Tuesday, July 27, 2010

Anak2 Kita

Saya selalu menghantar mesej ringkas kepada anak2 buah saya yang remaja untuk bertanya khabar, memberi sedikit nasihat dan bertanya tentang perkembangan terbaru mereka. Baru2 ini saya menghantar mesej berbentuk nasihat supaya masing2 pandai menjaga diri serta berhati2 dalam setiap tindakan yang akan dilakukan. Semuanya membalas mesej dengan ucapan terimakasih tetapi di hujung mesej mereka bertanya semula kenapa saya menasihati demikian. Saya membalas semula - kerana hidup remaja pada hari ini penuh dengan dugaan iman dan pancaroba - pergaulan bebas, mendedah aurat sesuka hati, arak, rokok, dadah, hiburan melampau dll.

Saya menjadi sedikit terkejut lalu terfikir, agaknya anak2 buah saya dan ramai remaja di luar sana tak perasan pun akan kecelaruan kehidupan di sekeliling mereka sekarang. Sedangkan kehidupan hari ini umpama buaya lapar atau harimau lapar yang sentiasa menunggu untuk membaham mangsanya. Ya Allah....Sebagai seorang ibu, senario ini amat membimbangkan saya.

Menurut kajian terbaru UPM, 3/4 dari responden remaja Melayu di bandar dan di luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas, dengan kira2 85% daripada mereka yang melakukan perbuatan itu bukan sahaja tidak kesal, malu atau takut dari dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan (Sumber: Berita Minggu, 20 Jun 2010).

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat pula, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008 (Sumber: Berita Minggu, 25 Julai 2010).

Ya Allah...Kau peliharalah dan jauhkan anak2 kami dari akhlak yang buruk....Sebagai ibubapa, kita kena ada rasa cemburu dengan keselamatan anak2 kita tatkala mereka di luar bersama rakan2. Adakalanya kita telah mendidik mereka, tetapi mereka terjumpa rakan2 yang membawa pengaruh buruk lalu terikut2...dan terlalu banyak sebenarnya ruang2 keburukan dan kejahatan yang menanti anak2 kita. Na'uzubillah.

Marilah kita berusaha sesungguh hati untuk mendidik anak2 kita supaya tidak terikut2 dengan dunia remaja hari ini yang penuh dengan keseronokan untuk hawa nafsu. Selalulah kita berdoa kepada Yang Maha Memelihara, agar Dia memelihara dan menjaga kita dan anak2 kita dari godaan dunia yang menipu ini. Marilah kita didik hati kita dan anak2 kita supaya merasai adanya pandangan Allah walau kemana pun kita pergi.

Ya Allah...kepada-Mu aku memohon keampunan.

No comments: