Tuesday, June 16, 2009

Cinta & Kasih Sayang


Kami berbalas mesej.

"Sihat tak, yah?".

"Ok jugalah. Nape mi?"

"Saje nak tanya. Hari tu umi tak mesej ayah, rupanya ayah muntah dan pitam di bilik ayah".

"Ye mi? Sayang umi...rasa nak menangis....".

"Hehehe.........".

Kadang2 apa yang kita lakukan kepada pasangan kita, hanya benda biasa2 sahaja, tapi ia memberi impak yang besar kepada sebuah ikatan perkahwinan. Suami adalah kawan paling rapat kepada seorang wanita. Sepatutnya tiada rahsia di antara keduanya.

Mungkin mesej di atas kelihatan mengada2. Tapi apa salahnya? Kerana itu pasangan kita yang sah. Ada orang janggal untuk bermesej seperti itu dengan pasangan sendiri. Tapi kenapa sewaktu bercinta dulu 'mewah' dengan pujian kepada kekasih hati?

Saya telah habis membaca buku 'Aku Terima Nikahnya' dan sekarang sedang membaca 'Bercinta Sampai ke Syurga' - kedua2nya tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Saya berpuashati dengan apa yang telah saya baca kerana isinya tidak meleset daripada apa yang saya dan suami fahami tentang kehidupan berumahtangga. Lebih2 lagi ia disertai dengan pengalaman sebenar dan huraian yang mudah untuk difahami.

Kami selalu bercakap tentang banyak perkara, kerana sepatutnya tidak ada rahsia di antara suami isteri walau sesulit mana pun suatu perkara itu.

Cemburu? Itu biasa dalam kehidupan berumahtangga kerana itu tanda sayang. Kami selalu saling mengingatkan - jangan cerita masalah kepada kaum berlainan jantina kerana itu adalah ruang untuk masalah yang lebih besar!! Awal 2000-an artikel berkaitan perakaunan suami saya sering tersiar di beberapa majalah, hinggakan ia menarik perhatian seorang siswi untuk menulis. Siswi tersebut sering menelefon suami saya untuk bertanyakan hal2 penulisan, dan suami saya rasa kurang selesa. Saya cadangkan kepada suami, berikan nombor telefon rakan sekerja suami yang perempuan yang juga menulis artikel. Suami saya amat setuju. Saya bukan hendak berburuk sangka, tapi perkara2 seperti ini suami dan isteri kena bertindak awal.

Hari ini hari ke-3 suami ke Shah Alam. Anak2 sibuk bertanya bila ayahnya akan balik. Sebenarnya bukan anak2 sahaja yang tertunggu2 bila ayahnya akan balik, tapi uminya pun tertunggu2 juga....hehe....kita akan lebih menghargai pasangan kita ketika dia tiada di sisi.

"Penat, mi?", mesej masuk.

"Penat sangat. Selalu ayah ada untuk hantar dan jemput anak2. Kali ni semua umi buat...",balasan mesej minta dikasihani.

"Sian umi....".

"Sebaik2 kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang terbaik untuk keluargaku" -(Maksud Hadis riwayat Tirmizi)

Monday, June 15, 2009

Ustaz/Ustazah

(Al-Fatihah untuk mujahid Fathi Yakan yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu 13 Jun, 2009. Semoga Allah merahmatinya. Al-Fatihah....)

"Maaf la, dik. Guru sandaran untuk jawatan ustazah dah terisi semuanya", kata2 itu diucapkan oleh seorang kerani di PPD Muar ketika saya baru habis Diploma lama dahulu, tapi masih segar lagi dalam ingatan. Dia tidak bertanya pun apa kelayakan yang saya ada.

"Kak, saya ni bukan ustazah. Saya ada Diploma Perakaunan. Saya datang sini nak tahu kalau2 ada kekosongan guru sandaran yang sesuai dengan kelulusan saya ni".

"Oo..ingatkan ustazah tadi, bukan rupanya", balasnya sambil ketawa kecil, mungkin hendak menutup rasa bersalahnya dengan andaian bahawa saya ni ustazah.

Dalam satu kisah lain lebih kurang begitu juga.

"Suami awak ustaz ke?", tanya seorang pakcik kedai runcit berhampiran rumah kami(sebelum dia berpindah ke Gemas), pada suatu hari.

"Tak. Dia mengajar akaun", jawab saya.

"Oo...ingatkan ustaz, sebab dia lemah lembut dan tak banyak cakap...", dia seperti malu2.

"Nampak macam ustaz sebab dulu dia bersekolah Arab, kut", saya menambah sambil tersenyum...saya tak mahu dia malu.

"Jadi awak jumpa dia dulu masa di sekolah Arab tu lah?", pakcik kedai bertanya lagi.

"Tak...saya kenal dia masa belajar di Shah Alam dulu. Kami sama2 ambil Ijazah Perakaunan. Tapi kakak angkat saya dan suaminya yang jadi orang tengah, itu pun selepas kami habis belajar", lagi keliru nampaknya pakcik kedai tu....biarlah.

Dua cerita di atas ada kaitannya-saya disangka ustazah hanya kerana saya bertudung labuh, berbaju kurung dan berstokin. Bukan dua cerita itu sahaja orang menyangka saya ni ustazah, tapi banyak lagi. Saya selesa dengan cara saya berpakaian sekarang. Terpulang kepada wanita lain bagaimana mereka hendak memelihara aurat mereka, asalkan ianya menepati apa yang telah Allah sebutkan di dalam al-Qur'an dan selari dengan apa yang Rasulullah saw pernah sebutkan ketika baginda menegur Asma' binti Abu Bakar tentang bagaimana sepatutnya wanita itu berpakaian.

Inilah persepsi masyarakat sekarang, yang bertudung labuh itu ustazah. Begitu juga persepsi bahawa hanya ustaz/ustazah sahaja yang boleh bercakap mengenai Islam. Sedangkan Islam itu untuk semua manusia tidak kira siapa mereka..jurutera, akauntan, guru, surirumah, nelayan, penoreh getah, pekerja kilang....atau apa bangsa mereka sekalipun - Islam itu untuk kita.

Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya, maka dia akan diberi kefahaman dalam urusan agamanya.

Tidak mahukah kita menjadi orang yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya? Kalau kita boleh belajar untuk memahami tentang banyak perkara, kenapa kita tidak belajar untuk memahami Islam yang syumul ini? Cukupkah dengan apa yang kita ada dan faham tentang Islam, sedangkan Islam itu bukan setakat sembahyang lima waktu, puasa, haji, serta ibadah2 khusus lain?

Masa untuk kita semakin pendek. Pertama2 saya mengajak diri saya....marilah kita mencari bekalan untuk persediaan menghadapi saat dan ketika di mana tiada manusia yang boleh menghalang akan kehadirannya...Dan untuk anak2 kita, yang akan mendoakan kita tatkala di sana nanti, sudahkah kita ajari mereka tentang Islam?

Ya Allah, kurniakan kami kebaikan dunia dan akhirat. Ameen.



Thursday, June 4, 2009

Solat dan Doa


Saya sering diminta pendapat oleh adik2 dan anak2 buah apabila mereka kena membuat pilihan. Cuma adakalanya, pendapat ditanya selepas pilihan dibuat.

Jawapan saya sama, samada pendapat diminta sebelum atau selepas keputusan dibuat - solat(hajat/istikharah/taubat,dll) dan jangan berhenti berdoa. Hinggakan adakalanya saya rasakan mereka pasti tahu apa jawapan yang akan saya beri. Saya tak peduli, kerana semua yang berlaku ada dalam pengetahuan Allah kerana Dia Maha Mengetahui. Kelemahan kita, kita sering menilai sesuatu itu berdasarkan material atau berdasarkan apa yang kita nampak dan ketahui. Sedangkan Allah itulah yang Maha Mengetahui. Bukankah lebih cantik andai kita 'bercakap' dahulu dengan Allah sebelum kita membuat pilihan.

Al-Baqarah:45, dan terjemahannya : Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang2 yang khusyuk.

Al-Baqarah:186, dan terjemahannya : Dan apabila hamba2-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku....

Sesungguhnya kita hamba-Nya yang amat memerlukan Dia dalam setiap saat kehidupan kita. Kepada siapa lagi hendak kita meminta kalau bukan kepada-Nya? Sedangkan tiada Tuhan selain dari Allah yang Maha Mendengar dan Mengabulkan permohonan hamba2-Nya.