Saturday, July 26, 2008

Bukan rahsia lagi...


"Umi, buah apa yang tak boleh simpan rahsia?", tanya kakak kepada saya yang sedang memasak di dapur.
"Apa ek? Entah, tak tahu la umi, kak", saya membalas.
"Ayah tahu tak?", kakak mengajukan pula pertanyaan yang sama kepada suami yang sedang membaca.
"Tak tahu. Buah apa?", kedengaran suami membalas pertanyaan kakak.
"Buah manggis la, yah. Kan buah manggis ada tunjukkan berapa bilangan isi dia kat bahagian bawah buah tu....hehehe.....," kakak seronok dapat mengenakan kami. Saya di dapur pun tergelak mendengarnya.

Lalu hari ini saya terfikir, aurat yang tidak ditutup dengan sempurna juga umpama manggis, orang lain yang melihat dengan hati yang ada penyakit akan meneka saiz, bentuk, ukuran,.....astaghfirullah..... Hakikatnya, itulah yang berlaku mutakhir kini. Sukarnya menjaga pandangan. Lirikan yang menarik, gerakan yang menggoda, dandanan kecantikan yang berlebihan, tubuh yang terbuka,......semuanya pasti membangkitkan dan menyalakan syahwat. Maka yang terjadi kemudian adalah perlampiasan hawa nafsu yang membabi buta dan kacau bilau yang tidak terikat dengan suatu ikatan pun.

Surah an-Nur:30-31, Allah ingatkan kita, lelaki dan perempuan supaya menjaga pandangan. Begitu juga, Allah mengingatkan kepada wanita2 beriman bagaimana caranya menutup aurat.

Dalam 'Tafsir Fi Zilalil Qur'an" As-Syahid Sayyid Quthb menulis :
Setelah Allah memerintahkan wanita2 untuk menutup dada dan tidak menampakkan perhiasannya, wanita2 mukminat bersikap seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah dalam riwayat Bukhari, " Semoga Allah merahmati wanita2 Muhajirin yang pertama , setelah Allah menurunkan ayat, "....dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya...", maka mereka mengoyak pakaian yang lain lalu menjadikannya sebagai kain yang menutup tubuh mereka.....Kaum lelaki Ansar segera kembali ke rumah masing2 untuk membacakan ayat yang turun kepada wanita2 mereka. Seorang lelaki membacakannya kepada isterinya, anak perempuannya, saudara perempuannya, juga kepada setiap kerabatnya. Mereka bersegera mengambil pakaian lalu mengikatnya di kepala sebagai pembenaran dan keimanan mereka terhadap ayat2 yang Allah turunkan. Subhanallah........

Dalam "Surat2 Maududi - Maryam Jameelah", Maryam Jameelah menulis:
Bersama ini saya lampirkan satu gambar rencana yang dipetik dari Majalah Look mengenai fesyen pakaian wanita yang terbaru. Bagi saya, fesyen itu kelihatan begitu jelek, hingga saya merasa lebih baik dipukul mati sahaja dari memakainya.

Pereka2 fesyen ini nampaknya berbuat apa sahaja untuk menjadikan wanita2 moden Eropah kelihatan seperti pelacur2 yang merayau di jalan2.......

Salah satu dari langkah pertama yang saya lakukan setelah memeluk Islam ialah melabuhkan gaun2 saya. Kaum keluarga saya begitu terperanjat apabila melihat saya memakai gaun2 labuh hingga ke buku lali, sedangkan semua perempuan yang lain memakai gaun2 singkat di atas lutut.......

Saya masih mengulang baca buku tulisan Maryam Jameelah ini. Isu2 yang dibincangkan oleh beliau dengan Maududi masih tetap relevan hingga kini, walaupun ia mula ditulis pada akhir tahun 1960. Ajaran2 dalam Islam memang tidak akan berubah sebagaimana yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya yang terakhir. Manusia yang suka mengubah mengikut hawa nafsu masing2.

Kepada anak2 dalam usrah, selalu saya ulang2kan akan satu hadis, "Al hayaa'u minal iman," Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman. Jika kita tidak malu, itulah jadinya, memakai pakaian yang katanya mengikut fesyen terkini, sehingga menampakkan apa yang sepatutnya menjadi rahsia.

Rasulullah juga telah bersabda yang maksudnya,"Jika kamu tidak malu, buatlah apa sahaja yang kamu mahu".

Semoga Allah terus memberikan kepada kita taufik dan hidayah-Nya untuk mengharungi kehidupan yang amat mencabar ini. Ameen.

1 comment:

AbnormalSuam said...

maka benarlah sabda Rasulullah s.a.w itu bahwa malu adalah sebahagian daripada iman...

dan apakala malu itu sudah menjadi salah satu daripada pakaian taqwa untuk menutup telanjangnya iman, maka soal sebegini tidak akan menjadi satu masalah besar.

Aurat... dituntut oleh Allah Taala dan rasul-Nya untuk ditutup daripada pandangan umum. Ada hikmah pada titah perintah dan suruhan itu. Maka malu yang menjadi salah satu pakaian taqwa itu, tidak hanya berlaku kepada mereka yang dituntut menutup auratnya, bahkan kepada mereka yang melihatnya.

Di situlah keindahan yang Allah Taala anugerahkan kepada umat Muhammad s.a.w. Suatu kelebihan sehinggakan Nabi Musa a.s ingin menjadi umat Muhammad dan Isa a.s diturunkan ke dunia semula sebagai umat Muhammad.

Terima kasih kerana artikel ini...