Tuesday, March 1, 2011

Emak

Sudah lebih sebulan emak (mentua) meninggalkan kami. Tetapi kesedihan masih terasa2 bagi kami berdua. Tiada siapa menyangka, 28hb Januari 2011 akan menjadi tarikh yang akan kami kenang sepanjang hayat.

Tiada siapa bersama emak sewaktu emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Emak lepas berwudhu' untuk bersolah isyak. Menantu yang tinggal bersama emak hairan, kenapa emak tak muncul2, lalu dia menjengah ke dapur tempat emak selalu berwudhu'. Emak telah tersandar di sebelah tong gas. Subhanallah. Sesungguhnya, tiada yang boleh menghalang akan kematian kita, ia tidak tercepat atau terlambat walau sedetik pun.

Cuma, ianya berlaku terlalu cepat dan tanpa kami menduganya. Rakan baik emak, tidak mampu untuk bangun dan datang berziarah kerana terlalu terkejutnya dia mendengar berita kematian emak....dia baru datang dan bersembang dengan emak selepas asar, dan menjelang isyak emak meninggal.

Terlalu banyak ujian dan dugaan hidup yang emak lalui...tapi emak sering mengulang kata2nya, "Allah nak emak lebih sabar lagi", setiap kali ujian datang satu2. Emak kematian suami di awal usia 40-an dengan anak2 seramai 8 orang, dengan anak paling kecil baru berusia 80 hari. Melalui kehidupan dengan bantuan anak2nya terutama anak keduanya. Lebih 13 tahun menjadi menantu emak, terlalu banyak kisah2 kehidupannya yang saya ketahui....dan saya pasti hanya orang seperti emak yang berjiwa kental sahaja yang mampu melaluinya! Subhanallah.

Tahun 2000 emak juga diuji. Anak bongsunya yang telah kehilangan kasih bapa sejak di usia 80 hari, meninggal di dalam kemalangan. Sejak itu, emak mula sakit2...adakalanya teruk, adakalanya tidak....sehinggalah emak meninggalkan kami.

Emak suka memuji anak2, menantu2 dan cucu2 akan setiap 'kebaikan' yang kami semua lakukan untuknya. Cuma saya pasti, saya tidak pernah 'lemas' dengan pujian emak kerana apa yang kami lakukan sebenarnya adalah tanggungjawab kami sebagai anak. Dari situ juga sebenarnya saya belajar untuk memuji dan menghargai kebaikan yang orang lain lakukan untuk saya.

Emak suka bersedekah...dan benar janji Allah, rezeki emak tak pernah putus. Emak tidak suka bermusuh. Ramainya orang yang datang berziarah jenazah emak sebagai bukti. Begitu juga ramainya orang yang bersolah jenazah di masjid sebelum emak dikebumikan.

Tiada lagi doa emak untuk kami. Tugas kami lah sekarang untuk sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana. Semoga Allah tempatkan emak di dalam kelompok orang2 yang beriman. Semoga emak damai di sana....

No comments: