Friday, November 13, 2009

Perubahan

"Ayah rasa, umi kena buat kad bank sendiri la. Bukan apa, kalau umi kena drive sendiri untuk kemana2, tak payah bawa duit tunai banyak", kata suami saya pada suatu pagi.

(Selepas saya berumahtangga dan menjawat jawatan surirumah sepenuh masa, saya rasa saya tidak memerlukan kad bank, walaupun dulu semasa bekerja, kad bank itu adalah salah satu benda yang mesti ada dalam dompet. Kad bank saya sekarang ialah suami saya...hehe...)

"Hmm...belum sampai ke situ, kut, yah. Macam kad kredit ayah tu, baru je kan. Ayah buat kad tu pun selepas ianya kita rasa betul2 perlu dan telah kita bincangkan bersama", saya membalas. Suami setuju.

Hidup kita sentiasa berubah. Keperluan dan kehendak selalunya berjalan seiring dengan perubahan masa. Kalau dulu kami rasakan tak perlu berkad kredit, tapi hari ini kami rasakan ia diperlukan (yelah nak beli artikel melalui internet mana boleh pakai tunai). Kalau dulu, kami rasa cukup dengan satu kereta, tapi hari ini kami perlukan kereta kedua untuk melancarkan perjalanan kehidupan kami (suami selalu outstation)....dan seribu satu macam lagi perubahan di setiap fasa kehidupan kita.

Cuma, kita perlu berfikir dengan perubahan2 yang kita akan buat dalam hidup. Ada perubahan yang perlu dan mesti buat, ada juga perubahan yang kita boleh memilihnya samada buat atau tidak.

Sebagai contoh, dulu kita faham sikit dengan Islam. Lalu, kita tutup aurat pun ikut apa yang kita faham, bukan ikut apa yang Islam hendak. Masa berubah dan kita berpeluang untuk lebih memahami Islam, maka ketika itu, kita wajib berubah. Kita pakai pakaian ikut apa yang Allah dan Rasul-Nya kehendaki, bukan lagi mengikut apa yang kita suka. Atau jika dulu semasa remaja, kita amat suka berlawak bodoh hingga boleh buat orang lain pecah perut...tatkala kefahaman Islam itu datang, ditambah dengan kita telah berkeluarga, kita wajib berubah....dan begitulah seterusnya.

Namun ada perubahan yang mesti kita jauhi. Kita jadi sombong dengan pangkat yang kita ada. Kita memandang hina orang susah dan miskin tatkala kemewahan singgah dalam hidup kita. Kita memandang rendah orang bawahan kita.Kita menukar corak hidup kepada cara hidup mewah tatkala kita diuji dengan wang ringgit yang banyak...sedangkan pangkat dan kemewahan itu seharusnya menjadikan kita manusia yang lebih tunduk kepada-Nya, kerana kedua2nya pasti akan ditanya di sana nanti.

Menoleh sebentar ke belakang, terlalu banyak sebenarnya perubahan dalam hidup kami - saya dan suami - sebelum dan selepas kami berumahtangga. Apabila dua manusia bersatu, atas ikatan perkahwinan yang sah maka perubahan yang berlaku sewajarnya menuju kepada perubahan2 positif bersama2, bukan dengan masing2 punya impian dan harapan sendiri2. Kena sentiasa ada ruang untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat. Paling utama, kedua2nya yakin hanya kepada-NYA disandarkan seluruh harapan dalam menangani setiap perubahan dalam kehidupan.

No comments: