Thursday, February 10, 2011

Kesedihan Seorang Anak

Seorang remaja lepasan sekolah bercerita tentang kesedihan yang sedang dialaminya. Bapanya punya kekasih lain. Sibuk berpacaran, hal anak isteri tidak dihirau.

Tidak banyak yang boleh saya beri untuknya selain dari nasihat...nasihat supaya sentiasa mengadu kepada Allah, sentiasa hormatkan ayahnya (walaupun katanya cukup susah baginya sekarang ini), sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk ibunya.

Senario ini memang banyak berlaku sekarang. Kebanyakan tidak berusaha menyelesaikan masalah yang ada, tapi cuba lari dari masalah dengan mencipta masalah yang lain. Mencari orang lain yang berlainan jantina dan bukan pasangan yang sah adalah bibit2 kepada masalah yang lebih besar lagi.

Adakalanya masalah sudah boleh diselesaikan dengan kedua suami isteri itu duduk berdua, berbincang (bukan bergaduh) dengan berlapang dada dan masing2 menerima penjelasan di antara satu sama lain. Ada masalah yang suami isteri itu sahaja yang tahu dan patut tahu. Jika tidak boleh diselesaikan sendiri, carilah orang tengah yang adil dan amanah untuk sama2 dibawa berbincang. Tapi saya kira, tidak ramai orang bermasalah yang cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. Lebih parah jika orang bermasalah ini merasakan bukan dia yang ada masalah, tapi pasangannya.

Penyakit ini juga bukan sahaja melanda orang2 yang berwang, tetapi juga orang2 yang kita sendiri pun tahu ia tidak cukup pun untuk menyara anak isteri yang sedia ada. Kadang2 rasa marah pun sering bertamu di hati saya (sebagai seorang isteri, ibu, perempuan)...kenapa orang2 perempuan ni mudah sangat percaya dengan lelaki seperti ini?.

Bagimanalah hati si anak tidak sedih, dia teringat tentang masa depannya. Dia mahu terus belajar jika berpeluang, tetapi bagaimana seorang bapa yang begitu akan mengambil berat hal anak2? Sakit hatinya melihat keadaan bapanya seperti orang muda yang mabuk kepayang sedang di rumah ada anak isteri yang menunggu.

Saya susah hati setiap kali remaja ini menghubungi saya...kerana saya hanya mampu mendengar dan menasihatinya. Mudah2an kesediaan saya untuk mendengar ceritanya memberi sedikit kelegaan kepadanya.

Hanya kepada-Mu aku mohon keampunan. Allahuakbar.

No comments: