Tuesday, December 22, 2009

Masa

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang2 yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran". (Terjemahan surah al-'Ashr: 1-3)

Dalam satu hadis Rasulullah saw ada mengatakan bahawa manusia selalu tertipu dengan masa sihat dan masa lapang. Kadang2 bila kita sihat dan kita lapang, kita tidak menggunakan masa sihat dan lapang itu dengan sebaik2nya. Kita sibuk dengan urusan dunia yang seakan tiada kesudahan...lalu tiba2 kita diuji dengan sakit dan waktu yang suntuk/sempit...maka datanglah penyesalan. Kala itu baru teringat bekalan apa yang akan dibawa jika dipanggil 'pulang'. Namun rahmat Allah sesungguhnya tidak pernah putus. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita, tetapi itu bukan alasan untuk kita melengah2kan masa untuk mendekatkan diri pada-Nya. Selagi kita bernafas, setiap detik adalah masa untuk kita mengingati-Nya. Gunakan ruang yang ada untuk sentiasa memohon keampunan dari-Nya.

Bukan masa kita sahaja yang kita kena jaga. Masa orang lain juga kita kena jaga. Sebagai contoh, kita berjanji untuk pergi bersama2 ke sesuatu tempat. Kalau kita terlewat, kita telah membuang masa sahabat kita yang telah datang tepat masanya. Atau seorang pelajar yang berjanji untuk berjumpa dengan pensyarahnya, tetapi gagal untuk menepatinya...bukan salah pensyarah andai waktu pelajar itu tiba, pensyarah tersebut telah pergi ke tempat lain atas urusan yang lain pula. Boleh anda bayangkan, jika anda terpaksa menunggu sehingga dua jam dari waktu yang dijanjikan? Atau anda akan ke satu tempat yang jauh, berjanji untuk bertolak selepas waktu subuh, tapi anda terpaksa menunggu sehingga matahari meninggi....

Orang yang menjaga masa akan memastikan, andai mereka keluar kawasan, pukul berapa bertolak dan pukul berapa sampai ke destinasinya. Ini kerana ia melibatkan waktu solat. Ada orang tidak kisahkan hal itu.

'Masa itu kehidupan', demikian pesan as-Syahid Hassan al-Banna untuk kita. Tidak berguna jam tangan yang berjenama dan mahal tapi tidak mampu untuk menjaga masa sendiri apatah lagi masa orang lain.

Thursday, December 3, 2009

Quran Saintifik

Telah hampir enam bulan saya membeli buku bertajuk 'Quran Saintifik : Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains' tulisan Dr. Danial Zainal Abidin, dan untuk selama tempoh itu telah berulang kali saya baca. Tulisannya mudah untuk difahami - kalau kita baca dengan hati dan minda terbuka dan dengan niat untuk lebih mengenali Pencipta alam ini.

Maha Hebatnya Allah Pencipta alam ini. Semuanya ada disebutkan di dalam al-Quran walaupun ketika ia di turunkan, kebanyakkan apa yang disebutkan belum berlaku - maka benarlah bahawa al-Quran itu mendahului zaman.

Seperti kata Prof. Mohamed Hatta Shahrom di kulit belakang buku ini - ia adalah buku yang mampu mengupas isu2 sains dan keagamaan dengan cara yang mempesona dan meyakinkan.

Bagi ibubapa, pasti ada soalan2 dari anak2 yang bertanyakan tentang alam ini @ tentang puasa @ tentang solat @ tentang aurat @ tentang kesihatan....yang adakalanya memeningkan kepala kita untuk menjawabnya....bacalah buku ini, insyaAllah ia dapat membantu kita memberikan jawapannya. Ia juga boleh dijadikan bahan perbincangan untuk halaqah keluarga.

Saya tiada apa2 kepentingan dengan buku ini, tapi saya ingin berkongsi nikmat membaca dan memahami apa yang tertulis di dalam buku ini....sekaligus ia akan menjadikan kita merasai akan Kehebatan dan Kebesaran Allah Pencipta alam ini. Subhanallah.

Wednesday, December 2, 2009

Zalifah Kasim

Beberapa bulan lepas, saya 'terjumpa' semula rakan karib ketika bersekolah menengah. Nama je satu kampung, tapi hampir 20 tahun kami terpisah kerana banyak sebab. Hari ini, kami sering berutus email dan bermesej di hp. Aishah Ismail namanya, telah berkeluarga dengan 3 anak, tapi anak2nya lebih besar dari anak2 saya kerana dia berumahtangga awal dari saya. Alhamdulillah, dulu berkongsi cerita remaja, hari ini kami berkongsi kisah anak2 yang mula meningkat remaja. Cepatnya masa berlalu!!

Sekarang ni pula, saya masih tercari2 di mana menghilangnya seorang rakan yang sama2 mengajar. Zalifah Kasim sama2 mengajar di Sekolah Menengah Buloh Kasap, Segamat, berasal dari Melaka. Kami berpisah pada April '94 kerana saya menyambung BAcc. di UiTM Shah Alam. Saya ada terdengar dia mengambil KPLD tapi tak pasti di mana. Suaminya bernama Sufian Ahmad (pernah mengajar di Sekolah Tinggi Segamat), anak sulungnya dipanggil Izzati.

Ada sesiapa yang mengenali Zalifah Kasim? Saya harap saya dapat bertemu dengannya semula. Kepada pengunjung blog yang ada sebarang maklumat tentang Zalifah, boleh hubungi saya melalui blog ini.

Sunday, November 22, 2009

Umpama Buih

Daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah saw bersabda :

"Hampir kamu akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa seperti pemakan2 mengerumuni ke atas satu hidangan".
Lantas sahabat bertanya: "Apakah kerana sedikit bilangan pada hari itu?".
Jawab baginda saw : "Malah kamu hari itu ramai tetapi seperti buih banjir. Di ketika itu Allah akan mencabut kegerunan dari seteru2 kamu terhadap kamu, di masa yang sama Allah akan mencampak ke atas kamu penyakit wahan".
Lantas sahabat bertanya : "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?".
Jawab baginda Rasulullah saw : "Cintakan dunia bencikan kematian".

Keterangan :

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Keadaan umat Islam hari ini menggambarkan kebenaran sabdaan Rasulullah saw itu.

Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang ramai, iaitu 1000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa2 lain. Mereka ditindas, disakiti, dibunuh, dll. Bangsa2 lain di seluruh dunia walaupun mereka berbeza agama tetapi mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.

Sebenarnya kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri iaitu dari penyakit 'wahan' iaitu 'cinta dunia' dan 'takut mati'. Kedua2 penyakit ini saling berhubung kait dan ia tidak dapat dipisahkan.

'Cinta dunia' bermakna tamak, rakus, bakhil, untuk mendermakan harta di jalan Allah. 'Takut mati' pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi kehidupan akhirat, serta tiada perasaan untuk berkorban dengan diri, harta dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah swt.

Tanda2nya :

1. Tamakkan harta. 2. Berlumba dalam perhiasan dunia. 3. Sukakan hiburan. 4. Sukakan perhiasan berlebihan. 5. Malas beramal ibadah. 6. Panjang angan2.

Bahaya2nya :

1.Materialistik menguasai. 2. Melemahkan amal Islam. 3. Kekerasan hati. 4.Hilang keberkatan di dunia. 5.Derita hidup di akhirat.

Rawatan2nya :

1. Bina kesedaran IMAN.

2. Fahami hakikat dunia dan akhirat.

3. Banyakkan ingati mati.

4. Tunaikan zakat/sedekah/infaq.

5. Bersifat qanaah dan bersyukur.

6. Waqafkan hidup untuk Islam.



Thursday, November 19, 2009

Kejayaan

Hari ni saya tumpang gembira dengan kejayaan rakan bloggers, Aniisma dan ahli kumpulannya yang berjaya membantu sebuah sekolah rendah berhampiran untuk mencapai kejayaan manis dalam UPSR. Sekolah Rendah Tebing Tinggi di anugerahkan di antara sekolah terbaik untuk kategori sekolah kurang murid dalam UPSR 2009. Tahniah, Ani.

****************

Saya selalu ditanya, "macamana Khadijah belajar?", setiap kali ada Hari Kecemerlangan sekolah anak2 kami. Allah izin, nama Khadijah sentiasa di tempat pertama sejak dia berada di Tahun 1 lagi. Tahun 5 dia masih di situ. Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah.

"Khadijah tusyen di mana?", itu juga yang sering ditanya.

Kami tidak menghantar anak2 ke kelas tusyen. Selain jauh di bandar Segamat, kami rasa kami boleh membantu anak2 mana yang patut.

Paling utama, kami tahu anak2 kami gembira di sekolah- gembira dengan ustaz/ustazah mereka, gembira dengan rakan2 mereka. Ustaz/ustazahnya lah yang banyak membimbing dan mengajar anak2 kami. Kami sebagai pelengkap.

Abang juga telah mula memperlihatkan kemajuannya. Penggal lepas tempat ketiga, penggal akhir ni tempat kedua, dan dia amat teruja untuk pertama kalinya dia naik pentas untuk mengambil hadiahnya. Kami tumpang gembira. Cuma dari segi emosi, banyak yang kami kena buat untuk abang.

Anak2 kami sebenarnya lebih banyak belajar di sekolah daripada di rumah. Kalau di rumah, kena digesa2 untuk belajar. Peperiksaan penggal akhir kali ini memang sengaja saya tak duduk membaca bersama mereka. Saya nak tengok usaha mereka sendiri.

"Umi dan ayah gembira kalau anak2 umi dan ayah berjaya dalam pelajaran. Tapi umi dan ayah lagi gembira kalau anak2 umi dan ayah jadi orang beriman", itu yang selalu kami ulang2 kepada anak2. Kejayaan tidak bermakna jika kita tidak menjadi mnnusia yang tunduk patuh kepada-NYA.

Ya Allah, jadikanlah kami orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.

Monday, November 16, 2009

Kucing

"Umiii...tengok ni, kucing masuk!", dik Yam menjerit di pintu depan semasa saya sedang di dapur, memasak.

"Suruh kucing keluar, dik...jangan pukul dia", saya memberi arahan.

"Adik dah suruh dia keluar, mi", dik Yam berlari ke dapur. "Kenapa kucing datang je, mi?".

"Dia nak makan, lapar".

"Tadi kan umi dah bagi", dik Yam tak puas hati.

"Alaaa...dia kan macam adik juga....kejap2; umi nak makan! Kejap2 lagi; umi nak minum!. Lepas tu nanti; umi, adik nak biskut!", saya bergurau. Dik Yam tersengih dengar usikan saya.

Saya taklah minat sangat dengan kucing, biasa2 je. Adik beradik yang lain sanggup turun longkang untuk selamatkan kucing, begitu juga suami saya. Sejak kami berpindah ke rumah sekarang, silih berganti kucing datang.

"Jangan bagi kucing masuk rumah! Umi taknak dia berak kencing dalam rumah! Yang susah nanti umi juga", saya memberi arahan. Jadi lah kucing2 tu tetamu yang cuma duduk di luar rumah. Tapi...MasyaAllah!!!. Menguji sungguh....suka hati dia je mana dia nak kencing. Kadang2 buka aircond kereta, pewangi kencing kucing yang kami hidu!!. Sarung je selipar, kaki terasa sejuk basah dan hancing!! Tu belum najisnya merata2 atas tanah sekangkang kera di luar rumah...Tuhan je yang tahu!.

Tapi selalu saya terfikir. Kucing2 ni ibaratnya manusia. Saya dah bagi makan sedap pun, masih lagi mengiau setiap kali saya atau yang lain buka pintu....meluru datang macam kelaparan sedangkan baru je habis makan. "Kucing ni tak kenyang2.....", selalu saya merungut. Seperti juga manusia, yang tak pernah berhenti meminta kepada-Nya, walaupun banyak sebenarnya yang dia telah miliki.

Harta, pangkat, jawatan yang lebih tinggi, dll...adalah di antara yang kita sering harapkan untuk kita perolehi. Maka kita pun tak putus2 merayu, memohon kepada-Nya untuk mendapatkan apa yang kita hajatkan. Begitulah manusia....maka benarlah sabda Rasulullah saw yang katanya manusia ni, kalau diberikan satu gunung emas pun, dia akan meminta satu lagi gunung emas. Tamaknya manusia yang tidak pernah rasa cukup.

Nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?...itu terjemahan ayat dari surah Ar-Rahman yang kita ulang2 baca. Kenapa Allah ulang2 ayat itu? Kerana Allah nak ingatkan kita tentang banyaknya nikmat yang Dia dah bagi kepada kita, tapi kita masih lagi minta macam2, lebih malang lagi kalau kita jadi hamba yang tak bersyukur!!. Subhanallah...banyaknya yang Allah dah beri kepada kita!!

Jangan jadi macam kucing tu, dah bagi makan pun masih kencing dan buang najis merata-rata. Kita ada akal untuk berfikir dan terus berfikir tentang kurniaan Allah...dan terus bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan tak putus2 kepada kita. Subhanallah...catatan ini lebih untuk mengingatkan diri sendiri.

"Jangan lupa ikan untuk kucing, mi", suami selalu mengingatkan saya setiap kali ke pasar.

Friday, November 13, 2009

Perubahan

"Ayah rasa, umi kena buat kad bank sendiri la. Bukan apa, kalau umi kena drive sendiri untuk kemana2, tak payah bawa duit tunai banyak", kata suami saya pada suatu pagi.

(Selepas saya berumahtangga dan menjawat jawatan surirumah sepenuh masa, saya rasa saya tidak memerlukan kad bank, walaupun dulu semasa bekerja, kad bank itu adalah salah satu benda yang mesti ada dalam dompet. Kad bank saya sekarang ialah suami saya...hehe...)

"Hmm...belum sampai ke situ, kut, yah. Macam kad kredit ayah tu, baru je kan. Ayah buat kad tu pun selepas ianya kita rasa betul2 perlu dan telah kita bincangkan bersama", saya membalas. Suami setuju.

Hidup kita sentiasa berubah. Keperluan dan kehendak selalunya berjalan seiring dengan perubahan masa. Kalau dulu kami rasakan tak perlu berkad kredit, tapi hari ini kami rasakan ia diperlukan (yelah nak beli artikel melalui internet mana boleh pakai tunai). Kalau dulu, kami rasa cukup dengan satu kereta, tapi hari ini kami perlukan kereta kedua untuk melancarkan perjalanan kehidupan kami (suami selalu outstation)....dan seribu satu macam lagi perubahan di setiap fasa kehidupan kita.

Cuma, kita perlu berfikir dengan perubahan2 yang kita akan buat dalam hidup. Ada perubahan yang perlu dan mesti buat, ada juga perubahan yang kita boleh memilihnya samada buat atau tidak.

Sebagai contoh, dulu kita faham sikit dengan Islam. Lalu, kita tutup aurat pun ikut apa yang kita faham, bukan ikut apa yang Islam hendak. Masa berubah dan kita berpeluang untuk lebih memahami Islam, maka ketika itu, kita wajib berubah. Kita pakai pakaian ikut apa yang Allah dan Rasul-Nya kehendaki, bukan lagi mengikut apa yang kita suka. Atau jika dulu semasa remaja, kita amat suka berlawak bodoh hingga boleh buat orang lain pecah perut...tatkala kefahaman Islam itu datang, ditambah dengan kita telah berkeluarga, kita wajib berubah....dan begitulah seterusnya.

Namun ada perubahan yang mesti kita jauhi. Kita jadi sombong dengan pangkat yang kita ada. Kita memandang hina orang susah dan miskin tatkala kemewahan singgah dalam hidup kita. Kita memandang rendah orang bawahan kita.Kita menukar corak hidup kepada cara hidup mewah tatkala kita diuji dengan wang ringgit yang banyak...sedangkan pangkat dan kemewahan itu seharusnya menjadikan kita manusia yang lebih tunduk kepada-Nya, kerana kedua2nya pasti akan ditanya di sana nanti.

Menoleh sebentar ke belakang, terlalu banyak sebenarnya perubahan dalam hidup kami - saya dan suami - sebelum dan selepas kami berumahtangga. Apabila dua manusia bersatu, atas ikatan perkahwinan yang sah maka perubahan yang berlaku sewajarnya menuju kepada perubahan2 positif bersama2, bukan dengan masing2 punya impian dan harapan sendiri2. Kena sentiasa ada ruang untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat. Paling utama, kedua2nya yakin hanya kepada-NYA disandarkan seluruh harapan dalam menangani setiap perubahan dalam kehidupan.

Monday, October 26, 2009

Tinggalkan Apa Yg Tidak Berguna

Dari Abu Hurayrah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah saw (yang maksudnya ) : "Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya". Hadis ini hasan diriwayatkan oleh Tirmizi dan orang yang lainnya beginilah.

Keterangan hadis:

Kebagusan/keelukan Islam bagi seorang adalah meninggalkan apa yang tidak berguna kepadanya bagi kehidupan dunia dan agamanya, samada merupakan perkataan yang sia2 atau perbuatan yang hanya menghabiskan waktu dan umur dengan sia2.

Melakukan sesuatu yang berguna, meninggalkan sesuatu yang tiada berguna : keduanya adalah baik dan disuruh. Meninggalkan sesuatu yang berguna, melakukan sesuatu yang tiada berguna : keduanya adalah keji dan tidak disuruh.

Rasulullah saw bersabda seperti menurut riwayat Abu Zar dalam Sahih Ibn Hibban sebagaimana yang disebut dalam suhuf Musa 'alaihissalam: Bahawa orang yang berakal mempunyai beberapa waktu , satu untuk bermunajat dengan Tuhannya, satu waktu untuk menghitung dirinya, satu waktu untuk memikirkan perbuatan Allah, dan satu waktu lagi untuk urusan hajatnya atau makan minumnya.

Seterusnya orang yang berakal janganlah berusaha melainkan untuk 3 perkara. Pertama: berbekal untuk akhirat. Kedua : bekerja untuk kehidupan. Ketiga : bersenang2 dengan benda yang tidak haram.

Orang yang berakal juga berkewajipan melihat zamannya, memelihara lidahnya. Sesiapa yang menghitung perkataannya dari amalnya, sedikitlah perkataannya kecuali pada perkara yang berguna.

Menurut riwayat Ummu Habibah yang dikeluarkan Tirmizi dan Ibnu Majah, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Tiap2 perkataan anak Adam adalah bencana atasnya, tidak baginya (iaitu tidak ada yang bermanfaat baginya) ; kecuali menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kejahatan dan ingat kepada Allah 'Azzawajalla.
(Rujukan Hadith 40, Mustafa 'Abdul Rahman)

Catatan ini lebih untuk mengingatkan diri sendiri yang dibacakan bersama teman2 rapat minggu lepas. Kita kena sentiasa diperingatkan kerana hari ini terlalu banyak peluang untuk kita melakukan perkara2 yang tidak berguna untuk dunia apatah lagi untuk akhirat. Contoh paling mudah televisyen / radio yang kita ada dengan pelbagai corak hiburan yang dihidangkan, yang melalaikan dan menghabiskan masa kita dengan sia2. Begitu juga keperluan untuk kita menjaga lidah dari percakapan yang sia2. Semua ini memerlukan kesungguhan dari dalam diri untuk menjaga perbuatan dan percakapan agar tidak menyusahkan kita, bukan sahaja di dunia tapi yang paling utama di akhirat nanti. Sama2 kita renungkan....

Tuesday, October 20, 2009

Risau

"Dah beberapa hari ni tak boleh tidur la..", adik saya meluahkan rasanya.

"Kenapa?".

"Teringat anak2 yang dah masuk peringkat remaja. Sekarang ni macam2 boleh berlaku", dia meluahkan kebimbangannya.

"Ya, betul tu. Kalau kita baca kat suratkhabar, hari2 ada berita yang berkaitan dengan masalah remaja. Itu tak masuk lagi tentang masalah keluarga yang macam2 ceritanya", saya menambah.

Pagi itu kami bersembang panjang tentang anak2. Adik saya berkahwin beberapa tahun awal dari saya, anak2nya yang 3 orang itu telah bersekolah menengah semuanya. Memang patut dia risau, tapi itu bukan alasan untuk saya rasa 'selamat' hanya kerana anak2 saya masih bersekolah rendah....kerana sesungguhnya kebimbangan saya telah bermula sejak saya mengandungkan anak sulung kami!!.

"Boleh tak agaknya anak kita nanti jaga diri dan kelakuannya bila dia dah mula duduk asing dari kita?. Dulu kita boleh jaga diri kita, dan hati kita juga daripada tergoda dengan perkara2 yang menyeronokkan. Boleh tak anak kita jadi macam tu agaknya?", adik saya hanya mendiamkan diri, berfikir barangkali.

"Sekarang ni kita rasa kita dah buat dan ajar anak kita apa yang sepatutnya. Orang lain ajar tak anak dia macam kita ajar? Ada orang sekolahkan anak di sekolah yang beraliran agama, dari sekolah rendah hingga ke universiti,....tiba-tiba bila anak itu habis belajar dan bekerja, jumpa dengan kawan yang kita pun tak tahu asal-usulnya....lagi berat kalau ia juga mula melibatkan rasa cinta", saya pula bimbang.

"Ya...orang bercinta pula bukan dengar nasihat orang, kan? Kalau orang nasihatkan dia, dia rasa kita nak menghalang kebahagiaan dia", adik saya menambah.

"Bukan tu je, kita takut anak kita juga terpengaruh dengan perangai atau tabiat buruk kawan2 yang ada disekelilingnya bila mereka dah duduk jauh dari kita. Dalam keadaan macam ni, iman je yang jadi penyelamat...tapi tahu tak kita sekuat mana iman anak2 kita selagi mereka tidak diuji dengan keadaan? Kita pun takkan nak anak kita duduk dengan kita sampai bila2, kan? Kita nak dia matang dan ada kehidupan yang bahagia dan sempurna suatu masa nanti. Anak2 kita sekarang ni cepat matang, tapi matang dari segi teknologi....apa benda pasal handphone, internet, komputer,....semua dia tahu. Tapi bab nak mengurus emosi, tak pandai. Banyak yang tak ikut pertimbangan yang waras. Semua main ikut hawa nafsu, seronok yang dipentingkan. Tak fikir pasal akibat dari setiap perbuatan", adik saya mengangguk setuju.

"Hari tu kakak dengan adik ada cakap pasal 'couple'2 kat sekolah. Aku curi2 dengar, adik tanya kakak...kalau dah jadi 'couple' tu, dia orang buat apa, kak? Kakak jawab 'entah'. Setakat ni, kakak dengan adik takde la kawan2 lelaki, masing2 nampak tak suka dengan benda2 ber'couple'2 ni, tapi bimbang juga. Sebab bab2 perasaan ni, sapa pun boleh hanyut...", adik saya bercakap sambil berkerut dahinya, bimbang sangat dia. "Si abang pula setakat ni nampak ok. Dia pun taknak berkawan dengan kawan2 yang cuma suka sembang kosong, sembang pasal motor tak sudah2", adik saya menyambung.

Lebih sejam kami bersembang hal ini. Kebimbangan itu tidak habis di situ, ia akan sentiasa ada dalam fikiran ibubapa yang prihatin tentang perkembangan anak2 dalam melalui pelbagai fasa kehidupan. Isteri tidak mampu bertindak sendiri, begitu juga suami. Suami dan isteri kena sentiasa berbincang tentang anak2. Ini bukan soal, " awak maknya, patutnya awaklah yang bagi nasihat dia, yang tahu dia kemana, ....". Ini soal "anak kita" bukan soal "anak awak".

"Aku risau anak aku, la, Lim. Masing2 dah besar, tak lama lagi dah nak sekolah jauh, pas tu kerja, nak kahwin pulak...", suami adik saya juga meluahkan perkara yang sama pada suami saya semasa mereka bertemu.

Ya Allah, berilah petunjuk-Mu agar kami sentiasa berada di jalan yang lurus. Ameen.

Friday, October 9, 2009

Untukmu Wanita

Saya baru habis membaca buku 'Untukmu Wanita' oleh ustaz Zaharuddin Abd.Rahman. Ianya sarat dengan ilmu yang mesti diketahui bukan sahaja wanita, tetapi juga kaum adam samada yang bujang ataupun telah berumahtangga....kerana para suami juga kena tahu banyak tentang hukum untuk diajarkan kepada isteri dan anak2 perempuan mereka.
Perkara yang disentuh dibahagian pertama buku ini adalah tentang aurat wanita. Bagi saya, isu aurat wanita adalah isu kontemporari yang perlu dibincang setiap masa. Kenapa? Kerana musuh Islam hari ini telah berjaya 'mendedahkan aurat' wanita2 Islam walaupun mereka berpakaian, dan ianya tidak akan berhenti setakat apa yang ada sekarang.
Saya pernah ke Masjid Putrajaya beberapa kali bersama keluarga. Di sana, sesiapa yang tidak menutup aurat dengan sempurna akan di minta untuk memakai jubah. Ada di antara wajah2 kurang senang apabila diminta untuk mengenakan jubah besar - mungkin baginya dia merasakan auratnya telah cukup ditutup tetapi kenapa masih diminta untuk memakai jubah yang disediakan. Jawapannya ada dalam buku ini. Kalau saya yang kurang ilmu ini yang tolong jawabkan, orang akan marah walaupun jawapan yang diberikan sama, jadi silalah hayati dan fahami dari apa yang disampaikan oleh ustaz Zaharuddin yang amat banyak ilmunya ini. Saya juga pernah ditanya adakah saya menonton drama/filem bercorak agama/dakwah? Jawapan itu ada dalam buku ini.
Bahagian kedua menyentuh tentang Wanita dan Munakahat, manakala bahagian ketiga menyentuh tentang Wanita dan Rumahtangga. Bacalah. Banyak yang kita akan tahu. Ketika membacanya, saya kena baca satu-satu supaya saya tidak terlepas pandang akan hal yang berkaitan hukum yang dinyatakan (saya ada kaedah sendiri untuk saya baca cepat ketika saya membaca, tetapi saya tak gunakan kaedah saya itu ketika membaca buku ini).
Bacalah dengan hati dan minda yang terbuka, insyaAllah kita akan dapat faedah yang banyak daripada buku ini, bukan di dunia sahaja, lebih2 lagi untuk kehidupan di sana.

Wednesday, October 7, 2009

Bila umur meningkat

Kali pertama jumpa uban di kepala, berderau darah, "Dah tua aku ni...". Tak lama lepas tu, setiap kali membaca al-Qur'an bertulisan kecil, kena buat adjustment beberapa kali dengan jaraknya, walaupun sebelum tu, okey je...memang sah lah, "Aku ni dah tua rupanya..".

Semalam ke kedai cermin mata untuk gantikan cermin mata yang dah berkurun tak berganti. Amoi muda kedai tu kata, " Akak ada sikit rabun dekat, ma..". Hmmm...ye lah tu.

Umur kita ni ibarat seguni pasir dengan lubang kecil di bawahnya. Pasirnya akan jatuh sedikit demi sedikit hingga menjadi kosong. Ini bermakna, setiap kali kita menyambut hari kelahiran, kita sebenarnya juga kian menghampiri saat kematian, yang semua orang tidak akan berupaya untuk menolaknya. Subhanallah.

Orang2 soleh sangat berhati2 dalam memanfaatkan umur mereka. Mereka berkata," usia itu pendek, maka jangan dipendekkan lagi dengan kelalaian".

Setiap dari kita akan ditanya umurnya dihabiskan (sedarlah wahai diri!!!). Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya, "Tidak akan berganjak kedua kaki manusia pada hari Kiamat sampai selesai ditanya tentang 4 perkara, iaitu tentang umurnya, untuk apa ia dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa ia dipergunakan, tentang hartanya di mana ia memperolehi dan untuk apa ia dibelanjakan, dan tentang ilmunya apakah sudah diamalkan". (HR Tarmidzi)

Dalam satu hadis lain yang maksudnya, "Sebaik2 manusia di antara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya. (HR Tarmidzi).

Dalam surah an-Nahl:70, Allah berfirman yang maksudnya, "Allah menciptakan kamu kemudian mematikan kamu. Dan di antara kamu ada yang dikembalikan pada umur yang paling lemah, supaya tidak lagi mengetahui suatu apa pun yang pernah diketahui. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa". Nyanyuk yang mengiringi ketuaan itu ditakuti Rasulullah saw hingga baginda selalu berdoa, " Aku berlindung kepada-Mu dari usia yang paling hina".

Tulisan ini lebih untuk mengingatkan diri sendiri, lebih2 lagi mengingatkan kekuatan tubuh badan yang mula berkurang, ada makanan yang doktor kata dah kena kurangkan, gigi yang dah mula kekurangan kalsium....bukankah itu mengingatkan kita tentang umur yang umpama pasir di dalam guni berlubang tadi? Keampunan dari Allah amat kita harapkan.


Tuesday, October 6, 2009

Hati oh hati...

"Orang yang tahu hatinya ada 'penyakit' dan dia berusaha untuk mengubat 'penyakit' hatinya itu, bermakna hatinya itu belum mati...kerana orang yang hatinya telah mati, dia tidak akan mempedulikan 'penyakit2' hati yang ada dalam dirinya...", inilah kata2 yang selalu disebutkan oleh seorang teman rapat setiap kali saya dilanda 'penyakit hati'.

Salah satu 'penyakit hati' yang sering saya hidapi adalah berkaitan dengan sikap manusia.

Teman ini pasti akan berkata "sabarlah...", setiap kali saya bercakap hal ini. Dan semalam, smsnya lebih panjang, " Tak kira siapa pun, nak jadi sabar bukan mudah. Kalau tidak begitu, tidaklah dikatakan bahawa menahan sabar itu satu perjuangan dan Allah beri ganjaran yang cukup besar. Sabar itu satu perjuangan dan orang yang berjuang itu dikasihi Allah. Maka kita perlu sentiasa berusaha untuk bersabar demi mempertahankan kasih Allah itu kepada kita. Melawan nafsu juga tanda kita berjuang. Marilah kita sama2 tumpukan jiwa kita untuk dapat kasih Allah dan jangan layan rasa sakit hati pada orang...mudah2an Allah hilangkan rasa sakit hati tu dari kita". Ada rasa pilu di hati...

Innallah ha maassobirin - sesungguhnya Allah bersama orang2 yang sabar. Sabarlah wahai diri....

Sunday, October 4, 2009

Kesiannya dia, mi..

"Mi, boleh la mi, kita mandi kat Gunung Ledang pagi ni...", abang tak jemu memujuk saya. Ayahnya hanya mendiamkan diri. Saya tahu itu strateginya...membiarkan saya dipujuk oleh anak2 andai mereka mahukan sesuatu. Suami saya tahu lama2 saya akan cair dengan pujukan anak2.... :(

"Umi dah penat la, bang. Dah 2 minggu kita tak henti berziarah...hari ni umi nak duduk rumah, umi nak lipat kain, umi nak masak...banyak kerja umi tak siap sepanjang hari raya ni", saya masih cuba mengelak, walaupun di hati kesian dengan anak2.

"Alaa..mi, boleh la mi...", abang merayu2 macam anak kecil.

Saya sengaja melambat2kan kerja, dengan harapan anak2 lupa nak mandi di Gunung Ledang....tapi tak berjaya...dengan rasa berat hati saya setuju.

"Ok, nanti ayah belanja umi makan", suami yang dari tadi mendiamkan diri, bersuara.

Grrrr....geramnya dalam hati, dia berjaya memujuk saya dalam diamnya...

"Memang la, sapa nak masak kalau dah pergi ke gunung tu...balik dah penat!", saya membalas.

Satu jam anak2 mandi bersama ayahnya. Saya malas nak mencecahkan kaki di air, hanya duduk di atas tikar 'tadabbur' alam sambil membaca.

Hari makin siang, makin ramai yang datang, suami memberi arahan untuk naik. Anak2 tidak membantah.

Dalam kereta kakak bersuara," Kesiannya mi, budak tadi tu..". Saya dan suami tahu apa yang kakak kesiankan.

"Betul, umi pun kesian. Memang la budak2 tadi tu masih kecil, tapi patutnya mak ayah dia orang yang tahu tanggungjawab dia orang untuk tutup aurat anak2 mereka. Umi dengan ayah tak sanggup dedahkan aurat anak2 umi dan ayah walaupun kakak, abang, dik Yam masih kecil", saya menerangkan kepada anak2.

"Biar baju anak2 ayah basah, kusyen kereta basah sebab baju basah, itu lebih baik dan hati ayah lebih tenang daripada ayah nak dedahkan aurat anak2 ayah", suami saya menyambung.

"Abang taknak mandi tak tutup aurat!", abang menyampuk.

"Adik pun..", dik Yam juga menyampuk. Kakak mengiyakan kata2 adik2nya.

Anak2 kami masih belum baligh, belum wajib untuk menutup aurat. Tapi kami seboleh2nya hendak membiasakan anak2 untuk menjaga auratnya walau di mana mereka berada, termasuk di tepi pantai atau di air terjun. Kami sentiasa berdoa kepada-Nya agar bila mereka dewasa nanti mereka akan istiqamah menjaga aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Bukan tidak biasa kami dipandang sinis dengan penutupan aurat itu....tapi peduli apa....bukan nilai manusia yang kami cari dan harapkan!!

Kalau bukan kita ibubapanya yang menitikberatkan soal penutupan aurat anak2, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Adakah kita akan membiarkan unsur2 luar yang mencorakkan cara pemakaian anak2 kita? Tak apa orang anggap kita kolot, tak ikut peredaran zaman, tak ikut fesyen semasa, dsb.....yang penting kita ikut apa Allah suka.

Thursday, October 1, 2009

Yang Mana Satu Kita?


Dalam satu majlis ilmu, kami diingatkan tentang 4 golongan manusia. Pertama, mereka yang ada harta dan ilmu dan sentiasa memikirkan kerja2 Islam. Kedua, mereka yang tidak mempunyai harta tapi ada ilmu dan sentiasa memikirkan kerja2 Islam. Ketiga, mereka yang ada harta, tidak mempunyai ilmu, dan lalai dengan hartanya. Keempat, mereka yang tiada harta dan tiada/kurang ilmu tapi sentiasa memikirkan kerja2 Islam. Golongan ketiga yang akan mendapat celaka, manakala golongan pertama, kedua dan keempat, insyaAllah mendapat keredhaan Allah. (Sesungguhnya, tiada yang kita harapkan selain keredhaan-Nya dalam meniti kehidupan ini!).
Kita mestilah memahami dari awal bahawa kita yang memerlukan Islam. Bekerja untuk Islam bermakna membersihkan diri dan jiwa, di samping menunaikan hak2 Allah ke atas kita. Allah akan memberi ganjaran untuk kita di akhirat kelak. Kita juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri kita sebenarnya adalah kerana pegangan kita kepada Islam. Kita tidak mempunyai apa2 nilai sekiranya tidak bersama Islam. Islamlah yang memuliakan kita.
Kerja2 Islam yang banyak tidak akan mampu kita pikul sendirian, justeru kita mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dalam satu kumpulan adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah saw : sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya).
Kita juga mesti memahami bahawa kerja2 Islam yang dilakukan adalah semata2 kerana Allah. Jalan yang dilalui adalah panjang dan jauh, penuh dengan kesukaran. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara2 yang tidak diingini dan neraka pula dilingkungi oleh perkara2 yang menarik syahwat.

Hanya kepada Allah kita memohon kekuatan.

Tuesday, September 29, 2009

Marhaban

Malam ni insyaAllah malam ketiga marhaban di taman perumahan tempat kami tinggal. Tahun lepas takde. Tahun sebelumnya ada. Kami boleh memilih untuk tidak ikut serta, tapi kami tidak pilih itu. Hari2 biasa selain hariraya, kami jarang ada di rumah setiap hujung minggu. Jadi inilah pilihan yang ada untuk kami merapatkan silaturrahim sesama jiran.

"Sapa yang baca doa tu?", saya terdengar seseorang bersuara tatkala doa dibaca selepas habis berselawat.

"Ustaz Halim", suara lain menyampuk.

"Ehh...bukan ustaz Halim la, encik Halim", suara ketiga kedengaran.

Saya yang berada berhampiran tersenyum. Apa tidaknya, selalu orang keliru adakah suami saya seorang ustaz atau bukan. "Ustaz Halim yang ajar accounting baca doa...hehehe", saya bergurau dengan suami selepas habis marhaban malam pertama. Suami hanya tersenyum. Seminggu sebelum raya, suami diminta untuk membaca doa dalam marhaban. Nampak simple, tapi kami berdua tetap mencari mana doa yang biasa dibaca dalam marhaban. Mujur di Johor banyak buku2 panduan untuk wirid dan doa, di situlah kami selak satu2 doa yang sesuai.

Di antara makna doa itu adalah agar kami semua diberkati oleh-Nya di sepanjang Syawal, dijumpakan lagi dengan Syawal akan datang dan paling utama ia mendoakan semoga Allah memberkati tuan rumah, melanjutkan umurnya dalam iman, mendapat rezeki halal dan dijauhkan dari rezeki yang haram...dan ia diaminkan oleh bilangan yang ramai. Subhanallah. Mana tahu ia bertepatan dengan para malaikat yang turut mengaminkan doa.......

Terasa di hati, marhaban kali ini kami lebih mengenali jiran2 kami. Alhamdulillah.

Monday, September 28, 2009

Keracunan

Balik dari sekolah semalam, anak2 tak sabar hendak bercerita apa yang berlaku di hari pertama sekolah selepas bercuti raya.

"Umi tahu, ramai kawan2 yang sakit perut kat sekolah tadi", kata abang sebaik sahaja ternampak wajah saya di dapur.

"Kenapa?".

"Keracunan makanan, mi!!", sampuk kakak, cepat2.

"Makan apa kat sekolah?".

"Makan sambal sotong. Tapi abang dan kakak tak makan sebab pedas. Jadi abang dan kakak tak sakit perut laaa...", abang menjelaskan.

"Semua tu dengan izin Allah. Pakcik kantin tu pun tak sengaja. Dah lima tahun kakak sekolah kat situ, ini kan kali pertama berlaku keracunan makanan, dulu2 mana pernah", saya tak mahu anak2 terus beranggapan negatif kepada pengusaha kantin di sekolahnya.

"Tadi kawan kakak kata kantin agaknya ditutup esok sebab keracunan ni lah..", kakak menyambung ceritanya.

"Dahhh...jangan percaya cakap kawan kakak. Tak baik buat andaian macam tu, nanti kita buat fitnah pula kat pakcik tu. Umi dan ayah pasti, pakcik tu bukan sengaja. Kita kan selalu jumpa pakcik tu solah kat masjid Kampung Jawa setiap kali kita singgah solah kat situ, kan. Orang yang jaga solah adalah orang yang baik. Orang baik tak akan buat tak baik kepada orang lain. Kita doalah kat Allah, perkara macam ni tak berulang lagi dan pakcik tu akan dapat masak makanan yang sedap macam selalu..", saya mengingatkan anak2.

Anak2 masih bersih hatinya. Kita ibubapanyalah yang menjadi pemangkin kepada bersih atau tidak hati mereka. Adakalanya mereka bercakap seperti orang dewasa tetapi mereka belum dapat memahami situasi sebenar. Memang, adakalanya mencabar kesabaran dalam kita hendak memahamkan anak2 akan sesuatu keadaan, lebih2 lagi anak2 kami, Allah izin, amat petah berkata2 seawal usia 3 tahun...saya dan suami lah yang mesti lebih petah dari mereka untuk menerangkan sesuatu!!

"Aduhhh...sakit perut ni, abang nak buang air besar, tapi bukan sebab makan sambal sotong, tapi sebab dari semalam abang tak buang air besar!!", abang berlari2 ke bilik air sambil memegang perutnya.

"Hmmm...abang, abang", kakak menggeleng2kan kepalanya melihat telatah adiknya.

Sunday, September 27, 2009

Cerita2 Hari Raya

Cerita 1

Kami beraya ke rumah Prof. Dr. Hj.Muhd Kamil malam semalam. Ini kali pertama saya beraya di rumah seorang Pengarah, maklumlah saya ni hanyalah surirumah...risau juga di hati, takut2 saya ni tak pandai membawa diri di rumah beliau nanti. Kepada anak2 puas dipesan...jaga kelakuan, jangan bising2 macam di rumah, jangan itu jangan ini....

Kami sampai sebaik sahaja Prof Kamil dan Puan Roza balik dari masjid selepas solat isyak(kami telah bersolat di rumah terlebih dahulu). Kami dialu2kan....pesanan tadi yang berjela2 pada anak2, entah kemana....anak2 ceria seperti di rumah sendiri :)

Selain kami, ada seorang sahabat bersama kelurganya juga turut datang berziarah. Kami dihidangkan dengan spaghetti bersama kuahnya (saya tak tahu apa namanya ). Untuk saya yang berlidah jawa, biasa dengan sambal tempe dan lodeh, menikmati hidangan spaghetti seperti itu adalah satu pengalaman baru, begitu juga bagi anak2 :). Tapi ianya sungguh sedap. Prof Kamil tanpa kekok menhidangkan untuk kami, Puan Roza yang baik budi keluar masuk dapur untuk memastikan hidangan cukup buat kami. Alhamdulillah......

Banyak kami dapat dari Prof Kamil dalam tazkirahnya. Hampir sejam kami mendengar 'syarahan' beliau yang tak jemu didengar....sesuatu yang keluar dari hati, ia pasti dapat menyentuh hati yang lain....beliau begitu bersungguh2 dengan apa yang diucapkannya, dan saya pasti itu bukan sekadar cakap2 tapi itulah apa yang beliau lakukan...semuanya untuk mencari dan mendapat keredhaan Allah. Mujur saya dapat menahan airmata ini dari mengalir tatkala mendengar tazkirahnya....

Semoga berbahagia kehidupan Prof Kamil bersama isteri tercinta Puan Roza dan anak2. Semoga kita sama2 tidak jemu untuk mencari redha-Nya. Terimakasih kerana meraikan kami.


***********
Cerita 2

Entah kenapa, raya kali ini begitu banyak kisah tentang rumahtangga yang saya dengar. Bukan kisah bahagia tetapi sebaliknya. Ada yang telah terlerai perkahwinan, ada yang ditinggal bertahun2 oleh suaminya tanpa suatu kepastian, ada isteri yang dah jemu untuk taat kepada suami, ada isteri yang dah jemu untuk tinggal di kampung,........
Hati tertanya2, apa agaknya yang mereka cari dalam perkahwinan?. Adakah mereka berkahwin kerana orang lain berkahwin? Adakalanya masalah remeh pun boleh menjadi punca pergaduhan. Bila ada masalah dalam rumahtangga, masing2 selalu bercakap tentang hak tapi jarang yang memikirkan tentang tanggungjawab yang masing2 perlu lakukan. Paling menyakitkan hati, bila ada yang telah berkira2 apa dan berapa dia akan dapat andai berlaku perceraian dalam perkahwinannya!! Manusia hari ini telah tidak takut Allah. Apa yang dilakukan hanya untuk memuaskan nafsu serakahnya yang amat cintakan dunia dan keseronokkannya hingga lupa dosa pahala.
Perkahwinan dalam Islam bukan sesuatu yang main2. Ada tangungjawab dan peranan yang mesti ditunaikan. Suami dan isteri mesti tahu tanggungjawabnya kepada perkahwinan itu dan mereka juga mesti tahu haknya. Begitu juga hukum hakam yang berkaitan dengan perkahwinan. Sebagai contoh, seorang wanita yang masih dalam edah perlu tahu apa haknya dan apa yang dia boleh buat / apa yang dia tak boleh buat......bukan semunya ikut logik akal untuk melakukannya. Begitu juga seorang lelaki yang telah menceraikan isterinya, dia kena tahu apa haknya dan tanggungjawabnya.
Dunia di akhir zaman ini telah Allah bentangkan di depan mata. Apa yang kita nak pilih? Bahagia di dunia derita di sana? Bahagia di dunia bahagia di sana? Pilihan di tangan kita, tepuk dada tanya iman kita. Wallahua'lam.

Monday, September 14, 2009

Semoga setiap tahun kamu akrab dengan Allah...

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada para pengunjung blog umijah. Maaf jika ada terkasar bahasa. Semoga selepas ini kita akan dapat meneruskan amalan2 baik yang kita buat di bulan Ramadan yang mulia ini ( peringatan untuk diri sendiri ).

'Idul fitri, 'idul mubarak. Kullu'am wa antum ilAllahi aqrab - semoga setiap tahun kamu akrab dengan Allah.

Semoga Allah menerima amal kamu dan amal kami. Ameen. Ameen. Ya Robbal 'alamin.

Wednesday, September 9, 2009

Taubat

Sekadar peringatan untuk diri sendiri, yang sering lalai. Mari kita renung dan hayati hadis berikut, terutama di malam2 10 yang terakhir ini.

Diceritakan daripada Simak: Suatu hari Nu'man bin Basyir menyampaikan khutbah bahawa Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya Allah amat gembira menerima taubat hamba-Nya tatkala ia bertaubat, melebihi daripada kegembiraan seorang yang berkenderaan di tengah2 padang pasir kemudian haiwan yang ditunggangi itu lari meninggalkannya. Sedangkan di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman bekalannya.

Dia berputus asa untuk menemui kembali haiwan dan bekalannya itu. Lalu dia duduk berteduh di bawah pohon sambil berbaring, kerana dia benar2 putus asa untu bertemu kembali dengan haiwan itu. Kemudian dia tertidur. Sejurus dia bangun dari tidurnya, dia mencari semula untanya dengan berjalan kaki. Namun dia tidak menjumpainya. Dia berjalan lagi, namun gagal menemuinya. Dia mencarinya untuk kali ketiga, tetapi masih gagal.

Namun sebaik sahaja dia sampai kembali ke tempat dia tertidur sebelum itu, tatkala dia duduk termenung, tanpa diduganya, tiba2 unta tunggangannya yang hilang itu muncul kembali, lengkap dengan bekalan yang dibawanya. Kemudian dia segera memegang tali tambatannya. Dan sesungguhnya Allah swt jauh lebih gembira dengan taubat seseorang daripada musafir yang menemui kembali untanya di padang pasir." (HR Bukhari)

Friday, September 4, 2009

Kisah Anak2 (5)

"Umi nak masak apa hari ni untuk buka?", itu pertanyaan biasa anak2, kalau bukan abang, kakak yang tanya, di bulan Ramadan ini.

Untuk saya dan suami, mungkin kami tak kisah apa yang ada, tapi untuk anak2, kami tahu ia adalah sesuatu yang mesti diraikan. Lebih2 lagi bagi anak2 sebaya anak2 kami yang masih perlu dilatih untuk berpuasa, tapi dalam masa yang sama kami sentiasa memberitahu tentang pengajaran2 yang lahir daripada kewajipan berpuasa itu.

"Pukul berapa dah, Mi? Lama lagi tak nak buka?", pertanyaan abang yang biasa bila dah pukul 3-4 petang...selepas dari waktu itu pasti abang akan sibuk mengira waktu hinggalah sampai waktu berbuka!!. Nak marah pun tak boleh...itu 'nature' anak2. Saya teringat emak pernah kata, dalam ramai2 anak emak, sayalah yang paling bising menahan lapar bila berpuasa masa zaman kanak2 dulu...sabarnya emak dengan saya. Saya berpuasa waktu itu kerana tidak mahu 'dipinggirkan' ketika berbuka, itu kata emak.

Dik Yam pula lain kisahnya. Puasa2 ni asyik la sibuk nak makan...kejap2 minta disuap nasi, kejap2 minta oat dengan air susu/coklat...takde masalah kalau hanya berdua dengan saya, tapi ada sedikit masalah kalau abang ada di rumah.....

Kakak dah okey dengan puasa, alhamdulillah. Kakak juga berterawih. "Abang macam biasa ye, Mi.....terawih 2 rakaat dengan 1 rakaat witir", itu juga ungkapan biasa abang bila bab terawih. Kami mengiyakan sahaja sebab biasanya selepas itu abang pasti dah tak boleh buka mata. Nak dipaksa untuk cukupkan terawih dan witir, tak sampai hati. Kami tak mahu dia rasa terbeban dengan terawih dan witir. Tapi kami juga sentiasa memberitahu berapa sepatutnya rakaat terawih dan witir....dan abang tahu itu.

Sepanjang Ramadan ini juga kami pastikan anak2 mengaji. Abang berjaya menghabiskan satu mukasurat setiap malam, setakat hari ini, dengan disemak oleh ayahnya. Kakak pula saya pastikan dia mesti membaca sekurang2nya dua mukasurat al-Qur'an. Kami mahu anak2 rasa gembira dengan membaca ayat2 suci al-Qur'an di bulan yang ianya diturunkan ini.

Melihat anak2 belajar untuk menunaikan ibadah2 khusus, seringkali hati tersentuh. Sewaktu saya sebaya anak2, saya tidak seperti mereka...lebih2 lagi tentang solah. Saya tidak menyalahkan ibubapa saya ( semoga Allah sentiasa mengasihi mereka berdua. Amin). Tapi hari ini, dengan sedikit kefahaman yang kami ada, kami sentiasa mengingatkan anak2 tentang kewajipan sebagai seorang Islam. Anak2 dah tahu tentang solah jamak dan qasar setiap kali kami bermusafir, anak2 tahu tentang batas2 aurat dan pergaulan....

Ya Allah, semoga Ramadan kami kali ini lebih baik dari yang lepas2. Amin.

Wednesday, August 5, 2009

Selamat Berpuasa

"Kenapa umi tukar langsir, mi?", abang bertanya sedang saya sibuk memasang besi penyangkut langsir.


"Kita kan dah nak puasa. Umi nak rumah umi kemas dan bersih bila kita masuk je bulan Ramadhan. Ramadhan tu kan penuh dengan berkat. Abang tak perasan ke tahun2 lepas pun umi ganti langsir yang umi dah basuh bersih, setiap kali nak sambut puasa?. Umi taknaklah umi sibuk dengan persiapan raya je, sedangkan yang paling utama macamana kita nak merebut peluang Ramadhan yang datang setahun sekali tu je".

"Eh.....ye lah, baru abang ingat. Tapi mi, abang nak baju baru juga. Kakak ibu dah buatkan, kenapa umi tak minta ibu buatkan untuk abang?".

"Baju Melayu orang lelaki, senang nak cari kat kedai. Orang perempuan kena pakai yang tutup aurat sempurna, itu sebabnya susah nak cari kat kedai. Bila2 nanti ayah carikan untuk abang dan ayah sekali", ayahnya menyampuk perbualan kami. Abang angguk.

"Adik, mi?", Yam pun tak mahu tertinggal dalam perbualan kami.

"Dik Yam punya nanti umi minta ibu buatkan, ye". Yam bersorak seronok.

Dulu2 masa kecil, persiapan banyak dibuat untuk menyambut hari raya. Bila dah ada keluarga sendiri, dan sering diingatkan dalam majlis2 ilmu tentang kehebatan Ramadhan, rasanya ingin berkongsi dengan anak2 supaya lebih teruja dengan kehadiran Ramadhan berbanding hari raya. Mendidik hawa nafsu bukan satu kerja yang mudah dan ia tiada penghujungnya. Lebih2 lagi dalam keadaan yang semua mudah untuk dapat asalkan ada duit.

Kepada pengunjung blog umijah, selamat menjalani ibadah puasa yang penuh berkat ini. Sama2 kita saling mendoakan kebaikan di antara satu sama lain. Saya meminta maaf kepada semua andai tulisan2 yang saya buat di dalam blog ini menyinggung perasaan, mengecilkan hati, menyampah, berlebih2,.....dll. Tidak ada niat negatif di sebalik entri yang ditulis, ia hanyalah pangalaman2 peribadi dalam kehidupan sebenar yang ingin dikongsi bersama.

InsyaAllah, panjang umur kita jumpa lagi di alam siber ini.

Tuesday, July 21, 2009

Pisang tanduk nangka

Saya suka ke Pasar Tani kerana saya akan ada banyak pilihan untuk keperluan dapur :). Sabtu lepas kami berpeluang ke Pasar Tani dan kami jumpa dengan setandan pisang yang banyak sisir seperti pisang nangka, tapi besar saiznya seperti pisang gading.
Kata penjualnya ia adalah kacukan di antara pisang nangka dengan pisang tanduk yang telah dilakukan oleh MARDI. Kami membeli 3 biji, satu kami goreng mentah. Sedap. Kata penjualnya ia sesuai untuk dibuat kerepek pisang. Gambar pisang mentah tu pada hari Sabtu dan pisang yang masak tu pada pagi Isnin. Rasa yang masak lebih kepada pisang nangka, tapi ada sedikit rasa pisang tanduk.
Teringat pula satu kisah di zaman Rasulullah saw dulu. Satu ketika Rasulullah saw mendapati penduduk Madinah sedang mengkahwinkan kurma, lalu Rasulullah saw bertanya mengapa mesti kurma itu dikahwinkan, mengapa tidak dibiarkan begitu sahaja. Petani2 kurma itu pun menghentikan mengkahwinkan kurma. Kemudian ternyata pengeluaran kurma pada musim itu menurun. Para petani kurma itu pun melaporkan kepada Rasulullah saw hal tersebut. Maka keluarlah sabda Rasulullah saw : Antum a'lamu bi umuuri dunyaa kum - Kamu lebih mengetahui urusan dunia-mu.
Hari ini banyak sebenarnya kacukan yang telah dihasilkan oleh manusia terhadap buah2an, ini termasuklah cempedak nangka, buah jambu, mangga epal, duku langsat, dll. Semua itu sebenarnya untuk mengingatkan kita kepada Yang Maha Pencipta. Manusia diberi akal untuk memikirkan apa yang terbaik untuk kehidupan mereka. Cuma malangnya hari ini, ramai manusia yang menggunakan akal untuk tujuan yang salah, bukan untuk memikirkan tentang kebaikan. Wallahua'lam.

Sunday, July 19, 2009

Makan apa hari ni, Mi?

Dua anak saya amat suka makan. Berbakul2 pujian tentang masakan saya jika apa yang dimasak menepati selera mereka. "Mi, kita boleh buka restoran bila kakak besar nanti, sebab umi masak sedap sangat hari ni", itu antara yang biasa diucapkan...bodek umi le tu...

"Umi nak masak apa hari ni?", kakak bertanya sebelum pergi ke sekolah.

"Umi, masak UFC (Umi's Fried Chicken) ye hari ni", pujuk Ahmad di waktu yang lain.

"Mi, esok umi masak lemak cili api ayam ye", pinta kakak selepas makan malam.

"Mi, masak tomyam ye, Mi!", kata Ahmad.

Dialog di atas adalah di antara dialog2 biasa untuk saya setiap hari. Anak2 yang berdua ni memang selalu teruja dengan apa yang saya akan masak setiap hari sebagai menu utama. Adik Yam je yang selalu kata, " Adik dah jemu ayam la, Mi. Adik nak makan ikan masin", dan betul, adik Yam lebih senang memilih ikan masin dan sayur berbanding ayam, makan ayam hanya sikit2. Cuma sejak akhir2 ni dia dah mula makan berlaukkan ayam semula.

Teringat waktu saya kecil dulu. Adik beradik ramai tapi abah dan mak cuma menoreh. Kami makan apa yang ada. Paling sedap bila sesekali berlaukkan ayam belaan sendiri yang dimasak kari. Waktu tu mak mesti masak nasi lebih. Sebenarnya kami lebih banyak makan nasi dengan kuah sahaja...tapi itu dah cukup menyelerakan.

Bila bersekolah menengah, jarang bersarapan atau makan di kantin kerana tiada wang saku. Bila balik petang, baru makan. Akibatnya saya mendapat gastrik hingga sekarang. Suami juga begitu, semuanya kerana kurang makan (kesusahan di waktu kecil kami berdua, sama). Tapi pengalaman itulah yang mengajar kami untuk bersyukur dengan apa yang ada sekarang ni. (Tapi kami tidak mengalami gastrik setiap kali Ramadhan...Maha Pengasihnya Allah!!)
Hari ini, anak2 kami ke sekolah berbekalkan RM1 walaupun sekolah menyediakan sarapan pada pukul 10 pagi dan makan tengahari pada pukul 1. Adakalanya mereka teringin membeli makan lain, cukuplah RM1 tu.

Sesekali terfikir, kalau anak2 mengalami seperti apa yang kami alami waktu kecil dulu, mampukah mereka menghadapinya?

Friday, July 17, 2009

Tv,tv,tv....

Semalam ada agen stesen tv berbayar datang ke rumah. Malas nak layan, sekadar jengukkan kepala di pintu. Dia tinggalkan pamplet di peti surat. Ambil juga selepas dia pergi, nak tengok apa yang nak dihidangkan kepada para penyewa stesen tu. Emmm...takde satu program pun yang boleh membina minda, membina masyarakat atau mendidik. Semuanya yang melalaikan dan keseronokan.

Cukuplah dengan tv jenama 'Silver' 14 inci yang suami beli 7 tahun lepas...takde lah nak beli 'Plasma tv' yang jadi pilihan masakini. Cukuplah juga dengan saluran tv tak berbayar yang sedia ada. Itupun dah cukup payah nak elakkan anak2 daripada duduk melekat depan tv setiap kali berada di rumah. Cukuplah dengan talian internet yang kami ada. Kami tak boleh bayangkan andai kami menyewa talian stesen tv berbayar tersebut...pasti bertambah beratlah kerja kami untuk menyusun jadual anak2 belajar, mengaji, bersolat, berprogram,....sedangkan tidak ada yang baik kecuali hiburan, hiburan, hiburan....

Ya Allah, jadikan kami orang yang sabar untuk berbuat taat kepada-Mu.

Thursday, July 16, 2009

Saling Mengingatkan

Sekarang ni bulan Rejab. Bila bulan Rejab kita pasti teringat tentang peristiwa isra' mikraj baginda Rasulullah saw. Salah satu daripada peristiwa yang berlaku ketika mikraj baginda ke sidratul muntaha adalah baginda diperlihatkan tentang ramainya penghuni neraka adalah wanita.

Saya menonton rancangan Tanyalah Ustaz di tv9 pagi tadi. Katanya ramai di antara ustaz2 yang bercakap tentang hal penghuni neraka itu kebanyakkannya adalah wanita yang tidak taat kepada suaminya. Kisah ini katanya menyedihkan wanita....alaa ustaz, macamana kami ni?...itu di antara keluhan para isteri yang datang dalam majlis ilmunya.

Apa yang jarang diberitahu oleh ustaz2 penceramah ialah, bagaimana Rasulullah terus berpaling kepada para suami selepas baginda mengucapkan kata2 itu. Baginda mengingatkan para suami supaya mendidik isteri mereka untuk menjadi wanita solehah. Ustaz tadi juga mengingatkan bahawa jangan harap suami akan duduk dalam syurga sedangkan isterinya masuk neraka, jika suami tidak berusaha untuk mendidik isteri. Pendek kata, kalau isteri masuk neraka ia juga akan mengheret suami sekali.

Bila melihat fenomena hari ini, hati jadi gusar. Ramai anak muda yang suatu hari nanti mereka akan jadi suami dan bapa, tapi kosong jiwa dan kosong dada dari ilmu Islam. Bagaimana mereka mahu mendidik isteri dan anak2? Ke mana nanti mereka sebagai ketua keluarga akan membawa isteri dan anak2nya?

Di akhir program, ustaz mengingatkan para suami supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam mendidik isteri dan anak2. Ustaz juga mengingatkan para isteri supaya berusaha untuk menjadi wanita solehah. Bila Islam datang, ia mengangkat martabat wanita. Wanita tidak diperlakukan sesuka hati seperti di zaman jahiliyyah. Kita biasa diingatkan, mudahnya untuk wanita masuk syurga jika ia taat kepada Allah dan Rasulnya, taat kepada suami (pada perkara yang tidak melanggar syarak), menjaga maruah dan harta benda suami,....... untungnya wanita. Sedangkan suami dipertanggungjawabkan untuk mendidik isteri dan anak2. Suami dan isteri kena saling ingat mengingatkan. Isteri solehah pasti tidak mahu suami tercampak sendirian di neraka. Na'uzubillah.

Marilah kita berusaha untuk belajar dan memahami ajaran2 yang terkandung dalam Islam yang syumul ini. Kita tidak akan rugi, malah kita boleh menjadi manusia yang beruntung andai Allah redha dengan kita. Subhanallah.

Tuesday, July 14, 2009

Kisah anak2 (4)




"Umi, boleh ye mi, belikan abang bakugan", abang seakan merayu tapi ceria sebaik sahaja dia keluar dari kelasnya bersama ayahnya. Hari itu adalah hari Terbuka Sekolah.

"Kenapa pulak umi nak kena belikan abang mainan tu? Umi pun tak tahu apa bendanya bakugan tu", saya membalas sambil melihat kepada suami dengan rasa hairan.

"Abang dapat semua 'A'. Abang dapat nombor 3", abang menjawab, ceria.

"Abang dapat nombor 3? Betul ke, yah? Akhir tahun lepas abang 'kan dapat nombor 13!", saya hampir tak percaya.

"Betul, dia dapat nombor 3", suami saya mengiyakan dengan tersenyum.

"Cuba abang beritahu umi apa bendanya bakugan tu. Macamana umi nak bagi abang beli kalau umi tak tahu..".

"Bakugan tu macam bola kecil, mi. Bila kita baling, dia akan bertukar jadi helang ke, robot ke, kala jengking ke,...macam2 la mi, dia boleh bertukar. Boleh la, mi, belikan abang!", abang merayu lagi.

Hmm...petang tu, puas la abang dan ayahnya cari di kedai2 runcit di pekan kecil tempat tinggal kami untuk mencari bakugan, bukan satu tapi tiga bakugan. Maklumlah, adik Yam suka sangat benda yang abang suka, jadi terpaksalah cari untuk dia sekali. Kakak tak kisah, tapi kadang2 kakak kisah juga dengan apa yang abang dapat....belikanlah juga untuk kakak.

"Banyak sangat perubahan abang, umi perasan tak. Umi ingat tak, dulu ayah cuma harap dia nak gi sekolah je, kenal huruf jawi dan rumi, tu je. Tapi hari ni, banyak sangat perubahan positif abang, lebih2 lagi dia dah boleh mengaji dan menjaga solah lima waktunya, kita je yang kurang sangat bersyukur!", suami saya seakan beremosi.

Saya hanya senyum tapi setuju dengan kata2 suami. Kami dah 'puas' menghadapi kerenah abang sejak dia kecil. Mujur suami saya seorang yang sabar, ia amat banyak membantu saya yang amat kurang sabarnya, terutama kala berhadapan dengan kerenah anak2.

Kami bukan ibubapa yang sempurna, tapi menjadi ibubapa adalah satu proses belajar yang tidak berhenti. Kami membaca dan kami belajar dari pengalaman orang lain dalam mendidik anak2.

Semoga Allah sentiasa membantu kita semua dalam mendidik anak2.

Monday, July 13, 2009

Bila dah kurus...


"Mi, umi perasan tak dalam iklan kuruskan badan?", kakak bertanya saya yang sedang melipat kain.

"Kenapa dengan iklan tu?."

"Dalam iklan tu biasanya ditunjukkan orang yang gemuk tu pakai baju kurung dan pakai tudung, tapi bila dia dah kurus ditunjukkan dia pakai baju kebaya sempit atau baju dengan seluar panjang, pun sempit juga walaupun bertudung", panjang kakak menerangakan.

"Habis tu, betul ke macam tu?".

"Tak betul. Kita tutup aurat bukan sebab kita gemuk dan boleh buka aurat sebab kita dah kurus. Gemuk ke, kurus ke, kita kena tutup aurat, kan mi?".

"Bagus la kalau kakak tahu. Kita tutup aurat bukan sebab kita rasa kita tak cantik, gemuk dan sebagainya, tapi sebab Allah suruh. Kalau dia dah kurus, dia semakin tak tutup aurat, maknanya dulu dia tutup aurat bukan kerana Allah, tapi kerana malu. Dah tak betul macam tu".

Kakak mengangguk faham.

"Umi dan ayah suruh kakak tutup aurat bukan sebab lain, tapi sebab Allah suruh. Adik Yam pun umi dah biasakan pakai tutup aurat. Umi dan ayah ni sentiasa berdoa supaya anak2 umi dan ayah, lelaki atau perempuan, sentiasa menjaga auratnya".

"Tapi mi, tudung sekarang tak tutup aurat. Cuba umi tengok, yang dijual kat kedai2 tu untuk orang dewasa, tapi tak cukup besar untuk orang dewasa, untuk kakak bolehlah...macam umi beli hari tu, bila umi pakai, tak sesuai untuk umi, kan".

"Takpe, umi boleh buat sendiri tudung untuk umi pakai. Bila kakak dewasa nanti kakak pun kena pastikan tudung yang kakak pakai betul2 tutup aurat kakak".

"Umi, mana tudung adik, mi? Adik nak ikut ayah main badminton kat luar tu...", adik Yam tiba2 menyampuk perbualan kami.

Ya Allah, bantulah kami dan berilah kami kesabaran untuk berbuat taat kepada-Mu. Ameen.

Tuesday, June 16, 2009

Cinta & Kasih Sayang


Kami berbalas mesej.

"Sihat tak, yah?".

"Ok jugalah. Nape mi?"

"Saje nak tanya. Hari tu umi tak mesej ayah, rupanya ayah muntah dan pitam di bilik ayah".

"Ye mi? Sayang umi...rasa nak menangis....".

"Hehehe.........".

Kadang2 apa yang kita lakukan kepada pasangan kita, hanya benda biasa2 sahaja, tapi ia memberi impak yang besar kepada sebuah ikatan perkahwinan. Suami adalah kawan paling rapat kepada seorang wanita. Sepatutnya tiada rahsia di antara keduanya.

Mungkin mesej di atas kelihatan mengada2. Tapi apa salahnya? Kerana itu pasangan kita yang sah. Ada orang janggal untuk bermesej seperti itu dengan pasangan sendiri. Tapi kenapa sewaktu bercinta dulu 'mewah' dengan pujian kepada kekasih hati?

Saya telah habis membaca buku 'Aku Terima Nikahnya' dan sekarang sedang membaca 'Bercinta Sampai ke Syurga' - kedua2nya tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Saya berpuashati dengan apa yang telah saya baca kerana isinya tidak meleset daripada apa yang saya dan suami fahami tentang kehidupan berumahtangga. Lebih2 lagi ia disertai dengan pengalaman sebenar dan huraian yang mudah untuk difahami.

Kami selalu bercakap tentang banyak perkara, kerana sepatutnya tidak ada rahsia di antara suami isteri walau sesulit mana pun suatu perkara itu.

Cemburu? Itu biasa dalam kehidupan berumahtangga kerana itu tanda sayang. Kami selalu saling mengingatkan - jangan cerita masalah kepada kaum berlainan jantina kerana itu adalah ruang untuk masalah yang lebih besar!! Awal 2000-an artikel berkaitan perakaunan suami saya sering tersiar di beberapa majalah, hinggakan ia menarik perhatian seorang siswi untuk menulis. Siswi tersebut sering menelefon suami saya untuk bertanyakan hal2 penulisan, dan suami saya rasa kurang selesa. Saya cadangkan kepada suami, berikan nombor telefon rakan sekerja suami yang perempuan yang juga menulis artikel. Suami saya amat setuju. Saya bukan hendak berburuk sangka, tapi perkara2 seperti ini suami dan isteri kena bertindak awal.

Hari ini hari ke-3 suami ke Shah Alam. Anak2 sibuk bertanya bila ayahnya akan balik. Sebenarnya bukan anak2 sahaja yang tertunggu2 bila ayahnya akan balik, tapi uminya pun tertunggu2 juga....hehe....kita akan lebih menghargai pasangan kita ketika dia tiada di sisi.

"Penat, mi?", mesej masuk.

"Penat sangat. Selalu ayah ada untuk hantar dan jemput anak2. Kali ni semua umi buat...",balasan mesej minta dikasihani.

"Sian umi....".

"Sebaik2 kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang terbaik untuk keluargaku" -(Maksud Hadis riwayat Tirmizi)

Monday, June 15, 2009

Ustaz/Ustazah

(Al-Fatihah untuk mujahid Fathi Yakan yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu 13 Jun, 2009. Semoga Allah merahmatinya. Al-Fatihah....)

"Maaf la, dik. Guru sandaran untuk jawatan ustazah dah terisi semuanya", kata2 itu diucapkan oleh seorang kerani di PPD Muar ketika saya baru habis Diploma lama dahulu, tapi masih segar lagi dalam ingatan. Dia tidak bertanya pun apa kelayakan yang saya ada.

"Kak, saya ni bukan ustazah. Saya ada Diploma Perakaunan. Saya datang sini nak tahu kalau2 ada kekosongan guru sandaran yang sesuai dengan kelulusan saya ni".

"Oo..ingatkan ustazah tadi, bukan rupanya", balasnya sambil ketawa kecil, mungkin hendak menutup rasa bersalahnya dengan andaian bahawa saya ni ustazah.

Dalam satu kisah lain lebih kurang begitu juga.

"Suami awak ustaz ke?", tanya seorang pakcik kedai runcit berhampiran rumah kami(sebelum dia berpindah ke Gemas), pada suatu hari.

"Tak. Dia mengajar akaun", jawab saya.

"Oo...ingatkan ustaz, sebab dia lemah lembut dan tak banyak cakap...", dia seperti malu2.

"Nampak macam ustaz sebab dulu dia bersekolah Arab, kut", saya menambah sambil tersenyum...saya tak mahu dia malu.

"Jadi awak jumpa dia dulu masa di sekolah Arab tu lah?", pakcik kedai bertanya lagi.

"Tak...saya kenal dia masa belajar di Shah Alam dulu. Kami sama2 ambil Ijazah Perakaunan. Tapi kakak angkat saya dan suaminya yang jadi orang tengah, itu pun selepas kami habis belajar", lagi keliru nampaknya pakcik kedai tu....biarlah.

Dua cerita di atas ada kaitannya-saya disangka ustazah hanya kerana saya bertudung labuh, berbaju kurung dan berstokin. Bukan dua cerita itu sahaja orang menyangka saya ni ustazah, tapi banyak lagi. Saya selesa dengan cara saya berpakaian sekarang. Terpulang kepada wanita lain bagaimana mereka hendak memelihara aurat mereka, asalkan ianya menepati apa yang telah Allah sebutkan di dalam al-Qur'an dan selari dengan apa yang Rasulullah saw pernah sebutkan ketika baginda menegur Asma' binti Abu Bakar tentang bagaimana sepatutnya wanita itu berpakaian.

Inilah persepsi masyarakat sekarang, yang bertudung labuh itu ustazah. Begitu juga persepsi bahawa hanya ustaz/ustazah sahaja yang boleh bercakap mengenai Islam. Sedangkan Islam itu untuk semua manusia tidak kira siapa mereka..jurutera, akauntan, guru, surirumah, nelayan, penoreh getah, pekerja kilang....atau apa bangsa mereka sekalipun - Islam itu untuk kita.

Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya, maka dia akan diberi kefahaman dalam urusan agamanya.

Tidak mahukah kita menjadi orang yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya? Kalau kita boleh belajar untuk memahami tentang banyak perkara, kenapa kita tidak belajar untuk memahami Islam yang syumul ini? Cukupkah dengan apa yang kita ada dan faham tentang Islam, sedangkan Islam itu bukan setakat sembahyang lima waktu, puasa, haji, serta ibadah2 khusus lain?

Masa untuk kita semakin pendek. Pertama2 saya mengajak diri saya....marilah kita mencari bekalan untuk persediaan menghadapi saat dan ketika di mana tiada manusia yang boleh menghalang akan kehadirannya...Dan untuk anak2 kita, yang akan mendoakan kita tatkala di sana nanti, sudahkah kita ajari mereka tentang Islam?

Ya Allah, kurniakan kami kebaikan dunia dan akhirat. Ameen.



Thursday, June 4, 2009

Solat dan Doa


Saya sering diminta pendapat oleh adik2 dan anak2 buah apabila mereka kena membuat pilihan. Cuma adakalanya, pendapat ditanya selepas pilihan dibuat.

Jawapan saya sama, samada pendapat diminta sebelum atau selepas keputusan dibuat - solat(hajat/istikharah/taubat,dll) dan jangan berhenti berdoa. Hinggakan adakalanya saya rasakan mereka pasti tahu apa jawapan yang akan saya beri. Saya tak peduli, kerana semua yang berlaku ada dalam pengetahuan Allah kerana Dia Maha Mengetahui. Kelemahan kita, kita sering menilai sesuatu itu berdasarkan material atau berdasarkan apa yang kita nampak dan ketahui. Sedangkan Allah itulah yang Maha Mengetahui. Bukankah lebih cantik andai kita 'bercakap' dahulu dengan Allah sebelum kita membuat pilihan.

Al-Baqarah:45, dan terjemahannya : Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang2 yang khusyuk.

Al-Baqarah:186, dan terjemahannya : Dan apabila hamba2-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku....

Sesungguhnya kita hamba-Nya yang amat memerlukan Dia dalam setiap saat kehidupan kita. Kepada siapa lagi hendak kita meminta kalau bukan kepada-Nya? Sedangkan tiada Tuhan selain dari Allah yang Maha Mendengar dan Mengabulkan permohonan hamba2-Nya.

Tuesday, May 12, 2009

Lakonan


"Andakah pelakon yang kami cari? Datanglah untuk uji bakat di ...... pada..........Tapi ingat, hanya untuk mereka yang benar2 berani sahaja!".

Pasti semua orang pernah menonton iklan ini di tv. Entahlah....tak cukup beratkah tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini untuk dilaksanakan? Sehingga masih tercari2 lagi peranan orang lain untuk dilakonkan...

Dimana janji kita kepada Allah untuk menjadi hamba-Nya yang taat? Mukjizat paling besar iaitu al-Qur'an diturunkan kepada kita sebagai panduan hidup, yang andai ianya diturunkan kepada gunung, gunung akan hancur dek kerana gunung tidak mampu memikul beban tugas dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

Kenapa masih tercari2 lagi peranan untuk dilakonkan? Sedangkan kita ada Pengarah, Pengatur, Penyusun dan segala2nya Yang Maha Hebat? Sudah tahukah kenapa kita dijadikan? Sudah tahukah dari mana kita datang? Sudah tahukah kemana kita akan pulang?

Ajakan kepada kebaikan tidak akan berkesan dengan lakonan. Kita biasa membacanya begini, " saya mahu penonton filem arahan saya mendapat pengajaran yang baik selepas menonton filem ini....supaya mereka tahu memilih jalan hidup yang baik"....Pengajaran baik apakah yang kita boleh dapat dari pergaulan bebas lelaki perempuan, aurat yang terdedah sana sini, mengajak kepada zina, minum arak, hubungan songsang, tidak hormat kepada ibu bapa.........dan seribu satu macam kerosakan yang ditonjolkan dalam sebuah filem yang kononnya memberi pengajaran baik kepada penonton?

Satu ketika, saya pernah berdiri menunggu suami memilih komputer, berdekatan dengan panggung wayang di sebuah gedung beli belah di Melaka. Yang masuk ke dalam panggung adalah kebanyakannya remaja lelaki dan perempuan secara berpasang2an, yang ada di antaranya belum pun habis sekolah.

Sedih. Mungkin ada di antaranya menipu ibubapa mereka dengan alasan hendak ke kelas tusyen, jumpa kawan,......dan seribu satu macam alasan dan dalih untuk menipu ibubapa.

Marilah...pertama2 saya menyeru diri saya...kita dekatkan diri kita kapada Allah, meneliti semula akan tugas, peranan, dan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Cukup2lah...kita tinggalkanlah perkara2 sia2 yang tidak memberikan manfaat di dunia apatah lagi di akhirat. Henti2kanlah perbincangan tentang seni yang tidak menepati syarak. Islam tidak menentang hiburan, tapi bukan hiburan yang melalaikan untuk dinikmati. Fikir2kanlah.

Ya Allah, ampunkan dosa2 kami, beri petunjuk kepada kami agar berada di atas jalan yang lurus jalan yang Engkau redhai. Amin.

Sunday, May 10, 2009

Hari Ibu & Hari Bapa...Ada ke?


Dalam surah al-Isra' : 23-24 Allah berfirman yang terjemahannya seperti berikut :

"Dan Tuhan mu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua2nya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali2 janganlah engkau mengatakaqn kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, "Wahai Tuhan-ku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil."

Dalam satu huraian hadis Rasulullah saw yang menyebut tentang bid'ah, Zainab Al-Ghazali menyebutkan salah satu bid'ah itu ialah sambutan hari ibu & hari bapa. Dia melontarkan persoalan wajarkah seorang ibu itu didurhakai, diabaikan dan dikhianati disepanjang perjalanan hidupnya, lalu hanya dikhususkan pada satu hari tertentu untuk dimuliakan, ditaati dan disambung hubungan dengannya?.

Bagiku dan suamiku, hari2 adalah hari ibu&bapa. Setiap detik dan ketika kami mengingati, menyayangi, mendoakan untuk kedua ibubapa kami. Kami tidak perlu menunggu Hari Ibu untuk kami pulang menjenguk mereka, memberikan hadiah kepada mereka atau bagi bapa kami yang telah pergi menemui-Nya, kami tidak perlu menunggu Hari Bapa untuk mengingati mereka melalui kenduri2 aruah dan sebagainya. Doa untuk mereka yang telah tiada tidak pernah putus dari kami.

Betul seperti kata Zainab al-Ghazali seperti yang aku catatkan di atas tadi, ada orang yang tidak kisah pun tentang ibunya melainkan pada Hari Ibu. Hari2 lain, si ibu menunggu dengan penuh harap, bilalah agaknya anak2 akan pulang menjenguknya. Jauh @ dekat jarak yang memisahkan antara anak2 dengan ibu, bukan penentu kepada ketaatan untuk anak2 datang menjenguk si ibu. Andai tinggal di sebelah rumah ibu pun belum tentu si ibu akan diziarah setiap hari dek kerana kesibukan yang tidak berkesudahan.

Pengalaman mengandung dan melahirkan memberikan keinsafan kepada aku dan suami tentang betapa beratnya ujian dan tanggungjawab ibu membesarkan dan mendidik kami. Sebaik aku melahirkan anak sulungku 11 tahun lepas, aku teringat semua kepayahan ibuku yang hidup dalam serba kedaifan untuk membesarkan kami. Seperti ada satu rasa yang Allah beri padaku untuk lebih menyayangi dan mengasihi ibuku. Begitu juga suamiku, melihat kepayahan aku mengandung dan melahirkan anak2 kami, rasa kasih dan sayangnya kepada ibunya bertambah kuat. Ia bukan sesuatu yang kami buat2 atau reka2 untuk merasainya. Subhanallah.

Ya Allah, ampunilah dosa2 kami dan dosa2 kedua ibubapa kami. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kecil. Berilah rahmat-Mu untuk mereka dan untuk kami. Amin

Tuesday, May 5, 2009

Dr. Krishna

Pertama2 aku sentiasa memanjatkan rasa syukur aku pada-Nya kerana aku ada pilihan...pilihan untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Juga rasa syukurku kepada-Nya kerana punya suami yang amat memahamiku. ...............................

Aku selalu dengar cerita tentang doktor ini dari mak mentuaku. Dia seorang yang lemah lembut, memanggil mak mentuaku "mak", amat berhati2 bila bercakap.

Cuti baru ni anak2 kami demam di kampung, jadi kami membawa mereka ke klinik Dr.Krishna. Betul seperti yang mak kata tentangnya.

Seperti biasa aku akan beritahu semua tanda2 demam yang anak2 alami kerana aku tak mahu doktor tersalah bagi ubat. Habis aku bercakap, dia bertanya padaku,"Akak(dia jauh lebih berumur dariku) ni, cikgu ke?", tanyanya sambil mencatat sesuatu.

(Panggilan cikgu untukku adalah biasa dari hampir setiap orang baru yang aku temui...entah dimana 'cop' cikgu itu padaku, walaupun ia telah aku tinggalkan lebih sedekad lalu)

"Dulu....sekarang saya surirumah, jaga anak2 dan ajar anak apa yang saya tahu".

"Bagus. Isteri saya staf nurse di sebuah hospital kerajaan, menjadi pembantu tetap di dewan bedah. 13 tahun bekerja, gaji RM1,900 sebulan...juga berhenti kerja, jaga anak2, memasak", katanya sambil sibuk memeriksa dik Yam.

"Tentu ia satu keputusan yang berat", aku menduganya.

"Betul, tapi kadang2 dalam hidup kita, kita mesti membuat pilihan yang kita rasa terbaik. Betul tak?", dia bertanya kepada saya. Tangannya tetap sibuk mencatat.

"Betul", saya mengiyakan.

"Tapi semua orang bising, mereka kira berapa banyak isteri saya rugi sepanjang 18 tahun berikutnya sehingga sampai umur pencennya", dia menambah.

"Betul, doktor. Itu juga yang saya alami...orang lain tolong kira berapa saya rugi bila saya mengambil keputusan untuk menjadi surirumah sepenuh masa".

"Orang mengira dari segi material, betul tak? Bukan semua perkara boleh dikira secara material, kan?".

"Betul, doktor, dan tak ramai orang berfikir seperti doktor, isteri doktor dan saya fikir".

"Ya, betul", balasnya, sambil membukakan pintu biliknya untuk saya dan anak2.

Aku percaya, setiap orang ada pertimbangan kepada setiap pilihan, dan apa yang aku juga isteri Dr. Krishna pilih adalah satu pilihan yang kami rasakan terbaik untuk dibuat...selebihnya aku berserah kepada-Nya. Dugaan dan cabaran adalah asam garam kehidupan.

Semoga Engkau memberiku kesabaran, Ya Allah, untuk aku melakukan yang terbaik sebagai seorang isteri dan ibu. Amin.

Wednesday, April 15, 2009

Kalau tak malu...

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya antara kata2 ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah : Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu." (HR Bukhari)

Malu merupakan sifat terpuji dan merupakan akhlak para Rasul, Nabi2 dan malaikat.

Kata2 "Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu", bukan merupakan suruhan untuk melakukan, tetapi merupakan larangan supaya menjauhi sifat "tidak malu" yang menjadi punca kepada lenyapnya iman seseorang. Sedangkan malu adalah sebahagian dari iman, sebagaimana maksud sebuah hadis lain.

Sifat malu yang terpuji terbahagi dua :
1. Yang boleh diusahakan - iaitu sifat malu yang dilatih sehingga menjadi pakaian diri seseorang. Sebagai contoh cara yang diusahakan adalah dengan mengenal Allah (ma'rifatullah) dan merasai diri sentiasa dipantau dan diawasi Allah (muraqabah).

2. Yang tidak boleh diusahakan - rasa malu semulajadi yang diberikan Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Malu yang dicela pula adalah malu yang tidak menepati syarak seperti malu bertanya hal2 agama atau malu melakukan kebaikan. Malu seperti ini adalah yang tercela dan dilarang oleh agama.

Malu dan iman itu berpasangan. Apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang keduanya turut hilang.

Semoga kita menjadi orang yang memiliki malu agar dengannya kita dapat memelihara iman kita. Wallahua'lam. (Rujukan Hadis 40)

Tuesday, March 31, 2009

Kisah Anak2 (3)


"Umiii.......tengok ni umi, Allah dah tumbuhkan bunga adik!!", dik Yam menjerit kegirangan melihat bunga orkidnya telah berkembang. Saya sedang menyidai kain berhampirannya.

"MasyaAllah...cantiknya bunga adik ye?", saya membalas walaupun saya telah melihatnya terlebih dahulu sebelum dik Yam perasan.

"Sapa yang tumbuhkan bunga, umi?"

"Allah. Allah Maha Hebat dan Maha Berkuasa untuk hidupkan bunga dik Yam".

"Umiii.......tengok, bunga kuning adik pun Allah tumbuhkan!", jerit dik Yam sekali lagi.

Saya menoleh ke kiri, subhanallah, bunga alamanda yang telah saya tanam hampir dua tahun lepas telah berbunga rupanya, sedangkan beberapa hari sebelum itu saya bercadang hendak mencabut sahaja pokok tersebut. Astaghfirullah...siapalah saya yang hendak memandai2 membuang bunga tersebut andai ia tidak berbunga, sedangkan Allah lah yang Maha Berkuasa untuk menghidup dan mematikan!!!.

Apa yang ada di sekeliling kita sebenarnya merupakan bahan tarbiyyah untuk mendidik kita dan anak2. Kita diajar di sekolah bahawa tanda Ada nya Allah itu adalah dengan adanya alam ini. Jadi apa sahaja yang ada, sebenarnya amat mudah untuk kita mengajak anak2 untuk merasai Kehebatan, Kebesaran, Kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta.

Setiap anak kami mempunyai kecenderungan yang berbeza. Kakak terlebih dahulu mengenal warna di sekeliling sewaktu kecilnya. Jadi saya mengajaknya merasai Maha Penyayangnya Allah itu dengan menjadikan tumbuh2an di sekeliling kita dengan warna hijau yang menyejukkan pandangan. Abang suka berfikir dan bertanya. Saya dan suami kena sedia dengan jawapan yang betul dan mudah pada setiap soalannya terutama jika kami dalam perjalanan ke satu2 destinasi. Andai dia tidak puashati, dia akan bertanya dan bertanya lagi. Adik Yam adalah kombinasi kakak dan abang. Kadang2 letihnya kami berdua menjawab soalan yang ditanya, tapi banyak yang dia tahu jika dibandingkan dengan umurnya. Subhanallah.

Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan orang-orang yang merasai Ihsan di hatinya, iaitu seolah2 kami melihat-Mu atau jika tidak demikian, merasai bahawa Engkau melihat kami pada setiap gerak geri, tingkah laku dan perbuatan. Amin

Wednesday, March 18, 2009

Cabaran

Saya baru habis membaca buku "Travelog Seorang Da'i" tulisan ustaz Abdul Rahman Mohamed. Beliau menetap di Singapura sejak kecil. Kehidupannya penuh dengan dugaan dan ujian sebelum dan selepas menjadi pendakwah sehingga kini. Semuanya adalah himpunan kisah2 yang mengusik hati dan perasaan bagi yang membacanya, apatah lagi bagi beliau yang melaluinya. Memang, sungguh besar cabarannya bagi sesiapa yang berdakwah @ yang hendak menyampaikan kebenaran walaupun kecil dan sedikit.

Melalui pengalaman sendiri yang sedikit ini, cabaran pasti ada jika sesuatu yang kita hendak lakukan itu matlamat akhirnya nanti adalah untuk mendapat redha Allah. Cabaran itu datang dari luar dan dalam diri kita sendiri.

Kalau dari luar, biasalah, cakap2 orang yang sering melemahkan semangat atau kata2 yang tidak menyokong usaha kita. Bila ini berlaku, kita mula berperang dengan perasaan sendiri...betul ke apa yang aku buat ni? Takpe ke buat macam ni? Ada ke orang nak dengar ni?....dan pelbagai macam persoalan dalam kepala, yang seringkali menimbulkan ketegangan dalam diri dan orang terdekat.

Ketika itu, hanya Allah tempat kita mengadu dan berdoa agar semuanya berjalan lancar...dan tiada apa lagi yang boleh disebut selain dari puji2an kepada-Nya andai apa yang berlaku adalah lebih baik dari apa yang kita jangkakan...Subhanallah.

Pengajaran yang kita dapat dari semua itu - jangan peduli apa orang kata jika apa yang kita hendak lakukan itu kita pasti ada manfaatnya untuk kita dan orang lain. Jangan tangguhkan kebaikan yang kita hendak lakukan, bimbang jika kita tidak sempat melakukannya.


Sunday, March 15, 2009

Cuti

Abang posing

Adik pun sama...

Dalam kesibukan suami dengan PhDnya, dia sempat membawa saya dan anak2 ke Shah Alam awal cuti sekolah Sabtu yang lepas. Kami menginap di Hotel Uitm, selesa, anak2 amat seronok kerana ianya luas.
"Lain kali ayah sewa hotel ni lagi ye, abang suka sangat sebabbiliknya besar", biasalah anak lelaki kami, paling pandai membodek ayahnya.

"InsyaAllah, abang do'alah kat Allah next time kita dapat bercuti lagi dan sewa hotel ni", ayahnya menjawab.

"Ye...", balas abang sambil berbaring di atas katil.

Pemandangan di Taman 4 Musim


Satu pemandangan indah yang lain


Sebelumnya kami ke Taman Bukit Cahaya Seri Alam. Masa saya belajar dulu dipanggil Bukit Cerakah. Kami hanya melawat ke Taman Iklim Sederhana Empat Musim. Sekarang ni awal musim bunga, suhu 7-12 darjah Celcius. Subhanallah...cantiknya bunga2 yang sedang berkembang. Bayaran masuk amat berpatutan, RM3 untuk dewasa, RM1 untuk kanak2 bawah 12 tahun.

"Yah, kita datang lagi bila musim salji, ye yah", pujuk kakak kepada ayahnya.

"InsyaAllah", balas ayahnya.

"Adik pun nak ikut! Adik pun nak ikut!", sampuk dik Yam.

"Heeee...abang dah kesejukan ni!!!", kata abang girang.

Perasaan saya? Gembira jika anak2 gembira dan seronok. Paling utama anak2 tahu semua itu menunjukkan kehebatan dan kebesaran Allah. Walaupun ia adalah buatan manusia, tetapi semuanya berlaku adalah dengan izin-Nya.

Petang kami ke KL Sentral dengan menaiki komuter. Anak2 amat seronok. Orang terlalu ramai di KL Sentral. Abang terpisah dari kami. Berderau darah bila sedar abang tiada bersama kami. Katanya dia mahu mengikut saya ke tandas bersama kakak, sedangkan saya tidak menyedarinya. Ayahnya pula sibuk dengan dik Yam yang dah mula terjerit2. Hati mula dilanda gelisah sambil tak berhenti berdoa. Subhanallah!!! Mata melilau mencari, terpandang abang sedang berdiri bersama seorang pengawal di pintu depan. Dia juga terpandang saya, berlari meluru kepada kami lalu tangisnya berderai. Ia satu pengajaran untu kami sekeluarga. Alhamdulillah....hati saya tidak putus2 memuji-Nya.

Balik hari Ahad, kami singgah di Putrajaya. Ramai sangat pengunjung. Kami bersolat jamak qasar di Masjid Putrajaya.

Sampai di rumah, hampir Maghrib. Penatnya badan hanya Allah yang tahu. Tapi anak2 seronok dan gembira nampaknya. Alhamdulillah.