Tuesday, April 6, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku.

Assalamualaikum adik2ku...aku mengharapkan kalian sihat dan sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Pertama2 mari kita panjatkan rasa syukur kita kepada-Nya kerana masih lagi mengizinkan kita untuk hidup hari ini. Ini bermakna kita masih berpeluang untuk memohon ampun kepada-Nya - untuk diri kita, kedua ibubapa kita serta orang2 yang kita sayangi.

Selawat dan salam untuk junjungan Rasulullah saw, Rasul dakwah dan Rasul tarbiyah kita, juga untuk para sahabat dan para pejuang Islam yang berkorban nyawa dan harta untuk meletakkan Islam di kedudukan yang tinggi.

Adik2ku yang dikasihi kerana Allah,
Rasulullah telah berpesan bahawa malu itu sebahagian daripada iman. Baginda juga telah mengingatkan jika engkau tidak malu, maka buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki. Jadikanlah malu itu sebagai pakaianmu, dan sebaik2 pakaian adalah taqwa. Malu yang ada pada dirimu, adik2ku, adalah malu untuk melakukan perkara2 yang keji dan perkara2 yang tidak disukai oleh Allah dan Rasul-Nya. Letaklah di dalam hati dan fikiranmu, bahawa Allah itu Maha Melihat setiap apa yang engkau lakukan. Jika sifat ihsan itu ada di dalam hatimu, maka aku percaya, engkau akan mengawasi sendiri setiap langkah dan gerak gerimu agar ia tidak terpesong dari apa yang telah Rasul-Nya ajarkan.

Adik2ku yang selalu aku ingati,
Jangan terpedaya dengan kata2 manis dan janji2 kosong lelaki yang halal nikah denganmu. Percayalah ia hanya janji2 palsu dan janji2 kosong yang hanya menjauhkan engkau dari-Nya. Lelaki yang baik tidak menggoda wanita. Lelaki yang baik tidak menaburkan janji2 manis kepada wanita lain selain isterinya. Lelaki yang baik akan menjaga pandangannya, tuturkatanya, kelakuannya dan menjauhkan diri dari wanita yang bukan mahramnya.

Aku juga mengharapkan engkau, adik2ku, agar menjaga pandanganmu, kelakuanmu serta tutur katamu. Ingatlah adik2ku, hati yang berpenyakit boleh sahaja tertarik dengan kata2mu yang lembut walaupun mungkin engkau tidak bermaksud demikian.

Sering aku membacanya atau mendengar kata2 ini adik2ku, "Kami tidak keluar berdua, kami keluar beramai2, kami duduk di tempat yang ramai orang juga". Allah tahu apa yang ada di dalam hatimu, adik2ku, malah Allah itu lebih dekat dengan manusia dari urat leher manusia itu sendiri. Subhanallah. Allah tidak akan meletakkan dua rasa dalam satu hati.

Adik2ku yang sering aku harapkan kebaikan untuknya,
Kita boleh memelihara hati kita supaya tidak terpesong dari jalan yang lurus. Berdoalah selalu dengan bersungguh2 kepada-Nya. Hati kita ini umpama makanan yang ada di dalam periuk yang sedang mendidih airnya, ia sentiasa berbolak-balik. Berdoalah dengan sepenuh hati agar engkau tetap teguh dan dapat melawan ajakan hawa nafsu. Hawa nafsu yang liar itu adalah rakan syaitan yang sentiasa mengajak kamu untuk ingkar kepada-Nya. Berhati2lah juga, adik2ku, dalam berkawan, kerana syaitan itu juga boleh berupakan manusia. Carilah rakan2 yang baik, yang gembira jika engkau melakukan kebaikan dan sedia untuk menegurmu dengan hikmah andai engkau melakukan kesilapan.

Adik2ku, telah banyak apa yang aku tuliskan walaupun banyak lagi yang aku ingin tuliskan, tetapi cukuplah untuk kali ini. Aku akan selalu mendokan kesejahteraan dan kesihatan untuk kalian. Aku juga akan selalu mendoakan yang baik2 untukmu. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya untuk engkau dan aku, setiap masa. Amin. Jumpa lagi dalam surat2 yang akan datang. Wassalam.

No comments: