
Ahad, 8 Syaaban 1429, ada kelas dengan anak2. Anak2 teruja semacam. Kenapa? Jika selalu saya yang bercakap ( kadang2 berleter....heehee ) tetapi kali ini mereka akan membuat persembahan sajak/syarahan/nasyid/bercerita yang berkaitan dengan Ramadhan. Anas Hakimi, Muhammad Ammar, Abdul Azim berpakaian sedondon dan bersamping-sedia untuk bernasyid. Anak2 perempuan berbaju kurung cantik termasuk sikecil Maryam. Wafiuddin seronok sangat dapat mencuba mikrofon mini yang saya bawa, "Hee...bestnya ada benda ni," katanya sambil membetulkan mikrofon mini yang sedang dicubanya. Kelakar dan seronok melihat anak2 ceria.
Majlis di mulakan dengan bacaan al-Quran oleh Abdullah Zubair, dari surah al-Baqarah yang berkaitan dengan puasa.
Ahmad mengambil tempat pertama untuk bernasyid. Di rumah teruja sangat nak bernasyid, bila ada ramai kawan2 melihat malu pula jadinya, terpaksalah saya menjadi penyanyi latar kepada nasyidnya untuk memberikan keyakinan kepadanya. Nasyid Zikir Fikir menjadi pilihannya.
Abdul Muhaimin bersedia untuk persembahan berikutnya."Amin nak baca doa je, Makcik Ita," katanya pada saya. "Ok, takpe, boleh je," dia tersengih mendapat izin untuk membaca doa. Satu doa pendek tapi saya rasa amat menyentuh hati kerana doanya memohon Allah satukan hati2 kami untuk beriman pada Allah. Anak2 yang lain dengan kuat mengaminkan doanya.
Khadijah membaca surah al-Baqarah:183 dan membacakan terjemahan ayat tersebut. Melalui ayat tersebut, TAQWA adalah matlamat daripada puasa Ramadhan yang kita lakukan. Makanya bulan Ramadhan akan mendidik kita untuk menjadi orang yang bertaqwa. Di antara cara didikan Ramadhan yang disebutkan oleh Khadijah ialah melatih kita untuk merasai lapar dan dahaga sebagai asas untuk tolong menolong, berkasih sayang dan menghormati sesama manusia.
Muhammad Ammar bernasyid yang di antara lain katanya "...Ramadhan adalah madrasah untuk mendidik hati dan jiwa, agar tunduk patuh pada-Nya....".
Anas Hakimi, paling teruja sebelum harinya, tapi amat pemalu untuk tampil, namun akhirnya selepas puas memujuk, sudi berkongsi nasyid yang menyentuh hati, "....pastikah kita dapat menyambut Ramadhan kali ini.....", ingatan melayang seketika kala Anas menyebut baris ayat itu. Teringat makcik yang Allah panggil kembali pada malam Ramadhan pertama beberapa tahun lepas. Sesungguhnya kala saat kematian itu tiba, ia tidak akan tercepat atau terlambat sedikit pun kerana itulah detik yang pasti. Terimakasih Anas, ingatkan makcik Ita.
Itulah anak2.....putih bersih kitalah yang mencorakkannya. Mungkin mereka belum memahami hakikat puasa, taqwa, kematian.... (pertanyaan untuk sendiri - sudah fahamkah aku hakikat semua itu?), tapi inilah antara tanggungjawab ibubapa untuk memberitahu dan membantu mereka untuk memahami ajaran2 yang terkandung di dalam deen Islam. Cabarannya amat hebat dalam kehidupan hari ini.
Ramadhan datang lagi, apakah akan kita dapat melaluinya kali ini? Apakah Ramadhan kali ini mampu meningkatkan darjat taqwa kita? Wallahua'lam...kerana sesungguhnya puasa adalah ibadah tersembunyi, hanya Allah yang mengetahui samada kita benar2 berpuasa atau tidak. Puasa menguji keikhlasan kita, dengan menjaga segala adab berpuasa semata2 kerana Allah. Puasa menjadi medan untuk kita mendidik hati dan jiwa agar sentiasa ikhlas kerana Allah.
Teringat nasyid oleh Nazrey Johani...."...ku mengharap kan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapatku lalui dengan sempurna......" .
Ya Allah, rezekikanlah dan berkatilah aku bersama suami dan anak2ku untuk menemui Ramadhan kali ini. Ameen.