Tuesday, June 14, 2011

Cinta dan Kasih Sayang (5)

"Ayah rindu umi, la".

"Kenapa? Kan kita ada bersama?".

"Rindu untuk bercakap dan berbincang banyak perkara macam dulu. Ayah rasa sejak akhir2 ni ayah sibuk sangat dengan study ayah...sampai takde masa nak sembang dan bincang banyak dengan umi".

"Alaa...umi tak kisah ayah sibuk dengan study ayah. Umi cuma boleh bagi semangat, umi cuma boleh dengar apa yang ayah buat dengan kajian ayah...tak lebih dari itu".

"Tapi kesian umi dan anak2....".

Memang pun, waktu2 terakhir sebelum suami menamatkan tempoh pengajiannya sekarang, dia memang sedikit sibuk. Jika ada pun waktu kami selepas anak2 ke sekolah, kami bersarapan berdua. Selepas itu suami akan meneruskan kerja2nya di hadapan komputer dan saya dengan kerja2 rumah yang sedia menanti.

Sebagai isteri, seboleh2nya saya tidak mahu membebankan suami dengan permintaan atau perhatian yang berlebih2an. Cukup sekadar apa yang ada, kerana saya tahu, walaupun kami kurang berkomunikasi oleh kerana kesibukannya itu, saya dan anak2 tidak kehilangan kasih sayangnya. Saya dan anak2 sentiasa diambil berat olehnya.

Kita ada Allah Yang Maha Mendengar. Kadang2 saya rasa beratnya pengajian yang sedang suami lalui sekarang. Siapa lagi untuk saya bermohon kalau bukan kepada-Nya. Saya juga selalu berharap saya tidak menyusahkannya.

Kasih sayang dan rasa cinta di antara suami isteri dan anak2 kena sentiasa dipupuk. Bukan tiada ujian dalam rumahtangga, tetapi doa dan harapan yang dipohonkan dari-Nya tidak boleh berhenti.

Memetik dari tulisan Saudara Pahrol Mohamad Juoi tentang perkahwinan. Katanya, perkahwinan hakikatnya bukan hanya penyatuan fikiran, perasaan dan badan sahaja, tetapi ia adalah penyatuan hati. Hati pula rencam sifatnya dan sering berubah2. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk menyatukan hati sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Anfal : 63 yang bermaksud, "Jika kamu membelanjakan segala yang ada di bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi Allah jualah yang menjinakkan hati antara hati2 mereka". Jangan hanya memikirkan tentang kecantikan, kekayaan dan keturunan untuk mencapai kebahagiaan dalam rumahtangga. Tanpa iman, segala2nya boleh bertukar menjadi bencana.

Setiap dari kita pasti mengharapkan rumahtangga yang bahagia. Niat dan asas yang benar semasa mendirikan rumahtangga dulu adalah penentu kebahagiaan di masa akan datang. Hanya kepada Allah kita mengharapkan pertolongan.



No comments: