Tuesday, July 21, 2009

Pisang tanduk nangka

Saya suka ke Pasar Tani kerana saya akan ada banyak pilihan untuk keperluan dapur :). Sabtu lepas kami berpeluang ke Pasar Tani dan kami jumpa dengan setandan pisang yang banyak sisir seperti pisang nangka, tapi besar saiznya seperti pisang gading.
Kata penjualnya ia adalah kacukan di antara pisang nangka dengan pisang tanduk yang telah dilakukan oleh MARDI. Kami membeli 3 biji, satu kami goreng mentah. Sedap. Kata penjualnya ia sesuai untuk dibuat kerepek pisang. Gambar pisang mentah tu pada hari Sabtu dan pisang yang masak tu pada pagi Isnin. Rasa yang masak lebih kepada pisang nangka, tapi ada sedikit rasa pisang tanduk.
Teringat pula satu kisah di zaman Rasulullah saw dulu. Satu ketika Rasulullah saw mendapati penduduk Madinah sedang mengkahwinkan kurma, lalu Rasulullah saw bertanya mengapa mesti kurma itu dikahwinkan, mengapa tidak dibiarkan begitu sahaja. Petani2 kurma itu pun menghentikan mengkahwinkan kurma. Kemudian ternyata pengeluaran kurma pada musim itu menurun. Para petani kurma itu pun melaporkan kepada Rasulullah saw hal tersebut. Maka keluarlah sabda Rasulullah saw : Antum a'lamu bi umuuri dunyaa kum - Kamu lebih mengetahui urusan dunia-mu.
Hari ini banyak sebenarnya kacukan yang telah dihasilkan oleh manusia terhadap buah2an, ini termasuklah cempedak nangka, buah jambu, mangga epal, duku langsat, dll. Semua itu sebenarnya untuk mengingatkan kita kepada Yang Maha Pencipta. Manusia diberi akal untuk memikirkan apa yang terbaik untuk kehidupan mereka. Cuma malangnya hari ini, ramai manusia yang menggunakan akal untuk tujuan yang salah, bukan untuk memikirkan tentang kebaikan. Wallahua'lam.

Sunday, July 19, 2009

Makan apa hari ni, Mi?

Dua anak saya amat suka makan. Berbakul2 pujian tentang masakan saya jika apa yang dimasak menepati selera mereka. "Mi, kita boleh buka restoran bila kakak besar nanti, sebab umi masak sedap sangat hari ni", itu antara yang biasa diucapkan...bodek umi le tu...

"Umi nak masak apa hari ni?", kakak bertanya sebelum pergi ke sekolah.

"Umi, masak UFC (Umi's Fried Chicken) ye hari ni", pujuk Ahmad di waktu yang lain.

"Mi, esok umi masak lemak cili api ayam ye", pinta kakak selepas makan malam.

"Mi, masak tomyam ye, Mi!", kata Ahmad.

Dialog di atas adalah di antara dialog2 biasa untuk saya setiap hari. Anak2 yang berdua ni memang selalu teruja dengan apa yang saya akan masak setiap hari sebagai menu utama. Adik Yam je yang selalu kata, " Adik dah jemu ayam la, Mi. Adik nak makan ikan masin", dan betul, adik Yam lebih senang memilih ikan masin dan sayur berbanding ayam, makan ayam hanya sikit2. Cuma sejak akhir2 ni dia dah mula makan berlaukkan ayam semula.

Teringat waktu saya kecil dulu. Adik beradik ramai tapi abah dan mak cuma menoreh. Kami makan apa yang ada. Paling sedap bila sesekali berlaukkan ayam belaan sendiri yang dimasak kari. Waktu tu mak mesti masak nasi lebih. Sebenarnya kami lebih banyak makan nasi dengan kuah sahaja...tapi itu dah cukup menyelerakan.

Bila bersekolah menengah, jarang bersarapan atau makan di kantin kerana tiada wang saku. Bila balik petang, baru makan. Akibatnya saya mendapat gastrik hingga sekarang. Suami juga begitu, semuanya kerana kurang makan (kesusahan di waktu kecil kami berdua, sama). Tapi pengalaman itulah yang mengajar kami untuk bersyukur dengan apa yang ada sekarang ni. (Tapi kami tidak mengalami gastrik setiap kali Ramadhan...Maha Pengasihnya Allah!!)
Hari ini, anak2 kami ke sekolah berbekalkan RM1 walaupun sekolah menyediakan sarapan pada pukul 10 pagi dan makan tengahari pada pukul 1. Adakalanya mereka teringin membeli makan lain, cukuplah RM1 tu.

Sesekali terfikir, kalau anak2 mengalami seperti apa yang kami alami waktu kecil dulu, mampukah mereka menghadapinya?

Friday, July 17, 2009

Tv,tv,tv....

Semalam ada agen stesen tv berbayar datang ke rumah. Malas nak layan, sekadar jengukkan kepala di pintu. Dia tinggalkan pamplet di peti surat. Ambil juga selepas dia pergi, nak tengok apa yang nak dihidangkan kepada para penyewa stesen tu. Emmm...takde satu program pun yang boleh membina minda, membina masyarakat atau mendidik. Semuanya yang melalaikan dan keseronokan.

Cukuplah dengan tv jenama 'Silver' 14 inci yang suami beli 7 tahun lepas...takde lah nak beli 'Plasma tv' yang jadi pilihan masakini. Cukuplah juga dengan saluran tv tak berbayar yang sedia ada. Itupun dah cukup payah nak elakkan anak2 daripada duduk melekat depan tv setiap kali berada di rumah. Cukuplah dengan talian internet yang kami ada. Kami tak boleh bayangkan andai kami menyewa talian stesen tv berbayar tersebut...pasti bertambah beratlah kerja kami untuk menyusun jadual anak2 belajar, mengaji, bersolat, berprogram,....sedangkan tidak ada yang baik kecuali hiburan, hiburan, hiburan....

Ya Allah, jadikan kami orang yang sabar untuk berbuat taat kepada-Mu.

Thursday, July 16, 2009

Saling Mengingatkan

Sekarang ni bulan Rejab. Bila bulan Rejab kita pasti teringat tentang peristiwa isra' mikraj baginda Rasulullah saw. Salah satu daripada peristiwa yang berlaku ketika mikraj baginda ke sidratul muntaha adalah baginda diperlihatkan tentang ramainya penghuni neraka adalah wanita.

Saya menonton rancangan Tanyalah Ustaz di tv9 pagi tadi. Katanya ramai di antara ustaz2 yang bercakap tentang hal penghuni neraka itu kebanyakkannya adalah wanita yang tidak taat kepada suaminya. Kisah ini katanya menyedihkan wanita....alaa ustaz, macamana kami ni?...itu di antara keluhan para isteri yang datang dalam majlis ilmunya.

Apa yang jarang diberitahu oleh ustaz2 penceramah ialah, bagaimana Rasulullah terus berpaling kepada para suami selepas baginda mengucapkan kata2 itu. Baginda mengingatkan para suami supaya mendidik isteri mereka untuk menjadi wanita solehah. Ustaz tadi juga mengingatkan bahawa jangan harap suami akan duduk dalam syurga sedangkan isterinya masuk neraka, jika suami tidak berusaha untuk mendidik isteri. Pendek kata, kalau isteri masuk neraka ia juga akan mengheret suami sekali.

Bila melihat fenomena hari ini, hati jadi gusar. Ramai anak muda yang suatu hari nanti mereka akan jadi suami dan bapa, tapi kosong jiwa dan kosong dada dari ilmu Islam. Bagaimana mereka mahu mendidik isteri dan anak2? Ke mana nanti mereka sebagai ketua keluarga akan membawa isteri dan anak2nya?

Di akhir program, ustaz mengingatkan para suami supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam mendidik isteri dan anak2. Ustaz juga mengingatkan para isteri supaya berusaha untuk menjadi wanita solehah. Bila Islam datang, ia mengangkat martabat wanita. Wanita tidak diperlakukan sesuka hati seperti di zaman jahiliyyah. Kita biasa diingatkan, mudahnya untuk wanita masuk syurga jika ia taat kepada Allah dan Rasulnya, taat kepada suami (pada perkara yang tidak melanggar syarak), menjaga maruah dan harta benda suami,....... untungnya wanita. Sedangkan suami dipertanggungjawabkan untuk mendidik isteri dan anak2. Suami dan isteri kena saling ingat mengingatkan. Isteri solehah pasti tidak mahu suami tercampak sendirian di neraka. Na'uzubillah.

Marilah kita berusaha untuk belajar dan memahami ajaran2 yang terkandung dalam Islam yang syumul ini. Kita tidak akan rugi, malah kita boleh menjadi manusia yang beruntung andai Allah redha dengan kita. Subhanallah.

Tuesday, July 14, 2009

Kisah anak2 (4)




"Umi, boleh ye mi, belikan abang bakugan", abang seakan merayu tapi ceria sebaik sahaja dia keluar dari kelasnya bersama ayahnya. Hari itu adalah hari Terbuka Sekolah.

"Kenapa pulak umi nak kena belikan abang mainan tu? Umi pun tak tahu apa bendanya bakugan tu", saya membalas sambil melihat kepada suami dengan rasa hairan.

"Abang dapat semua 'A'. Abang dapat nombor 3", abang menjawab, ceria.

"Abang dapat nombor 3? Betul ke, yah? Akhir tahun lepas abang 'kan dapat nombor 13!", saya hampir tak percaya.

"Betul, dia dapat nombor 3", suami saya mengiyakan dengan tersenyum.

"Cuba abang beritahu umi apa bendanya bakugan tu. Macamana umi nak bagi abang beli kalau umi tak tahu..".

"Bakugan tu macam bola kecil, mi. Bila kita baling, dia akan bertukar jadi helang ke, robot ke, kala jengking ke,...macam2 la mi, dia boleh bertukar. Boleh la, mi, belikan abang!", abang merayu lagi.

Hmm...petang tu, puas la abang dan ayahnya cari di kedai2 runcit di pekan kecil tempat tinggal kami untuk mencari bakugan, bukan satu tapi tiga bakugan. Maklumlah, adik Yam suka sangat benda yang abang suka, jadi terpaksalah cari untuk dia sekali. Kakak tak kisah, tapi kadang2 kakak kisah juga dengan apa yang abang dapat....belikanlah juga untuk kakak.

"Banyak sangat perubahan abang, umi perasan tak. Umi ingat tak, dulu ayah cuma harap dia nak gi sekolah je, kenal huruf jawi dan rumi, tu je. Tapi hari ni, banyak sangat perubahan positif abang, lebih2 lagi dia dah boleh mengaji dan menjaga solah lima waktunya, kita je yang kurang sangat bersyukur!", suami saya seakan beremosi.

Saya hanya senyum tapi setuju dengan kata2 suami. Kami dah 'puas' menghadapi kerenah abang sejak dia kecil. Mujur suami saya seorang yang sabar, ia amat banyak membantu saya yang amat kurang sabarnya, terutama kala berhadapan dengan kerenah anak2.

Kami bukan ibubapa yang sempurna, tapi menjadi ibubapa adalah satu proses belajar yang tidak berhenti. Kami membaca dan kami belajar dari pengalaman orang lain dalam mendidik anak2.

Semoga Allah sentiasa membantu kita semua dalam mendidik anak2.

Monday, July 13, 2009

Bila dah kurus...


"Mi, umi perasan tak dalam iklan kuruskan badan?", kakak bertanya saya yang sedang melipat kain.

"Kenapa dengan iklan tu?."

"Dalam iklan tu biasanya ditunjukkan orang yang gemuk tu pakai baju kurung dan pakai tudung, tapi bila dia dah kurus ditunjukkan dia pakai baju kebaya sempit atau baju dengan seluar panjang, pun sempit juga walaupun bertudung", panjang kakak menerangakan.

"Habis tu, betul ke macam tu?".

"Tak betul. Kita tutup aurat bukan sebab kita gemuk dan boleh buka aurat sebab kita dah kurus. Gemuk ke, kurus ke, kita kena tutup aurat, kan mi?".

"Bagus la kalau kakak tahu. Kita tutup aurat bukan sebab kita rasa kita tak cantik, gemuk dan sebagainya, tapi sebab Allah suruh. Kalau dia dah kurus, dia semakin tak tutup aurat, maknanya dulu dia tutup aurat bukan kerana Allah, tapi kerana malu. Dah tak betul macam tu".

Kakak mengangguk faham.

"Umi dan ayah suruh kakak tutup aurat bukan sebab lain, tapi sebab Allah suruh. Adik Yam pun umi dah biasakan pakai tutup aurat. Umi dan ayah ni sentiasa berdoa supaya anak2 umi dan ayah, lelaki atau perempuan, sentiasa menjaga auratnya".

"Tapi mi, tudung sekarang tak tutup aurat. Cuba umi tengok, yang dijual kat kedai2 tu untuk orang dewasa, tapi tak cukup besar untuk orang dewasa, untuk kakak bolehlah...macam umi beli hari tu, bila umi pakai, tak sesuai untuk umi, kan".

"Takpe, umi boleh buat sendiri tudung untuk umi pakai. Bila kakak dewasa nanti kakak pun kena pastikan tudung yang kakak pakai betul2 tutup aurat kakak".

"Umi, mana tudung adik, mi? Adik nak ikut ayah main badminton kat luar tu...", adik Yam tiba2 menyampuk perbualan kami.

Ya Allah, bantulah kami dan berilah kami kesabaran untuk berbuat taat kepada-Mu. Ameen.