Monday, October 17, 2011

Mawaddah wa rahmah

Lama kami mahu bertanya di mana suaminya. Dia penjual ikan di pasar malam berhampiran tempat tinggal kami. Seorang perempuan Cina pertengahan umur. Sentiasa senyum. Sekarang dia berjualan hanya ditemani anak2 secara bergilir.


"Kak, nak tanya boleh?", saya memberanikan diri. Bimbang juga andai dianggap saya ni 'busy body'. Sengaja saya menyapanya 'kak' sebagai tanda hormat saya kepadanya.


Dia senyum,"Ye?".


"Mana suami kak? Lama saya tak nampak?".


"Dia sudah mati...", perlahan dia menjawab. Ada riak sedih di wajahnya. Anaknya juga kelihatan sedih.


"Ooo...minta maaf", segera saya meminta maaf kepadanya.


"Tak apa".


"Tapi dia sakit apa? Saya nampak dia sihat masa jual ikan dulu", saya masih mahu menyibuk.


"Barah otak. Mula2 sakit kepala. Bawa ke hospital doktor kata sudah 'stage 4'. Ada lebih kurang setahun berubat...sebelum dia mati. Sekarang sudah masuk empat tahun".


Empat tahun? Lama sungguh saya menunggu untuk mengetahui apa yang berlaku.


"Maaf ye, kak...tapi saya sudah lama nak tanya kak".


"Tak apa..", dia masih senyum waktu saya meminta diri untuk ke kereta.


Saya selalu merenung diri. Saya beruntung punya suami yang boleh berkongsi suka duka dalam melayari bahtera kehidupan. Dalam dunia penuh pancaroba hari ini, kerjasama suami dan isteri untuk menghadapinya amat diperlukan. Suami ada peranan dan tanggungjawabnya, begitu juga dengan isteri. Anak2 juga perlukan kedua2 ibubapanya untuk mereka belajar tentang kehidupan.


Suka duka dalam rumahtangga, silih berganti. Sewaktu suami berduka atau ada masalah melanda, isteri menjadi tempat untuk bercerita...begitu juga sebaliknya. Dari situ insyaAllah pasti wujudnya 'mawaddah wa rahmah' yang setiap pasangan inginkan.


Suami saya pernah bercerita, sewaktu dia menghadiri pernikahan seorang rakannya beberapa tahun lepas. Tok imam yang menikahkan antara lain menasihatkan pasangan supaya tinggal bersama selepas bernikah kerana katanya,"'Mawaddah wa rahmah' tidak akan datang jika suami isteri tinggal berjauhan". Ketika itu memang keduanya terpisah oleh jarak-seorang di utara, seorang di selatan.

Allah sebaik2 tempat meminta. Allah Maha Mendengar dan memakbulkan doa hamba-Nya. Sentiasalah kita berdoa supaya rumahtangga yang kita bina ada 'mawaddah wa rahmah'nya setiap masa.

Untuk adik2 perempuanku yang jodohnya bakal tiba, insyaAllah, fikir2kanlah apa yang aku tuliskan ini. Jangan semuanya "Tak apa duduk berjauhan, jauh kan bau wangi..."...jika masih belum punya cahayamata mungkin keadaan seumpama berbulan madu bila jumpa sesekali. Bila telah punya anak2 tanggungjawab semakin bertambah dan suami dan isteri itu saling memerlukan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Anak2 kita adalah tanggungjawab kita, bukan ibubapa kita di kampung.

Aku mohon keampunan-Mu, Ya Allah.

Adik takut!!

Ayah membacakan hadis berikut dalam halaqah keluarga semalam.

Hadis yang bermaksud, Daripada Aisyah ra berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga seorang anak menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya), dan hujan akan menjadi panas, dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, dan anak2 menjadi berani melawan orang2 tua dan orang2 yg jahat berani melawan orang2 yg baik".

Sedang ayah mengupas hadis ini untuk anak2 faham, tiba2 adik Yam menangis. Menangis yang bersungguh2. Halaqah terhenti sebentar.

"Kenapa adik menangis?".

"Adik takut hari kiamat dah dekat. Adik selalu lawan cakap umi!!", dia menjawab sambil tersedu2.

"Takpe...lepas ni adik jangan lawan cakap umi ye...Allah suka kalau adik dengar cakap umi", ayahnya memujuk.

"Tapi umi selalu marah adik kalau adik buat salah!!".

"Ok, umi dan ayah janji, tak akan marah2....semua orang pun tak boleh marah2, kan?", ayahnya masih memujuk. Adik mengangguk dan mula reda tangisannya.

Selesai halaqah, umi peluk adik dan adik peluk umi, "Umi minta maaf, ye dik...tapi adik jangan nakal lagi tau", adik angguk.

Anak2 memang bersih hatinya. Cuma kadangkala saya yang kurang sabarnya dalam menghadapi anak2 yang 'tak tahu duduk diam' seperti anak2 kami. Seringkali mereka dimarahi...terutama jika saya kepenatan.

Maafkan umi, adik. Maafkan umi, abang. Umi masih belajar untuk jadi orang sabar. Ya Allah, ampunkan aku.

Monday, October 3, 2011

Kenapa tak bagi tahu?

Kita biasa dengar.

"Kenapa tak bagi tahu ada kenduri? Boleh kami datang kalau kami tahu"....bila dijemput untuk kenduri berikutnya, tak pula datang,"Maaflah, kami ada hal lain masa tu".

"Kenapa tak bagi tahu murid2 sekolah lain boleh ikut program ini? Ramai ibubapa dari sekolah saya yang bertanya". Bila ada program motivasi berikutnya dan dibuka untuk pelajar2 dari sekolah lain, lain pula alasannya,"Ramai yang kata bayaran mahal".

"Kenapa tak bagi tahu ada khemah ibadah untuk anak2 masa cuti? Jika tahu, bolehlah anak saya ikut serta". Bila diberitahu, "Tak dapat ikut serta, kami balik kampung ada kenduri".

Begitulah. Kita selalu menyalahkan dan dalam masa yang sama kita sering mencari2 alasan.

Ia adalah sikap yang perlu diubah. Dulu saya tak begitu faham kenapa orang dulu-dulu buat lagu 'bangau oh bangau'. Rupa-rupanyanya lagu ini menggambarkan tentang orang yang selalu mencari alasan dan suka meletakkan kesalahan kepada orang lain. Kini, saya dan suami saling ingat-mengingatkan supaya tidak bersikap demikian.

Belajarlah untuk bersikap berlapang dada dan berhenti menyalahkan orang lain kerana tidak dibagi tahu dan mencari2 alasan lain pula jika diberitahu.

Kita ada seribu satu macam alasan untuk diberi tapi bukankah diam itu lebih baik. Mari kita sama2 muhasabah diri.

Tuesday, September 27, 2011

Cinta dan Kasih Sayang (7)

Saya pernah terbaca kisah seorang surirumah yang sepanjang hari tidak melakukan kerja2 rumah kerana suaminya sering mengatakan seorang surirumah tiada kerja dibuat dan hanya duduk rehat2 di rumah. Apabila suaminya balik dari bekerja pada petang hari, dia terperanjat kerana rumah bersepah, baju dan pinggan mangkuk tidak berbasuh, kain tidak berlipat, anak comot, tiada makanan terhidang...Isteri dengan lembut berkata kepada suaminya,"Inilah yang abang kata surirumah macam saya ni hanya duduk rehat2. Abang tengok sendiri, kan. Hari ini betul2 saya rehat. Saya tak buat semua kerja yang saya buat selama ni". Suaminya kelu tanpa bicara. Ternyata, dia silap selama ini.

Semalam saya juga mendengar kisah yang hampir sama dari seorang teman. Hakikatnya, hanya surirumah yang faham surirumah yang lain.

Seorang teman rapat, selalu mengingatkan buatlah kerja2 rumah dengan seikhlas hati dan dalam rangka beribadah kepada Allah, supaya surirumah tidak bergaji mendapat ganjaran hanya dari Allah. Saya selalu ingat kata2nya.

Saya rasa bersyukur dan beruntung kerana suami tidak pernah mempersoalkan apa yang saya buat di rumah. Dia membantu jika berkesempatan...menyidai kain, membasuh, melipat kain, mencuci pinggan, menggosok baju, memasak...semua dilakukan tanpa rungutan. Di waktu2 saya kurang sihat, dia melakukan semuanya.

Semua ini sebenarnya akan mengeratkan lagi kasih sayang yang ada di antara suami isteri. Mungkin ada sesetengah suami yang memang tidak pandai untuk membuat kerja2 rumah, faham dengan kerja2 isteri di rumah pun rasanya sudah memadai. Jangan diperkecilkan tugas dan peranan seorang surirumah.

Bagi saya, juga teman2 rapat yang sama seperti saya, tiada gaji yang kami harapkan. Semuanya mengharap Allah redha dengan bakti yang kami curahkan untuk suami dan anak2.Teman rapat yang sama mengatakan, jika ada sekeping note RM100/- di dalam dompet pun dah cukup kaya rasanya, lebih2 lagi jika suami mampu menyediakan semua keperluan...tidak perlu mewah....cukup sekadar kemampuan yang ada. Alhamdulillah.

Sunday, September 18, 2011

Cinta dan Kasih Sayang (6)

Kata ustaz Muhammad Abdullah dalam Radio Ikim...bagaimana kita melihat dan menerima pasangan kita, begitulah juga bagaimana kita menjalani kehidupan berumahtangga. Dalam maksudnya.

"Dulu masa ayah pilih umi untuk jadi isteri, cantik masuk dalam senarai tak?".

"Masuk, tapi bukan yang utama", suami senyum tapi mungkin tak sangka saya akan bertanya begitu. Saya sengaja mengusiknya.

"Umi pilih ayah sebab agama".

Kami bersembang dalam perjalanan balik dari menghantar kakak ke asrama. Perbualan2 santai dan adakalanya lucu, sambil mengimbau cerita2 lama, adakalanya lebih memahamkan kita akan pasangan kita. Kami suka bercerita dan berbincang banyak perkara setiap kali bermusafir kerana di dalam kereta kita hanya duduk dan tidak sibuk dengan kerja lain. Sesekali ajak anak2 sekali berbincang tentang banyak perkara dalam kehidupan.

Benar kata Rasulullah saw-jika kita memilih agama kita akan selamat.

Tidak dinafikan, kehidupan rumahtangga adakalanya berbeza pendapat. Orang kata sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri. Tetapi perbezaan2 itu akan jadi lebih mudah untuk kita temui titik persamaannya jika kita balik kepada agama.

Kecantikan akan pudar. Banyak harta tidak menjamin bahagia. Tetapi dengan agama, kita akan rasa kita ada Tuhan iaitu ALLAH, kita tahu kita ada tugas dan tanggungjawab. Tanggungjawab akan jadi lebih mudah jika masing2 bertanggungjawab dan saling membantu untuk saling melengkapi kekuatan dan kelemahan masing2.

Kita tidak sekadar ingin bahagia di sini, tetapi kita pastinya mengharapkan bahagia juga di 'sana'. Bercinta dan berkasih sayanglah hanya kerana-NYA, insyaAllah kita akan mengecap nikmat bahagia.

Tuesday, July 12, 2011

Kawan Baik

"Kakak belum ada kawan baik macam di sekolah dulu, la yah", kakak meluahkan rasanya kepada ayahnya. Saya hanya mendengar. Ada perkara2 yang kakak memang lebih suka untuk berbincang dgn ayahnya.

"Kawan yang ada sekarang kan ramai...", kata ayahnya.

"Ye laa...dan memang diorang tu baik semuanya...tapi kakak nak macam sekolah rendah dulu...banyak boleh bincang sama2, belajar sama2....yang sekarang ni tak sama la, yah", sedih je bunyinya.

"Doalah...kakak doa supaya Allah jumpakan kakak dgn kawan yang kakak nak", ayahnya memujuk.

Hmmm...bertambah lagi koleksi doa kami...supaya Allah jumpakan kakak dengan kawan rapat yang baik yang boleh belajar bersama, berkongsi susah dan senang di asrama.

Kami pun memang menyedari hal ini...kakak rindu saat2 seperti dia di sekolah rendahnya dulu...dia ada 'study group'nya sendiri dengan beberapa orang rakan sekelasnya, sentiasa bersaing sesama mereka secara positif, sentiasa menjadi rujukan rakan2 lain dari kumpulan yang lain...dan kakak serta rakan sekumpulannya gembira dan ceria menikmati zaman pra remajanya itu. Saya tahu adakalanya mereka juga berbincang tentang proses remaja yang sedang mereka lalui dan kakak biasanya akan bercerita kepada saya apa yang mereka bincangkan.

Sabarlah, kak...umi dan ayah selalu doakan yang terbaik untuk kakak dan adik2. Mudah2an Allah jumpakan kakak dengan kawan baik seperti yang kakak harapkan selalu. Ameen.

**************************

Dua tahun lepas saya 'bertemu' semula dengan salah sorang kawan rapat sewaktu di sekolah rendah dan menengah.

Awal bulan Jun 2011 seorang lagi kawan rapat 'terjumpa' saya pula di fb.

Hati terasa riang setiap kali dapat berbalas mesej melalui fb dgn mereka berdua. Kami bukan remaja nakal, tetapi kami cuma nakal di antara kami sahaja. Semuanya buat saya tersenyum kembali setiap kali teringat kisah dulu2 sewaktu bersekolah.

Apabila berjumpa mereka semula, walaupun hanya melalui fb, ya Allah...sebenarnya ada rindu yang terpendam terhadap mereka!! Cuma mungkin perpisahan lebih 20 tahun dulu disebabkan oleh kesibukan masing2 mengurus kehidupan.

Jadi bila kakak asyik duk kata, dia belum ada kawan baik, walaupun semua rakan sekolahnya baik2 belaka, saya tahu apa rasanya. Ia seperti ada ruang kosong dalam diri yang perlu diisi. Di situlah pentingnya untuk kita memastikan anak2 kita berkawan dengan rakan2 yang baik dan positif...kerana kita ini dinilai dengan siapa kita berkawan.

Fiza, Ain..terimakasih kerana menjadi kawan yang baik untuk saya dari dulu. Jarak bukan halangan untuk kita berhubung sekarang. Semoga Allah sentiasa memberi taufik dan hidayahNya kepada kita sehingga kita dipanggil pulang. Kematian rakan2 yang kita kenali adalah tazkirah untuk kita yang tinggal...entah esok entah lusa kita juga akan ke 'sana'.

Saturday, July 2, 2011

Filem Mendidik?

Seumur hidup ini, saya tidak pernah memasuki mana2 panggung wayang. (Mudah2an Allah terus pelihara saya dan keluarga saya dari melangkah ke tempat seperti itu).

Cuma sesekali terbaca tentang filem2 yang dibuat di Malaysia mutakhir ini. Kebanyakan pengarah dan penerbitnya saya dapati mencanangkan sisi positif tentang filem yang mereka hasilkan.

"Saya mahu penonton insaf....".
"Saya harap penonton mengambil pengajaran baik....".
"Saya mahu penonton memahami mesej Islam yang dibawa...."....dan seribu satu macam alasan dan kata2 manis dari para penerbit dan pengarah filem tentang filem mereka.

Apa yang lucunya, pengarah akan memfokuskan 'perkara baik2' dalam filemnya hanya untuk penonton. Kenapa dia tak kata,"Saya pun nak berubah menjadi baik...begitu juga saya harapkan kepada para pelakonnya"?.

Penonton pun terbuailah dengan cerita2 hebat(kononnya) yang mereka tonton.

Para pelakon pun kembang kuncup bila menerima pujian tentang hebatnya dia berlakon.

Pernahkah kita jumpa orang berubah menjadi baik hanya dengan menonton filem? Rasanya yang lebih banyak ditiru adalah lakonan2 negatif yang dipaparkan di skrin....merempit, mendedah aurat, arak, zina, rokok, ....dan seribu satu macam kerosakan yang dibawakan oleh filem.

Kadang2 kita sendiri membaca pembawa watak2 baik dalam filem lakonan mereka mempunyai kehidupan sebenar yang lepas bebas tanpa menghiraukan batas2 agama...na'uzubillah.... Itukah yang mahu dijadikan contoh?

Begitu juga cerita2 tahyul dan sihir yang boleh membawa kepada syirik...na'uzubillah...menjadi sebuah hasil seni,kononnya, yang dibanggakan. Ada pula tertulis di setiap permulaan cerita tentang bahayanya syirik dan kononnya menasihatkan penonton supaya tidak mengikut/meniru perbuatan syirik tersebut. Jika betul orang2 yang terlibat ini tidak mahu orang lain syirik, janganlah buat filem/drama seperti itu. Kenapa perlu berpura2?

Penerbit, pengarah, para pelakon, penulis skrip dan siapa sahaja yang terlibat dalam pembikinan filem akan gembira jika kutipan tiket berjuta2 ringgit mereka perolehi, tetapi mereka lupa mereka ada saham untuk mengajak manusia lain ke neraka...Na'uzubillah.

Hidup kita ada Pengarahnya. Ikut sahaja apa yang DIA arahkan kepada kita melalui risalah yang disampaikan oleh Rasul-Nya...insyaAllah selamat dunia dan akhirat.

Kerja2 Islam banyak dan berat. Kenapa perlu lagi mencari2 kerja yang tidak mendatangkan apa2 kebaikan di dunia dan apatah lagi di akhirat?. Daripada duk sibuk perah otak untuk hasilkan 'filem yang baik' kenapa tak tukarkan sahaja kesibukan itu untuk memahami Islam? Carilah ilmu2 Islam yang pasti mendatangkan kebaikan untuk dunia dan akhirat kita.

Tepuk dada tanya iman.

(Di rumah juga ada panggung wayang. Tanpa perlu melanggan stesen tv berbayar pun kami bimbang dengan apa yang anak2 tonton di televisyen. Begitu juga dengan internet. Sebab itulah kami tidak meletakkan televisyen dan komputer berinternet di dalam bilik. Sekurang2nya mudah untuk kami memantau apa yang anak2 kami lihat di televisyen dan internet. Ia bukan cara terbaik, tapi itulah usaha kami. )

Wednesday, June 29, 2011

Barang Berharga

Suatu ketika, rumah seorang teman rapat di Shah Alam dimasuki pencuri. Ketika saya berkesempatan mengunjunginya beberapa hari selepas peristiwa itu, saya telah bertanya kepadanya, "Ada barang berharga yang pencuri tu dapat ambil, kak?".

Teman saya menjawab,"Tiada yang lebih berharga daripada iman dan Islam, Ta. Akak tak sedih pun dengan apa yang pencuri tu ambil".

Peristiwa itu berlaku lebih sepuluh tahun lepas, tetapi kata2nya masih saya ingat. Amat benar apa yang disebutkan oleh teman itu....tiada yang lebih berharga dari nikmat iman dan Islam.

Kepada anak2, kami selalu kongsikan kata2 itu. Tidak berguna hidup jika tiada iman dan bukan Islam yang menjadi cara hidup. Ketiadaan kedua2nya dalam hidup pasti menjerumuskan manusia ke dalam tempat yang paling dahsyat iaitu neraka. Na'uzubillah.

Kepada anak2 juga kami selalu ingatkan, tiada gunanya hidup jika tidak kenal Allah, Rasul-Nya dan Islam dan ianya merupakan kejahilan yang paling bahaya.

Apa yang disebut sebagai jahiliyah adalah apabila kita menolak Allah sebagai Rabb(Tuhan) dan Illah(sembahan), menolak Rasulullah sebagai contoh teladan serta menolak Islam sebagai cara hidup.

Dalam dunia serba materialistik hari ini, segala2nya diukur mengikut acuan material...seolah2 hidup tidak bahagia jika tiada harta, pangkat, kedudukan dan seribu satu macam habuan dunia yang tiada nilai sedikit pun di sisi Allah. Masa banyak dihabiskan untuk memuaskan hati dan nafsu semata2....hinggalah tanpa disedari rupa2nya nyawa telah hampir untuk diambil kembali...

Selalu kami bercakap kepada anak2, Islam bukan setakat menunaikan Rukun Islam yang lima. Islam adalah cara hidup kita. Apa guna suka bersedekah jika rasuah? Apa guna berjaya dan berkedudukan jika tidak cinta kepada ibubapa? Kenapa masih melakukan perbuatan keji dan mungkar walaupun sembahyang lima waktu tak tinggal? Kenapa masih tidak menjaga aurat dan batas pergaulan walaupun rajin berpuasa? Soalan2 ini yang sering kami sebutkan kepada anak2 supaya mereka memahami bahawa Islam berada bersama2 dengan kita dalam setiap keadaan.

Orang selalu kata,"Dia bagus orangnya, sembahyang lima waktu tak tinggal...puasa tak pernah ponteng...". Bukankah sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan Rukun Islam yang lain itu memang WAJIB dilaksanakan dalam kehidupan kita? Jika Rukun Islam dilaksanakan tetapi AKHLAQnya buruk, bolehkah kita mengatakan dia orang yang baik? Jika begitu, bermakna Islam masih belum menjadi cara hidupnya kerana Rasulullah itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq mengikut acuan Allah bukan mengikut hawa nafsu manusia.

Islam kena difahami dan dipelajari sebagaimana Rasulullah mengajar para sahabat. Susah untuk memahami Islam dengan hanya membaca buku atau ceramah2 bebas, sebagai contoh. Ia kena ada perbincangan dalam kelompok2 kecil yang biasanya kita panggil usrah.

Islam susah difahami dengan hanya adanya dakwah. Ia mesti ada DAKWAH dan TARBIYYAH (pendidikan). Hati perlu dididik untuk memahami dan menerima Islam.

Islam bukan hanya untuk ustaz dan ustazah. Saya mengenali ahli arkeologi, arkitek, akauntan, doktor, peniaga berjaya, kerani,orang biasa2 ....yang kenal Islam, yang berdakwah dan mendidik manusia supaya kenal Allah, Rasul-Nya dan Islam...MasyaAllah!

Thursday, June 16, 2011

Lupa

"Kenapa ayah beli kelapa?".

"Kan umi pesan tadi beli kelapa".

"Ye ke? Umi rasa umi sebut roti untuk anak2!".

"Betulll...umi sebut kelapa. Mungkin dalam fikiran umi ingat roti, tapi tersebut kelapa masa beritahu ayah".

Hmm...betullah dah tua saya ni. Ini bukan pertama kali ingat lain tersebut lain. Banyak kali.

'Kehidupan bermula di usia 40'- itu yang biasa kita dengar. Ia benar dalam konteks kehidupan di 'sana', saya rasa. Usia 40 sepatutnya menjadi satu 'turning point' untuk kita lebih serius memikirkan kehidupan selepas mati. Cuma ujian keduniaan di usia 40an biasanya lebih...misalnya kedudukan dalam jawatan mula menuju ke puncak, maka akan sibuklah kita dengan perkara yang berkaitan dengan jawatan. Atau di waktu2 itu anak2 juga semuanya sedang bersekolah, maka suri rumah macam saya ni pun jadi sibuk juga memikirkan hal anak2.

Sibuk. Sibuk. Sibuk. Sibuk jadi alasan untuk kita mengurangkan tumpuan kita kepada kehidupan selepas mati. Sedangkan, seperti yang selalu diingatkan, masa yang tinggal untuk kita hidup semakin pendek...tetapi bersungguh2kah kita untuk mencari redha-Nya dalam setiap urusan kehidupan dalam sisa usia yang tinggal?.

"Umi pakailah macam dalam iklan tu, supaya umi nampak muda. Nanti kawan2 umi pun tak kenal umi", usik anak2 bila saya selalu mengingatkan mereka yang saya ni dah tua dan kerap tersasul bila menyebut sesuatu. Saya tahu anak2 kami hanya bergurau.

Ya Allah, bantulah kami dalam urusan dunia kami. Sibukkan kami dengan urusan untuk mencari redha-Mu bukan urusan yang menjauhkan kami dari-Mu. Berkati kehidupan kami, di dunia dan akhirat. Jauhkan kami dari azab api neraka. Ameen, Ya Allah.

Tuesday, June 14, 2011

Cinta dan Kasih Sayang (5)

"Ayah rindu umi, la".

"Kenapa? Kan kita ada bersama?".

"Rindu untuk bercakap dan berbincang banyak perkara macam dulu. Ayah rasa sejak akhir2 ni ayah sibuk sangat dengan study ayah...sampai takde masa nak sembang dan bincang banyak dengan umi".

"Alaa...umi tak kisah ayah sibuk dengan study ayah. Umi cuma boleh bagi semangat, umi cuma boleh dengar apa yang ayah buat dengan kajian ayah...tak lebih dari itu".

"Tapi kesian umi dan anak2....".

Memang pun, waktu2 terakhir sebelum suami menamatkan tempoh pengajiannya sekarang, dia memang sedikit sibuk. Jika ada pun waktu kami selepas anak2 ke sekolah, kami bersarapan berdua. Selepas itu suami akan meneruskan kerja2nya di hadapan komputer dan saya dengan kerja2 rumah yang sedia menanti.

Sebagai isteri, seboleh2nya saya tidak mahu membebankan suami dengan permintaan atau perhatian yang berlebih2an. Cukup sekadar apa yang ada, kerana saya tahu, walaupun kami kurang berkomunikasi oleh kerana kesibukannya itu, saya dan anak2 tidak kehilangan kasih sayangnya. Saya dan anak2 sentiasa diambil berat olehnya.

Kita ada Allah Yang Maha Mendengar. Kadang2 saya rasa beratnya pengajian yang sedang suami lalui sekarang. Siapa lagi untuk saya bermohon kalau bukan kepada-Nya. Saya juga selalu berharap saya tidak menyusahkannya.

Kasih sayang dan rasa cinta di antara suami isteri dan anak2 kena sentiasa dipupuk. Bukan tiada ujian dalam rumahtangga, tetapi doa dan harapan yang dipohonkan dari-Nya tidak boleh berhenti.

Memetik dari tulisan Saudara Pahrol Mohamad Juoi tentang perkahwinan. Katanya, perkahwinan hakikatnya bukan hanya penyatuan fikiran, perasaan dan badan sahaja, tetapi ia adalah penyatuan hati. Hati pula rencam sifatnya dan sering berubah2. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk menyatukan hati sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Anfal : 63 yang bermaksud, "Jika kamu membelanjakan segala yang ada di bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi Allah jualah yang menjinakkan hati antara hati2 mereka". Jangan hanya memikirkan tentang kecantikan, kekayaan dan keturunan untuk mencapai kebahagiaan dalam rumahtangga. Tanpa iman, segala2nya boleh bertukar menjadi bencana.

Setiap dari kita pasti mengharapkan rumahtangga yang bahagia. Niat dan asas yang benar semasa mendirikan rumahtangga dulu adalah penentu kebahagiaan di masa akan datang. Hanya kepada Allah kita mengharapkan pertolongan.



Monday, May 9, 2011

Cerita kakak

Bulan pertama.

"Umi, ayah...kakak dah boleh baca surah al-Mulk tanpa tengok al-Qur'an bila baca ramai2. Kakak pun dah hafal Ma'thurat sughra...kadang2 kakak yang baca doanya".

"Kakak rasa kakak boleh hafal surah al-Mulk dan Ma'thurat tu tak kalau kakak duduk rumah...dengan tv dan komputer?". Kakak ketawa kecil.

Bulan kedua.

"Umi, kakak dapat markah tertinggi untuk Kemahiran Hidup".

"Matematik?".

"Anak cikgu yang ajar kakak Matematik dapat markah lebih sikit dari kakak...", sedikit kecewa bunyinya.

Bulan ketiga.

"Umi tahu...kakak dan Aqila ditugaskan bersihkan tempat kasut seminggu sekali. Kalau sampai giliran, kena tunggu semua orang pergi sekolah, baru boleh bersihkan. Ada sekali tu, kitaorang kena denda sebab datang lambat...kawan2 ada yang lambat pergi sekolah...jadi kitaorang pun terlambat kemas dan lambat ke sekolah".

"Hmm...bersih ke kakak sapu? Kat rumah tak pernah pun sapu sampah...", sengaja saya mengusiknya.

"Boleh la, Mi...".

Bulan keempat.

"Ayah, umi...esei Bahasa Inggeris kakak untuk Minggu Bahasa terpilih johan!!".

"Apa tajuk esei kakak?".

"The Importance of Knowledge...kakak tulis je apa yang kakak tahu...tak sangka pula kakak menang..", seronoknya dia.

"Alhamdulillah..".

.........

"Minggu kedua Mei, kakak periksa, mi".

"Baca la buku, buat ulangkaji dengan kawan2. Dulu kakak duduk rumah...umi dengan ayah boleh tunjukkan mana yang kakak tak tahu. Sekarang kakak jauh, ada cuma cikgu dan kawan".

"Ya...kakak dah buat ulangkaji dengan kawan2".

"Ingat! Kakak bukan biasa2 punya 'standard'...tapi kalau tak belajar, macamana nak dapat keputusan cemerlang, kan".

"Ya, kakak tahu...".

...........

Masuk bulan kelima kakak di asrama, dia semakin dapat menyesuaikan dirinya terutama bagi matapelajaran aliran agamanya yang semuanya dalam Bahasa Arab. Mujur ayahnya boleh faham Bahasa Arab, kakak banyak berbincang dengan ayahnya setiap kali berjumpa.

Kakak juga seorang yang mudah menyesuaikan diri dengan suasana sekitarnya. Kakak amat bersyukur kelasnya diasingkan di antara pelajar lelaki dan perempuan. Kami juga suka dengan sistem seperti ini. Sekurang2nya sebarang kemusykilan tentang hal2 yang berkaitan dengan remaja perempuan dapat dibincangkan dengan lebih mudah kerana tiada pelajar lelaki.

Kami tidak putus2 berdoa untuk kakak, abang dan adik...Mudah2an mereka menjadi manusia beriman dan berguna untuk Islam...serta mendoakan kami bila kami telah tiada nanti.

Ia tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk dilakukan dan dicapai.

Thursday, April 21, 2011

Mudahkanlah

Suami saya ditanya oleh seseorang baru2 ini, " Masa kahwin dulu, hantaran berapa?".

"RM$$$$", balas suami.

"Bukan ke orang Muar biasanya minta hantaran tinggi?".

"Takkk...bapa mentua saya baik. Dia tak minta pun banyak mana saya kena bagi". Kenalannya mengangguk2 faham.

Saya juga tak ambil tahu berapa bakal suami saya nak beri sebagai hantaran waktu itu. Kami juga tidak pernah menyebutkannya dalam perbincangan2 yang kami buat (bersama mahram) sebelum waktu pernikahan dan kenduri kami. Arwah abah juga tidak pernah bertanya saya tentang hal itu.

Alhamdulillah, semuanya Allah mudahkan walaupun tanpa hantaran yang mahal atau barang hadiah yang pelbagai. Semuanya biasa2 sahaja. Semua wang hantaran saya beri pada abah untuk perbelanjaan kenduri. Hari ketiga selepas kenduri, abah memberi sebahagian wang hantaran itu, "Buat belanja...", kata abah. Kami gunakan untuk membeli mesin basuh untuk rumah sewa kecil kami.

Orang kata, rumahtangga dibina. Betul. Kita belajar sedikit demi sedikit tentang kehidupan berkeluarga. Kita belajar memahami pasangan kita. Kita belajar untuk sama2 susah. Kita belajar untuk membuat keputusan bersama....pendek kata, semuanya bersama dari perkara kecil hinggalah perkara besar.

Apa yang untungnya, perkahwinan yang sederhana tanpa pembaziran, sebenarnya lebih membahagiakan. Apa tidaknya, kami tidak perlu fikirkan tentang hutang kerana kami (termasuk kelaurga kami) melakukannya menurut kemampuan yang ada. Kami tidak memikirkan "apa orang kata nanti?".

Senarionya amat berbeza hari ini. Ramai orang2 yang kami kenali, jika bercakap tentang hari perkahwinan, kata2 yang dipegang adalah "Kahwin hanya sekali"...lalu pembaziran pasti berlaku. Ibubapa sekarang juga jarang mengambil pendekatan 'memudahkan perkahwinan'. Wang hantaran yang disebutkan adakalanya membuat kami geleng kepala dengan persoalan, "Dari mana dia dapat duit sebanyak tu?...dengan nak buat kenduri lagi..".

Pensyarah kami dulu kata pelajar Accounting berfikiran konservatif. Mungkin betul kata2nya itu untuk kami berdua. Kami banyak berfikir dengan setiap tindakan yang akan kami buat. Ini termasuklah tentang perkahwinan. Kami tak fikir pun dulu "kenduri kahwin kita besar mana?"...tapi kami fikirkan "macamana kita nanti selepas bernikah?...kemana arah kita nak bawa keluarga kita?".

Anak2 kami dah mula besar. Sesekali kami berbincang, kami harap kami ibubapa yang memudahkan anak2 kami ketika sampai saatnya mereka berumahtangga kelak. Tapi sebelum tiba ke saat itu, BANYAK DAN BESARnya tanggungjawab dan kewajipan yang MESTI kami buat.

Ya Allah, bantulah kami. Mudahkan urusan hidup kami. Berkati ibubapa kami yang memudahkan urusan permulaan kehidupan berkeluarga kami. Ameen.

Monday, April 18, 2011

Umi kata tak elok...

"Bang, belikan umi suratkhabar, bang. Umi tunggu kat kereta".

"Ok, Mi. Upah?...hehe...".

Lima minit kemudian abang sampai di kereta dengan suratkhabar dan jajan di tangan. Saya mencapai suratkhabar sambil mengucapkan terimakasih....cuma seperti ada yang tak kena...tapi terus bergerak balik ke rumah.

Sampai di rumah, saya membelek suratkhabar mingguan tersebut. Hmm...ternyata, ada yang kurang...

"Bang, kenapa bahagian tengah suratkhabar takde? Abang ambil yang pakcik tu punya ke?", angin dah naik sikit di kepala...

"Takk...abang ambil yang pakcik tu susun untuk dijual lah, Mi".

"Habis tu...mana bahagian tengah tu? Biasa kan ada? Umi nak baca ruangan menanam pokok dan ruangan kesihatan...tapi takde pulak....".

"Abang tinggalkan kat sana...kan umi selalu cakap, bahagian tengah tu tak soleh, banyak gambar yang tak tutup aurat, banyak cerita yang tak sesuai untuk abang dan kakak baca...jadi abang tinggalkanlah kat atas meja pakcik tu tadi", abang menjawab dengan yakin tanpa ragu.

Saya sedikit geram sebab ada ruangan umum yang biasanya memberi maklumat yang berguna selepas kita membacanya. Tapi akhirnya saya mengalah dan meminta maaf kepada abang kerana sedikit emosional.

Bila suami balik petang tu, saya bercerita apa yang berlaku. Dibalas oleh suami, "Baguslah abang buat macam tu...itu bermakna 'tarbiyah'nya berjalan...selama ni kan umi yang selalu ingatkan anak2 supaya tak baca bahagian tengah suratkhabar mingguan tu yang tak sesuai untuk anak2 kita baca. Bila dia buat macam tu, bermakna dia ingat apa umi kata kat dia selalu...kan itu yang kita nak, betul tak?".

Betul. Itu apa yang kami mahukan. Setiap suratkhabar mingguan yang di beli, saya akan mengambil bahagian yang berkaitan dengan artis lalu saya letakkan di sudut ruang dapur. Anak2 hanya akan membaca ruangan kartun atau maklumat menarik yang tidak menjolok mata dan minda. Bukan setiap hujung minggu kami membeli suratkhabar kerana pembelian juga bergantung kepada tajuk besar di halaman pertama suratkhabar. Kami tidak mahu bersoal jawab dengan anak2 ke atas perkara2 yang sepatutnya menjadi rahsia tetapi menjadi tajuk utama yang dibesar-besarkan.

Membaca jambatan ilmu, tapi kita adalah apa yang kita baca.

Monday, April 11, 2011

Siapa Pun Boleh...

Dia orang biasa-biasa. Kerja sebagai juruteknik pergigian di sebuah klinik kerajaan. Lebih sepuluh tahun mengenalinya, saya tahu, dunia hanya di tangan bukan di hatinya. Apa yang dia dan isterinya lakukan adalah untuk kehidupan selepas mati.

Dia berjaya membentuk beberapa halaqah untuk bercerita dan berbincang tentang Islam. Kami (saya dan suami) 'cemburu'...alangkah bagusnya jika kami boleh melakukan perkara yang sama.

Kata2 perangsangnya mudah, "Apa yang Rasulullah saw buat adalah apa yang umatnya mampu buat. Rasulullah berdakwah, mengajak manusia memahami Islam. Rasulullah berakhlaq baik setiap masa. Susahkah untuk kita ikut?".

Saya selalu teringatkan intipati dalam satu hadis Rasulullah saw, yang baginda menyebutkan sesiapa yang berjaya mengajak orang lain untuk menjadi baik, ganjarannya adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.

Susahkah untuk aku lakukan?

Wednesday, March 30, 2011

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (8)

Assalamualaikum wbt, adik2 yang aku ingati dan rindui selalu. Lima bulan aku tidak menulis untuk kalian. Namun percayalah, doa dan ingatan untuk kalian sentiasa ada. Doa agar kalian sentiasa menjaga akhlak dalam setiap tindakan yang dilakukan. Apa yang baik adalah apa yang Allah kata baik, bukan apa yang orang ramai lakukan.

Adik2ku, kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang Rasulullah saw sebut dalam hadisnya yang bermaksud - Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Allah menegaskan lagi dalam Surah al-Hajj:41 yang bermaksud - Orang2 yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, mencegah dari perkara mungkar dan kepada Allah lah kembali segala urusan.

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang keran ia adalah buah dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak seperti yang Allah dan Rasul-Nya kehendaki. Baginda bersabda yang bermaksud - Bukanlah iman itu hanya dengan cita2 tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.

Adik2 yang aku sayangi kerana Allah, di dalam Islam, akhlak yang mulia lahir sebagai hasil dari ibadah yang dilakukan. Adik2 pasti ingat tentang maksud ayat Qur'an ini - Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari berbuat perkara keji dan mungkar - Al-Ankabut :45. Ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud - Sesiapa yang sembahyang tetapi tidak dapat mencegah dirinya dari berbuat keji dan mungkar, dia akan bertambah jauh dari Allah. Begitu juga dengan ibadah2 lain seperti puasa, haji, zakat yang kita lakukan, jika ia adalah buah dari keimanan tadi, maka ibadah2 ini akan mampu membentuk akhlak baik dalam diri kita, insyaAllah.

Adik2ku, di antara ciri2 akhlak yang sewajarnya menghiasi diri kita adalah seperti berikut :

1. Menjauhkan diri dari perkara2 yang syubahat iaitu menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara2 yang samar2 di antara halal dan haramnya.

2.
Menjaga pandangan dari melihat perkara2 yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan boleh merangsang syahwat dan boleh membawa akibat kepada perlakuan maksiat. Allah mengingatkan dalam surah An-nur:30 yang bermaksud - Katakanlah kepada orang2 mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka. Bagi wanita beriman, Allah juga mengingatkan perkara yang sama dalam ayat yang berikutnya. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, berhati-hatilah adik2ku...terlalu banyak pandangan yang boleh merosakkan hati dan jiwa kita.

3. Menjaga lidah dari menuturkan perkara2 yang tidak berfaedah, percakapan kosong, perbualan buruk dan kotor, mengumpat keji dan mengadu domba. Ingatan dari Rasulullah saw yang bermaksud - Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya api nerakalah paling layak untuk dirinya.

4.
Bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Jika kita amat-amati, kebanyakkan kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan hilangnya sifat malu...tidak malu kepada manusia lain yang melihat dan mengetahui perbuatan mungkar dan maksiat...tidak malu kepada Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Sedangkan Rasulullah saw telah menyebutkan yang bermaksud - Malu itu sebahagian dari iman. Malu adalah sifat yang menggerakkan kita untuk meninggalkan apa jua kejahatan.

5. Bersifat lemah lembut dan sabar dalam menyampaikan kebenaran.

6. Bersifat benar dan jujur kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan manusia.

7. Merendah diri terutama kepada saudara2nya yang muslim dengan memberi layanan yang sama, samada yang miskin mahupun yang kaya. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud - Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur.

8. Jauhi buruk sangka dan mengumpat serta mengintai2 keburukan orang lain. Allah mengingatkan kita dalam surah al-Hujurat : 12 yang maksudnya - Hai orang2 yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari2 kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kau memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Penyayang.

9. Bersifat pemurah dan sanggup berkorban jiwa dan hartanya di jalan Allah.

10. Menjadi contoh teladan dalam setiap tingkahlaku, seperti dalam pertuturan, pergaulan, berpakaian, makan minum, ketika bermusafir, malah dalam diamnya juga ada contoh teladan yang baik.

Adik2ku, aku tidak hanya mengingatkan kalian tentang apa yang aku telah tuliskan, ia juga ingatan untuk diriku...seorang hamba-Nya yang punya banyak kelemahan tetapi bercita2 untuk menjadi insan yang baik di sisi-Nya.

Aku juga mengharapkan, kalian punya cita2 sepertiku dan beruntungnya kalian kerana kalian masih muda, belum banyak kesalahan jika dibandingkan denganku yang lebih tua dari kalian.

Doakan aku, adik2ku. Aku akan selalu mendoakan yang baik2 untuk kalian. Jumpa lagi dalam surat2 yang lain, insyaAllah. Wassalam.

Tuesday, March 29, 2011

Pindah Lagi..

Mesej masuk pagi tadi membuat aku terkedu. Mesejnya mudah, kali ini dia akan pindah lagi...nun jauh di Perlis. Sedih yang dulu sewaktu dia berpindah dari daerah sama denganku, ke daerah yang berjarak hanya dua jam perjalanan, belum pun hilang....kali ini dia makin menjauh. Jarak dua belas jam perjalanan atau mungkin lebih dari itu akan aku tempuh andai aku mahu berziarah ke sana. Allahu....

Dia salah seorang teman rapatku. Banyak yang aku dan dia kongsi bersama terutama tentang proses kehidupan yang sama2 kami lalui, lebih2 lagi tentang anak2, juga tentang bagaimana kehidupan seorang hamba Allah itu menjalani kehidupan.....perbincangan yang tidak pernah habis setiap kali kami bertemu.

Solat dan doaku panjatkan kepada-Nya... agar ada hikmah di sebalik perpindahan ini. Airmata? Aku ingin menahannya, tapi aku tidak berjaya...

Friday, March 25, 2011

SMS Tak Diundang

Sejak akhir2 ni selalu sangat terima sms yang tidak saya tunggu2 kehadirannya. Sms yang menawarkan saya untuk menonton perlakuan tidak senonoh. Tidak pernah saya respon...padamkan sahaja. Saya tidak berhajat melihat perlakuan demikian...Na'uzubillah....handphone saya pun tak canggih, cuma boleh bersms dan bercakap. Tiada kamera, apatah lagi untuk menerima gambar.

Sakit hati.

Saya perasan sms seperti ini mula saya terima selepas rakyat yang memiliki handphone diarahkan untuk mendaftarkan nombor telefon masing2, atas alasan yang saya kira sekadar diada2kan. Saya rasa seperti tertipu dengan arahan itu...Kenapa kita (rakyat) sering ditipu?

Saya selalu terfikir tentang telefon2 canggih yang dimiliki oleh anak2 remaja terutamanya...apa agaknya respon mereka setiap kali menerima sms seperti yang saya terima?

Thursday, March 3, 2011

Belajar bertanggungjawab

"Abang!...Masukkan baju2 kotor abang dalam bakul baju kotor!".

"Abang!...Tutup lampu lepas tukar baju!".

"Abang!...Kemas buku2 yang abang dah habis baca tu!".

"Abang!...Letak tuala yang abang dah guna kat penyangkut tuala tu!".

Saya rasa itu di antara dialog yang entah berapa banyak kali saya katakan kepada abang...dan ia bukan setakat empat perkara itu...banyak lagi arahan2 yang saya (terutamanya) dan suami sebutkan kepada anak2.

Semuanya bersebab. Kami mahu anak2 kami belajar bertanggungjawab kepada perkara2 asas seperti itu. Saya juga tidak suka kenyataan, "alaa...esok2 bila anak dah besar, tahu la diaorang apa nak buat". Bagi saya, kalau bukan dari kecil mahu mengajar, bila lagi? Bukankah pepatah kalau melentur buluh biar dari rebungnya amat sinonim dengan budaya Melayu?

"Anak2 umi...lelaki atau perempuan...semua kena belajar mengemas, memasak, basuh pinggan. Kalau kakak dan abang duduk asrama nanti atau bila umi takde, masing2 dah tahu apa yang patut dibuat dengan pinggan kotor, baju kotor, buku2 yang dah digunakan...", saya katakan ini selalu kepada anak2.

Saya pasti, kakak sedang mempraktikkan apa yang dia belajar di rumah dulu, di asrama sekarang.

"Kawan kakak ajar macamana nak simpan baju supaya almari tak nampak penuh", itu yang kakak kongsi dengan kami selepas sebulan dia di asrama.

"Kakak susun barang2 aksesori kakak dalam bakul kecil dalam almari supaya tak tercicir".

Sewaktu bekerja dulu, seorang rakan sekerja merungut kepada saya tentang suaminya yang suka sangat meletakkan tuala yang telah digunakan merata2. Tambah sakit hati, katanya, atas katil atau baju bersih...itu belum masuk kain pelikat atau baju2 kotornya yang 'di mana dia berdiri, di situlah letaknya kain pelikat atau baju kotornya'.

Satu lagi, saya selalu ingatkan anak2 supaya tidak memijak bantal. Kadangkala saya dapati, anak2 sesuka hati memijak bantal (terutama yang di depan tv) sewaktu berjalan. Sebab itulah saya tidak menggalakkan anak2 membawa bantal ketika menonton tv, kecuali mereka berbaring di atasnya.

Sikap seperti itu yang kami mahu elakkan ada dalam diri anak2 kami apabila mereka dewasa. Ia kelihatannya kecil, tetapi sebenarnya ia mencerminkan peribadi.

Tuesday, March 1, 2011

Emak

Sudah lebih sebulan emak (mentua) meninggalkan kami. Tetapi kesedihan masih terasa2 bagi kami berdua. Tiada siapa menyangka, 28hb Januari 2011 akan menjadi tarikh yang akan kami kenang sepanjang hayat.

Tiada siapa bersama emak sewaktu emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Emak lepas berwudhu' untuk bersolah isyak. Menantu yang tinggal bersama emak hairan, kenapa emak tak muncul2, lalu dia menjengah ke dapur tempat emak selalu berwudhu'. Emak telah tersandar di sebelah tong gas. Subhanallah. Sesungguhnya, tiada yang boleh menghalang akan kematian kita, ia tidak tercepat atau terlambat walau sedetik pun.

Cuma, ianya berlaku terlalu cepat dan tanpa kami menduganya. Rakan baik emak, tidak mampu untuk bangun dan datang berziarah kerana terlalu terkejutnya dia mendengar berita kematian emak....dia baru datang dan bersembang dengan emak selepas asar, dan menjelang isyak emak meninggal.

Terlalu banyak ujian dan dugaan hidup yang emak lalui...tapi emak sering mengulang kata2nya, "Allah nak emak lebih sabar lagi", setiap kali ujian datang satu2. Emak kematian suami di awal usia 40-an dengan anak2 seramai 8 orang, dengan anak paling kecil baru berusia 80 hari. Melalui kehidupan dengan bantuan anak2nya terutama anak keduanya. Lebih 13 tahun menjadi menantu emak, terlalu banyak kisah2 kehidupannya yang saya ketahui....dan saya pasti hanya orang seperti emak yang berjiwa kental sahaja yang mampu melaluinya! Subhanallah.

Tahun 2000 emak juga diuji. Anak bongsunya yang telah kehilangan kasih bapa sejak di usia 80 hari, meninggal di dalam kemalangan. Sejak itu, emak mula sakit2...adakalanya teruk, adakalanya tidak....sehinggalah emak meninggalkan kami.

Emak suka memuji anak2, menantu2 dan cucu2 akan setiap 'kebaikan' yang kami semua lakukan untuknya. Cuma saya pasti, saya tidak pernah 'lemas' dengan pujian emak kerana apa yang kami lakukan sebenarnya adalah tanggungjawab kami sebagai anak. Dari situ juga sebenarnya saya belajar untuk memuji dan menghargai kebaikan yang orang lain lakukan untuk saya.

Emak suka bersedekah...dan benar janji Allah, rezeki emak tak pernah putus. Emak tidak suka bermusuh. Ramainya orang yang datang berziarah jenazah emak sebagai bukti. Begitu juga ramainya orang yang bersolah jenazah di masjid sebelum emak dikebumikan.

Tiada lagi doa emak untuk kami. Tugas kami lah sekarang untuk sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana. Semoga Allah tempatkan emak di dalam kelompok orang2 yang beriman. Semoga emak damai di sana....

Thursday, February 10, 2011

Kesedihan Seorang Anak

Seorang remaja lepasan sekolah bercerita tentang kesedihan yang sedang dialaminya. Bapanya punya kekasih lain. Sibuk berpacaran, hal anak isteri tidak dihirau.

Tidak banyak yang boleh saya beri untuknya selain dari nasihat...nasihat supaya sentiasa mengadu kepada Allah, sentiasa hormatkan ayahnya (walaupun katanya cukup susah baginya sekarang ini), sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk ibunya.

Senario ini memang banyak berlaku sekarang. Kebanyakan tidak berusaha menyelesaikan masalah yang ada, tapi cuba lari dari masalah dengan mencipta masalah yang lain. Mencari orang lain yang berlainan jantina dan bukan pasangan yang sah adalah bibit2 kepada masalah yang lebih besar lagi.

Adakalanya masalah sudah boleh diselesaikan dengan kedua suami isteri itu duduk berdua, berbincang (bukan bergaduh) dengan berlapang dada dan masing2 menerima penjelasan di antara satu sama lain. Ada masalah yang suami isteri itu sahaja yang tahu dan patut tahu. Jika tidak boleh diselesaikan sendiri, carilah orang tengah yang adil dan amanah untuk sama2 dibawa berbincang. Tapi saya kira, tidak ramai orang bermasalah yang cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. Lebih parah jika orang bermasalah ini merasakan bukan dia yang ada masalah, tapi pasangannya.

Penyakit ini juga bukan sahaja melanda orang2 yang berwang, tetapi juga orang2 yang kita sendiri pun tahu ia tidak cukup pun untuk menyara anak isteri yang sedia ada. Kadang2 rasa marah pun sering bertamu di hati saya (sebagai seorang isteri, ibu, perempuan)...kenapa orang2 perempuan ni mudah sangat percaya dengan lelaki seperti ini?.

Bagimanalah hati si anak tidak sedih, dia teringat tentang masa depannya. Dia mahu terus belajar jika berpeluang, tetapi bagaimana seorang bapa yang begitu akan mengambil berat hal anak2? Sakit hatinya melihat keadaan bapanya seperti orang muda yang mabuk kepayang sedang di rumah ada anak isteri yang menunggu.

Saya susah hati setiap kali remaja ini menghubungi saya...kerana saya hanya mampu mendengar dan menasihatinya. Mudah2an kesediaan saya untuk mendengar ceritanya memberi sedikit kelegaan kepadanya.

Hanya kepada-Mu aku mohon keampunan. Allahuakbar.

Wednesday, February 9, 2011

Keluhan...

Kita biasa dengar keluhan2 dari ibubapa hari ini tentang anak2. Macam2 bentuk keluhan - tentang pergaulan, tentang kawan2, tentang pakaian, tentang perangai/kelakuan,.....

Apa usaha yang telah kita lakukan untuk mengatasi semua masalah itu? Adakah sekadar berserah dan mengatakan perkara itu lumrah dalam dunia serba mencabar ini?

Pernahkah kita mengambil tahu dengan siapa anak2 kita berkawan, lelaki/perempuan?. Sama jantina pula bukan bermakna akan kurang masalah.

Pernahkah kita menjenguk ke blog/facebook anak2? Apa yang mereka sembangkan dengan rakan2 facebook mereka?

Pernahkah kita melihat apa dalam telefon tangan anak2 yang canggih itu?

Pernahkah kita kisah dengan pakaian yang anak2 pakai?

Pernahkah kita menegur tentang akhlak/kelakuan anak2 yang tidak sepatutnya?

Pernahkah.....?.

Tiada guna kita mengeluh dengan pelbagai keluhan, jika kita tidak pernah pun mengajak dan mendidik anak2 kita untuk menjalani kehidupan ini sebagai seorang Islam.

Seorang rakan pernah bercerita, rakannya mengeluarkan anaknya yang sedang belajar di sebuah tadika Islam kerana dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan2 yang ditimbulkan oleh anaknya yang masih di tadika itu. Sayang....kenapa dia tidak berusaha untuk memahami Islam dan berusaha untuk mendidik anaknya supaya faham Islam?. Tidak mustahil, si anak juga akan menjadi seperti ibunya bila dewasa.

Mendidik diri sendiri dan anak2 untuk memahami Islam, tidak ada hujungnya. Juga tidak ada alasan. Suami dan isteri kena saling menguatkan di antara satu sama lain dalam mendidik diri dan anak2. Janganlah kita terus2an sibuk dengan urusan dunia yang tiada penghujung dan seolah tiada kepuasan yang dirasai. Sesekali bayangkan tentang kematian yang datang dengan tiba2...saat yang memutuskan kelazatan dunia....Mengeluh selepas kita berada di dunia yang satu lagi, tiada gunanya....

Monday, January 24, 2011

Bukan Warisan

Ada orang kata, kalau dia yang Islam pun adakalanya tak faham, apatah lagi orang yang bukan Islam untuk faham Islam, tentu susah. Orang seperti ini kalau di tempat saya ada bidalannya dalam bahasa jawa tetapi terjemahannya adalah begini, bodohnya dihabis2kan. Kejahilan yang paling besar adalah apabila manusia tidak kenal Allah, Rasul-Nya dan Islam.

Islam bukan agama warisan. Islam agama universal. Sesiapa sahaja boleh menganut Islam walau apa bangsanya.

Tidak ada paksaan dalam memilih agama, tetapi sekali kita memilih Islam, kita mesti ikut apa yang Allah telah tetapkan dalam Islam. Allah beri kita al-Qur'an sebagai panduan hidup. Allah lantik Rasulullah saw untuk mengajarkan manusia tentang Islam. Baginda juga telah berpesan kepada kita, aku tinggalkan untuk kamu dua pusaka, yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu al-Qur'an dan sunnah.

Apa lagi yang kita cari? Kalau kita tidak faham tentang Islam, belajarlah. Apakah kita akan biarkan diri kita terus berada dalam kejahilan...gagal untuk memahami Islam dan gagal untuk mempraktikkan Islam dalam hidup.

Kita bukan setakat berbangga dengan kita khatam al-Qur'an berkali2 dalam setahun....atau membaca al-Qur'an hanya di jadikan budaya di surau2 dan di masjid2... tapi tanyalah diri, adakah aku mempraktikkan apa yang al-Qur'an ajarkan? Adakah aku mengikut sunnah nabiku?.....

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". (Terjemahan surah asy-Syams : 8-10)

Manusia diberi akal untuk membuat pilihan...bebas untuk memilih satu daripada dua jalan yang disediakan. Jalan fujur atau jalan taqwa. Jalan kufur atau jalan beriman. Hasil dari pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak.

Jadi, jangan berbangga dengan nama atau apa juga perlambangan yang dibawa yang menggambarkan kita ini Islam, jika hidup kita menyimpang jauh dari ajaran Islam.

Islam adalah cara hidup....dalam tingkah laku, peribadi, percakapan, pergaulan....ia bukan sekadar nama yang berbinti atau berbin atau berdasarkan bangsa.

Monday, January 10, 2011

Suka tapi sedih..

Dua kali kakak menelefon sepanjang seminggu dia mula bersekolah di Shah Alam. Setiap kali menelefon, pasti ada suara sebak di hujung talian.

"Kenapa kakak menangis?".

"Tak tahu...".

"Semua ok kat sana?".

"Ok...kakak suka kat sini...".

"Kalau suka kenapa menangis?", saya sekadar menduga. Dua belas tahun tinggal bersama, bukan satu yang mudah untuk melalui suasana kehidupan baru tanpa umi, ayah, abang dan adik Yam.....semuanya kena urus sendiri.

"Kenapa kakak telefon ni?".

"Hanger baju kakak habis....kat sini musim hujan...baju banyak yang belum kering", kakak menjawab dengan sedikit tersedu. Mesti teringat...kalau di rumah umi yang kisahkan semua baju2 tu....

"Lagi apa yang kurang?".

"Kamus Bahasa Arab-Melayu, alat geometri dan kalkulator saintifik".

Lalu, hujung minggu lepas kami menziarahinya bersama2 dengan barang2 keperluannya. Kakak kelihatan ceria dengan rakan2nya, dan dia mula dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana sekitarnya.

"Kakak sedih, ingat umi bila makan dan lepas solah kat surau. Kawan2 pun macam tu juga".

"Takpe...nanti lama2 kakak dan kawan2 dah biasa takde umi dan ayah", ayahnya memujuk. Kakak diam sambil mengesat2 air matanya. Kami pun sedih, tapi kami kena lebih kuat untuk menyokong kakak terus bersekolah di situ. Kami juga sering teringatkannya setiap kali waktu makan dan selepas solah - sama seperti apa yang kakak rasa....sebab kedua2 perkara itu kami sering lakukan bersama2.

"Kita nak jadi hamba yang taat, patuh dan tunduk kepada Allah. Kita kena rasa kita ni hamba-Nya. Jauhkan sifat sombong dan tinggi diri....", itu yang kami dengar sewaktu kami menunggu kakak habis untuk sesi suaikenalnya....inilah juga harapan kami mengapa kami menghantar kakak belajar di situ.

Ya Allah, bantulah kami dalam mendidik anak2. Berikan kami kesabaran. Berikan kami kekuatan. Berikan kebaikan dunia dan akhirat untuk kami. Ameen.

Monday, January 3, 2011

Sunyi

Kakak dah bersekolah di asrama. Sesekali teringat....sedang buat apa agaknya kakak? Boleh kah dia mempraktikkan apa yang kami ajarkan semasa cuti sekolah dulu....mengurus diri, basuh baju, berkemas... Lebih teringat sewaktu makan dan selepas setiap solah berjemaah...

Abang ceria dengan peranan barunya sebagai pengawas. Adik Yam duk kata kawan2 belum nak kawan dengan dia...tapi dia suka dengan semua aktiviti yang cikgunya buat.

Selalu berlima, sekarang berempat....janggal sikit suasananya. Sebulan rumah riuh rendah dengan suara anak2, tiba2 hari ni sunyi semacam...