Tuesday, October 5, 2010

Haji

Musim haji datang lagi. Sana sini kedengaran siapa2 yang akan menjadi tetamu Allah. Kakak dan abang ipar saya akan berangkat ke Tanah Suci Mekah awal November, terus ke Mekah. Rakan blogger Aniisma juga akan ke sana bersama ibu tercinta dan adik lelakinya. Semoga semuanya selamat, menjadi tetamu Allah yang istimewa.

Kami berdua juga ingin ke sana. Saya rasa, semua orang Islam pun teringin ke Mekah menunaikan fardhu haji. Sering kedengaran orang berkata, "Pergilah waktu muda, masih sihat dan kuat". Tidak kurang juga yang asyik mempersoal mengapa kami berdua tak buat haji lagi. Biarlah...hanya Allah yang Maha Tahu, walaupun ada ketikanya kami menjadi sedikit tidak selesa.

Jarang juga yang mahu berkongsi sebagaimana Prof Dr Muhd Kamil berkongsi cerita di Mekah dan Madinah. Malah ada yang berkata, "Rezeki masing2 (dengan apa yang dialami di sana)" tanpa mahu bercerita lanjut. Dan yang paling biasa, "Orang yang belum pergi Mekah tak tahu macamana rasanya bila ingat dan rindu Mekah!!"...tentulah tidak tahu sebab kami belum melalui pengalaman itu.

Benarlah haji itu melengkapkan rukun Islam yang lima, tapi janganlah memandang orang lain yang belum menunaikan haji itu seperti belum lengkap hidupnya. Bukan sedikit yang telah menunaikan haji, bila pulang masih juga dengan perangai lama...masih cuai dengan tanggungjawab yang diberikan...atau jadi bertambah 'lesu'.

Mengerjakan haji - bukan sekadar perjalanan fizikal semata2, lebih utama ia adalah perjalanan hati dan jiwa dalam mencari keredhaan Allah, meletakkan diri sebagai hamba yang hina di sisi-NYA.

Hanya kepada-Mu Ya Allah kami mohon keampunan. Engkau Maha Mendegar doa2 kami. Engkau Maha Mengetahui isi hati kami. Kami hamba-Mu yang lemah. Hanya kepada-Mu kami harapkan pertolongan dan kekuatan. Hanya Engkau yang memakbulkan doa.

No comments: