Monday, October 4, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (7)

Assalamualaikum adik2ku. Semoga rahmat Allah untuk kalian. Selawat untuk junjungan Rasulullah saw, ahli keluarga serta sahabat baginda.

Lama aku tidak menulis untuk kalian, namun ingatan dan doa tetap ada untukmu. Kemana pun aku pergi, aku sentiasa ingat kepada kalian. Aku sentiasa rindu untuk bertemu kalian.

Adik2 yang aku kasihi kerana-Nya, apabila kita kasih kepada seseorang, kita yang sentiasa mendoakan dan mengharap yang baik untuknya...ini termasuk dalam hubungan kita sesama rakan, adik beradik, apatah lagi suami isteri serta anak2.

Untuk adik2 yang bakal berumahtangga, janganlah kalian berhenti berdoa agar ditemukan jodoh yang baik, lebih2 lagi jodoh dari kalangan orang yang menjaga agamanya dalam kehidupan. Pilihlah calon yang mempunyai asas kefahaman Islam yang baik, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk memikul amanah selepas perkahwinan. Tujuan utama perkahwinan adalah dalam rangka kita beribadah kepada Allah, bukan atas sebab yang lain.

Adik2 yang aku rindui, ingatkah kalian kepada fenomena novel cinta Islam "Ayat-ayat Cinta"?. Kita pasti dibuai dengan kesolehan Fahri yang memegang watak utama di dalam novel itu, kan? Watak Fahri tidak mustahil dalam dunia realiti ini, adik2ku. Ia adalah watak setiap lelaki beriman yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sebuah perkahwinan.

Lelaki beriman tidak akan mensia2kan isteri dan anak2nya. Lelaki beriman akan menzahirkan kasih sayang, bergaul secara baik, bertanggungjawab, bertolak ansur, suka berbincang, menjaga rahsia keluarga, serta banyak lagi akhlak baik yang akan dicernakan dalam rumahtangganya.

Sabda baginda saw yang bermaksud :'Sesungguhnya lelaki mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak2nya'. (HR Tirmizi).

Bagaimana pula dengan kita sebagai isterinya? Taqwa kepada Allah adalah yang utama. Bila kita bertaqwa tentu tidak sukar untuk kita taat kepada suami (selagi tidak bertentangan syarak), berhias hanya untuk suami, cinta dan kasih suami, menjaga kehormatan dan harta tatkala ketiadaan suami di sisi, menjaga rahsia rumahtangga, mengurus rumahtangga, ada izin suami untuk keluar rumah untuk tujuan yang diharuskan.

Sabda baginda saw yang bermaksud : 'Sebaik2 perempuan (isteri) ialah apabila kamu menatap wajah kepadanya, akan menggembirakan hati kamu, dan bila kamu suruh dia mengikut perintah kamu, bila kamu bersumpah keatasnya dia berbuat baik terhadap kamu, dan bila kamu tiada dia menjaga diri dan harta kamu'. (HR Tirmizi).

Adik2 yang aku harapkan kebaikan untuknya, berdoalah selalu agar kalian terhindar dari cinta palsu dan buta. Cinta palsu dan buta akan membuat kita derita dan sengsara. Berdoalah selalu agar iman kalian terjaga dan terpelihara....dengan iman sahaja kita akan mampu untuk menjaga langkah kita kerana kita akan merasai Dia sentiasa melihat kita.

Setakat ini dulu adik2ku. Mudah2an Allah izinkan aku untuk menulis di kesempatan yang lain. Sehingga ke detik itu, marilah kita saling mendoakan kebaikan sesama kita agar kita terpelihara dari kejahatan dan keburukan. Sekian, wassalam.

No comments: