur. Pagi tadi suami ke klinik....doktor kata ada angin dalam usus besarnya yang menyebabkan dia sakit dan tak boleh buang air besar seperti biasa. Doktor nasihatkan suami supaya tidak makan makanan berprotein, jadi hari ni suami hanya makan nasi dan sayur rebus. Subhanallah. Kami teringat pemuda semalam...mungkin itu juga yang dia alami.

Begitulah...sakit dan sihat adalah ujian. Jika sakit, Allah nak tengok adakah kita sabar atau mengeluh. Rasulullah telah mengingatkan kita, sakit adalah ujian dan jika kita sabar, ia akan menghapus dosa2 kita. Sihat juga ujian untuk kita. Apa yang kita lakukan sewaktu kita sihat? Dan semua itu akan ditanya sewaktu kita dihidupkan kembali kelak. Jadi, marilah kita gunakan peluang sihat untuk membuat perkara2 yang disukai Allah, agar kita tidak menyesal 'di sana' nanti.

Saturday, July 10, 2010

Cinta dan Kasih Sayang (4)

Suami ke Shah Alam 2 hari. Tinggallah saya dan anak2.

Mesej masuk pukul 11.47 malam, "Selamat malam, mi...".

"Selamat malam...rindu umi dan anak2 ke".

"Sentiasa...".

"Bestnya ada orang rindu....:)".

*****************

Kakak ada perkhemahan sekolah di pusat pertanian berhampiran rumah kami, 3 hari 2 malam. Saya rasa semua ibu akan merasai apa yang saya rasa...teringat anak yang sedang berkhemah bersama guru2 dan rakan2nya....Sedangkan pihak sekolah pastinya telah memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi.

*****************

Begitulah cinta dan kasih sayang yang Allah kurniakan kepada kita...kita akan cinta dan kasih kepada orang2 yang dekat dengan kita...suami/isteri, anak2, ibubapa, sahabat,....

Tapi cinta dan kasih sayang tidak bermakna jika tiada tanggungjawab. Bagaimana seorang suami kata dia cinta dan kasih kepada isteri dan anak2 jika makan pakai, pendidikan (terutama berkaitan Islam), dll terabai? Kita tidak boleh hidup dengan cinta dan kasih sayang semata2 tanpa tanggungjawab. Bagaimana seorang anak kata dia cinta dan kasih kepada ibubapanya andai ibubapanya tidak pernah diambil tahu sakit peningnya, makan minumnya, atau tidak mahu pun menerima nasihat ibubapanya?

Tapi sedalam mana pun cinta kita kepada suami/isteri, ibubapa, anak2,...ingatlah akan sabda Rasulullah saw yang bermaksud, "Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan manusia semuanya". (HR Muttafaq Alaih)

Sesungguhnya cinta terhadap Rasulullah saw hukumnya wajib bagi setiap Muslim lelaki dan wanita. Ini bermakna, cinta suami/isteri dan anak, harta dan kedudukan serta semua yang boleh dicapai oleh manusia dari perhiasan dunia itu tidak boleh menyamai cintanya seorang Islam kepada Rasulullah saw. Cinta tidak bererti jika hati kosong dan kehilangan cinta terhadap baginda.

Jika cinta kepada suami/isteri dan lain2nya akan melahirkan tanggungjawab, begitu juga cinta kepada Rasulullah saw. Bukti akan kebenaran cinta terhadap baginda adalah mengikuti sunnahnya, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan. Itu semua boleh dicapai dengan peng-Esaan yang murni terhadap Allah serta melaksanakan rukun Islam dan Iman. Memelihara pelaksanaan rukun Islam dan Iman ini secara benar adalah wajib hukumnya. Jadi, riba, mencuri, dengki, mengumpat, pengecut, bakhil, derhaka kepada ibubapa, memakan harta anak yatim, dan lain2 perkara yang sepertinya akan mengotori ibadah, mencegah datangnya rahmat, menghalangi seseorang dari hakikat iman dan menjadikannya tidak dapat merasai nikmat cinta terhadap Rasulullah saw.

Orang yang cinta kepada baginda mesti taat terhadap apa juga sunnahnya (ini termasuk cinta dan kasih kepada suami/istri dan anak2 kerana baginda adalah orang yang paling kasih kepada keluarganya) . Mengajak orang lain(berdakwah) untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya juga adalah bukti cinta yang sebenar.

Wajib bagi orang yang mengaku Islam dan beriman kepada hari akhirat untuk membuktikan cinta ini dengan bersegera dalam jihad dan berkorban demi kemenangan Islam dengan asas cintanya adalah cinta kepada Rasulullah saw.

Monday, July 5, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (5)

Assalamualaikum wbt....adik2 yang aku doakan kebaikan untuknya selalu. Apa khabar? Semoga kalian sihat hendaknya.

Alhamdulillah, segala puji hanya untuk-Nya, pemilik alam ini. Selawat dan salam untuk Rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Adik2ku, selamat kembali semula ke IPT masing2 selepas bercuti panjang. Semoga ada semangat baru untuk menuntut ilmu dan akan kalian gunakan untuk membangun ummah. Kepada adik2 yang baru masuk ke alam pekerjaan, selamat menempuh fasa baru dalam kehidupan. Bekerjalah sebaik mungkin. Sesibuk mana pun kita, jangan lupa hak untuk diri kita, hak untuk orang2 di sekeliling kita dan paling utama hak Allah yang mesti kita tunaikan.

Adik2ku yang aku kasihi, beberapa hari lepas ada seseorang remaja seperti kalian, menghantar mesej. Katanya dia terkejut dengan kehidupan sosial para pelajar sepertinya di tempat barunya. Nasihatku kepadanya juga kepada adik2 lain yang 'terperanjat' dengan keadaan sosial yang tidak soleh - kuatkan iman kalian. Hanya iman yang kuat dapat menghalang kalian dari terikut2 dengan kehidupan yang tidak sebagaimana Islam kehendaki.

Jadilah umpama ikan yang tidak masin dagingnya walau duduk di air masin. Pilih kawan2 yang baik. Siapa rakan kita adalah cermin kepada diri kita . Aku tahu kehidupan di IPT kerana aku telah melaluinya. Di situ kita ada pilihan, ke arah mana kita nak halakan kehidupan. Kita jauh dari ibubapa yang tidak tahu pun apa kita lakukan, samada perkara baik atau buruk. Tapi soallah diri kalian setiap kali melakukan sebarang tindakan - Allah sukakah? Ibubapaku gembirakah andai mereka tahu?

Adik2 yang aku ingati, berdoalah setiap masa. Sebagai manusia, kita banyak keinginan dan harapan. Keinginan dan harapan yang hanya akan kita perolehi dengan izin-Nya. Bagaimana kita yang tidak punya apa2 ini malas untuk berdoa sedangkan Allah lah Yang Maha Kaya? Dalam satu hadis qudsi Allah berfirman yang maksudnya 'barangsiapa yang tidak berdoa kepada-Ku nescaya Aku murka kepadanya' (Hadis qudsi riwayat 'Askari dalam kitab Mawa'id dari Abu Hurairah dengan sanad hasan).

Hadis riwayat Bukhari bermaksud 'Doa itu merupakan inti ibadah'. Berdoalah, adik2ku, baik di waktu senang dan tenang, apatah lagi di waktu kita susah. Janganlah pula kita hanya berdoa sewaktu susah tetapi melupakan-Nya di saat kita senang. Ingatlah Allah di waktu senangmu, mudah2an Allah akan mengingatimu di waktu kalian susah. Ingatlah juga, tanpa bantuan dan izin-Nya kita tidak mungkin mendapat nikmat dan kesenangan.

Jangan biarkan hari2 kita berlalu tanpa kita berdoa kepada Allah Yang Maha Pemurah. Berdoalah selalu agar langkah yang kalian bawa adalah langkah untuk mencari dan mengharap redha-Nya. Sebaik2 doa yang selalu Rasulullah saw baca adalah apa yang kita selalu baca di akhir doa - Ya Allah berilah kepadaku kebaikan di dunia dan akhirat dan jauhkan aku dari api neraka. Mintalah dengan sesungguh hati. Apa lagi yang kita harap jika bukan kebaikan kehidupan dunia dan akhirat kita? Kita amat memerlukan pertolongan Allah untuk melalui kehidupan yang semakin menguji keimanan setiap masa. Janganlah kesibukan kita menjadi alasan untuk kita tidak berdoa.

Berdoalah adik2ku...aku juga akan selalu berdoa untuk kebaikan kalian. Sekian dulu untuk kali ini. Jumpa lagi di surat akan datang, insyaAllah. Wassalam.

Monday, June 28, 2010

Cinta dan Kasih Sayang (3)

Saya sedang membaca salah satu daripada beberapa buku terbaru dalam koleksi - Kompas Cinta, penulisnya A. Ubaidillah Alias, penerbit RijalMedia (Saya membelinya di Pesta Buku Selangor yang sedang berlangsung sekarang sehingga 5 Julai '10).

Bahasa dan penerangan yang mudah untuk difahami. Saya membacanya kerana saya ada ramai adik2 angkat yang masih remaja dan sedang menempuh alam remaja yang penuh dugaan dan cabaran. Kadangkala saya menjadi tempat rujuk tentang soal hati dan perasaan. Saya pernah muda dan remaja, saya telah melaluinya, saya tahu apa rasanya. Cuma cabaran di masa kini lebih lagi kerana teknologi terkini menyediakan ruang tanpa sempadan. Rasanya buku ini juga sesuai untuk pasangan yang telah lama berumahtangga - untuk refresh apa yang telah bertahun dilalui di alam rumahtangga, juga sebagai panduan dalam menasihati anak2.

Dalam buku ini mengatakan :

Menurut hadis, orang yang sedang jatuh cinta lebih cenderung untuk selalu mengingat dan menyebut orang yang dicintai.

Maksud hadis : Barangsiapa yang mencintai sesuatu akan kerap menyebut tentang yang dicintainya.

Maksud hadis : Barangsiapa yang mencintai sesuatu akan menjadi hamba kepada yang dicintainya.

Ulama memperincikan dari hadis2 ini :
1. Lebih suka berbicara dengan yang dicintai dibandingkan dengan yang lain.
2. Lebih suka bersama dengan yang dicintai dibandingkan dengan yang lain.
3.Lebih suka mengikuti kemahuan yang dicintai dibandingkan kemahuan orang lain atau diri sendiri.

Siapa diri anda? Daripada persoalan ini, anda akan mengetahui siapakah sebenarnya yang anda cinta :

1. Allah dan Rasul-Nya kah yang dicintai?
2. Manusiakah yang dicintai?
3. Atau nafsu serakah yang dicintai?

Maksud hadis : Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah (HR Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)

Semoga cinta yang ada dihati kita adalah cinta yang benar, cinta yang hanya mengharap redha Allah semata2, bukan cinta yang berpaksikan hawa nafsu dan dorongan syaitan yang Allah laknat. Wallahua'lam.

Tuesday, June 22, 2010

Facebook

"Umi tak faham la, yah...kenapa semua gambar nak masuk dalam fb?", ada rasa sebuku di hati.

"Hmm...jangan tanya ayah...ayah tak buat gitu", jawab suami perlahan sambil mengunyah makanan. Hanya kami berdua ketika itu.

"Ye laa...kalau gambar dengan keluarga atau kawan2 yang sejantina, takpelah...ini gambar dengan bukan mahram, berdua je walaupun di tempat awam...Lepas tu bergambar kena nak berlaga pipi sebab guna kamera hp. Gambar macamtu pun nak masuk dalam fb!!", rasa hangat di hati belum hilang.

Suami tidak menyahut. Mungkin membiarkan saya sejuk sendiri lebih baik daripada dia menambah. Sebenarnya hati sedang hangat kerana baru sahaja terjumpa fb seseorang yang dikenali, bergambar dengan orang lain yang bukan mahramnya.

Hmm...ingatkan saya sudah mengenalinya, rupanya saya silap. Cuma untuk memujuk hati, percaya bahawa hidayah itu milik Allah...dan Allah akan beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki...

Zaman telah berubah. Facebook mengambil tempat album gambar yang menjadi kebanggaan sesetengah orang. Maklumlah, di situlah terhimpunnya gambar2 kenangan sepanjang hidup. Itu dulu...sekarang album gambar tak main lagi dah!! Semua gambar dah masuk dalam fb!! Lagi canggih, kan...semua orang di seluruh dunia boleh tengok...

Tapi apa perlunya semua gambar masuk dalam fb? Apa sebenarnya yang nak dikongsi dengan orang lain, lebih2 lagi jika ianya bercampur lelaki dan perempuan, dan tidak menutup aurat. Saya jarang membuka fb, saya tak minat melihat bermacam2 gambar...hanya sesekali teringin melihat perkembangan rakan2 sekolah atau semasa di UiTM, barulah saya menjenguk di fb, itu pun amat jarang saya meninggalkan apa2 pesan.

Tak mustahil jika ada ibubapa yang menyangka anak mereka 'baik2' belaka....kalau ibubapa yang tak mahir dengan internet dll, mana nak tahu pasal fb. Sedangkan anak2 dah berposing macam2 di fb!! Itu sebabnya, saya dan suami sering bercakap kepada teman2 rapat kami, rajin2 lah menjenguk ke fb/blog anak2. Sekurang2nya mereka akan tahu apa isi kandungan fb/blog anak2 mereka.

Kecanggihan teknologi yang ada amat bermanfaat jika betul cara penggunaannya, tetapi ia juga boleh disalah gunakan. Tepuk dada tanya iman. Buatlah apa saja kalau tak malu....

Sunday, June 20, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (4)

Assalamualaikum wbt. adik2 yang aku ingati selalu. Apa khabar? Lebih sebulan aku tidak menulis untuk kalian. Cuti sekolah banyak aktiviti keluarga yang kena diuruskan, tetapi kalian tetap dalam ingatan. Harapanku, semoga kalian tetap teguh dalam iman dan Islam-yang merupakan nikmat yang paling besar yang kita miliki.

Alhamdulillah...segala puji hanya untuk Allah pemilik sekelian alam. Selawat dan salam untuk Rasulullah saw serta para sahabat baginda yang telah berkorban segalanya untuk Islam.

Adik2 yang aku kasihi kerana-Nya, kecanggihan teknologi hari ini amat mengujakan-internet, fb,twitter,friendster, dll...semuanya di hujung jari. Seolah2 siapa yang tidak tahu semua itu seperti ketinggalan zaman. Tapi ingatlah, adik2ku, kecanggihan dunia tanpa sempadan yang sedang kita alami kini bukan alasan untuk aku dan kalian menggunakan sesuka hati.

Hatiku gerun membaca berita bagaimana gambar2 yang sepatutnya menjadi rahsia peribadi, tersebar dan ditatap oleh jutaan mata di seluruh dunia! Mereka yang menjadi 'mangsa' pula selalunya mempertahankan diri bahawa gambar2 itu adalah koleksi peribadi tetapi telah diceroboh oleh orang lain lalu disebarkan di alam siber!

Alangkah mudahnya pengakuan itu, adik2ku. Seolah2 tiada rasa bersalah di dalam hatinya dengan dosa2 yang sedang mereka lakukan....na'uzubillah

Adik2 yang aku ingati selalu, kecanggihan dunia siber kini bukan untuk disalah gunakan...tetapi malangnya itulah yang berlaku kini. Ada bermacam2 gambar yang tidak sepatutnya menjadi tatapan umum menjadi santapan mata. Begitu juga tulisan2 yang tidak sepatutnya menjadi bacaan orang lain, terpapar di skrin komputer yang boleh dibaca oleh semua orang.

Di mana hilangnya sifat malu yang amat berkait rapat dengan iman? Ada yang seperti berbangga dengan maksiat dan dosa yang mereka lakukan, lalu tanpa segan silu ia mampu ditatap oleh orang lain di seluruh dunia.

Perlakuan yang mengundang dosa bukan untuk dibangga2kan, adik2ku. Andai kita berazam untuk bertaubat, ia adalah perlakuan yang mesti kita simpan di lipatan sejarah hidup kita, dalam masa yang sama kita terus memohon keampunan-Nya. Tetapi, aku pasti, sesiapa yang menggunakan internet untuk tujuan yang tidak Allah redha, mereka sebenarnya bangga dengan dosa2 yang mereka lakukan...na'uzubillah.

Adik2ku yang aku harapkan kebaikan untuk kalian, aku tahu kalian tidak demikian. Aku tahu kalian adalah anak2 yang baik...tetapi aku masih mengharapkan kalian untuk tetap berhati2. Seperti yang pernah aku tuliskan dalam surat yang lalu, pilihlah rakan2 yang baik...yang menjaga solatnya, auratnya, hubungan dengan ibubapanya...

Selalulah berdoa dan bergantung harap pada-Nya agar kalian terhindar dari maksiat dan dosa. Hanya iman dan jiwa yang kuat sahaja yang mampu menepis keburukan dan kejahatan dalam kehidupan yang menghidangkan kita banyak pilihan - untuk jadi baik atau jahat. Rasailah pandangan Allah pada setiap perlakuan dan tindakan kalian...

Aku akan selalu berdoa yang baik untuk kalian. Sekian dulu, adik2ku. InsyaAllah, panjang umurku, aku akan menulis lagi untuk kalian. Wassalam.

Wednesday, June 9, 2010

Bacalah

Membaca adalah satu nikmat. Dengan membaca kita memperoleh banyak pengetahuan...tetapi dengan syarat apa yang kita baca itu adalah bahan bacaan yang memberi manfaat.

Suami saya tahu minat saya membaca, maka setiap bulan sekurang2nya sebuah buku baru akan saya dapat. Jika dia tidak sempat membacanya, saya akan berkongsi apa yang telah saya baca.

Anak2 juga suka membaca. Beberapa hari ni, abang menyelongkar semula susunan majalah kanak2 yang ada...dia pun dah mula merasai nikmat membaca...hingga kadangkala dia tidak perasan apa yang berlaku di sekitarnya. Dulu abang tak minat membaca, hanya kakak yang sejak pandai membaca amat suka membaca buku2 yang kami belikan untuknya. Alhamdulillah sekarang ni abang dah suka membaca. Untuk anak2 juga suami saya suka meraikannya dengan memilih dan membeli bahan bacaan yang baik dan sesuai dengan mereka.

Seorang rakan, surirumah seperti saya, setiap pagi jika dia turun ke dapur di tingkat bawah rumahnya, dia membawa sekali satu beg buku2 yang akan dibacanya sepanjang hari itu. Umurnya telah melebihi separuh abad, tetapi apa saja topik yang dibincangkan dia boleh 'masuk'...hasil dari minatnya yang suka membaca. Saya suka bercakap dengannya kerana maklumat dan ilmu yang ada padanya bersifat kontemporari walaupun dia hanya surirumah.

Bacalah...Itu juga yang mula2 Allah serukan kepada manusia. Banyak yang akan kita perolehi dengan membaca. Percayalah.

Thursday, June 3, 2010

Sama2 renungkan....

Salah satu hadis yang selalu saya ingat adalah hadis yang bermaksud 'Setiap anak itu lahir dengan fitrah (suci bersih), maka ibubapanyalah yang mencorakkan anak mereka menjadi yahudi, nasrani atau majusi". Hadis ini saya tahu sejak di sekolah rendah dan ia kekal sehingga kini - lebih2 lagi setelah mempunyai anak sendiri.

Untuk mendidik anak supaya tidak menjadi yahudi, nasrani atau majusi, dalam kehidupan yang serba menguji iman hari ini, bukan sesuatu yang mudah. Hati ini sering gundah gulana terutama dalam senario kehidupan remaja hari ini yang kita baca dan kita lihat. Dekatkah kita dan anak2 dengan Allah? Fahamkah kita dan mampukah kita untuk memahamkan tentang Islam yang sepatutnya menjadi 'way of life' bagi setiap yang mengaku Islam itu agamanya?

Membaca tulisan ustaz Hasrizal di dalam blognya tentang bagaimana yahudi mendidik anak2 mereka seawal usia 3-4 tahun untuk memusuhi penduduk Islam Palestine, membuat saya termenung dan menyoal diri sendiri-apa yang aku telah lakukan untuk anak2ku mengenal Islam, Allah dan Rasul-Nya?. Setiap anak yahudi dididik untuk menjadi yahudi sejati, menjadi tentera yahudi yang wajib mempertahankan 'bumi Israel' dari orang Arab dan Islam yang dianggap oleh mereka sebagai anjing.

Marilah kita kembali kepada kekuatan iman, taqwa, akhlaq, sabar dan pergantungan kepada Allah swt dengan bersumberkan asas kekuatannya iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah. Inilah kekuatan hakiki yang paling ditakuti oleh yahudi.

Tuesday, May 25, 2010

Kenduri kahwin

"Mi, cuba umi tengok kakak tu, lain sangat rupanya", kata kakak separuh berbisik.

"Hmmm....dalam Islam takde macamtu, kak. Yang wajib tu nikahnya....bersolek, bersanding, makan beradab...semua takde dalam Islam", saya menjawab juga separuh berbisik. Kakak mengangguk faham.

"Adik tak suka la bunyi bising tu! Kenapa ada bunyi macam tu, Mi? Kalau nasyid untuk Palestin tu adik tahu la...", dik Yam pula merungut tentang muzik karaoke yang bisingnya menyakitkan hati dan telinga.

Sesekali ada kenduri kahwin di rumah saudara dekat, inilah dilema yang sering kami hadapi. Banyak yang kami kena terangkan kepada anak2 apa sebenarnya yang dituntut dalam Islam tentang majlis perkahwinan. Biasanya kedatangan kami hanya untuk memenuhi undangan yang wajib kami penuhi. Jika terpaksa berlama2 di situ, saya lebih senang untuk memilih berada di dapur tuan rumah. Banyak kerja2 di dapur yang boleh saya bantu.

Tuan rumah kata bunyi2an itu untuk hiburan penduduk kampung yang datang 'rewang' (gotong royong) membantu menjayakan majlis. Ini saya biasa dengar dari orang lain juga...Sedih selalu bertamu di hati...perkahwinan yang sepatutnya dimulakan dengan perkara2 yang baik2 sahaja dicemari dengan perkara2 yang sebaliknya...Orang kata kalau orang muda yang berkaraoke tu patut la juga sebab itu 'nature' biasa orang muda, tapi kalau dah beruban pun teringin juga nak berkaraoke...hmmm....tak tahulah apa nak jadi....Karaoke ni buat semua orang 'perasan' suara mereka sedap!!.

Marilah kita belajar untuk memahami Islam dengan lebih jelas. Islam yang ada pada kita bukan sekadar sembahyang, puasa, zakat, haji....tapi Islam itu cara hidup.

Monday, May 17, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (3)

Assalamualaikum adik2ku. Lama rasanya tidak menulis untuk kalian. Semoga kalian tetap teguh dalam kebaikan.

Puji2an hanya untuk-NYA. Selawat dan salam untuk baginda Rasulullah saw, para sahabat dan keluarga baginda.

Adik2ku,

Aku mengenali kalian sebagai anak2 yang menjaga solatnya, baik akhlaknya, kasih kepada ibubapanya. Kekalkanlah semua kebikan itu adik2ku. Dalam dunia yang serba mencabar untuk kalian yang masih remaja ini, keteguhan hati amat dituntut untuk terus berada dan melakukan kebaikan. Ia tidak mudah, kerana ganjarannya syurga, tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan.

Ada beberapa perkara yang boleh membantu untuk kita terus berhati teguh melakukan kebaikan. Pertama, dampingilah al-Qur'an kerana ia adalah sumber utama yang menumbuh dan meningkatkan keteguhan dalam jiwa. Firman Allah dalam surah an-Nahl : 102 yang bermaksud : Katakanlah (Muhammad), Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan al-Qur'an itu dari Rabbmu dengan benar, untuk meneguhkan hati orang2 yang telah beriman dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang2 yang berserah diri (kepada Allah). Al-Qur'an adalah Kalam Allah, rasailah nikmat Allah berkata2 kepada kita melalui ayat2 yang kita baca.

Kedua, sabar dalam melakukan kebaikan. Ada ketikanya kita seumpama menongkah arus. Kebaikan yang kita lakukan kelihatan janggal dan pelik di mata manusia. Ingatlah adik2ku, bukan nilaian manusia yang mengatakan sesuatu itu baik atau buruk, tetapi nilaian Allah. Biarkan manusia berkata2 apa mereka suka, tapi tetaplah dengan kebaikan yang Allah dan Rasul-Nya kehendaki. Kita tidak upaya untuk menutup mulut manusia. Tapi yakinlah Allah akan bantu kita untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah dalam surah Ibrahim : 27 yang bermaksud : Allah meneguhkan orang2 yang beriman dengan kalimah thayyibah (ucapan teguh) dalam kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang malas melakukan kebaikan dan lebih senang mengikut ajakan hawa nafsunya akan sukar mempertahankan keteguhan hati dan jiwanya jika diuji. Sebaliknya, orang yang sentiasa memelihara dirinya untuk melakukan kebaikan akan memiliki keteguhan hati dan jiwa saat ujian datang melanda.

Ketiga, hayatilah sirah (perjalanan hidup) Nabi saw serta para sahabat, agar dengannya kita mampu mempelajari bagaimana baginda serta para sahabat itu sentiasa teguh hati dan jiwanya. Dalam surah Hud : 120 yang bermaksud : Dan Kami ceritakan kepadamu kisah2 setiap Rasul agar dengannya Kami teguhkan hatimu, dan dalam berita itu telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang2 yang beriman".

Keempat, berdoalah selalu kepada-Nya agar terus dipelihara hati dan jiwamu agar tidak hanyut dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini. Doalah dengan sesungguh hati. Allah itu suka jika kita berdoa dengan bersungguh2. Yakin bahawa Allah mendengar dan akan memakbulkan doa2 kita. Rajin2lah bersolah sunat supaya dengannya kita akan sentiasa dekat pada-Nya dan DIA akan mencintai kita.

Adik2ku, aku juga turut mengingatkan diriku dengan tulisan ini kerana aku juga manusia biasa yang adakalanya diuji dengan kelemahan jiwa dan hati.

Aku akan selalu mendoakan kalian. Sekian dulu adik2ku, semoga Allah mengizinkan aku untuk mengutus surat lagi kepada kalian. Jaga diri dan kesihatan kalian agar mudah untuk melakukan ibadah. Wassalam.

Tuesday, May 11, 2010

Komunikasi itu Penting (2)

Sewaktu suami saya bercadang hendak membeli rumah yang kami duduki sekarang, saya kurang setuju. Ia jauh dari teman2 rapat yang semuanya tinggal di bandar. Ia juga 25km jauhnya dari sekolah yang bakal kami masukkan anak2 ke situ.

Suami memujuk,"Sekolah anak2 umi jangan bimbang, ayah janji ayah yang akan uruskan", jadi dengan rasa berat hati saya bersetuju untuk suami membeli rumah ini...itu pun selepas banyak kali perbincangan di antara saya dan suami dan solat2 istikharah yang kami lakukan agar Allah memberkati pilihan kami.

Hari ini, kakak dah masuk tahun 6 dan abang dah masuk tahun 3 di sekolah yang jaraknya 25km dari rumah...dan suami saya tidak memungkiri janjinya. Apa juga urusan yang berkaitan sekolah anak2, dia dulu yang akan mengambil tanggungjawab. Kadang2 saya tahu dia sibuk, dan saya pasti menawarkan diri untuk membantu, "Takpe, mi, ayah masih boleh jemput anak2...sempat lagi". Hinggakan seorang rakan sekerjanya pernah berkata padanya, "Bagusnya awak...kalau saya dan suami, kami bukan berlumba nak jemput anak sekolah tapi berlumba2 untuk tak jemput anak...", bunyinya seperti bergurau tapi betul.

Cuma jika ada perkara yang benar2 mendesak, suami akan meminta saya menguruskan anak2 yang bersekolah...itupun selepas dia memastikan kereta dalam keadaan selamat, ada minyak, ada air, dll.

Komunikasi tidak boleh berhenti dalam sebuah rumahtangga. Besar atau kecil sesuatu perkara itu bukan ukuran, tapi kedua2nya mesti ada perbincangan kerana adakalanya perkara yang kelihatan kecil pada asalnya, bertukar menjadi satu masalah yang besar jika tiada perbincangan untuk menyelesaikannya sejak dari awal lagi.

Suami adalah ketua tetapi ini tidak bermakna suami boleh buat apa sahaja keputusan tanpa perlu berbincang dengan isteri. Isteri pula tidak sepatutnya mendominasi dalam rumahtangga. Dia kena tahu, suamilah ketua. Kadangkala suami hanya bersetuju sahaja dengan keputusan yang isteri buat untuk mengelakkan pergaduhan....tapi isteri jangan terus mengambil kesempatan....jika ini berterusan, tidak mustahil suatu masa nanti, anak2 tidak mahu lagi mendengar/menerima teguran ayah mereka...mereka beranggapan ayah mereka lemah kerana semua keputusan sebelum ini ibu mereka yang putuskan.

Ada pasangan yang akan bernikah, bakal suami dah mula mengongkong, sedangkan sebelum ini, semunya "tak apa....boleh" - kenapa begitu?

Sunday, May 9, 2010

Cerita Dulu2


Cerita 1


Seorang rakan sedang dalam perjalanan menaiki bas ekspres malam untuk balik ke kampung halamannya di Pantai Timur dari Shah Alam. Tempat duduk belakangnya diduduki oleh seorang yang kelihatannya seperti orang Bangladesh.


Rakan saya duduk di tepi tingkap, begitu juga mamat Bangla di belakangnya. Sedang dia lena dibuai mimpi, tiba2 terasa seperti ada sesuatu merayap2 di atas baju lengan kirinya. Darahnya menyirap bila dia mendapati benda yang merayap2 itu adalah tangan mamat Bangla di belakangnya tadi. Dia pun apa lagi, membungkus penumbuk tangan kanannya dengan 'sweater' yang kebetulan tidak disarungkan ke badan....berdiri....pusing belakang....lalu menumbuk bertubi2 di muka mamat Bangla tersebut. Mamat Bangla terkejut bukan main, begitu juga orang2 yang duduk sebelah menyebelah rakan saya dan mamat tersebut. "Biasa ni! Biasa ni! Kurang ajar! Takde kerja lain?", bebelnya sambil menumbuk mamat tersebut. Puas menumbuk, dia duduk semula dan menyambung tidurnya.


Katanya kepada saya, dia pun tak pasti bagaimana dia boleh bertindak sekasar itu, tapi saya menambah memang patutlah mamat tu kena penumbuk. Rasanya taklah sakit mana, tapi malu!!! Padanlah muka Bangla tu.


Sampai di tempat yang dituju, rakan saya ni bangun dan menoleh ke tempat mamat tu duduk, mamat tu tutup muka dia dengan baju tebalnya. Tahu malu rupanya....yang duk raba anak dara orang tak la pula rasa malu...Rakan saya pun tak kuasa nak bergaduh lagi dengan mamat tu, dia pun turun cepat2 kerana abangnya sedang menunggu di bawah.


Cerita 2


Waktu tu saya bujang. Saya sedang berjalan di kaki lima kedai2 di Muar untuk menuju ke kedai buku. Tiba2 entah dari mana mamat ni muncul, dia menyapa saya, "Dik, boleh tolong tak?".


Saya menoleh kepadanya tanpa senyum sambil bertanya, " Apasal?".


"Saya ni, nak bertunang, boleh tak cik adik tolong saya pilih cincin untuk bakal tunang saya tu?".


Darah dah naik kepala, apahal mamat ni...dia yang nak tunang, aku pulak yang tak ada kena mengena nak kena pilihkan cincin untuk bakal tunang dia? "Pilih la sendiri!!", kasar saya menjawab sambil menonong pergi. Yang pasti mamat tu terpinga2 mendengar jawapan kasar saya.


*****************


Bila diamat-amati, kesilapan ada berlaku kepada saya dan rakan saya tadi - kami berjalan sendiri tanpa teman. Dalam Islam, seorang perempuan hendaklah berjalan bersama dengan mahramnya jika ia keluar rumah. Ini adalah untuk mengelakkan seperti yang kami alami.


Kami menutup aurat tetapi masih ada orang yang hendak mengganggu kami. Tapi kita kena ingat, kadangkala manusia jadi jahat jika ada peluang. Seperti mamat Bangla tadi, mungkin dia merasakan waktu tu semua orang sedang tidur, jadi apa salahnya dia cuba peluangnya...mungkin pada fikirannya, mana tahu kalau2 perempuan yang dirabanya tu pun suka...tapi dia salah orang, puas dia 'makan' penumbuk rakan saya tadi. Mamat yang nak bertunang tadi tu pun, mungkin dia betul2 nak bertunang, tapi apa salahnya dia ajak orang lain untuk temankan dia? Hmmm...salah orang...saya bukan manusia jenis yang suka berpeleseran atau berkawan dengan lelaki yang entah sapa2!!


Cuma teringat, banyak berita dalam suratkhabar tentang anak2 gadis yang menjadi mangsa oleh orang2 yang baru saja dikenali, kadang2 hanya baru 'terjumpa' di perhentian bas, dah boleh ikut kemana sahaja lelaki itu bawa....akhirnya esok lusa dah jadi tajuk dalam akhbar.


Sebenarnya, kita sendiri yang kena cemburu dengan keselamatan diri. Kita sendiri yang kena bertindak untuk selamat....adakalanya keluar berteman pun masih berlaku juga perkara2 yang tidak suka untuk didengar. Tepuk dada tanya iman.

Friday, April 30, 2010

Saling Memahami

"Kenapa 3-4 hari yang lepas umi banyak diam? Cakap dengan ayah pun taknak pandang muka ayah. Ayah tengok umi pun umi pandang tempat lain?", suami bertanya lembut.

"Entah...rasa malas nak tengok ayah dan malas nak cakap banyak...tapi hari ni dah tak rasa gitu...ok dah".

"Marah dengan ayah ke?".

"Tak la, yah...cuma malas nak cakap. Umi rasa bukan umi sorang yang rasa macam ni...kakak2 umi pun ada cakap, kawan2 perempuan umi pun ada cakap kadang2 dia orang pun rasa malas nak cakap dengan suami masing2...bukan marah...cuma tak rasa nak cakap banyak macam selalu. Umi rasa semua ni berkaitan dengan hormon orang perempuan. Dulu dalam seminar keluarga yang umi ikuti, ahli panel tu ada cakap orang perempuan ni kaya dengan hormon".

"Ye? Takpelah...ayah tanya je...sebab ayah rasa ayah tak buat sesuatu yang patut buat umi marah. Jadi kalau berlaku lagi macam tu, apa ayah patut buat?".

"Ayah buat macam biasa...tapi jangan banyak cakap dengan umi macam selalu, sebab waktu tu memang tengah malas nak cakap...nanti lama2 baik sendiri...cuma ayah kena sabar, lagipun ia cuma 2-3 hari...".

"Ok, ayah faham".

**********************

Dalam satu seminar keluarga yang saya ikuti, ahli panel (seorang doktor lelaki) menasihatkan para suami supaya memahami isteri2 mereka. Katanya, semakin usia meningkat, tahap hormon akan berubah dan ini akan mempengaruhi emosi. Suami kena memahami emosi isteri dalam keadaan tertentu seperti sewaktu sebelum, sedang dan selepas haid.

Perbincangan di antara suami dan isteri tidak akan berhenti selagi kedua2nya masih suami isteri, walau sesulit mana pun perbincangan itu.

Saya bersyukur dan rasa beruntung kerana suami saya seorang yang suka untuk di bawa berbincang. Kami sering berbincang tentang banyak perkara.

Isteri kena tahu apa keperluan suami dan begitu juga sebaliknya. Pemahaman ini akan hanya berlaku melalui perbincangan. Jika masing2 tidak tahu apa kehendak /keperluan pasangan, bagaimana keharmonian akan wujud? Bila tiada keharmonian dalam rumahtangga, ia juga akan turut menjejaskan emosi anak2. Masalah wujud di mana2, tapi ia bergantung kepada bagaimana kita berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Hari ini, jika diamat-amati, ramai pasangan yang tidak mahu berbincang secara serius tentang masalah di dalam rumahtangga. Mungkin masing2 beranggapan masalah2 itu kecil dan akan selesai sendiri dengan berlalunya masa. Mereka lupa masalah2 kecil ini bila dibiarkan pasti ia akan menjadi lebih besar. Lebih malang lagi jika suami dan/atau isteri itu akan mencipta masalah lain di luar lingkungan rumahtangga mereka. Jika ini berlaku, keadaan pasti akan menjadi lebih rumit.

Suami adalah orang yang paling utama kena sabar dalam rumahtangga, kerana dia ketua...tapi ini bukan bermakna isteri mengambil kesempatan atas kesabaran suami (nasihat untuk diri sendiri!!). Bayangkan jika suami tanpa usul periksa terus melepaskan kemarahan kepada isteri jika mendapati isterinya bersikap acuh tak acuh kepadanya, pergaduhan pasti berlaku.

Di samping perbincangan, kita juga boleh memahami pasangan kita melalui pembacaan. Hari ini, banyak buku2 yang baik yang boleh kita jadikan panduan dalam melayari bahtera rumahtangga.
Jangan lupa berdoa, ini yang sering kita lupakan. Allah Yang Maha Memberi, berdoalah dengan sesungguh hati agar rumahtangga yang kita bina itu sentiasa ada mawaddah wa rahmah. Wallahua'lam.

Sunday, April 18, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (2)

Assalamualaikum adik2ku. Aku mengharapkan kalian sihat dalam melalui tugas dan tanggungjawab kalian sebagai hamba-Nya. Hidup ini adalah ibadah, tidak kira samada kalian masih belajar atau telah bekerja. Ingatan kepada-Nya adalah seumpama degupan jantung yang tidak berhenti mengepam darah ke seluruh anggota badan kita....agar dengannya, kalian akan berhati2 dalam memilih jalan yang akan kalian ikuti.

Adik2ku yang selalu aku rindui,

Dalam surah as-Syam : 8-10, Allah berfirman yang maksudnya, "maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya". Ini bermakna, kita yang memilih samada jalan kejahatan atau ketaqwaan, kita yang memilih untuk derita atau bahagia 'di sana'.

Begitu juga dalam surah al-Balad : 10, Allah berfirman yang maksudnya, " Dan Kami telah tunjukkannya dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan).

Wahai adik2ku, di sisi kita hanya terdapat dua jalan, tiada jalan ketiga sebagai pilihan.

Jalan Pertama - jalan yang luas terbentang di hadapan. Penuh dengan keteduhan. Jalan yang terang benderang dan elok sekali. Dipagari jalan tersebut dengan keindahan bau2an. Di sekelilingnya penuh dengan kecantikan. Permulaan jalan itu ialah keyakinan dan keimanan (terhadap Allah). Tahap2nya ialah istiqamah dan ketaatan kepada ar-Rahman. Penghujungnya ialah syurga dan keredaan Allah.

Jalan Kedua - jalan yang gondol, terasing sunyi, penuh dengan kegelapan dan membinasakan. Permulaan jalan itu ialah bantahan dan keingkaran kepada Allah. Tahap2nya ialah kemungkaran dan kemaksiatan. Penghujung jalan itu ialah neraka yang menyala2 serta kemurkaan Allah.

Namun realiti hari ini, adik2ku, jalan kedua yang sering menjadi pilihan. Pandangan mata hati telah dikaburkan dengan pandangan nafsu. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat, malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi satu kelazatan. Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan.

Aku tahu, adik2ku, jiwa muda sentiasa bergelora untuk mencuba sesuatu yang 'baru'. Malangnya sesuatu yang baru itu selalunya adalah apa yang bertentangan syara'....ada yang ingin mencuba rokok, dadah, arak, malah ada yang lebih dari itu (untuk menuliskannya di sini pun aku amat takut!!)....na'uzubillah...yang semuanya mengundang murka Allah. Lebih tenat lagi, apabila jiwa manusia menolak ubat dan sukakan penyakit. Bukankah mengikut hawa nafsu itu penyakit? Tapi inilah yang berlaku hari ini, adik2ku. Sedarkah kalian?

Adik2ku yang aku ingat selalu,

Abdullah al-Mubarak telah berkata - aku dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu, adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.

Hari ini manusia gembira dengan dosa yang mereka lakukan. Hingga ke satu tahap, ada yang berkata sinis,"kalau Allah marah aku berbuat dosa, kenapa Allah tidak hukum aku sekarang? Hidup aku masih seperti biasa...gembira, banyak harta, apa yang aku mahu semua dapat...". Astaghfirullah...aku hanya mampu beristighfar membaca kenyataan ini, adik2ku.

Allah mengingatkan kita dalam surah al-Qiyamah : 36 yang bermaksud, "Apakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dipertanggungjawabkan)?.

Adik2ku, aku tinggalkan kalian dengan pertanyaan dari Allah itu. Sama2lah kita bermuhasabah diri. Apa yang aku tuliskan adalah juga ingatan untukku sendiri.

Sekian dulu adik2ku. Semoga Allah izinkan aku mengutus surat2 lagi untuk kalian. Aku akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian. Wassalam.

Monday, April 12, 2010

Berbelanjalah Di Jalan Allah

Saya melipat kain sambil menonton rancangan realiti yang memaparkan bagaimana sekumpulan peserta yang akan mencari orang2 yang sedang dalam kesusahan untuk diberikan bantuan samada dalam bentuk wang atau hartabenda. Satu kepuasan yang tidak boleh dinyatakan dengan kata2 setiap kali peserta2 tersebut dapat menyelesaikan misi yang telah diberikan kepada mereka. Ada di antara penyumbang kepada wang yang akan diagih2kan kepada mereka yang memerlukan adalah syarikat perjudian. Bagi mereka, tidak salah dan apatah lagi mereka memberikan kepada yang memerlukan.

Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Apa yang kita akan keluarkan sebagai sedekah/infaq adalah sesuatu yang suci dan halal. Dalam Islam juga yang haram dan yang halal itu jelas. Jadi hasil daripada judi atau apa juga harta yang kita perolehi dari jalan yang tidak halal, adalah tidak diterima, walaupun kita memberikan kepada yang memerlukan.

Saya hanya mengambil yang positif dari apa yang dipaparkan....kalaulah saya mempunyai duit yang begitu banyak, mungkin saya boleh melakukan yang sedemikian....

Seorang teman rapat juga berkata demikian,"...kalaulah akak ada duit banyak, bagus agaknya...boleh menyumbang banyak untuk orang2 yang memerlukan".

"Atau sebab tu Allah tak bagi kita duit banyak, mungkin bila kita ada duit banyak kita kedekut dan berkira2 untuk menyumbang...", kami sama2 senyum dan berfikir...

Bandingan (derma) orang2 yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap2 tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya....(terjemahan al-Baqarah : 261)

Jadi, apa tunggu lagi? Tidak yakinkah kita dengan janji Allah. Banyak atau sedikit bukan ukuran untuk kita bersedekah/berinfaq. Tidak perlu untuk kita menjadi hartawan/jutawan untuk menafkahkan sebahagian daripada harta yang kita miliki.

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya....(terjemahan Ali-Imran : 92)

**************
"Kakak, abang....nak derma tak untuk Palestin?".

"Nakkk...., umi ambil la daripada duit kakak dan abang yang umi simpan", kakak mencadangkan.

"Ye, mi...abang setuju", abang menyampuk.

"Adik?", adik Yam bersuara.

"Adik pun nak bagi untuk Palestin ke?".

"Nakkk...", adik Yam bersungguh2 mengiyakan pertanyaan saya.

"Okey, nanti umi ambil sikit duit adik Yam yang umi simpan ye...".

"Yeaaaa....", dik Yam seronok.

Isu Palestin adalah masalah umat. Ia berkait dengan keimanan kita. Syeikh Yusuf al-Qardawi ada mengingatkan kita bahawa menyokong penduduk Palestin di Gaza adalah kewajipan agama pada setiap Muslim dan tiada siapa dikecualikan dari tugas tersebut. Umat Islam mesti bersedia berkorban harta benda dan apa sahaja yang bernilai demi membantu saudara mara kita di Gaza.

Jika pembaca entri ini berhajat untuk menginfaqkan sebahagian wang mereka untuk Palestin, ia amat dialu2kan. Tuan/puan boleh memasukkannya terus ke dalam akaun Maybank atas nama Tabung Palestin Haluan, nombor akaun 564490208528, email : palestin@haluan.org.my