Tuesday, December 23, 2008

Telok Gorek


Penunjuk arah Pantai Telok Gorek



Keindahan Pantai Telok Gorek


Kami ke pantai Telok Gorek, Mersing pada 22-23 Disember. Hari Keluarga bersama rakan-rakan yang tinggal di serata negeri Johor. Meriah. Lebih kurang 30 keluarga, ditambah dengan anak2 remaja yang datang tanpa ibubapa mereka.

Sejak dari awal lagi kami diingatkan perkelahan ini bukan untuk berseronok semata2, ia lebih dari itu. Ia untuk menyedarkan tentang hubungan kita dengan alam dan paling utama hubungan kita dengan Allah Pemilik Alam ini.

Segamat dan Batu Pahat diamanahkan menyediakan makanan. Sesuatu yang matlamat akhirnya adalah untuk mencari redha Allah, pasti ada ujiannya terutamanya ujian hati dan perasaan. Lalu doa dipanjatkan setiap ketika supaya Allah mudahkan. "Takpa, umi masak, ayah jaga anak2", suami memujuk. Alhamdulillah. Allah mudahkan semua urusan. Subhanallah. Rakan2 dari daerah lain amat membantu untuk menyiapkan makanan. Dalam sibuk kesana-kemari untuk memastikan semuanya lancar, rakan sempat mengusik, "Ta, duduk la. Ketua kan bagi arahan je....,". "Laa....kak Chom ni, ketua la yang kena banyak buat kerja," saya menjawab dalam nada bergurau. Rakan2 lain hanya tersenyum. Suami menjaga anak2 yang memang seronok sangat berjumpa air (Terimakasih, yah.)

Saya jarang mandi laut jika berkelah. Saya tidak selesa jika pakaian saya basah. Saya lebih menikmati pemandangan yang indah dengan angin yang bertiup lembut dan ombak yang memukul pantai. Subhanallah. Berbual dan berbincang di tepi pantai bersama rakan2 sambil menikmati nyanyian alam, amat mengaysikkan. Subhanallah.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda2 (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal. Iaitu orang2 yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata), " Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia2, Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." (terjemahan ali-Imran : 190-191)

Tuesday, December 16, 2008

Kena Beritahu....

Seorang bapa marah menyinga bila mengetahui anak gadisnya mengalami gangguan seksual di tempat kerjanya. Mahu 'diparang'nya manusia yang menganggu anak gadisnya itu, mujur ditenangkan oleh anak lelakinya. Tanpa menunggu lama, anaknya diminta berhenti dan mencari kerja lain.

Sebelum kita menyalahkan orang lain akan apa yang berlaku, seharusnya kita merenung ke dalam diri sendiri : adakah kita sebagai ibubapa telah melakukan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa? Sudahkah kita memberitahu anak2 kita bahawa menutup aurat yang sempurna itu wajib bagi setiap orang Islam? Sudahkah kita memberitahu anak2 yang telah akil baligh bahawa mereka akan menanggung sendiri perkara buruk dan baik yang mereka lakukan? Tahukah kita bahawa sebenarnya anak2 kita telah memasuki alam kedewasaan?

Menurut Prof.Madya Dr Halina Haliza Siraj, ibubapa mesti ambil tahu bila masanya anak2 kita telah memasuki alam dewasa. Dia agak hairan, hari ini kebanyakan bapa bukan seorang yang garang tetapi mereka tidak kisah untuk mengambil tahu hal ini. Sedangkan bapa kena beritahu apa yang patut anak2 tahu tatkala anak2 menuju kedewasaan. Pengalamannya ketika pertama kali didatangi haid, bapanya memberitahu bahawa dia akan menanggung sendiri buruk(dosa) dan baik(pahala) setiap apa yang dilakukan. Dia menangis kerana takut apa akibatnya jika dia melakukan perkara buruk dan menyalahi agama.

Apa juga perubahan yang dialami anak2 di sepanjang proses kedewasaan mereka, mesti diterangkan kepada anak2. Jangan biarkan anak2 mencari maklumat sendiri dari sumber @ cara yang salah. PM Dr. Halina seterusnya melontarkan persoalan, jika anak2 perempuan boleh diketahui waktu 'dewasa'nya, adakah ibubapa juga peka dengan waktu 'dewasa' anak2 lelaki? Dari pengalamannya, hampir tiada ibubapa yang sedar akan anak lelakinya yang telah memasuki alam dewasa. Katanya, adalah menjadi tanggungjawab bapa terutamanya untuk bertanya dan berbincang tentang hal ini dengan anak2 lelaki mereka.

Berbalik cerita di atas tadi. Pakaian menjolok mata atau lebih tepat tidak menutup aurat boleh menjadi sebab kepada gangguan seksual. Ibubapa jarang mengambil kisah apa yang anak2 pakai. Kadang2 si ibu elok berpakaian menutup aurat, anak gadisnya pula bertudung tapi sibuk tarik bahagian depan baju supaya tidak nampak perut. Bukankah lebih baik jika betul cara menutup auratnya? Saya tahu naluri anak perempuan sulung kami, adakalanya dia teringin berseluar panjang. Kami izinkan tapi banyak syarat yang mesti dipatuhi. Baju-T berlengan panjang banyak terjual, tapi sempit dan pendek walaupun bahagian lengannya panjang berjela. Dari satu kedai ke satu kedai, akhirnya kami terpaksa mencari di kedai 'bundle'. Ada, walaupun ia sebenarnya untuk orang dewasa, tapi ia menepati ciri2 yang kami cari.

Semua ini perlukan kesabaran dari ibubapa untuk memberi kefahaman kepada anak2 kenapa orang Islam mesti menutup aurat dengan sempurna. Ibubapa juga bertanggungjawab untuk sentiasa mengingatkan anak2 yang telah baligh apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. Proses memberitahu, mengambil tahu, menasihati,...tidak akan berhenti selagi kita dan anak2 masih bernafas. Subhanallah. Semoga Allah membantu kita.

Wednesday, December 10, 2008

Peringatan untuk diri

Membaca kisah di sebalik tragedi di Bukit Antarabangsa, membuat saya terfikir, agaknya kemewahan dan kesenangan hidup boleh menyebabkan manusia lupa tentang kesusahan orang lain. Di antara yang terbaca, ada penduduk yang tidak terlibat dengan tanah runtuh itu membuat laporan kepada polis, katanya terlalu ramai penyelamat yang berada di kawasan tragedi dan sekitarnya termasuk berdekatan dengan rumahnya. 'Privacy'nya terganggu katanya. Berita lain yang terbaca, penduduk taman berhampiran tempat tragedi membantah cadangan untuk membina jambatan kekal yang boleh digunakan untuk tujuan kecemasan, yang akan dibina bersambung dengan taman mereka. Pun alasannya akan mengganggu kehidupan mereka jika jambatan itu siap dan boleh digunakan. Macam-macam......

Kami ke Shah Alam baru2 ni kerana suami mendaftar semester baru. Peluang yang ada digunakan untuk bercuti bersama anak2. Saya dan anak2 berehat di tepi tasik Shah Alam sambil menunggu urusan suami selesai. Terlihat seorang kakak pertengahan umur membersihkan daun2 di sekitar taman yang agak luas itu. Rasa kasihan timbul dihati. Teringat kakak sendiri yang bertungkus lumus berusaha untuk meneruskan kehidupan.

Hari ke-2 kami ke tasik lagi. Anak2 tak puas bermain. Kakak semalam saya cari. Dalam hati berkata, aku akan menyesal jika tidak melakukannya. Saya berjaya mendekatinya. Dia agak tersipu kala saya menyapanya dan kelihatan ingin cepat2 pergi. Saya memanggilnya, "kak....", sambil menghulurkan apa yang ada di tangan. Dia masih tersipu untuk mengambil, tapi saya senyum dan memegang tangannya. Untuk mengurangkan rasa malunya, saya bertanya tempat tinggalnya. Katanya di Kampung Jawa. Terimakasihnya bertalu2 keluar dari mulutnya sambil mendoakan kemurahan rezeki untuk saya. Saya mengaminkan doanya. Saya terharu. Saya tidak mengharapkan apa2 darinya. Saya hanya mengharapkan Allah terima amal yang amat sedikit itu. Moga Allah ampunkan dosa2 saya.

Suami saya selalu berkunjung ke rumah seorang yang alim di kampungnya. Banyak nasihat2 yang diberi. Salah satunya dia mengingatkan suami saya bahawa dalam setiap gaji yang diterima, 2.5% adalah untuk orang lain yang memerlukan. Kita semua tahu itu. Itu juga yang sedang kami amalkan. InsyaAllah, ia tidak mengurangkan rezeki yang Allah kurniakan untuk kita. Subhanallah. Tulisan ini bukan ditulis dengan maksud menunjuk2 tapi mengajak orang lain untuk sama2 beramal. Mungkin sedikit, tapi bukankah itu lebih baik jika ianya berterusan, sebagaimana yang telah Rasulullah pesan kepada kita?.

Di mana2 kita pasti terjumpa orang2 susah - di pasar, di tempat tinggal kita, di R&R sewaktu kita bermusafir, di taman sewaktu kita beriadah bersama anak2, di stesen minyak yang kita singgahi.... Allah yang cukupkan rezeki kita.

Monday, December 1, 2008

Bahaya Kemewahan

Terjemahan hadis:

Dari Ali bin Abi Talib r.a. katanya : "Kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w di dalam masjid. Tiba2 datang Mus'ab bin Amir r.a. dan tiada di atas badannya kecuali sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w melihat kepadanya, baginda menangis dan menitiskan air matanya kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana mengenang nasib Mus'ab sekarang ( ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda : "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah? Maka jawab sahabat, " Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masaalah ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah LEBIH BAIK daripada keadaan kamu di hari itu". (H.R. Tarmizi)

Wednesday, November 26, 2008

Abang dah besar...

Alhamdulillah, hari ni hari ke-4 selepas abang bersunat. Dah mula baik dan dah tak meraung2 lagi di bilik air. Senak perut kami dibuatnya. Raungannya umpama didera. Mujur ayahnya seorang yang sabar. Fobianya pada kesakitan kadang2 melampau. Maka setiap hari inilah doa saya pada-Nya,"Ya Allah, berikan kekuatan untuk anakku melawan rasa takut pada kesakitan", dan akhirnya Dia memperkenankan doa saya hari ini, alhamdulillah. "Macam umi la..hehe", usik suami. (Kalau mak tahu ni, mesti mak pun kata, "Macam engkau le..."). Betul lah tu....


"Abang dah besar la, mi. Abang dah tak susah nak buka sinki dapur, umi kata hari tu sapa dah bersunat dia cepat tinggi, kan?", ceria dia bercerita pada saya pagi tadi.

"Bagus la, tapi kena jadi macam orang besar juga la...tak asyik nak menangis setiap kali sakit. Dah besar kena tahan sakit la", mula la nak membebel....

Suami saya pun dah mula bernafas lega, "Aduhhh...macam nak demam ayah, mi", katanya pada hari pertama abang bersunat. Bukan suami sahaja rasa begitu, saya di rumah pun tak senang duduk dibuatnya. Hati tak berhenti berdoa.

Alhamdulillah. Selesai satu tanggungjawab ibu dan bapa...ada baaaaanyakkk lagi tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

"Ya Allah, jadikanlah anak2 kami anak2 yang soleh. Ameen."

Monday, November 17, 2008

Haiwan Ternak

Sejak akhir2 ni kami dah jarang menonton berita tv atau membaca suratkhabar harian. Entahlah. Kebosanan menguasai setiap kali membaca @ mendengar berita semasa. Cuma berita tentang NGO yang memprotes fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan menarik minat saya.

Komen dari Dato' Nik Aziz amat saya setujui. Di antara lain katanya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengikut al-Qur'an dan hadis, bukan main suka2 mengeluarkan fatwa tanpa merujuk kedua2nya. Ini bermakna ia adalah hukum Allah. Allah yang mencipta manusia, Allah juga yang menurunkan peraturan dan undang2 untuk dipatuhi. Tambahnya lagi, lembu pun tahu malu dengan menutup apa yang patut ditutup dengan ekornya.

Apa yang membezakan manusia dengan haiwan ialah akalnya. Apa yang sama pula adalah kedua2nya diberikan hawa nafsu. Akal manusia digunakan untuk membezakan di antara baik dan buruk. Tetapi jika hawa nafsu yang digunakan untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara itu, maka manusia telah meletakkan dirinya pada tahap yang lebih hina dan rendah dari haiwan. Maka terjadilah seperti apa yang dibuat oleh NGO dan beberapa pertubuhan lain terhadap fatwa yang dikeluarkan.

Apabila agama tidak dijadikan pegangan dalam kehidupan, itulah jadinya. Apa yang dibuat semua berdasarkan keseronokan dan keinginan hawa nafsu sahaja.

"Sudahkah engkau (Muhammad) melihat orang yang menjadikan keinginannya sebagai tuhannya? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya? Atau apakah engkau mengira bahawa kebanyakkan mereka itu mendengar atau memahaminya? Mereka itu hanyalah seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat jalannya". (terjemahan al-Furqan : 43-44)

Wednesday, November 12, 2008

Perkahwinan-Satu Taggungjawab (2)

Macam2 yang kita baca dan lihat dengan mata sendiri, pelbagai cerita tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah dan Rasulullah berkata bukan dari kalangan umatnya sesiapa yang menentang perkahwinan. Rasulullah juga berkata jika seseorang itu berkahwin maka telah sempurna sebahagian dari agamanya. Besarnya nilai sesebuah perkahwinan.

Malangnya apa yang kita lihat hari ini amat menggusarkan. Perkahwinan menjadi seperti permainan. Bila suka, ambil, tak suka, lemparkan kemana sahaja. Ada yang berkahwin umpama menukar baju, baik lelaki atau perempuan. Bukan sedikit seorang suami yang mengabaikan anak isteri hanya untuk mengejar wanita lain. Amat memalukan jika seorang wanita yang masih dalam 'iddah bernikah dengan lelaki lain, serta pelbagai lagi kisah perkahwinan.

Kepada adik2 dan anak2 saudara yang akan berkahwin, selalu saya ingatkan. Kadang2 jadi seperti leteran kepada mereka, berbakul2 ingatan untuk mereka. Cantik atau kacak bakal pasangan kita, bukan menjadi keutamaan bila telah sah ikatan perkahwinan. Apa guna pasangan yang cantik atau kacak jika masing2 tidak menjalankan tanggungjawab? Kita tak kenyang dengan hanya menatap wajah pasangan. Mungkin sebelum bernikah, adik dan anak2 saudara hanya mendengar umpama angin lalu apa yang saya katakan, tapi selepas bernikah adik saya pernah berkata yang dia setuju dengan nasihat2 dan ingatan saya dulu, walaupun ketika itu umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tambahnya, bila telah ada anak2, walaupun anak2nya masih kecil, dia boleh rasa kerisauan seorang ibu.

Perkahwinan datang bersama tanggungjawab di bahu. Jika dulu hanya fikir tentang diri sendiri, bila berkahwin kena fikir sekali tentang pasangan/anak2/keluarga dua2 pihak, etc. Lebih mencabar lagi jika tinggal berjauhan suami isteri itu dek kerana tuntutan kerja. Bukan sedikit pengorbanan dari pihak suami, isteri dan apatah lagi anak2. Tapi adik pernah bercerita, jika dulu kala berjauhan (selepas bernikah) sesekali berjumpa memang seperti orang bercinta...tapi bila dah tinggal bersama (dapat pindah), baru nampak akan kekurangan masing2. Tapi kepadanya saya memberi nasihat, itulah cabarannya. Carilah titik persamaan yang akan mengukuhkan lagi ikatan yang ada, bukan masing2 mencari alasan untuk saling menjauhkan diri.

Ada yang merasakan perkahwinan seperti permainan, termasuk dalam hal poligami. Anak2 dan isteri2 tidak mendapat keadilan. Alangkah dangkalnya fikiran jika menganggap dia sebagai suami berlaku adil, "jika isteri pertama tidak dapat apa2, isteri kedua pun tidak akan dapat apa2". Sedangkan makna adil itu ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Setidak2nya keperluan makan pakai anak2 dan isteri2 dipenuhi...serta bermacam cerita tidak enak yang kita dengar tentang poligami.

Rasulullah telah berkata bahawa perkahwinan itu akan menjaga kehormatan dan pandangan. Tetapi jika agama tidak dijadikan landasan dalam sesebuah perkahwinan, maka jadilah perkahwinwn itu umpama barang yang tiada nilai.

...janganlah kamu menurut langkah2 syaitan kerana syaitan itu musuh kamu yang nyata (terjemahan al-Baqarah : 168)

Tuesday, November 4, 2008

Solah Dhuha

Di antara bait2 doa yang kita ucapkan selepas selesai solah dhuha ialah :

......Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah. Jika masih jauh, dekatkanlah, jika haram, sucikanlah..........

Suatu petang, balik dari sekolah, kakak terus bercerita :

"Mi, lepas solah dhuha kat sekolah tadi, kakak gi kantin nak beli keropok. Kakak nak beli lima keping je tapi pakcik kantin bagi banyak. Kakak cuma bayar 5o sen je dan kakak nak pulangkan keropok yang pakcik bagi. Tapi pakcik kata, "ambillah, makan dengan kawan2", kakak pun ambil dan ucap terimakasih kat pakcik. Agaknya sebab kakak solah dhuha kut sebelum tu, tu yang Allah bagi banyak keropok tu...". Saya dan suami senyum.
"Alhamdulillah, rezeki Allah bagi untuk kakak dan kawan2," suami membalas.

Ketika pulang ke kampung, adik bercerita. Suaminya terasa rezekinya mencurah2 datang kerana ramai orang berjumpanya untuk mendapatkan khidmatnya sebagai juru lampu. "Agaknya sebab awak rajin solah dhuha kut, Na", suaminya berkata padanya.

Hakikatnya, tiada manusia atau apa sahaja yang boleh menghalang jika Allah hendak memberi rezeki kepada seseorang. Begitu juga, tiada siapa yang boleh menghalang jika Allah menahan rezeki untuk seseorang. Allah lah yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi rezeki. Kita sebagai hamba-Nya hanyalah berusaha dan berdoa supaya diberi kecukupan rezeki.

Hakikat rezeki itu juga luas. Teringat seorang ustaz berkata, jika kita punya kenderaan lama tetapi tidak meragam, itu juga rezeki. Jika kita ada kehidupan yang sempurna, berkasih sayang, itu juga rezeki. Jika kita sihat, itu juga rezeki.......

Subhanallah. Semoga kita termasuk di kalangan hamba2-Nya yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat kurniaan-Nya dan tidak melupakan akan hak orang lain yang ada di dalam rezeki yang Allah kurniakan untuk kita.

Terus terang

Satu sifat orang Melayu ialah susah berterus terang. Banyak benda yang orang harap kita tahu sendiri tanpa diberitahu lebih2 lagi jika ia melibatkan wang dan perkhidmatan yang diberi. Saya berikan beberapa contoh.

Pertengahan '94 saya menyambung belajar di UITM SA. Waktu itu saya baru sampai di SA. Saya dan seorang rakan mengambil teksi yang sama walaupun berlainan rumah sewa. Rakan saya sampai dahulu, lalu bertanya berapa tambang teksinya. Pemandu teksi kata, "Biasa je..", beberapa kali ditanya dia menjawab jawapan yang sama walaupun rakan berkata kami baru saja sampai di SA. Akibat tidak mahu memberitahu jumlah sebenar, rakan saya membayar 30 sen sahaja. Mungkin pada anggapannya jumlah itu patut kerana jarak perjalanan tidak sejauh mana. Pemandu agak marah. Saya hanya mendiamkan diri. Bila saya turun saya memberi RM3. Itu jumlah yang sepatutnya rakan saya bayar. Saya tidak berhajat untuk membayar bagi pihak rakan saya tadi kerana saya nak 'ajar' pemandu teksi tu supaya lain kali berterus terang berapa penumpang kena bayar. Bila ingat semula saya selalu tersenyum sendiri.

Tinggal di rumah sendiri, kami banyak berurusan dengan tukang potong rumput, tukang rumah (dua orang) dan tukang cat. Tukang potong rumput dan seorang tukang rumah, mudah berurusan dengan mereka. Mereka tidak teragak2 untuk menyatakan jumlah yang perlu suami bayar untuk perkhidmatan yang diberi. Tukang cat dan seorang lagi tukang rumah, sebaliknya pula. "Takpe, saya siapkan dulu kerjanya", bila suami bertanya anggaran bayaran pada perkhidmatan yang diberi. Bila kerja siap, puas suami bertanya, payah sangat untuk menyebut berapa suami kena bayar. Mereka bimbang jika bayaran diminta keterlaluan. Tapi suami selalu kata," saya taknak terkurang bayar pada kerja yang abang buat. Saya bukan tukang cat/tukang rumah, jadi saya tak tahu kadar bayarannya jika abang tak beritahu." Pasti akan dijawab oleh mereka,"RM......, patut tak abang minta banyak tu?".

Kenapa agaknya kita malu untuk berterus terang sedangkan itu hak kita untuk menerima bayaran selepas memberikan perkhidmatan? Bukankah lebih baik berterus terang daripada merungut di belakang kerana tidak mendapat bayaran yang sebenar, seperti pemandu teksi tadi?

Wednesday, October 29, 2008

Tv

Kesempatan berkunjung ke rumah saudara mara tidak selalu kita dapat. Biasanya di waktu hari raya atau hari cuti barulah kita berpeluang untuk saling berkunjung dan bertanya khabar.

Cuma adakalanya keseronokan bertamu sedikit terganggu dengan adanya peti televisyen di ruang tamu utama. Skrin televisyen yang besar memang seronok untuk ditonton, ditambah dengan hiburan yang disiarkan silih berganti. Mungkin mata boleh dikawal untuk tidak menontonnya, tapi telinga tidak boleh ditutup dari mendengar. Kunjungan yang sepatutnya untuk bertanya khabar menjadi sesi menonton filem, ditambah jika menonton beramai2, pasti 'seronok'!

Kadangkala cerita yang disiarkan agak 'over'. Pakaian yang menjolok mata, pergaulan bebas lelaki perempuan, lawak jenaka yang agak melampau - menjadi santapan mata dan halwa telinga. Bagi yang tidak suka dengan cerita2 seperti itu, pasti tersipu malu. Tiada langsung pengajaran yang baik dari apa yang ditonton, dan lebih membosankan jika cerita yang 'entah apa2' tu jadi topik perbualan...heee...bosan betul!!

Televisyen sepatutnya tidak diletak di ruang tamu utama supaya ia tidak mengganggu tetamu yang datang. Betullah rumah sekarang bukan besar ruangnya, mana lagi hendak diletakkan televisyen kalau bukan di ruang tamu, pandai2 lah 'adjust' ruang yang ada. Pemilik rumah bertingkat pasti punya kelebihan ini kerana televisyen boleh 'disorok' di tingkat atas.
Bagusnya kalau kita takde tv, ye yah.

Nama

"Bagus nama anak2 awak ye, ringkas pulak tu". Saya hanya senyum.
"Anak2 saya lahir zaman semua nama anak2 perempuan di depannya ada nama 'Nurul'. Tapi saya dan suami tak berhajat meletak 'Nurul' di depan nama anak2 perempuan kami. Semua orang bising". Kata2 ini diluahkan oleh seorang doktor sewaktu saya membawa si kecil Maryam yang demam ke kliniknya.

"Nama anak2 engkau ni Lim, bawa syafaat untuk makbapaknya tau," kata seorang doktor lelaki sewaktu suami saya membawa anak lelaki kami ke kliniknya. Walau nadanya seperti bergurau, ditambah dengan 'slang' jawa yang dibuat2, suami saya hanya senyum.

Kami memang tidak memilih nama yang panjang untuk anak2. Kami suka ianya mudah untuk diingat dan disebut. Apatah lagi pemilik asal nama2 itu adalah manusia2 contoh yang mesti diteladani oleh umat Islam. Kami mahu anak2 kami seperti mereka ini. Kami mahu anak2 kami dipanggil dengan nama penuhnya agar semangat dan jiwa mereka kuat seperti pemilik nama asalnya. Apa yang pasti kamilah ibubapanya yang akan mencorakkannya. Semoga Allah kurniakan kami kekuatan dalam mendidik anak2 kami.

Setiap anak yang dilahirkan adalah umpama kain putih. Ibubapanya lah yang akan mencorakkannya sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (Maksud Hadis)

Tuesday, October 21, 2008

Ummu Hani Hj Abu Hassan

Tanpa disangka, saya bersms dengan Ummu Hani malam semalam. Asalnya tercari2 di laman webnya akan novel terbarunya berjudul 'Baromkeh Matamu di Mataku' yang memenangi salah satu hadiah yang ditawarkan dalam Sayembara Novel Remaja Utusan 2007. Satu perbualan sms yang ringkas tapi membuat saya teruja. Begitu bersopan dia menjawab soalan2 saya, walaupun melalui sms saya dapat rasakan kesopanannya itu. Masih sempat mempelawa saya memberitahunya andai saya turun ke KL @ pergi ke Kedah-mana tahu mungkin boleh berjumpa dengannya.

Membaca tulisan2nya terutama yang berbentuk travelog, terasa amat dekat di hati dan adakalanya seolah2 diri berada sama di sana, di tempat2 dan peristiwa2 yang dialami. Begitu agaknya seorang penulis yang baik, dia menulis dengan hati. Lalu pembaca yang membaca turut merasai apa yang ditulisnya. Apa yang pasti dalam setiap tulisannya pasti terselit ajakan lembut untuk mengingati Allah Yang Maha Mencipta. Semoga Ummu Hani akan terus berkarya.

Monday, October 20, 2008

Warna Rasa

Kadang2
kita melihat perkara sama
bercakap juga
cerita yang sama
tapi rupa2nya
kita berbeza
dalam mentafsir makna.


Kala itu
pasti ada
terguris rasa
walau bukan itu
tujuan asalnya.


Mungkin masa
'kan jadi ubatnya
walau lambat
suatu hari
pasti 'kan ditemui jawabnya.

Sunday, October 19, 2008

Kisah Anak2 (1)

Anak kedua saya sering meragam sejak kecil. Di pasar, kedai, pasaraya, atau di mana sahaja bila kehendaknya tidak dipenuhi, dia pasti menangis sekuat hatinya. Kini dia berusia 7 tahun, tapi masih ada lagi ragamnya walaupun tidak seteruk dulu. Hari ini dia sudah mula mahu mengaji dan memastikan solahnya cukup 5 waktu.

Siapa yang tidak kenal akan saya, rakan2 selalu mengingatkan mereka tentang anak kedua saya ini. "Ooo...ita yang anaknya kuat menangis dulu tu ye...", agak lucu tapi itulah hakikatnya.

Selalu saya bercakap padanya, "Untung abang, umi duduk rumah, kerja di rumah, umi ada pagi2 bila abang nak siap ke sekolah. Balik sekolah umi ada kat rumah, abang tak payah tunggu umi kat rumah orang". "Abang tak boleh hidup la tanpa umi," pernah suatu hari dia memeluk saya sambil berkata demikian.

Ragamnya biasanya cukup menyesakkan dada. Emak dan adik di kampung cukup risau jika adakalanya dia terpaksa ditinggalkan di kampung jika saya ada hal untuk diuruskan. Untuk tidak menyusahkan emak dan adik, saya sediakan sekali makanan, minuman dan pakaian kesukaannya sebelum saya pergi. Duit juga saya tinggalkan untuk adik membeli apa yang diminta.

Seorang doktor homopathi yang kami sering berurusan dengannya, kagum dengan kecerdikan anak saya ini. Betul, saya bersyukur dia anak yang mudah faham jika diajar, petah berkata2. Tapi ujian perasaan untuk melayan ragamnya pun bukan sedikit. Mujur suami saya seorang yang sabar, dia yang banyak membantu.

Selalu saya terfikir, ini agaknya salah satu hikmah saya bekerja di rumah. Saya tak perlu bersusah hati memikirkan bagaimana orang lain hendak melayan ragam anak2 saya. Susah senang, kami lakukan sendiri.

Pengalaman sepupu menjadi pengajaran. Anaknya seperti anak saya, kuat meragam. Suatu hari dia hendak mengambil anaknya awal dari rumah pengasuhnya. Sesampainya di sana dia mendapati anaknya sedang dijirus dengan air di bilik mandi kerana dia tidak berhenti menangis. Bila saya punya anak sendiri baru saya tahu, kadang2 kita boleh hilang sabar dengan kerenah anak2. Pengasuh juga seperti saya, manusia biasa. Ada rasa penat, ada banyak kerja rumah yang perlu disiapkan. Surirumah seperti saya, sebaik sahaja bangun di awal pagi, dalam kepala telah bersusun jadual kerja rumah yang perlu dilakukan.

Semua ini perlukan kerjasama dari suami. Alhamdulillah, suami saya biasanya dia yang terlebih dulu mengambil tanggungjawab. Sebab katanya dia suami dan ketua, maka tanggungjawab ketua sebenarnya lebih besar, dan dia akan minta dibantu jika dia tidak mampu melakukan semua. Hal keluarga, suami dan isteri yang patut uruskan bersama.

Saya kagum ibu2 yang bekerja dan mempunyai anak. Mereka pasti seorang yang sabar, dan kuat dari segi mental dan fizikalnya, kerana tanggungjawab pada kerja dan rumahtangganya perlukan komitmen yang tinggi.

Ya Allah, berilah kami kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak2 kami. Jadikan mereka anak2 yang taat kepada-Mu, Rasul-Mu dan ibubapanya. Ameen.

Thursday, October 16, 2008

Sihat

Adik saya kurus, tak sampai pun 40kg, tapi sewaktu ada pemeriksaan kesihatan percuma dilakukan didapati kolestrolnya tinggi. Saya pun agak terkejut bila mendengarnya. Saya sangkakan orang kurus tiada kolestrol @ kolestrol sedikit dan tidak bahaya. Jadi sekarang ni oat menjadi sebahagian dari dietnya sebagaimana yang dinasihatkan oleh jururawat. Oat dipercayai boleh 'memakan' kolestrol jahat yang ada dalam badan kita.

Saya tak pasti apa puncanya. Cuma kerjanya melibatkan 3 shif. Ada waktunya dia bekerja dari pukul 11 mlm hingga 7 pagi esoknya. Mungkin sistem badannya yang kelamkabut, sebab ada ketikanya sedang orang lain enak dibuai mimpi, dia pula sedang bekerja. Wallahua'lam.

Saya dan suami belum sempat lagi ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan secara keseluruhan. Usia yang semakin meningkat adakalanya seiring dengan tahap kesihatan yang semakin menurun. Uban yang mula tumbuh di kepala pun mengingatkan tentang usia yang terus bertambah. Alhamdulillah, lepas Ramadhan ni badan masih terasa ringan. Sebenarnya jika ikut selera, memang ingin makan banyak, tapi kena kawal. Cuma tak tahu sampai bila boleh 'maintain' berat sekarang. Masih ada undangan rumah terbuka yang harus dipenuhi.

Mudah2an Allah terus bagi nikmat sihat kepada kita semua untuk kita terus2an bersyukur dan beribadat kepada-Nya.

Tuesday, October 14, 2008

Macam2 manusia

Ada macam2 perangai manusia yang kita jumpa di sepanjang perjalanan hidup ini. Ada yang menyenangkan dan tidak sedikit yang kalau boleh kita tidak mahu berjumpa dengan orang2 seperti itu.

Yang menyenangkan tak payahlah saya sentuh- dah memang menyenangkan hati kita jika bertemu dengannya @ berjauhan pun kita merasai auranya. Kadang2 sekadar bersms bertanya khabar pun dah cukup menyenangkan hati.

Yang jenis kita taknak jumpa ni biasanya ada pakej tersendiri. Dengki, iri hati, keras kepala, tak mahu dengar nasihat, rasa diri saja yang betul, tak hormat orang tua, tidak adil, suka cari salah orang, celupar, tak jaga sembahyang, tak kenang budi,dll........pendek kata semua yang negatif ada padanya. Malangnya orang seperti ini biasanya adalah orang pandai berkata2, pandai memutarbelitkan fakta, pandai bermulut manis, hinggakan kadang2 orang yang memberi nasihat pula yang seolah2 bersalah. Lebih malang lagi jika perkara negatif yang dia lakukan, dia tidak rasa bersalah atau seolah2 tiada perkara salah yang dia lakukan.

Orang seperti ini mesti dijauhi, kecuali dia berubah. Cuma kadang2 kita ingat dia dah berubah, kita pun percaya yang dia dah berubah jadi baik, tapi rupa2nya ia sekadar lakonan dan sebenarnya dia tidak pernah berubah pun!!!

Ya Allah, jauhilah kami dari kejahatan syaitan jiin dan syaitan manusia. Ameen.

Sunday, October 12, 2008

Ben 10 & B-Daman


Cerita 1
Kakak dan abang berbisik2 berdua, seperti ada sesuatu yang dirahsiakan dari kami. Saya buat2 tak tahu, walaupun dalam hati nak tahu apa yang dirahsiakan oleh dua beradik ni. Ia berlaku untuk beberapa hari berikutnya. Kakak bukan seorang yang pandai simpan rahsia. Satu hari dia tercakap juga apa yang mereka berdua rahsiakan dari kami.
"Mi, abang bagi duit pada Amin rm12.50 masa Amin datang rumah kita hari tu".
"Buat apa?", saya agak terkejut.
"Dia nak beli robot B-Daman. Amin kata Zubair boleh belikan".
"Mahalnya. Kalau umi tahu memang umi tak bagi".
Selama dua minggu abang menunggu B-Daman idamannya dapat, dan selama itulah dia bersungut, "Lamanyaaa, bila nak dapat B-Daman abang ni." Saya dan suami agak marah padanya kerana membuat sesuatu tanpa memberitahu kami. Puas kena leter, abang hanya mendiamkan diri, mungkin dia tahu dia salah.

Cerita 2
"Abang nak baju Ben 10", kata abang suatu hari.
"Ben 10? Apa tu?", tanya saya, tak faham apa maksudnya.
"Alaaa, mi, kartun kat tv yang boleh bertukar2 tu....bla...bla..bla", kakak memberi penerangan kepada saya. Kakak ni pun selalu bersekongkol dengan abang dalam hal2 ni walaupun dia sendiri tak dapat apa2....kakak...kakak....
"Hebat sangat ke Ben 10 tu?", abang tersengih. "Boleh la, mi", abang memujuk sambil mengurut2 tangan saya. Begitulah selalunya bila moodnya baik dan berhajat kepada sesuatu benda, dia akan memegang tangan saya.
Hampir semua kedai baju kami masuk, akhirnya ada sehelai t-shirt idaman abang kami dapat.
"Rm14.90? Mahalnya, yah", saya bersungut pada suami. Suami hanya diam.

Begitulah anak2 kita, besarnya pengaruh cerita2 kartun di televisyen dalam kehidupan mereka. Semuanya adalah hero di mata anak2.

Kata orang tak kenal maka tak cinta. Sebab itu kami tidak jemu2 untuk mengingatkan kepada anak2 tentang Allah, Rasul, Islam, kerana kami ingin melahirkan dan menyuburkan rasa cinta anak2 kepada Allah, Rasul dan Islam. Kena ada satu ruang waktu untuk kita bercerita pada anak2 tentang Islam. Anak2 boleh tahan duduk 2-3 jam menonton kartun kegemaran kita, lalu watak2 itulah yang akan meresap masuk ke dalam fikiran mereka. Jika kita sebagai ibubapa tidak berbuat sesuatu untuk 'meneutralkan' semula fikiran mereka, tidak mustahil ia akan terbawa2 sehingga mereka dewasa.

Mahukah kita jika mereka mencari "petunjuk Blue" tatkala mereka dilanda masalah sedangkan petunjuk dalam hidup kita adalah al-Qur'an dan sunnah? Mahukah kita mereka lebih mengenali "Wonder Pets" sebagai hero yang menyelamatkan orang lain, sedangkan kita ada Rasulullah yang mengajak kita dekat kepada Allah dan menyelamatkan kita dari api neraka? Juga kisah2 para sahabat yang hebat2 belaka yang seharusnya menjadi contoh ikutan kita?

Tepuk dada, tanya iman. Jika Allah mengkehendaki kebaikan pada seseorang, maka Dia akan memberi kefahaman dalam agama untuk orang tersebut. Marilah kita sentiasa berdoa kita termasuk di kalangan orang2 yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya. Masa anak2 kita bersama kita, tidak lama. Bila mereka mula dewasa, mereka akan merantau untuk menuntut ilmu, waktu itu hanya bekalan yang kita telah beri sewaktu mereka tinggal bersama2 kita dahulu sebagai "teman". Alangkah ruginya jika kita tidak memberi "bekalan" yang secukupnya untuk anak2 kita.

Ya Allah, berilah kami kebaikan dunia dan kebaikan akhirat dan jauhkan kami dari api neraka. Ameen.

Thursday, October 9, 2008

Subhanallah - cerek menjerit

Saya merasai satu perasaan aneh pagi ini. Sebelum2 ini ianya biasa sahaja. Tapi entah kenapa, pagi ini saya merasai kelainannya. Air yang saya sedang jerang belum mendidih, ia masih dalam proses pemanasan. Apa yang saya dengar membuat saya teringatkan surah al-Humazah. Air yang sedang dipanaskan (termasuk cerek) mengeluarkan bunyi seperti orang menjerit kepanasan. Saya terpaku di depan dapur. Bunyinya tidaklah kuat, hanya kedengaran jika kita berada hampir dengan dapur. Meremang bulu roma dan saya bertasbih.

Saya teringat dalam surah al-Humazah yang saya bacakan bersama anak2, neraka itu digambarkan seperti ruang yang tertutup, apinya menjulang tinggi, kepanasan yang amat sangat datang dari semua arah....

Sebelum suami keluar bekerja tadi, saya bercerita padanya. Dia juga termenung. Dia mengingatkan saya, beruntunglah kita kerana ada waktu2nya Allah ingatkan kita tentang sesuatu melalui peristiwa2 biasa yang kita alami. "Umi bukan kali ni je masak air, tapi kenapa kali ni umi dengar seperti itu? Itu tanda Allah nak ingatkan kita dengan sesuatu". Saya diam, anak2 juga diam. Subhanallah.

Monday, September 22, 2008

Kuih raya & bunga api




"Umi tak buat kuih raya ke?", tanya kakak pagi kelmarin.
"Umi mana pandai buat kuih raya. Lagipun kita kan dah beli kuih yang makcik Zah jual", saya menjawab sambil membasuh pinggan.
"Alaaa...mi...itu kuih orang buat. Umi buatlah cornflakes madu macam tahun lepas, kakak boleh tolong", kakak memujuk lagi. "Umi kan dah beli cornflakes kotak besar tu, umi nak buat apa?", kakak masih tidak puashati.
"Ok, hujung minggu depan dah cuti sekolah, kita buat, tapi kakak mesti tolong umi. Esok kita minta ayah belikan marjerin".
"Ye, kakak memang nak tolong umi buat kuih tu", kakak menjawab dengan gembira.

Saya bukan seorang yang rajin di dapur. Bukan tak biasa makan lauk 'dua dalam satu' - itulah lauk itulah juga sayur. Selalu saya beritahu suami, saya tak suka nak habiskan banyak masa di dapur hanya untuk memasak. Alhamdulillah suami bukan seorang yang cerewet soal makan. Begitu juga dengan persiapan hariraya. Semuanya ala kadar. Kami lebih untuk mengajak anak2 merasai kegembiraan menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Bukan untuk melupakan Syawal, baju baru, sedikit kuih2 raya tetap ada, tapi kami tidak mahu ia jadi sesuatu yang menyusahkan untuk menyambut Syawal dengan menyediakan pelbagai keperluan yang kadang2 tak perlu pun.

Cuma suami sering mengingatkan, kita kena raikan anak2. Kuih, baju baru, kasut baru, bunga api, lampu pelita - adalah sesuatu yang menceriakan anak2 bila Syawal menjelma. Memang pun, suami saya lebih lembut dalam hal ini dengan anak2. Okey lah tu, kan. Sebab adakalanya kita kena kata "tidak" pada anak2.

Kakak lebih mewarisi sifat lembut suami saya. Dia sering mengalah dan pandai memujuk adik2nya. Dia suka kerja2 dapur, cuma saya yang kadang2 kurang sabar...maklumlah, akhirnya nanti saya juga yang kena selesaikan kerja2 tu, kan lebih baik saya yang buat semua dari awal hingga akhir...hehehe. Tapi saya tahu, kakak seorang yang mudah untuk diajar, saya pun tahu dia telah mula pandai membuat kerja2 di rumah. Alhamdulillah.

Telah beberapa hari abang merengek nakkan bunga api. Hampir seluruh kedai di tempat tinggal kami suami mencari bunga api, hingga ke pasar malam. Malangnya tidak ada yang menjual bunga api. Peniaga pasar malam kata polis enggan keluarkan lesen untuk jual bunga api sebab biasanya peniaga akan menjual mercun sekali....gitu pulak! Kempunan abang nak main bunga api, mujur ada dijual mercun pop-pop, suami saya membeli beberapa kotak. Seronoknya bukan main, Maryam pun tumpang sekaki walaupun takut2.

Begitulah anak2 kami. Abang asyik mengira hari bila akan sampai 1 Syawal. Dia baru belajar puasa. Saya sangkakan dia belum boleh bertahan hingga ke petang, tapi alhamdulillah dia mampu melakukannya walaupun ini adalah Ramadhannya yang pertama. Kakak telah mula berpuasa sejak berumur 6 tahun. Alhamdulillah, kali ni dia belum ponteng puasa lagi. Dik Yam suka menyakat abangnya, "Yam puasa, abang tak puasa", walaupun ke hulu ke hilir dengan makanan, mana lah si abang tak naik angin!.

Umi gembira dan bahagia ada kakak, abang dan dik Yam, walaupun kadang2 penat sangat dengan kerja2 rumah dan usik dik Yam,"umi nak gi kerja, dik Yam duduk dengan orang", umi gurau je, tapi dik Yam mesti merajuk dengan umi. Last2 dia pula kata kat umi, "adik nak keja, umi tak payah keja.....". Anak, anak,....semoga ia tidak menyebabkan kita lalai, ye, yah.

Sunday, September 21, 2008

Berbuka bersama


Semalam, 20 Ramadhan 1429, ada majlis berbuka bersama anak2 usrah. Kali kedua untuk bulan Ramadhan tahun ini.

"Makcik Ita, saya dah masuk juzuk 20," ceria Farah berkongsi kegembiraannya.
"Oo ye ke? Alhamdulillah, makcik Ita pun tak sampai situ lagi," Farah senyum mendengar pengakuan saya.
"Yang lain2 dah habis baca juzuk yang makcik Ita bagi? Fatin? Syahmin? Athirah?," saya menyebut beberapa nama.
"Dah, makcik Ita," hampir serentak mereka menjawab.
"Alhamdulillah. Tapi teruskan membaca kerana al-Qur'an semakin kita membacanya kita tidak akan berasa jemu. Tak apa jika kita khatam berkali2 pun. Jangan kita buat pulut kuning bila kita telah khatam membacanya, tapi lepas tu kita tutup dan terus melupakan al-Qur'an, kerana al-Qur'an itu apa, Nadirah?,".
"Panduan hidup kita," jawab Nadirah yakin.
"Betul".

Saya memberikan mereka juzuk2 untuk dibaca sepanjang Ramadhan kepada anak2 ini seawal pertengahan Syaaban untuk dibaca bersama2 ibu/bapa mereka. Alhamdulillah, mereka amat seronok untuk membacanya terutama Farah. Farah berada dalam Darjah 3, tinggal bersama datuk saudaranya di sini bersama dengan kakak sulungnya. Anak yang cerdik dan mudah untuk mendengar nasihat. Malangnya punya ibubapa yang hanya sibuk mencari wang kesana-sini hingga tak punya masa untuk anak2nya. Mujur datuk dan nenek saudaranya amat prihatin soal didikan agama, maka mereka tidak dibiarkan begitu sahaja. Cuma saya agak sedih, tahun depan mereka akan tinggal semula dengan ibubapanya. Nenek saudaranya yang juga kakak angkat saya sering tidak sihat, dia tak mampu lagi untuk menjemput dan menghantar mereka ke sekolah. Berat keputusan itu, tapi apalah dayanya...

Mak Andak menyentuh tentang malam al-Qadar.
"Malam yang lebih baik dari seribu bulan jika kita isi malamnya dengan beribadat," ramai2 mereka menjawab bila Mak Andak mengajukan soalan apa itu malam al-Qadar.
"Berapa tahun seribu bulan tu?"
"83 tahun 4 bulan," pantas Farzana menjawab.
"Siapa yakin dia rasa dia boleh hidup selama itu?"
"Saya," Athirah mengangkat tangan.
"Tapi mampukah kita beribadah sepanjang umur itu, tanpa ada kecuaian?"
"Takkk...," ramai2 mereka menjawab serentak.
"Kenapa?"
"Kerana kita sentiasa berperang dengan hawa nafsu," Azam dan Zubair menjawab serentak.
"Betul, kita manusia ni sentiasa berperang dengan hawa nafsu. Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini adalah masa kita untuk mendidik hawa nafsu supaya patuh dan tunduk kepada Allah. Kenapa?"
"Bulan Ramadhan Allah ikat syaitan,"jawab Insyirah.
"Jadi?," Mak Andak menduga Insyirah.
"Allah nak tengok kita boleh tak kawal hawa nafsu kita untuk terus taat kepada-Nya dengan melakukan perkara yang Allah suruh dan tinggalkan perkara yang Allah larang, tanpa ajakan dan godaan dari syaitan," panjang Insyirah menjawab.
"Betul. Kalau di bulan Ramadhan kita masih melakukan perkara2 yang Allah tak suka, bermakna 11 bulan sebelum ini syaitan berjaya mendidik kita. Tapi tengoklah, Maha Pengasihnya Allah, Ramadhan Allah beri pada kita untuk kita bersihkan hati dan jiwa kita dari terus lalai dan leka dengan keseronokan. Puasa kita bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia mengajak kita untuk terus taat dan patuh kepada Allah."

Itulah anak2. Setiap ketika kena sentiasa diingatkan. Mungkin ketika mereka belum dewasa ini mereka belum memahami sepenuhnya apa yang diajarkan, tetapi ia tetap menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa/guru untuk terus mengajak mereka memahami ajaran2 di dalam Islam, tanpa jemu. Kita mengharapkan mereka akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat dan menjadi pembela agama Allah di dunia ini.

Wahai Tuhan kami, kuniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan anak-anak kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa - al-Furqan, 74.

Saturday, August 30, 2008

Ramadhan datang lagi (2)


Maksud hadis : Andaikata manusia mengetahui keistimewaan(kemuliaan) Ramadhan kerana pahala yang berlipat kali ganda, maka sesungguhnya umatku mengharapkan setahun ini akan menjadi bulan Ramadhan seluruhnya. (HR Tabrani)

InsyaAllah kita akan menjalani ibadah puasa hari Isnin depan. Tawaran mega dari Allah datang lagi untuk kita rebut. Marilah kita sama2 berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini sebaik2nya.

Salam Ramadhan untuk semua yang melawat blog umi_jah terutama sekali Huda, Aniisma, Aliya dan lain-lain.

Saturday, August 23, 2008

Salahguna hp


Hampir setiap hari handphone saya dan suami menerima mesej2 yang tidak diundang. Isinya tidak lain tidak bukan untuk melihat aksi2 panas - dari Ema, Eja, Liza, Lina, Tipah, dan macam2 nama lagi. Handphone kami tak canggih - setakat untuk kegunaan asas sahaja - menerima & menghantar mesej @ panggilan, tiada kamera @ kemudahan untuk download mesej bergambar. Jika ada pun, kami tidak berhajat untuk melayan mesej seumpama itu.


Cuma saya terfikir anak2 remaja sekarang hampir semuanya mempunyai hp dan pastinya canggih mengikut perubahan teknologi kini. Setakat untuk download aksi2 panas itu tidak menjadi masalah. Adakah ibubapa sedar akan perkara ini? Adakah ibubapa punya masa untuk memeriksa hp anak masing2 untuk memastikan anak2 tidak melihat aksi2 itu? Atau jika hp anak kita tidak canggih (seperti hp saya), mereka boleh 'tumpang sekaki' di hp rakan2 mereka.

Inilah di antara perkara2 yang menggusarkan kami sebagai ibubapa. Ledakan teknologi disalah gunakan untuk kegiatan tidak bermoral.

Masih adakah masa kita untuk dekat dengan anak2? Masih adakah masa kita untuk menghayati ajaran Islam? Masih adakah masa kita untuk duduk bersama2 anak untuk membaca dan menghayati al-Qur'an? Betulkah Rasulullah itu ikutan kita?

Anak2 kita adalah pemimpin akan datang. Tapi jika dilihat akan kehidupan remaja kita hari ini, bolehkah mereka memimpin? Kalau bukan negara pun yang hendak dipimpin, bagaimana mereka hendak memimpin keluarga? Bagaimana hendak memimpin jika diri sendiri pun tidak terpimpin?

Ya Allah, tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang Kau redhai. Beri kami kejayaan dunia dan akhirat. Ameen.

Tuesday, August 19, 2008

Seronok ke duduk rumah?

Kami bernikah pada 7 Disember, 1997. Selepas dari tarikh itu, saya adalah surirumah sepenuh masa. Satu keadaan yang agak janggal di mata orang lain - ada ijazah tapi memilih untuk menjadi surirumah. Puas saya nak menjawab pertanyaan2 seperti:

" Tak bosan ke duduk rumah?"

"Sayangnya tak kerja. Gaji permulaan graduan accounting RM1800 tau"

"Duduk rumah buat apa? Tengok tv ye?".......dan macam2 lagi soalan2 yang seperti itu sehinggakan satu peringkat saya amat jemu untuk mendengar dan menjawabnya. Kenapa? Apa salahnya seorang graduan memilih untuk menjadi surirumah? Beruntungnya saya, suami dan ibubapa saya tidak pernah membangkitkan soal itu. Ada juga suami mempelawa saya untuk sama2 mengajar di tempat kerjanya, tapi saya menolak dengan alasan, dan dia menerima alasan saya. Suami tidak pernah memaksa saya untuk bekerja.

Saya belajar dengan pinjaman MARA. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan akhir melayakkan saya untuk menukar pinjaman tersebut kepada biasiswa, jadi saya tidak perlu membayar hutang kepada MARA. Alhamdulillah. Sekurang2nya saya tidak membebankan suami untuk membayar hutang pelajaran saya.

Seorang rakan bekerja sebagai doktor, mengambil cuti tanpa gaji selama 6 bulan kerana bersalin. Bila kami berjumpa baru2 ni, dia berkata, " Macam ni agaknya yang Ita rasa bila duduk rumah ye..."

"Kenapa, kak ibah?"

"Kadang2 rasa jemu menghadap kerja rumah yang sama. Ita tahu, sekarang ni bila pagi2 kak ibah siapkan anak2 untuk ke sekolah, kak ibah bersiap sekali. Kak ibah ikut abi hantar anak2 ke sekolah". Saya senyum, "Tau takpe....(tapi dalam hati laa...)"

Kalau nak kata duduk rumah bosan, kita pun biasa dengar, "Hee...malasnya nak gi kerja. Bosan betullah........".

Bosan tu subjektif sifatnya, siapa pun boleh merasainya. Kerja2 rumah memang tak pernah habis. Saya tahu ibu2 yang bekerjaya adalah seorang yang kuat dari segi mental dan fizikalnya. Kedua2nya memerlukan komitmen yang bukan sedikit.

Pemahaman dari suami amat penting samada seorang wanita itu bekerja atau surirumah sepenuh masa. Bukan semua, tapi biasa kita dengar dan saksikan sendiri sama2 keluar bekerja tapi bila pulang ke rumah hanya isteri yang melakukan semua kerja2 rumah.

Suami saya bukan seorang yang cerewet, alhamdulillah.Dia tidak pernah bising apa yang saya masak. Kadang2 saya yang 'minta cuti' memasak. Dia ringan tulang untuk membantu kerja2 rumah. Dia tidak pernah persoalkan apa yang saya buat di rumah walaupun kadang2 (selalu juga....) rumah bersepah. Maklumlah anak2 sedang membesar, saya yang lebih banyak berleter pada anak2 (dan suami juga...hehe) jika rumah bersepah. Penat.

"Umi sebenarnya tak boleh orang perintah, sebab tu umi pilih untuk jadi surirumah, semua umi buat tanpa diarah," saya bergurau kepada suami baru2 ni bila dia bertanya kalau2 saya teringin keluar bekerja. Kami sama2 ketawa. Saya tahu apa makna ketawanya...

Anak2 kami dah mula membesar. Saya ingin melihat anak membesar di depan mata. Saya tak sampai hati nak hantar anak ke rumah orang untuk di jaga bila saya keluar bekerja, lebih2 lagi ada pengalaman pahit dilalui oleh saudara2 saya yang menghantar anak2 untuk dijaga oleh orang lain. Betul bukan semua begitu. Rakan yang saya sebut diatas tadi beruntung kerana anaknya dijaga oleh seorang yang menitikberatkan hal2 agama, jadi banyak didikan2 positif yang anak2nya terima dari penjaganya. Jadi untuk tidak terus bersusah hati, itulah keputusan yang saya ambil. Setiap saat saya mengharap Allah memberikan kesabaran kepada saya dalam mendidik anak2. Anak2 zaman kini, bukan seperti dulu2, taat dan patuh pada ibubapa tanpa banyak soal. Anak2 zaman kini lebih terbuka minda dan fikirannya, lebih banyak soalnya bila ibubapa memberitahu tentang sesuatu.

Terimakasih, ayah, tak pernah persoalkan apa yang umi buat di rumah. Terimakasih juga kerana selalu menegur umi dengan sabar dalam mendidik anak2 kita. Ia juga sebenarnya mendidik diri umi. Semoga Allah sentiasa memberkati kehidupan kita sekeluarga. Ameen.

Sunday, August 10, 2008

Ramadhan datang lagi (1)


Ahad, 8 Syaaban 1429, ada kelas dengan anak2. Anak2 teruja semacam. Kenapa? Jika selalu saya yang bercakap ( kadang2 berleter....heehee ) tetapi kali ini mereka akan membuat persembahan sajak/syarahan/nasyid/bercerita yang berkaitan dengan Ramadhan. Anas Hakimi, Muhammad Ammar, Abdul Azim berpakaian sedondon dan bersamping-sedia untuk bernasyid. Anak2 perempuan berbaju kurung cantik termasuk sikecil Maryam. Wafiuddin seronok sangat dapat mencuba mikrofon mini yang saya bawa, "Hee...bestnya ada benda ni," katanya sambil membetulkan mikrofon mini yang sedang dicubanya. Kelakar dan seronok melihat anak2 ceria.


Majlis di mulakan dengan bacaan al-Quran oleh Abdullah Zubair, dari surah al-Baqarah yang berkaitan dengan puasa.


Ahmad mengambil tempat pertama untuk bernasyid. Di rumah teruja sangat nak bernasyid, bila ada ramai kawan2 melihat malu pula jadinya, terpaksalah saya menjadi penyanyi latar kepada nasyidnya untuk memberikan keyakinan kepadanya. Nasyid Zikir Fikir menjadi pilihannya.


Abdul Muhaimin bersedia untuk persembahan berikutnya."Amin nak baca doa je, Makcik Ita," katanya pada saya. "Ok, takpe, boleh je," dia tersengih mendapat izin untuk membaca doa. Satu doa pendek tapi saya rasa amat menyentuh hati kerana doanya memohon Allah satukan hati2 kami untuk beriman pada Allah. Anak2 yang lain dengan kuat mengaminkan doanya.



Khadijah membaca surah al-Baqarah:183 dan membacakan terjemahan ayat tersebut. Melalui ayat tersebut, TAQWA adalah matlamat daripada puasa Ramadhan yang kita lakukan. Makanya bulan Ramadhan akan mendidik kita untuk menjadi orang yang bertaqwa. Di antara cara didikan Ramadhan yang disebutkan oleh Khadijah ialah melatih kita untuk merasai lapar dan dahaga sebagai asas untuk tolong menolong, berkasih sayang dan menghormati sesama manusia.


Muhammad Ammar bernasyid yang di antara lain katanya "...Ramadhan adalah madrasah untuk mendidik hati dan jiwa, agar tunduk patuh pada-Nya....".


Anas Hakimi, paling teruja sebelum harinya, tapi amat pemalu untuk tampil, namun akhirnya selepas puas memujuk, sudi berkongsi nasyid yang menyentuh hati, "....pastikah kita dapat menyambut Ramadhan kali ini.....", ingatan melayang seketika kala Anas menyebut baris ayat itu. Teringat makcik yang Allah panggil kembali pada malam Ramadhan pertama beberapa tahun lepas. Sesungguhnya kala saat kematian itu tiba, ia tidak akan tercepat atau terlambat sedikit pun kerana itulah detik yang pasti. Terimakasih Anas, ingatkan makcik Ita.


Itulah anak2.....putih bersih kitalah yang mencorakkannya. Mungkin mereka belum memahami hakikat puasa, taqwa, kematian.... (pertanyaan untuk sendiri - sudah fahamkah aku hakikat semua itu?), tapi inilah antara tanggungjawab ibubapa untuk memberitahu dan membantu mereka untuk memahami ajaran2 yang terkandung di dalam deen Islam. Cabarannya amat hebat dalam kehidupan hari ini.


Ramadhan datang lagi, apakah akan kita dapat melaluinya kali ini? Apakah Ramadhan kali ini mampu meningkatkan darjat taqwa kita? Wallahua'lam...kerana sesungguhnya puasa adalah ibadah tersembunyi, hanya Allah yang mengetahui samada kita benar2 berpuasa atau tidak. Puasa menguji keikhlasan kita, dengan menjaga segala adab berpuasa semata2 kerana Allah. Puasa menjadi medan untuk kita mendidik hati dan jiwa agar sentiasa ikhlas kerana Allah.


Teringat nasyid oleh Nazrey Johani...."...ku mengharap kan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapatku lalui dengan sempurna......" .


Ya Allah, rezekikanlah dan berkatilah aku bersama suami dan anak2ku untuk menemui Ramadhan kali ini. Ameen.

Monday, August 4, 2008

Hanya mimpi




Saya berada di salah satu chalet sebuah resort. Bosan di dalam bilik, saya keluar ke anjung chalet dan melihat orang ramai lalu lalang di luar. Sambil melihat mereka, saya membaca surah2 lazim dengan dimulai surah al-Ikhlas. Tiba2 datang segerombolan pelancong Arab duduk di keliling saya untuk mendengar surah2 al-Quran yang saya baca. Tiba pada surah ad-Dhuha, seorang perempuan Cina muda berhampiran dengan saya tiba-tiba berkata," Saya tahu surah ini, saya sudah hafal", teriaknya keseronokan sambil mengikut saya membaca surah tersebut walaupun dalam keadaan pelat sebutannya. Tiba-tiba......ahh....bunyi ayam berkokok. Rupanya ayam belaan jiran berhampiran berkokok. Mimpi tadi hilang serta merta. Saya melihat jam telefon bimbit, pukul lima pagi.

Saya jarang ingat mimpi yang saya alami, tapi mimpi yang ini saya boleh mengingatinya. Entah apa maknanya. Tapi sekurang2nya ia bukan mimpi yang bukan-bukan.

Beberapa hari ini saya teringat seorang rakan bloggers yang saya senangi, dia tinggal berdekatan Tanjung Piai. Teringat untuk bertanya padanya kalau2 ada resort di sana. Cuti sekolah hampir tiba, teringin mengajak suami ke pantai bersama anak2 masa cuti. Mungkin kerana itulah saya bermimpi ini malam tadi.

Boleh kita gi pantai,yah, cuti sekolah ni? Hehehe.....umi gurau je.

Sunday, August 3, 2008

Siti Fatimah Mukhtar




Saya baru habis membaca sebuah buku motivasi bertajuk "Siti Fatimah (18A)-watak remaja zaman ini". Pelajar terbaik SPM 2006 dengan memperolehi 18A dalam SPMnya. Apa yang lebih menarik bagi saya adalah kehidupannya yang bermula seawal 4.30 @ 5.00 pagi. Satu waktu yang amat payah bagi kebanyakkan kita untuk membuka mata, tetapi tidak bagi remaja cemerlang ini. Harinya di mulai dengan solah tahajjud, solah taubat dan solah hajat. Hiburan baginya adalah dengan membaca @ mendengar ayat2 suci al-Qur'an. Siti Fatimah sendiri hafal 15 juzuk al-Qur'an. Dia amat menjaga batas2 pergaulannya dengan lelaki bukan muhrim. Dia amat cintakan ilmu pengetahuan. Dia mempunyai bakat kepimpinan. Menonton tv hanya sekejap sebelum maghrib.

Sehabis membaca, saya berkata kepada suami, "Bagusnya Siti Fatimah ni, yah. Sejuk mak ayah dia dapat anak macam tu. Umi pun nak anak2 kita macam dia". Suami hanya tersenyum. Saya menyambung,"Tapi kalau kita nak anak kita soleh macam tu, kita dulu yang kena soleh, ye yah. Baru anak2 kita ikut". Suami tetap senyum. Saya tahu ada makna dalam senyumnya.

Memang beruntung Siti Fatimah mempunyai ibubapa yang amat prihatin dalam pembentukan peribadi anak2nya. Bapanya berkongsi pengalaman dengan pembaca dalam mendidik anak2nya.

Pertama, memberikan asas pendidikan agama yang kukuh sejak dari awal, membina disiplin diri yang baik kepada anak2. Ia dilakukan secara berterusan dari anak kecil hinggalah dewasa.

Kedua, menganggap mendidik anak adalah satu pelaburan untuk mendapat pulangan dalam masa panjang, ini bermakna ibubapa juga kena melabur dari segi kemudahan yang ada- kewangan, masa dan susah payah.

Ketiga, ibubapa mesti ada hubungan yang baik dengan pihak sekolah terutama guru2 anak2 kita untuk memahami dan mengetahui perkembangan anak2 serta prestasi anak2. Jika ada kelemahan, berbincang dengan pihak sekolah bagaimana untuk memperbaiki.

Keempat, peranan ibubapa, PIBG, rakan2 anak dan kemudahan2 sokongan, digabung jalinkan untuk kejayaan pelajaran anak2.

Kelima, peranan doa dan solat hajat, iaitu setelah berusaha dan berikhtiar, kita memohon pertolongan daripada Allah swt.

Peranan ibubapa bukan setakat memastikan kejayaan anak2 di dunia sahaja tetapi kejayaan kita dan anak2 "di sana" adalah amat kita harapkan. Di dunia inilah kita mengusahakan ladangnya kerana Rasulullah saw telah bersabda," Dunia ini ladang akhirat".

Keluarga Hj Mukhtar Ismail ( Ketua Operasi Bank Islam Wilayah Timur) dan Hjh Aishah Mohd (guru besar sekolah rendah) memang patut dijadikan contoh untuk kita.

Monday, July 28, 2008

Mereka perlu dibantu......


(Terimakasih kepada Aniisma kerana mencetuskan idea ini selepas membaca 'Hak Kanak2 [3]')

Memang betul, naluri keibuan kita amat tersentuh apabila melihat dan mendengar anak2 yang tidak berdosa itu teraniaya sedemikian rupa. Lebih2 lagi bagi yang pernah merasai kepayahan dan kesakitan mengandung dan melahirkan, kejadian seperti ini amat memilukan dan seperti merobek2 hati dan perasaan.

Cuma bagi saya, manusia tidak akan bertindak di luar batasan jika jiwanya tenang dan tidak tertekan perasaannya.

Sebagai contoh, dalam satu kes dikatakan bahawa suaminya mengugut untuk berkahwin lain lalu si isteri bertindak menjerut leher anak2nya. Seorang ibu lain yang masih dalam pantang bertindak menikam perut bayinya dengan sebilah gunting kerana tidak tertahan mendengar tangisan si bayi. Seorang ibu ditinggalkan suami, dibiarkan sendiri menghadapi kepayahan bersama anak2, bertindak melemaskan anaknya di dalam kolam....Ini di antara kes2 yang berlaku dan dilaporkan di akhbar2.

Boleh kita bayangkan tekanan yang dihadapi oleh ibu2 ini sebelum kejadian tragis itu berlaku? Bagaimana tidak tertekan jika selama perkahwinan itu berjalan pun dia dan anak2 diabaikan tiba2 mengugut untuk berkahwin lain? Bagaimana tidak tertekan jika dalam proses berpantang selepas bersalin tiada yang membantu dan memberi sokongan dari segi emosi untuk menyesuaikan diri dengan anak yang baru dilahirkan? (Ada ramai wanita yang tertekan perasaannya selepas melahirkan - kita boleh cari maklumat2 ini di dalam banyak bahan bacaan yang berkaitan dengan kesihatan). Bagaimana tidak tertekan jika hidup susah lalu ditinggal suami begitu sahaja tanpa nafkah untuk dirinya dan anak2?

Siapa yang datang membantu orang2 yang bermasalah seperti ini? Saya setuju dengan Aniisma, masalah rumahtangga kadang2 tidak mahu dikongsi dengan orang lain. Tapi saya percaya, ramai lagi orang2 yang tertekan hidupnya, perasaannya, jiwanya, emosinya...yang memerlukan pertolongan, bantuan dan sokongan dan bersedia untuk diambil tahu masalahnya.

Longgarnya pegangan agama, tiada keharmonian dalam rumahtangga (termasuk tiadanya komunikasi berkesan), hubungan yang tidak rapat dengan orang sekeliling termasuk kaum kerabat, dll, bagi saya boleh menyumbang kepada masalah ini.

Saya ada rakan yang diabaikan oleh suaminya sebelum dan selepas dimadukan. Betul, mungkin ada kesilapan di pihaknya sehinggakan ia dimadukan, tetapi itu bukan alasan untuk seorang suami mengabaikan tanggungjawabnya kepada isteri dan anak2. Urusan rumahtangga, anak2 sekolah tidak dipedulikan oleh si suami walaupun sebelum dia berkahwin lain. Makankah? Sihatkah? Ada duitkah?....tidak pernah ditanya. Rakan saya ni mencari sedikit pendapatan dengan menjual kuih. Saya pernah sekali membantunya menyiapkan kuih2 jualannya -aduh...penatnya badan amat terasa. Bayangkan dia yang menguruskan semuanya sendiri di samping kerja2 rumah lain yang perlu dilakukan.

Bila sesekali kami berjumpa, dia bercerita dan meluahkan rasa kecewanya. Saya lebih banyak mendengar dengan harapan ia mampu mengurangkan sedikit tekanan yang dirasainya. Ramai kaunselor berkata kadang2 jika kita ada masalah, orang dengar masalah kita pun cukup untuk buat kita merasa lega. Mungkin betul pandangan ini kerana dia selalu ternanti2 bila kami boleh berjumpa.

Untuk membantu dengan wang ringgit, saya tidak mampu walaupun kadang2 amat teringin untuk berbuat demikian. Apa yang saya mampu hanyalah mendengar, mendengar dan mendengar. Sesekali saya memberi pandangan dan nasihat dan paling utama saya ingatkan dia supaya berdoa kepada Yang Maha Mendengar, Maha Pengasih dan Maha Penyayang kerana DIA lah Yang Maha Mengetahui.

Saya percaya, ramai lagi orang2 yang inginkan masalahnya didengar, dibantu emosi dan jiwanya supaya ada kekuatan untuk menghadapi kehidupan. Paling penting kita dapat mengajak mereka untuk merasai pentingnya agama itu dijadikan landasan dalam kehidupan. Kita pasti tidak mahu tragedi menyayat hati itu berlaku lebih2 lagi jika ia melibatkan saudara mara kita @ rakan2 kita @ orang2 yang kita kenali.

"Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang", (terjemahan Ar-Ra'du :28)



Saturday, July 26, 2008

Bukan rahsia lagi...


"Umi, buah apa yang tak boleh simpan rahsia?", tanya kakak kepada saya yang sedang memasak di dapur.
"Apa ek? Entah, tak tahu la umi, kak", saya membalas.
"Ayah tahu tak?", kakak mengajukan pula pertanyaan yang sama kepada suami yang sedang membaca.
"Tak tahu. Buah apa?", kedengaran suami membalas pertanyaan kakak.
"Buah manggis la, yah. Kan buah manggis ada tunjukkan berapa bilangan isi dia kat bahagian bawah buah tu....hehehe.....," kakak seronok dapat mengenakan kami. Saya di dapur pun tergelak mendengarnya.

Lalu hari ini saya terfikir, aurat yang tidak ditutup dengan sempurna juga umpama manggis, orang lain yang melihat dengan hati yang ada penyakit akan meneka saiz, bentuk, ukuran,.....astaghfirullah..... Hakikatnya, itulah yang berlaku mutakhir kini. Sukarnya menjaga pandangan. Lirikan yang menarik, gerakan yang menggoda, dandanan kecantikan yang berlebihan, tubuh yang terbuka,......semuanya pasti membangkitkan dan menyalakan syahwat. Maka yang terjadi kemudian adalah perlampiasan hawa nafsu yang membabi buta dan kacau bilau yang tidak terikat dengan suatu ikatan pun.

Surah an-Nur:30-31, Allah ingatkan kita, lelaki dan perempuan supaya menjaga pandangan. Begitu juga, Allah mengingatkan kepada wanita2 beriman bagaimana caranya menutup aurat.

Dalam 'Tafsir Fi Zilalil Qur'an" As-Syahid Sayyid Quthb menulis :
Setelah Allah memerintahkan wanita2 untuk menutup dada dan tidak menampakkan perhiasannya, wanita2 mukminat bersikap seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah dalam riwayat Bukhari, " Semoga Allah merahmati wanita2 Muhajirin yang pertama , setelah Allah menurunkan ayat, "....dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya...", maka mereka mengoyak pakaian yang lain lalu menjadikannya sebagai kain yang menutup tubuh mereka.....Kaum lelaki Ansar segera kembali ke rumah masing2 untuk membacakan ayat yang turun kepada wanita2 mereka. Seorang lelaki membacakannya kepada isterinya, anak perempuannya, saudara perempuannya, juga kepada setiap kerabatnya. Mereka bersegera mengambil pakaian lalu mengikatnya di kepala sebagai pembenaran dan keimanan mereka terhadap ayat2 yang Allah turunkan. Subhanallah........

Dalam "Surat2 Maududi - Maryam Jameelah", Maryam Jameelah menulis:
Bersama ini saya lampirkan satu gambar rencana yang dipetik dari Majalah Look mengenai fesyen pakaian wanita yang terbaru. Bagi saya, fesyen itu kelihatan begitu jelek, hingga saya merasa lebih baik dipukul mati sahaja dari memakainya.

Pereka2 fesyen ini nampaknya berbuat apa sahaja untuk menjadikan wanita2 moden Eropah kelihatan seperti pelacur2 yang merayau di jalan2.......

Salah satu dari langkah pertama yang saya lakukan setelah memeluk Islam ialah melabuhkan gaun2 saya. Kaum keluarga saya begitu terperanjat apabila melihat saya memakai gaun2 labuh hingga ke buku lali, sedangkan semua perempuan yang lain memakai gaun2 singkat di atas lutut.......

Saya masih mengulang baca buku tulisan Maryam Jameelah ini. Isu2 yang dibincangkan oleh beliau dengan Maududi masih tetap relevan hingga kini, walaupun ia mula ditulis pada akhir tahun 1960. Ajaran2 dalam Islam memang tidak akan berubah sebagaimana yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya yang terakhir. Manusia yang suka mengubah mengikut hawa nafsu masing2.

Kepada anak2 dalam usrah, selalu saya ulang2kan akan satu hadis, "Al hayaa'u minal iman," Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman. Jika kita tidak malu, itulah jadinya, memakai pakaian yang katanya mengikut fesyen terkini, sehingga menampakkan apa yang sepatutnya menjadi rahsia.

Rasulullah juga telah bersabda yang maksudnya,"Jika kamu tidak malu, buatlah apa sahaja yang kamu mahu".

Semoga Allah terus memberikan kepada kita taufik dan hidayah-Nya untuk mengharungi kehidupan yang amat mencabar ini. Ameen.

Tuesday, July 22, 2008

Ingat sihat masa sakit....

Hari ni kepala masih berat lagi, mungkin kesan dari ubat yang dimakan. Ke klinik dengan suami semalam, sakit tak tertahan.

"Jangan risau, ini jangkitan kuman, insyaAllah kita ada ubat," doktor berkata dengan tenang dan mengurangkan debaran yang datang.

Alhamdulillah ada banyak perubahan walaupun masih terasa sedikit kesakitannya. Ubat2 masih ada untuk dihabiskan.

"Umi boleh rehat la bila ayah ke Shah Alam," suami bergurau.
Surirumah macam saya mana ada MC. Lebih2 lagi ada si kecil Maryam berumur 2 tahun lebih, mana boleh duduk diam. "Umi, cakap la dengan Yam...", katanya bila saya hanya mendiamkan diri mendengar celotehnya. Kelam kabut sedikit bila waktu pagi bila suami ada kelas di Shah Alam, pertamanya nak pujuk abang bangun, keduanya nak pastikan Maryam tidur nyenyak sehingga kakak dan abang siap untuk ke sekolah. Alhamdulillah, pagi ni selesai tanpa masalah.

Rasa nak tidur sahaja selepas makan ubat ni. Tapi teringat banyak kerja nak di buat.

Rasulullah saw telah mengingatkan kita ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati.

Bila sakit, walaupun tak teruk, selalu teringat tentang mati. Kita cuma dipinjamkan nyawa, sampai masa Allah ambil kembali. Teruk @ tidak sakit kita, itu bukan alasan untuk dipanjangkan usia. Seorang rakan, meninggal dunia dalam keadaan sihat, cuma dia terjatuh tersepak bendul pintu sewaktu terburu2 hendak mengangkat kain di jemuran.

Bila sakit, teringat apa bekalan yang nak dibawa bertemu-Nya? Banyak yang dicuaikan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sebagai isteri, anak, ibu...yang semuanya akan ditanya di sana nanti. Maksud hadis : " Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya apa yang dipimpinnya".

Seorang ustaz dalam satu majlis ilmu berkata, "Jangan risaukan apa yang kita tinggalkan bila kita mati......contohnya anak2, itu tanggungjawab orang yang hidup untuk menguruskannya, tapi risaukan apa bekalan yang kita nak bawa bila bertemu Allah kelak....,".

Ya Allah, rahmat dan kasih sayang-Mu amat aku harapkan. Jangan Kau biarkan aku menentukan nasibku sendiri walau dalam kadar sekelip mata atau lebih pendek dari itu. Ameen.

Friday, July 11, 2008

Panggilan telefon di suatu petang.....


Saya sedang menyiapkan minum petang beberapa hari lepas tatkala panggilan itu masuk. Seorang ibu kepada rakan sekelas kakak(anak sulung saya) di hujung talian. Suaranya sedih dan mungkin berbaur kecewa.

Dia memperkenalkan dirinya serba ringkas dan meminta maaf kepada saya jika panggilannya ini mengganggu saya. Dia mula bercerita dengan panjang. Cerita tentang ketidakpuasan hatinya terhadap pihak sekolah dan guru2 yang mengajar anak kami. Saya mula sakit kepala bila mendengar banyak cerita yang tidak sedap untuk didengar. Saya serba salah, tapi saya tetap mendengar luahan hatinya. Perbualan tiba2 terputus, mungkin kreditnya habis. Sebelah malam dia menelefon lagi tapi sekadar untuk mengucapkan terimakasih kerana mendengar luahan hatinya dan meminta maaf sekali lagi jika saya terganggu dengan panggilannya.


Bukan saya dan suami berpuashati sepenuhnya dengan sekolah, sedikit sebanyak kadang2 ada yang tidak puas hati, tapi kami anggap itu sebagai biasa. Tidak ada yang sempurna segala2nya. Pun bukan disebabkan kakak di antara harapan guru2nya, maka kami puashati dengan semuanya. Tidak begitu. Abang(anak kedua) hanya beroleh nombor 13 dalam kelasnya, pun kami puashati kerana kami tahu kelemahan dan kelebihan anak2 kami.


Kami tidak bertanya berita baik dan berita buruk di sekolah setiap hari. Kami akan biarkan anak2 bercerita sendiri apa yang berlaku. Yang biasa saya tanya," ada kerja rumah? Kakak/abang di sekolah hari ni ok? Makan apa hari ni kat sekolah?....dan soalan2 lain yang saya anggap ringan. Anak2 kami berada di sekolah dari pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang, cukuplah kepenatan yang mereka hadapi setiap hari2 persekolahan, jadi kami tidak mahu menghujani mereka dengan pelbagai soalan. Soalan yang pelbagai memungkinkan anak2 akan bercerita perkara2 yang tidak seronok di sekolah. Kami tidak mahu anak2 jadi tidak seronok di sekolah. Bagaimana untuk dia belajar jika di hatinya bersarang rasa tidak puas hati akan sekolah dan guru2nya?


Kadang2 anak2 kami ada juga mengadu tentang guru2nya, tapi kami biasanya akan menjawab,"Tak apa la kak, mungkin cikgu penat......mungkin cikgu ada masalah"......dll

Seboleh2nya kami tidak mahu bercakap perkara yang negatif tentang sekolah dan guru mereka. Kalau adapun perbincangan, ia di antara saya dan suami, bukan di depan anak2.


Sekolah tidak boleh memberi semua apa yang kita harapkan. Setiap pihak sebenarnya ada peranan masing2. Kami percaya, setiap pihak pengurusan sekolah pasti mahu yang terbaik untuk sekolah dan pelajar2nya. Mungkin anak kita banyak masanya di sekolah, tetapi itu tidak mengurangkan tugas hakiki kita sebagai ibubapa yang bertanggungjawab untuk mendidik anak2. Sama2lah kita memberi dan menerima.

Ya Allah, mudahkanlah anak2 kami untuk menerima kebaikan dan kebenaran, juga mudahkan anak2 kami untuk menolak kejahatan dan kebatilan. Beri kami kejayaan di dunia dan di akhirat. Ameen.

Pasangan Romantis dan Harmoni

Hubungan yang harmoni dan baik antara ayah dan ibu mempunyai pengaruh yang hebat dalam tingkahlaku anak. Ayah dan ibu adalah contoh nyata dalam hidup seorang anak. Seorang anak akan menimba nilai2 hubungan yang baik itu dan akan memberi manfaat besar kala dewasa dan berumahtangga.

Tsana al-Banna menceritakan, "Pernah suatu hari ayah pulang agak malam bersama rakannya dan ibuku sedang tidur. Ketika itulah aku melihat penerapan firman Allah yang bermaksud,"Dan (Dia) menjadikan antara kalian rasa kasih dan sayang". Ketika itu ayah tidak membangunkan ibu sama sekali, ayah menyiapkan sendiri makanan untuk menjamu makan malam rakannya yang datang bertamu. Ayah kulihat masuk ke dapur dan mempersiapkan makan malam sendiri. Ayah tahu letak semua barang2 di dapur juga rempah ratus yang diperlukannya. Ayah juga menyiapkan meja dan kemudian ayah dan tetamunya makan malam bersama.

Saiful Islam juga menceritakan hal serupa. Katanya,"Jika pulang larut malam, ayah tidak pernah mengganggu seorang pun di rumah kami. Padahal kunci rumah kami cukup panjang, dan pasti ia akan mengeluarkan bunyi. Suatu malam, aku belajar hingga larut malam. Betapa terkejutnya aku ketika mendapati ayah sudah berada di dalam rumah, padahal aku tidak mendengar bunyi pintu dibuka. Ternyata ayah membuka pintu dengan sangat berhati2. Ayah mempunyai perasaan yang sangat halus, bahkan mungkin boleh dikatakan sangat lembut."
(Petikan dari buku 'Cinta Di Rumah Hassan al-Banna')

Wednesday, July 2, 2008

Komunikasi itu penting.


"Lama saya tunggu akak, tak balik2", dia memulakan bicara.

"Kenapa", saya bertanya.

"Nak ceritalah dengan akak. Banyak dalam kepala ni nak cerita," katanya sambil tangannya menguli kuih. "Akak tengokla tu, kalau tak kerja bukan tahu nak tolong saya buat kuih ni....tolong goreng karipap ke, donat ke....sibuk 24jam dengan motor dia".

"Cakap la dengan dia, minta ditolong kerja2 kat dapur ni. Awak cuma tolong dia untuk cukupkan duit belanja rumah. Sepatutnya tanggungjawab dia untuk cukupkan keperluan rumah dan anak2", saya membalas.

"Dah banyak kali minta tolong kak, dah malas nak cakap. Naik sedih saya ni kenangkan nasib diri", dia meluahkan rasa hatinya.

Begitulah selalunya, dia bercerita macam2 pada saya bila sesekali berjumpa. Seperti biasa juga saya jadi pendengar yang setia. Sesekali menyampuk cakapnya, sesekali memberi pendapat, sesekali memberi nasihat.

Dalam rumahtangga, komunikasi amat penting supaya suami tahu apa kehendak isteri dan isteri tahu apa kehendak suami. Mungkin ada perkara yang tidak perlu disuarakan bila masing2 faham sendiri, tapi banyak lagi yang memerlukan interaksi di antara suami dan isteri.

Jika dulu masa bercinta, banyak sangat boleh cerita, [sampai tak dengar nasihat orang yang lebih tua] tapi bila telah sah sebagai suami isteri, mana pergi cerita2nya? Bukankah ianya sepatutnya jadi lebih banyak untuk dibual bincangkan memandangkan banyaknya tanggungjawab seorang suami dan isteri?

"Bang, beras habis....bang, barang dapur habis,.....bang, saya nak baju dan tudung baru, etc".

Kelihatannya remeh kata2 seperti itu, tapi percayalah, jika ia dibiarkan, dengan harapan pasangan tahu apa yang kurang dalam rumah, lama kelamaan, ia akan menimbulkan rasa sakit hati. Apatah lagi pada perkara2 lain yang lebih besar, jika tidak dibincangkan, kerana beranggapan masing2 tahu tugas dan tanggungjawab, maka lebih besarlah nanti masalah yang menanti.

Suami isteri kena selalu berkomunikasi. Memang kadang2 timbul suasana hangat tapi bukankah itu lebih baik daripada ianya dibiarkan begitu sahaja sehingga ia akan menimbulkan masalah besar dalam rumahtangga?

Perbezaan pendapat itu biasa, maklumlah asalnya suami isteri itu adalah dari latar kehidupan yang berbeza, bersatu mengikat janji untuk mengharungi hidup berkeluarga bersama2.

Terimakasih ayah kerana sentiasa berusaha untuk mewujudkan pelbagai cara komunikasi dalam kehidupan kita sebagai suami isteri dan dengan anak2 kita juga....

Tuesday, July 1, 2008

Umi dah tua...

Kami dalam perjalanan ke satu destinasi, bila tiba2 abang melontarkan pertanyaan," Betul ke umur umi...........tahun?"


"Betul. Kenapa?"

"Umi dah tua laa...". Saya dan suami hanya senyum.

"Mi, ari tu masa kita jumpa Rabiatul kat Pasar Tani, dia ingat umi muda lagi sebab suara umi dalam telefon dia kata macam suara orang muda", kakak mencelah. "Rupanya umur umi sama dengan umur mak dia", kakak menambah.

"Betul la umi dah tua, tapi umi kena rasa umi ni muda....".

"Kenapa?", abang mencelah.

"Sebab umi nak jaga kakak, abang, dik Yam. Anak2 umi kan masih belum dewasa, jadi umi kena kuat macam orang muda. Bukan anak2 umi je umi nak jaga, ayah pun umi kena jaga tau!", suami saya ketawa mendengar lawak spontan, anak2 juga ketawa.

"Ayah pun umi kena jaga?", abang lurus melontarkan soalan.

"Ya...", saya sekadar mengiyakan, sambil menjeling suami yang masih belum hilang senyumnya.

Begitulah manusia bergelar ibu. Banyak peranannya dalam sebuah rumahtangga. Ada seorang kaunselor berkata, ibu adalah tunggak kepada sebuah keluarga. Dia kena kuat emosi dan jasmaninya untuk melaksanakan tanggungjawab yang terpikul di bahunya.

"Tak best la umi dah tua, nanti umi mati dulu", abang menyambung kata2nya.

"Takpe umi mati dulu. Sebab tu umi nak abang jadi orang soleh supaya abang boleh doakan umi bila umi mati nanti", jawab saya. Suami hanya mendengar. Abang pun diam. Sedih barangkali.

Bila balik kampung, emak tiada di rumah, mungkin pergi kenduri rumah jiran atau ada hal lain di kampung, memang terasa kekurangannya. Walaupun kadang2 kita hanya pendengar yang setia pada cerita2nya, tapi hati rasa senang dengan adanya dia depan mata.

Seorang ibu banyak tugas dan tanggungjawabnya. Pengalaman melahirkan anak2, membuat saya lebih menghargai pengorbanan emak, terutama dalam kepayahannya membesarkan kami 12 adik beradik dalam keadaan serba kekurangan. Begitu juga suami, melihat saya melahirkan anak2 juga membuat dia lebih menghargai pengorbanan ibunya.

Kita pasti ingat akan hadis2 Nabi saw yang mengingatkan kita bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu dan seorang anak itu wajib mengutamakan ibunya bebanding bapanya sekiranya kedua berkehendak sesuatu.

Besar sungguh peranan ibu, jika tidak, masakan Nabi saw menyebutkan dua hadis di atas sebagai ingatan kepada umatnya.

Berjayakah saya menjalankan tugas sebagai umi kepada anak2? Hanya kepada Allah saya mengharapkan ada kekuatan untuk menjadi umi yang di tapak kakinya ada syurga dan dipatuhi serta ditaati oleh anak2nya..........

Monday, June 30, 2008

Report Card anak2.


Pagi tadi saya dan suami ke sekolah anak2, ada Hari Terbuka sekolah. Alhamdulillah, kakak berjaya mengekalkan prestasinya, terbaik untuk keseluruhan Darjah 4. Abang tempat ke-13 dalam kelas, tempat ke-15 keseluruhan Darjah 1, alhamdulillah.

"Hassan berazam nak kalahkan Khadijah penggal depan," seorang ibu memulakan bicara semasa kami sama2 menunggu giliran untuk masuk. Saya hanya tersenyum.

"Khadijah bila waktu exam, tak dipaksa baca buku, dia tak baca. Sayalah yang kena duduk membaca sama2 dengan dia. Buat latih tubi bersama," saya membalas. Dia tersenyum.

Bagi kami, jika anak2 pandai dan mendapat markah serta kedudukan yang baik dalam kelasnya, ia adalah BONUS untuk kami. Saya dan suami sering mengingatkan anak2, orang Islam kena cemerlang di dunia dan akhirat. Cemerlang di dunia tidak bermakna apa2 jika kita tidak berusaha untuk cemerlang di akhirat. Bukankah kaum Tsamud (umat Nabi Saleh), adalah kaum yang hebat? Mereka membuat rumah2 yang cantik daripada bukit2 batu yang mereka ukir menjadi kediaman yang indah. Tetapi akhirnya Allah musnahkan mereka kerana keangkuhan dan keengganan mereka untuk menTauhidkan Allah, dan Allah menyelamatkan sedikit sahaja dari mereka yang mengikut Nabi Saleh.

Saya dan suami percaya, kita akan lebih tenang untuk melepaskan anak2 berjauhan dari kita untuk menuntut ilmu @ bekerja, jika anak2 kita melihat sesuatu itu 'baik jika Islam kata baik dan melihat sesuatu itu buruk jika Islam kata ia buruk'.

"Kakak jangan kecil hati ye jika saya tegur anak2 akak," kata ustazah Reniyati [guru bahasa Arab kakak dan abang].
"InsyaAllah, saya tidak berkecil hati jika ustazah menegur anak2 saya untuk kebaikan," saya membalas kata2 ustazah kakak dan abang dengan rasa senang.


Selepas itu kami meninggalkan anak-anak untuk bermain dengan kawan-kawan sebelum mengambil mereka sejam kemudian.

Tuesday, June 24, 2008

Tiada suara keras di rumah kami - Tsana al-Banna

Sikap pertama seorang ayah yang berjaya adalah bila dia mempunyai perhatian yang menyeluruh terhadap anak2nya. Tetapi saat seperti inilah yang hilang dari ramai para ayah. Bahkan tidak sedikit para da'i yang kurang memiliki perhatian terhadap perkembangan anak2nya dengan dalih kesibukan dan perhatiannya sepanjang hari di luar rumah untuk berdakwah. Lalu ketika pulang, anak2 telah lelap tidur. Mereka sedikit sekali memberi bekal yang cukup dan bermanfaat untuk anak2nya.

Tapi itu tidak terjadi pada Imam Hassan al-Banna yang fikirannya ditumpukan untuk membangun umat. Rumah beliau dan anak2nya tetap mendapat perhatian yang besar, diiringi keseriusan dalam bentuk peraturan dan pertarbiyahannya.

Tsana bercerita, " Kami tidak pernah merasakan adanya beban kegiatan yang dirasakan ayah selama di rumah. Contohnya, kami tidak melihatnya seperti kebiasaan orang yang kerap berteriak atau bersuara keras di dalam rumah atau seumpamanya akibat dari tekanan mental dan fizikalnya setelah penat bekerja di luar. Bahkan yang paling penting dalam kehidupan ayah adalah soal pengaturan keluarga. Jika anda membaca bagaimana cara kehidupan ayah, engkau akan lihat bahawa semuanya berjalan sesuai apa yang dicontohkan Rasulullah saw."

Siapa tidak kenal dengan Hassan al-Banna. Seorang mujahid dan mujaddid ulung di abad 20. Beliau pengasas kepada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Gerakan ini amat mencintai Islam serta menginginkan Islam diagungkan di seluruh dunia. Beliau menemui syahid dengan ditembak mati pada waktu zohor 12 Februari, 1949. Apabila beliau bercakap, ia dapat menggembirakan saudaranya. Beliau sedikit sekali berdebat. Apabila beliau ketawa, tidaklah melewati batas senyum. Beliau tidak bergurau kecuali sedikit. Beliau menghabiskan masanya dengan melakukan kerja2 yang serius dan berfaedah.

Saya surirumah sepenuh masa. Bila waktu petang tiba dan anak2 balik dari sekolah, susahnya untuk tetap berlemah lembut melayan anak2 setelah penat seharian dengan kerja2 rumah. Setiap kali berazam untuk berlemah lembut dengan anak2, pasti ada ujian menanti.........