Friday, April 30, 2010

Saling Memahami

"Kenapa 3-4 hari yang lepas umi banyak diam? Cakap dengan ayah pun taknak pandang muka ayah. Ayah tengok umi pun umi pandang tempat lain?", suami bertanya lembut.

"Entah...rasa malas nak tengok ayah dan malas nak cakap banyak...tapi hari ni dah tak rasa gitu...ok dah".

"Marah dengan ayah ke?".

"Tak la, yah...cuma malas nak cakap. Umi rasa bukan umi sorang yang rasa macam ni...kakak2 umi pun ada cakap, kawan2 perempuan umi pun ada cakap kadang2 dia orang pun rasa malas nak cakap dengan suami masing2...bukan marah...cuma tak rasa nak cakap banyak macam selalu. Umi rasa semua ni berkaitan dengan hormon orang perempuan. Dulu dalam seminar keluarga yang umi ikuti, ahli panel tu ada cakap orang perempuan ni kaya dengan hormon".

"Ye? Takpelah...ayah tanya je...sebab ayah rasa ayah tak buat sesuatu yang patut buat umi marah. Jadi kalau berlaku lagi macam tu, apa ayah patut buat?".

"Ayah buat macam biasa...tapi jangan banyak cakap dengan umi macam selalu, sebab waktu tu memang tengah malas nak cakap...nanti lama2 baik sendiri...cuma ayah kena sabar, lagipun ia cuma 2-3 hari...".

"Ok, ayah faham".

**********************

Dalam satu seminar keluarga yang saya ikuti, ahli panel (seorang doktor lelaki) menasihatkan para suami supaya memahami isteri2 mereka. Katanya, semakin usia meningkat, tahap hormon akan berubah dan ini akan mempengaruhi emosi. Suami kena memahami emosi isteri dalam keadaan tertentu seperti sewaktu sebelum, sedang dan selepas haid.

Perbincangan di antara suami dan isteri tidak akan berhenti selagi kedua2nya masih suami isteri, walau sesulit mana pun perbincangan itu.

Saya bersyukur dan rasa beruntung kerana suami saya seorang yang suka untuk di bawa berbincang. Kami sering berbincang tentang banyak perkara.

Isteri kena tahu apa keperluan suami dan begitu juga sebaliknya. Pemahaman ini akan hanya berlaku melalui perbincangan. Jika masing2 tidak tahu apa kehendak /keperluan pasangan, bagaimana keharmonian akan wujud? Bila tiada keharmonian dalam rumahtangga, ia juga akan turut menjejaskan emosi anak2. Masalah wujud di mana2, tapi ia bergantung kepada bagaimana kita berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Hari ini, jika diamat-amati, ramai pasangan yang tidak mahu berbincang secara serius tentang masalah di dalam rumahtangga. Mungkin masing2 beranggapan masalah2 itu kecil dan akan selesai sendiri dengan berlalunya masa. Mereka lupa masalah2 kecil ini bila dibiarkan pasti ia akan menjadi lebih besar. Lebih malang lagi jika suami dan/atau isteri itu akan mencipta masalah lain di luar lingkungan rumahtangga mereka. Jika ini berlaku, keadaan pasti akan menjadi lebih rumit.

Suami adalah orang yang paling utama kena sabar dalam rumahtangga, kerana dia ketua...tapi ini bukan bermakna isteri mengambil kesempatan atas kesabaran suami (nasihat untuk diri sendiri!!). Bayangkan jika suami tanpa usul periksa terus melepaskan kemarahan kepada isteri jika mendapati isterinya bersikap acuh tak acuh kepadanya, pergaduhan pasti berlaku.

Di samping perbincangan, kita juga boleh memahami pasangan kita melalui pembacaan. Hari ini, banyak buku2 yang baik yang boleh kita jadikan panduan dalam melayari bahtera rumahtangga.
Jangan lupa berdoa, ini yang sering kita lupakan. Allah Yang Maha Memberi, berdoalah dengan sesungguh hati agar rumahtangga yang kita bina itu sentiasa ada mawaddah wa rahmah. Wallahua'lam.

No comments: