Friday, April 30, 2010

Saling Memahami

"Kenapa 3-4 hari yang lepas umi banyak diam? Cakap dengan ayah pun taknak pandang muka ayah. Ayah tengok umi pun umi pandang tempat lain?", suami bertanya lembut.

"Entah...rasa malas nak tengok ayah dan malas nak cakap banyak...tapi hari ni dah tak rasa gitu...ok dah".

"Marah dengan ayah ke?".

"Tak la, yah...cuma malas nak cakap. Umi rasa bukan umi sorang yang rasa macam ni...kakak2 umi pun ada cakap, kawan2 perempuan umi pun ada cakap kadang2 dia orang pun rasa malas nak cakap dengan suami masing2...bukan marah...cuma tak rasa nak cakap banyak macam selalu. Umi rasa semua ni berkaitan dengan hormon orang perempuan. Dulu dalam seminar keluarga yang umi ikuti, ahli panel tu ada cakap orang perempuan ni kaya dengan hormon".

"Ye? Takpelah...ayah tanya je...sebab ayah rasa ayah tak buat sesuatu yang patut buat umi marah. Jadi kalau berlaku lagi macam tu, apa ayah patut buat?".

"Ayah buat macam biasa...tapi jangan banyak cakap dengan umi macam selalu, sebab waktu tu memang tengah malas nak cakap...nanti lama2 baik sendiri...cuma ayah kena sabar, lagipun ia cuma 2-3 hari...".

"Ok, ayah faham".

**********************

Dalam satu seminar keluarga yang saya ikuti, ahli panel (seorang doktor lelaki) menasihatkan para suami supaya memahami isteri2 mereka. Katanya, semakin usia meningkat, tahap hormon akan berubah dan ini akan mempengaruhi emosi. Suami kena memahami emosi isteri dalam keadaan tertentu seperti sewaktu sebelum, sedang dan selepas haid.

Perbincangan di antara suami dan isteri tidak akan berhenti selagi kedua2nya masih suami isteri, walau sesulit mana pun perbincangan itu.

Saya bersyukur dan rasa beruntung kerana suami saya seorang yang suka untuk di bawa berbincang. Kami sering berbincang tentang banyak perkara.

Isteri kena tahu apa keperluan suami dan begitu juga sebaliknya. Pemahaman ini akan hanya berlaku melalui perbincangan. Jika masing2 tidak tahu apa kehendak /keperluan pasangan, bagaimana keharmonian akan wujud? Bila tiada keharmonian dalam rumahtangga, ia juga akan turut menjejaskan emosi anak2. Masalah wujud di mana2, tapi ia bergantung kepada bagaimana kita berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Hari ini, jika diamat-amati, ramai pasangan yang tidak mahu berbincang secara serius tentang masalah di dalam rumahtangga. Mungkin masing2 beranggapan masalah2 itu kecil dan akan selesai sendiri dengan berlalunya masa. Mereka lupa masalah2 kecil ini bila dibiarkan pasti ia akan menjadi lebih besar. Lebih malang lagi jika suami dan/atau isteri itu akan mencipta masalah lain di luar lingkungan rumahtangga mereka. Jika ini berlaku, keadaan pasti akan menjadi lebih rumit.

Suami adalah orang yang paling utama kena sabar dalam rumahtangga, kerana dia ketua...tapi ini bukan bermakna isteri mengambil kesempatan atas kesabaran suami (nasihat untuk diri sendiri!!). Bayangkan jika suami tanpa usul periksa terus melepaskan kemarahan kepada isteri jika mendapati isterinya bersikap acuh tak acuh kepadanya, pergaduhan pasti berlaku.

Di samping perbincangan, kita juga boleh memahami pasangan kita melalui pembacaan. Hari ini, banyak buku2 yang baik yang boleh kita jadikan panduan dalam melayari bahtera rumahtangga.
Jangan lupa berdoa, ini yang sering kita lupakan. Allah Yang Maha Memberi, berdoalah dengan sesungguh hati agar rumahtangga yang kita bina itu sentiasa ada mawaddah wa rahmah. Wallahua'lam.

Sunday, April 18, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (2)

Assalamualaikum adik2ku. Aku mengharapkan kalian sihat dalam melalui tugas dan tanggungjawab kalian sebagai hamba-Nya. Hidup ini adalah ibadah, tidak kira samada kalian masih belajar atau telah bekerja. Ingatan kepada-Nya adalah seumpama degupan jantung yang tidak berhenti mengepam darah ke seluruh anggota badan kita....agar dengannya, kalian akan berhati2 dalam memilih jalan yang akan kalian ikuti.

Adik2ku yang selalu aku rindui,

Dalam surah as-Syam : 8-10, Allah berfirman yang maksudnya, "maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya". Ini bermakna, kita yang memilih samada jalan kejahatan atau ketaqwaan, kita yang memilih untuk derita atau bahagia 'di sana'.

Begitu juga dalam surah al-Balad : 10, Allah berfirman yang maksudnya, " Dan Kami telah tunjukkannya dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan).

Wahai adik2ku, di sisi kita hanya terdapat dua jalan, tiada jalan ketiga sebagai pilihan.

Jalan Pertama - jalan yang luas terbentang di hadapan. Penuh dengan keteduhan. Jalan yang terang benderang dan elok sekali. Dipagari jalan tersebut dengan keindahan bau2an. Di sekelilingnya penuh dengan kecantikan. Permulaan jalan itu ialah keyakinan dan keimanan (terhadap Allah). Tahap2nya ialah istiqamah dan ketaatan kepada ar-Rahman. Penghujungnya ialah syurga dan keredaan Allah.

Jalan Kedua - jalan yang gondol, terasing sunyi, penuh dengan kegelapan dan membinasakan. Permulaan jalan itu ialah bantahan dan keingkaran kepada Allah. Tahap2nya ialah kemungkaran dan kemaksiatan. Penghujung jalan itu ialah neraka yang menyala2 serta kemurkaan Allah.

Namun realiti hari ini, adik2ku, jalan kedua yang sering menjadi pilihan. Pandangan mata hati telah dikaburkan dengan pandangan nafsu. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat, malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi satu kelazatan. Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan.

Aku tahu, adik2ku, jiwa muda sentiasa bergelora untuk mencuba sesuatu yang 'baru'. Malangnya sesuatu yang baru itu selalunya adalah apa yang bertentangan syara'....ada yang ingin mencuba rokok, dadah, arak, malah ada yang lebih dari itu (untuk menuliskannya di sini pun aku amat takut!!)....na'uzubillah...yang semuanya mengundang murka Allah. Lebih tenat lagi, apabila jiwa manusia menolak ubat dan sukakan penyakit. Bukankah mengikut hawa nafsu itu penyakit? Tapi inilah yang berlaku hari ini, adik2ku. Sedarkah kalian?

Adik2ku yang aku ingat selalu,

Abdullah al-Mubarak telah berkata - aku dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu, adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.

Hari ini manusia gembira dengan dosa yang mereka lakukan. Hingga ke satu tahap, ada yang berkata sinis,"kalau Allah marah aku berbuat dosa, kenapa Allah tidak hukum aku sekarang? Hidup aku masih seperti biasa...gembira, banyak harta, apa yang aku mahu semua dapat...". Astaghfirullah...aku hanya mampu beristighfar membaca kenyataan ini, adik2ku.

Allah mengingatkan kita dalam surah al-Qiyamah : 36 yang bermaksud, "Apakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dipertanggungjawabkan)?.

Adik2ku, aku tinggalkan kalian dengan pertanyaan dari Allah itu. Sama2lah kita bermuhasabah diri. Apa yang aku tuliskan adalah juga ingatan untukku sendiri.

Sekian dulu adik2ku. Semoga Allah izinkan aku mengutus surat2 lagi untuk kalian. Aku akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian. Wassalam.

Monday, April 12, 2010

Berbelanjalah Di Jalan Allah

Saya melipat kain sambil menonton rancangan realiti yang memaparkan bagaimana sekumpulan peserta yang akan mencari orang2 yang sedang dalam kesusahan untuk diberikan bantuan samada dalam bentuk wang atau hartabenda. Satu kepuasan yang tidak boleh dinyatakan dengan kata2 setiap kali peserta2 tersebut dapat menyelesaikan misi yang telah diberikan kepada mereka. Ada di antara penyumbang kepada wang yang akan diagih2kan kepada mereka yang memerlukan adalah syarikat perjudian. Bagi mereka, tidak salah dan apatah lagi mereka memberikan kepada yang memerlukan.

Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Apa yang kita akan keluarkan sebagai sedekah/infaq adalah sesuatu yang suci dan halal. Dalam Islam juga yang haram dan yang halal itu jelas. Jadi hasil daripada judi atau apa juga harta yang kita perolehi dari jalan yang tidak halal, adalah tidak diterima, walaupun kita memberikan kepada yang memerlukan.

Saya hanya mengambil yang positif dari apa yang dipaparkan....kalaulah saya mempunyai duit yang begitu banyak, mungkin saya boleh melakukan yang sedemikian....

Seorang teman rapat juga berkata demikian,"...kalaulah akak ada duit banyak, bagus agaknya...boleh menyumbang banyak untuk orang2 yang memerlukan".

"Atau sebab tu Allah tak bagi kita duit banyak, mungkin bila kita ada duit banyak kita kedekut dan berkira2 untuk menyumbang...", kami sama2 senyum dan berfikir...

Bandingan (derma) orang2 yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap2 tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya....(terjemahan al-Baqarah : 261)

Jadi, apa tunggu lagi? Tidak yakinkah kita dengan janji Allah. Banyak atau sedikit bukan ukuran untuk kita bersedekah/berinfaq. Tidak perlu untuk kita menjadi hartawan/jutawan untuk menafkahkan sebahagian daripada harta yang kita miliki.

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya....(terjemahan Ali-Imran : 92)

**************
"Kakak, abang....nak derma tak untuk Palestin?".

"Nakkk...., umi ambil la daripada duit kakak dan abang yang umi simpan", kakak mencadangkan.

"Ye, mi...abang setuju", abang menyampuk.

"Adik?", adik Yam bersuara.

"Adik pun nak bagi untuk Palestin ke?".

"Nakkk...", adik Yam bersungguh2 mengiyakan pertanyaan saya.

"Okey, nanti umi ambil sikit duit adik Yam yang umi simpan ye...".

"Yeaaaa....", dik Yam seronok.

Isu Palestin adalah masalah umat. Ia berkait dengan keimanan kita. Syeikh Yusuf al-Qardawi ada mengingatkan kita bahawa menyokong penduduk Palestin di Gaza adalah kewajipan agama pada setiap Muslim dan tiada siapa dikecualikan dari tugas tersebut. Umat Islam mesti bersedia berkorban harta benda dan apa sahaja yang bernilai demi membantu saudara mara kita di Gaza.

Jika pembaca entri ini berhajat untuk menginfaqkan sebahagian wang mereka untuk Palestin, ia amat dialu2kan. Tuan/puan boleh memasukkannya terus ke dalam akaun Maybank atas nama Tabung Palestin Haluan, nombor akaun 564490208528, email : palestin@haluan.org.my

Tuesday, April 6, 2010

Surat Untuk Adik2 Perempuanku.

Assalamualaikum adik2ku...aku mengharapkan kalian sihat dan sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Pertama2 mari kita panjatkan rasa syukur kita kepada-Nya kerana masih lagi mengizinkan kita untuk hidup hari ini. Ini bermakna kita masih berpeluang untuk memohon ampun kepada-Nya - untuk diri kita, kedua ibubapa kita serta orang2 yang kita sayangi.

Selawat dan salam untuk junjungan Rasulullah saw, Rasul dakwah dan Rasul tarbiyah kita, juga untuk para sahabat dan para pejuang Islam yang berkorban nyawa dan harta untuk meletakkan Islam di kedudukan yang tinggi.

Adik2ku yang dikasihi kerana Allah,
Rasulullah telah berpesan bahawa malu itu sebahagian daripada iman. Baginda juga telah mengingatkan jika engkau tidak malu, maka buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki. Jadikanlah malu itu sebagai pakaianmu, dan sebaik2 pakaian adalah taqwa. Malu yang ada pada dirimu, adik2ku, adalah malu untuk melakukan perkara2 yang keji dan perkara2 yang tidak disukai oleh Allah dan Rasul-Nya. Letaklah di dalam hati dan fikiranmu, bahawa Allah itu Maha Melihat setiap apa yang engkau lakukan. Jika sifat ihsan itu ada di dalam hatimu, maka aku percaya, engkau akan mengawasi sendiri setiap langkah dan gerak gerimu agar ia tidak terpesong dari apa yang telah Rasul-Nya ajarkan.

Adik2ku yang selalu aku ingati,
Jangan terpedaya dengan kata2 manis dan janji2 kosong lelaki yang halal nikah denganmu. Percayalah ia hanya janji2 palsu dan janji2 kosong yang hanya menjauhkan engkau dari-Nya. Lelaki yang baik tidak menggoda wanita. Lelaki yang baik tidak menaburkan janji2 manis kepada wanita lain selain isterinya. Lelaki yang baik akan menjaga pandangannya, tuturkatanya, kelakuannya dan menjauhkan diri dari wanita yang bukan mahramnya.

Aku juga mengharapkan engkau, adik2ku, agar menjaga pandanganmu, kelakuanmu serta tutur katamu. Ingatlah adik2ku, hati yang berpenyakit boleh sahaja tertarik dengan kata2mu yang lembut walaupun mungkin engkau tidak bermaksud demikian.

Sering aku membacanya atau mendengar kata2 ini adik2ku, "Kami tidak keluar berdua, kami keluar beramai2, kami duduk di tempat yang ramai orang juga". Allah tahu apa yang ada di dalam hatimu, adik2ku, malah Allah itu lebih dekat dengan manusia dari urat leher manusia itu sendiri. Subhanallah. Allah tidak akan meletakkan dua rasa dalam satu hati.

Adik2ku yang sering aku harapkan kebaikan untuknya,
Kita boleh memelihara hati kita supaya tidak terpesong dari jalan yang lurus. Berdoalah selalu dengan bersungguh2 kepada-Nya. Hati kita ini umpama makanan yang ada di dalam periuk yang sedang mendidih airnya, ia sentiasa berbolak-balik. Berdoalah dengan sepenuh hati agar engkau tetap teguh dan dapat melawan ajakan hawa nafsu. Hawa nafsu yang liar itu adalah rakan syaitan yang sentiasa mengajak kamu untuk ingkar kepada-Nya. Berhati2lah juga, adik2ku, dalam berkawan, kerana syaitan itu juga boleh berupakan manusia. Carilah rakan2 yang baik, yang gembira jika engkau melakukan kebaikan dan sedia untuk menegurmu dengan hikmah andai engkau melakukan kesilapan.

Adik2ku, telah banyak apa yang aku tuliskan walaupun banyak lagi yang aku ingin tuliskan, tetapi cukuplah untuk kali ini. Aku akan selalu mendokan kesejahteraan dan kesihatan untuk kalian. Aku juga akan selalu mendoakan yang baik2 untukmu. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya untuk engkau dan aku, setiap masa. Amin. Jumpa lagi dalam surat2 yang akan datang. Wassalam.