Thursday, July 29, 2010

Bersyukurlah wahai diri...

Maksud hadis :'Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati sedangkan berpecah belah itu mengundang azab'. (HR Ahmad)

Suatu ketika kami diuji sedikit oleh-Nya. Apa yang kami berdua harapkan tidak kami perolehi walaupun usaha yang sepatutnya telah dibuat. Kami agak sedih dan sedikit kecewa. Beberapa hari rumah agak sunyi dari gurau senda, masing2 banyak diam dari bercakap.

Orang Islam dianjurkan supaya bersolat sunat ketika kesedihan/kekecewaan/kegembiraan dihadapi. Kami melakukannya, sendiri2, dengan doa dan harapan agar Allah beri kami kelapangan hati dan ketenangan fikiran. Dalam masa yang sama kami sedikit demi sedikit cuba melupakan kekecewaan yang kami alami dan kami melihat apa yang telah ada pada kami.

Dalam beberapa hari saja, Allah datangkan kelapangan hati serta ketenangan fikiran kepada kami. Kami bermuhasabah - kenapa perlu sedih dan kecewa dengan apa yang kami tak dapat? Sedangkan selama ini kami ada semuanya...kenapa kami tidak lebih bersyukur dengan apa yang telah dan sedang kami miliki? Kenapa mesti kami bersedih dan kecewa kepada sesuatu yang belum pasti?

Dengan izin-Nya juga saya terbaca hadis yang saya tulis di atas. Ia seperti satu tazkirah untuk kami. Rancangan motivasi di radio juga seperti membangunkan kami apabila motivatornya bercakap hal yang sama. Ya Allah...terlalu banyak sebenarnya yang telah Engkau berikan kepada kami, hanya kami yang gagal untuk merasainya kerana ianya telah ada depan mata, lalu kami menganggapnya sebagai biasa2 sahaja.

Hari ini, kami saling ingat-mengingatkan, jangan fikirkan apa yang belum pasti kita perolehi, tapi bersyukurlah banyak2 dengan apa yang telah dan sedang kami miliki. Fikirkan bagaimana kami boleh berkongsi manfaatnya dengan orang lain. Kami mahu jadi manusia yang bersyukur....

Ya Allah...kami memohon keampunan kepada-Mu.

Tuesday, July 27, 2010

Anak2 Kita

Saya selalu menghantar mesej ringkas kepada anak2 buah saya yang remaja untuk bertanya khabar, memberi sedikit nasihat dan bertanya tentang perkembangan terbaru mereka. Baru2 ini saya menghantar mesej berbentuk nasihat supaya masing2 pandai menjaga diri serta berhati2 dalam setiap tindakan yang akan dilakukan. Semuanya membalas mesej dengan ucapan terimakasih tetapi di hujung mesej mereka bertanya semula kenapa saya menasihati demikian. Saya membalas semula - kerana hidup remaja pada hari ini penuh dengan dugaan iman dan pancaroba - pergaulan bebas, mendedah aurat sesuka hati, arak, rokok, dadah, hiburan melampau dll.

Saya menjadi sedikit terkejut lalu terfikir, agaknya anak2 buah saya dan ramai remaja di luar sana tak perasan pun akan kecelaruan kehidupan di sekeliling mereka sekarang. Sedangkan kehidupan hari ini umpama buaya lapar atau harimau lapar yang sentiasa menunggu untuk membaham mangsanya. Ya Allah....Sebagai seorang ibu, senario ini amat membimbangkan saya.

Menurut kajian terbaru UPM, 3/4 dari responden remaja Melayu di bandar dan di luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas, dengan kira2 85% daripada mereka yang melakukan perbuatan itu bukan sahaja tidak kesal, malu atau takut dari dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan (Sumber: Berita Minggu, 20 Jun 2010).

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat pula, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008 (Sumber: Berita Minggu, 25 Julai 2010).

Ya Allah...Kau peliharalah dan jauhkan anak2 kami dari akhlak yang buruk....Sebagai ibubapa, kita kena ada rasa cemburu dengan keselamatan anak2 kita tatkala mereka di luar bersama rakan2. Adakalanya kita telah mendidik mereka, tetapi mereka terjumpa rakan2 yang membawa pengaruh buruk lalu terikut2...dan terlalu banyak sebenarnya ruang2 keburukan dan kejahatan yang menanti anak2 kita. Na'uzubillah.

Marilah kita berusaha sesungguh hati untuk mendidik anak2 kita supaya tidak terikut2 dengan dunia remaja hari ini yang penuh dengan keseronokan untuk hawa nafsu. Selalulah kita berdoa kepada Yang Maha Memelihara, agar Dia memelihara dan menjaga kita dan anak2 kita dari godaan dunia yang menipu ini. Marilah kita didik hati kita dan anak2 kita supaya merasai adanya pandangan Allah walau kemana pun kita pergi.

Ya Allah...kepada-Mu aku memohon keampunan.

Friday, July 23, 2010

Puasa Dah Dekat, Mi..

"Kakak dah bau puasa la, mi".
"Ha'ah...umi pun, kak".
"Kalau nak azan kat tv tu lagi... 'muzik'nya ingatkan kakak bila waktu petang disiarkan waktu berbuka".

Betul, adakalanya saya sendiri pun seperti terbau seperti di bulan Ramadhan. Hanya Allah yang maha mengetahui...mungkin semua itu sebenarnya sebagai ingatan untuk kita bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi bulan tarbiyyah. Di bulan Rejab dan Sya'aban juga biasanya mulut pun selalu terasa pahit, makan tidak begitu berselera seperti di bulan2 yang lain.

Kakak ada berpuasa sunat sepanjang dua bulan ni...kawan2nya di sekolah pun ramai yang berpuasa sunat. Ustaz dan ustazahnya mengingatkan supaya banyak berpuasa dan bersolah sunat, lebih2 lagi UPSRnya akan dihadapi pada bulan September nanti. Ini yang saya suka dengan sekolah anak2 kami, ustaz dan ustazahnya sama2 mengingatkan kepada murid2nya tentang ibadah2 sunat.

"Yeaa...tak sabar rasanya nak puasa", kata abang dengan ceria pada suatu petang sebaik saja balik dari sekolah.
"Kenapa abang suka dengan puasa?", tanya ayahnya.
"Sebab ada bazaar Ramadhan..".
"Ya Allah...sebab tu abang suka bulan puasa? Teruknya!!", sampuk kakak.
"Hmmm...abang...abang... Bulan puasa ni kan bulan nak didik hawa nafsu, bukan nak ikut semua kehendak nafsu terutama nafsu makan", nasihat ayahnya.
"Yelahhh...".

Anak2 memang kena selalu diingatkan kenapa kita berpuasa. Nak marah pun tak boleh...apa kurangnya saya masa kecil dulu, jika bertanya pada mak, sayalah yang paling banyak kerenah di bulan Ramadhan...itu dulu...sekarang giliran saya untuk melayan kerenah anak2 berpuasa...:)

Ujian Sakit

Beberapa hari ni, rumah macam klinik...bunyi batuk kami sekeluarga silih berganti. Orang kata mungkin sebab banyak makan buah - rambutan, manggis, durian...tapi itu kata orang...abang yang paling teruk walaupun abang tidak makan walau sedikit pun buah2an tempatan yang sedang musim sekarang ni... Allah lah yang mengizinkan ianya berlaku walaupun abang tak makan buah2an itu. Kakak dah mula baik dari batuk dan selsemanya.

Semalam awal pagi ke klinik 24 jam cari ubat untuk Dik Yam yang dah mula batuk dan selsema...Dik Yam ni makan semua buah2an tempatan yang ada. Pagi2 pun dah mencari2 di bawah pokok manggis di tepi rumah, kalau2 ada manggis yang jatuh @ masak. Suka sangat dia dengan manggis.

Sampai di klinik, ada seorang pemuda tertidur sementara menunggu dipanggil masuk. Sakit sangat agaknya, kesian dia...dalam hati saya berkata. Tak lama tu dia terjaga, suami saya senyum dan menyapanya. Katanya dah 3 hari dia sakit perut, seperti banyak angin tapi angin tak mahu keluar. Dah habis ubat untuk keluarkan angin diminum, tapi belum juga baik,sakitnya bukan main, katanya.

Balik rumah, suami pula rasa lain macam di perut dan pinggangnya. Sepanjang malam dia tak lena tidur. Pagi tadi suami ke klinik....doktor kata ada angin dalam usus besarnya yang menyebabkan dia sakit dan tak boleh buang air besar seperti biasa. Doktor nasihatkan suami supaya tidak makan makanan berprotein, jadi hari ni suami hanya makan nasi dan sayur rebus. Subhanallah. Kami teringat pemuda semalam...mungkin itu juga yang dia alami.

Begitulah...sakit dan sihat adalah ujian. Jika sakit, Allah nak tengok adakah kita sabar atau mengeluh. Rasulullah telah mengingatkan kita, sakit adalah ujian dan jika kita sabar, ia akan menghapus dosa2 kita. Sihat juga ujian untuk kita. Apa yang kita lakukan sewaktu kita sihat? Dan semua itu akan ditanya sewaktu kita dihidupkan kembali kelak. Jadi, marilah kita gunakan peluang sihat untuk membuat perkara2 yang disukai Allah, agar kita tidak menyesal 'di sana' nanti.

Saturday, July 10, 2010

Cinta dan Kasih Sayang (4)

Suami ke Shah Alam 2 hari. Tinggallah saya dan anak2.

Mesej masuk pukul 11.47 malam, "Selamat malam, mi...".

"Selamat malam...rindu umi dan anak2 ke".

"Sentiasa...".

"Bestnya ada orang rindu....:)".

*****************

Kakak ada perkhemahan sekolah di pusat pertanian berhampiran rumah kami, 3 hari 2 malam. Saya rasa semua ibu akan merasai apa yang saya rasa...teringat anak yang sedang berkhemah bersama guru2 dan rakan2nya....Sedangkan pihak sekolah pastinya telah memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi.

*****************

Begitulah cinta dan kasih sayang yang Allah kurniakan kepada kita...kita akan cinta dan kasih kepada orang2 yang dekat dengan kita...suami/isteri, anak2, ibubapa, sahabat,....

Tapi cinta dan kasih sayang tidak bermakna jika tiada tanggungjawab. Bagaimana seorang suami kata dia cinta dan kasih kepada isteri dan anak2 jika makan pakai, pendidikan (terutama berkaitan Islam), dll terabai? Kita tidak boleh hidup dengan cinta dan kasih sayang semata2 tanpa tanggungjawab. Bagaimana seorang anak kata dia cinta dan kasih kepada ibubapanya andai ibubapanya tidak pernah diambil tahu sakit peningnya, makan minumnya, atau tidak mahu pun menerima nasihat ibubapanya?

Tapi sedalam mana pun cinta kita kepada suami/isteri, ibubapa, anak2,...ingatlah akan sabda Rasulullah saw yang bermaksud, "Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan manusia semuanya". (HR Muttafaq Alaih)

Sesungguhnya cinta terhadap Rasulullah saw hukumnya wajib bagi setiap Muslim lelaki dan wanita. Ini bermakna, cinta suami/isteri dan anak, harta dan kedudukan serta semua yang boleh dicapai oleh manusia dari perhiasan dunia itu tidak boleh menyamai cintanya seorang Islam kepada Rasulullah saw. Cinta tidak bererti jika hati kosong dan kehilangan cinta terhadap baginda.

Jika cinta kepada suami/isteri dan lain2nya akan melahirkan tanggungjawab, begitu juga cinta kepada Rasulullah saw. Bukti akan kebenaran cinta terhadap baginda adalah mengikuti sunnahnya, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan. Itu semua boleh dicapai dengan peng-Esaan yang murni terhadap Allah serta melaksanakan rukun Islam dan Iman. Memelihara pelaksanaan rukun Islam dan Iman ini secara benar adalah wajib hukumnya. Jadi, riba, mencuri, dengki, mengumpat, pengecut, bakhil, derhaka kepada ibubapa, memakan harta anak yatim, dan lain2 perkara yang sepertinya akan mengotori ibadah, mencegah datangnya rahmat, menghalangi seseorang dari hakikat iman dan menjadikannya tidak dapat merasai nikmat cinta terhadap Rasulullah saw.

Orang yang cinta kepada baginda mesti taat terhadap apa juga sunnahnya (ini termasuk cinta dan kasih kepada suami/istri dan anak2 kerana baginda adalah orang yang paling kasih kepada keluarganya) . Mengajak orang lain(berdakwah) untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya juga adalah bukti cinta yang sebenar.

Wajib bagi orang yang mengaku Islam dan beriman kepada hari akhirat untuk membuktikan cinta ini dengan bersegera dalam jihad dan berkorban demi kemenangan Islam dengan asas cintanya adalah cinta kepada Rasulullah saw.

Monday, July 5, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (5)

Assalamualaikum wbt....adik2 yang aku doakan kebaikan untuknya selalu. Apa khabar? Semoga kalian sihat hendaknya.

Alhamdulillah, segala puji hanya untuk-Nya, pemilik alam ini. Selawat dan salam untuk Rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Adik2ku, selamat kembali semula ke IPT masing2 selepas bercuti panjang. Semoga ada semangat baru untuk menuntut ilmu dan akan kalian gunakan untuk membangun ummah. Kepada adik2 yang baru masuk ke alam pekerjaan, selamat menempuh fasa baru dalam kehidupan. Bekerjalah sebaik mungkin. Sesibuk mana pun kita, jangan lupa hak untuk diri kita, hak untuk orang2 di sekeliling kita dan paling utama hak Allah yang mesti kita tunaikan.

Adik2ku yang aku kasihi, beberapa hari lepas ada seseorang remaja seperti kalian, menghantar mesej. Katanya dia terkejut dengan kehidupan sosial para pelajar sepertinya di tempat barunya. Nasihatku kepadanya juga kepada adik2 lain yang 'terperanjat' dengan keadaan sosial yang tidak soleh - kuatkan iman kalian. Hanya iman yang kuat dapat menghalang kalian dari terikut2 dengan kehidupan yang tidak sebagaimana Islam kehendaki.

Jadilah umpama ikan yang tidak masin dagingnya walau duduk di air masin. Pilih kawan2 yang baik. Siapa rakan kita adalah cermin kepada diri kita . Aku tahu kehidupan di IPT kerana aku telah melaluinya. Di situ kita ada pilihan, ke arah mana kita nak halakan kehidupan. Kita jauh dari ibubapa yang tidak tahu pun apa kita lakukan, samada perkara baik atau buruk. Tapi soallah diri kalian setiap kali melakukan sebarang tindakan - Allah sukakah? Ibubapaku gembirakah andai mereka tahu?

Adik2 yang aku ingati, berdoalah setiap masa. Sebagai manusia, kita banyak keinginan dan harapan. Keinginan dan harapan yang hanya akan kita perolehi dengan izin-Nya. Bagaimana kita yang tidak punya apa2 ini malas untuk berdoa sedangkan Allah lah Yang Maha Kaya? Dalam satu hadis qudsi Allah berfirman yang maksudnya 'barangsiapa yang tidak berdoa kepada-Ku nescaya Aku murka kepadanya' (Hadis qudsi riwayat 'Askari dalam kitab Mawa'id dari Abu Hurairah dengan sanad hasan).

Hadis riwayat Bukhari bermaksud 'Doa itu merupakan inti ibadah'. Berdoalah, adik2ku, baik di waktu senang dan tenang, apatah lagi di waktu kita susah. Janganlah pula kita hanya berdoa sewaktu susah tetapi melupakan-Nya di saat kita senang. Ingatlah Allah di waktu senangmu, mudah2an Allah akan mengingatimu di waktu kalian susah. Ingatlah juga, tanpa bantuan dan izin-Nya kita tidak mungkin mendapat nikmat dan kesenangan.

Jangan biarkan hari2 kita berlalu tanpa kita berdoa kepada Allah Yang Maha Pemurah. Berdoalah selalu agar langkah yang kalian bawa adalah langkah untuk mencari dan mengharap redha-Nya. Sebaik2 doa yang selalu Rasulullah saw baca adalah apa yang kita selalu baca di akhir doa - Ya Allah berilah kepadaku kebaikan di dunia dan akhirat dan jauhkan aku dari api neraka. Mintalah dengan sesungguh hati. Apa lagi yang kita harap jika bukan kebaikan kehidupan dunia dan akhirat kita? Kita amat memerlukan pertolongan Allah untuk melalui kehidupan yang semakin menguji keimanan setiap masa. Janganlah kesibukan kita menjadi alasan untuk kita tidak berdoa.

Berdoalah adik2ku...aku juga akan selalu berdoa untuk kebaikan kalian. Sekian dulu untuk kali ini. Jumpa lagi di surat akan datang, insyaAllah. Wassalam.