Wednesday, March 30, 2011

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (8)

Assalamualaikum wbt, adik2 yang aku ingati dan rindui selalu. Lima bulan aku tidak menulis untuk kalian. Namun percayalah, doa dan ingatan untuk kalian sentiasa ada. Doa agar kalian sentiasa menjaga akhlak dalam setiap tindakan yang dilakukan. Apa yang baik adalah apa yang Allah kata baik, bukan apa yang orang ramai lakukan.

Adik2ku, kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang Rasulullah saw sebut dalam hadisnya yang bermaksud - Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Allah menegaskan lagi dalam Surah al-Hajj:41 yang bermaksud - Orang2 yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, mencegah dari perkara mungkar dan kepada Allah lah kembali segala urusan.

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang keran ia adalah buah dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak seperti yang Allah dan Rasul-Nya kehendaki. Baginda bersabda yang bermaksud - Bukanlah iman itu hanya dengan cita2 tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.

Adik2 yang aku sayangi kerana Allah, di dalam Islam, akhlak yang mulia lahir sebagai hasil dari ibadah yang dilakukan. Adik2 pasti ingat tentang maksud ayat Qur'an ini - Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari berbuat perkara keji dan mungkar - Al-Ankabut :45. Ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud - Sesiapa yang sembahyang tetapi tidak dapat mencegah dirinya dari berbuat keji dan mungkar, dia akan bertambah jauh dari Allah. Begitu juga dengan ibadah2 lain seperti puasa, haji, zakat yang kita lakukan, jika ia adalah buah dari keimanan tadi, maka ibadah2 ini akan mampu membentuk akhlak baik dalam diri kita, insyaAllah.

Adik2ku, di antara ciri2 akhlak yang sewajarnya menghiasi diri kita adalah seperti berikut :

1. Menjauhkan diri dari perkara2 yang syubahat iaitu menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara2 yang samar2 di antara halal dan haramnya.

2.
Menjaga pandangan dari melihat perkara2 yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan boleh merangsang syahwat dan boleh membawa akibat kepada perlakuan maksiat. Allah mengingatkan dalam surah An-nur:30 yang bermaksud - Katakanlah kepada orang2 mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka. Bagi wanita beriman, Allah juga mengingatkan perkara yang sama dalam ayat yang berikutnya. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, berhati-hatilah adik2ku...terlalu banyak pandangan yang boleh merosakkan hati dan jiwa kita.

3. Menjaga lidah dari menuturkan perkara2 yang tidak berfaedah, percakapan kosong, perbualan buruk dan kotor, mengumpat keji dan mengadu domba. Ingatan dari Rasulullah saw yang bermaksud - Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya api nerakalah paling layak untuk dirinya.

4.
Bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Jika kita amat-amati, kebanyakkan kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan hilangnya sifat malu...tidak malu kepada manusia lain yang melihat dan mengetahui perbuatan mungkar dan maksiat...tidak malu kepada Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Sedangkan Rasulullah saw telah menyebutkan yang bermaksud - Malu itu sebahagian dari iman. Malu adalah sifat yang menggerakkan kita untuk meninggalkan apa jua kejahatan.

5. Bersifat lemah lembut dan sabar dalam menyampaikan kebenaran.

6. Bersifat benar dan jujur kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan manusia.

7. Merendah diri terutama kepada saudara2nya yang muslim dengan memberi layanan yang sama, samada yang miskin mahupun yang kaya. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud - Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur.

8. Jauhi buruk sangka dan mengumpat serta mengintai2 keburukan orang lain. Allah mengingatkan kita dalam surah al-Hujurat : 12 yang maksudnya - Hai orang2 yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari2 kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kau memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Penyayang.

9. Bersifat pemurah dan sanggup berkorban jiwa dan hartanya di jalan Allah.

10. Menjadi contoh teladan dalam setiap tingkahlaku, seperti dalam pertuturan, pergaulan, berpakaian, makan minum, ketika bermusafir, malah dalam diamnya juga ada contoh teladan yang baik.

Adik2ku, aku tidak hanya mengingatkan kalian tentang apa yang aku telah tuliskan, ia juga ingatan untuk diriku...seorang hamba-Nya yang punya banyak kelemahan tetapi bercita2 untuk menjadi insan yang baik di sisi-Nya.

Aku juga mengharapkan, kalian punya cita2 sepertiku dan beruntungnya kalian kerana kalian masih muda, belum banyak kesalahan jika dibandingkan denganku yang lebih tua dari kalian.

Doakan aku, adik2ku. Aku akan selalu mendoakan yang baik2 untuk kalian. Jumpa lagi dalam surat2 yang lain, insyaAllah. Wassalam.

No comments: