Tuesday, March 10, 2009

Adat & Kebiasaan

Cuti baru ni, ada anak saudara lelaki kami bertunang. Banyaknya persiapan dan belanja yang telah dikeluarkan untuk majlis itu. Saya dan suami hanya menggeleng kepala. Itu baru bertunang, belum lagi kenduri.

Balik dari rumah bakal besan, sekali lagi saya menggeleng kepala bila suami saya bercerita. Sejumlah wang hantaran yang agak besar nilainya disebut oleh bapa si gadis dan ia tak sepadan dengan pekerjaan anak saudara kami. Tapi kedua2 pihak setuju dengan jumlah itu.

Kami lalu mengimbau kembali majlis pertunangan kami dulu. Semuanya ringkas. Suami datang bersama ibu, kakak, kakak ipar dan abang sulungnya. Aruah abah juga simple orangnya. Suatu yang amat suami bimbang ialah jika abah akan minta wang hantaran yang besar jumlahnya. Tapi tidak rupanya.

Abah tidak menyebut pun tentang wang hantaran. Perbincangan hanya tentang berapa lama dan bila majlis akan berlangsung. Saya juga tak tahu berapa suami akan bagi sebagai wang hantaran. Cuma bila majlis hampir selesai, selepas menyarung cincin tunang (tiada pun cincin merisik), kakaknya bersalam dengan saya bersama dengan sejumlah wang.

"Berapa duit yang dia bagi tadi?", makcik saya bertanya.
"RM.......", jawab saya tanpa mengetahui apa kaitan duit itu dengan pertunangan saya.
"Oo....maknayna RM.......... la hantarannya", balas makcik.
"Oooo....macam tu ke?", baru saya tahu 'rahsia' duit yang dihulur semasa bersalam tadi.

Wang hantaran semuanya saya beri pada abah untuk majlis kenduri 4 bulan selepas pertunangan kami. Abah menghulur sebahagiannya kepada saya sewaktu saya hendak 'berpindah rumah' mengikut suami 3 hari selepas pernikahan kami.

Perkara ini sering mengundang gurauan antara saya dan suami. Kami berdua memang 'jahil' tentang adat. Apa yang kami tahu, kami nak nikah. Itu je. Lain2 tak pernah masuk dalam perbincangan kami sebelum bernikah.

Selepas berkahwin, baru saya tahu pihak perempuan secara adat kebiasaannya akan membalas lebih dua dulang daripada bilangan dulang hadiah dari pihak lelaki. Hehe...gitu rupanya!! Saya pun tak ingat berapa dulang saya beri pada suami dan berapa suami beri pada saya. Semua tu tak penting bagi kami. Kami masing2 tidak tahu pun apa barang hantaran yang kami akan dapat. Kami tidak berbincang apa yang kami nak beri sebagai hadiah. Kebiasaannya bagi bakal pengantin akan keluar bersama untuk mencari barang2 hantaran. Kami tidak begitu. Terpulang kepada kami berdua apa nak beri sebagai barang hantaran.

Kami tidak bersanding. Selepas bernikah kami berdua turut melayan rakan2 yang datang. Saya sedang berdiri di sebelah emak bila seorang rakan emak bertanya, "Mana pengantinnya?", sambil dia bersalam dengan emak dan saya. Emak kata,"Ini lah pengantinnya". "Oo..ye ke?", katanya dalam keadaan tersipu. Saya pasti dia tidak menyangka bahawa sayalah pengantinnya.

Bagi pihak keluarga kami berdua, majlis perkahwinan kamilah yang paling simple. Semuanya kehendak kami yang tidak mahu berlebih2an sehingga berlaku pembaziran. Saya ada rakan2 yang hantaran tinggi tapi dikongsi berdua. Bimbang jika ini berlaku, ia hanya untuk dibangga2kan sahaja.

Apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua2nya ada peranan masing2. Dan anak2 adalah buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Ya Allah, berkatilah kehidupan kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.

2 comments:

aliya said...

Assalamualaikum,
Saya lagilah, bukan sahaja tak ada barang hantaran tetapi sekadar cukup syarat nikah, hehehe. Sebabnya tak nak peningkan kepala memikirkan adat Melayu dengan barang hantaran yang perlu dibeli, disiapkan dan ditukar-tukar sedangkan yang utama menikah secara sah. Perkahwinan yang ringkas, mudah dan sederhana, semoga mendapat keberkatanNya, itulah hajat kita.

ROS said...

Wa'alaikummussalam Aliya,
Aliya ada alasan untuk tidak buat itu semua. Saya dan suami cuba se-simple yang boleh tapi dalam masa yang sama hendak menjaga hati kedua ibubapa kami.

Alhamdulillah ibubapa saya tidak mendengar 'buat itu, buat ini' yang disuarakan oleh saudara mara saya ketika itu.

Setuju sangat-kita mengharapkan keberkatan dari-Nya melalui perkahwinan itu.