Tuesday, January 20, 2009

Islam Kembali Dagang

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw bersabda : "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang. Maka beruntunglah orang yang bersama Islam ketika ianya dagang". (HR Muslim)

Sejarah telah merakamkan bahawa Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing kerana pada ketika itu bilangan mereka yang menerima Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar di seluruh pelosok dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasai ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam lain yang iltizam dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Masyarakat sering memandang serong terhadap mereka yang mengajak kepada kebaikan, sedangkan melakukan kemaksiatan dan kemungkaran dianggap sebagai satu kebiasaan dan berbangga dengannya. Umat Islam hari ini kehilangan role model yang dapat dijadikan contoh, lantas mengambil contoh budaya Barat yang tidak bertamaddun dan tidak berakhlak mulia.

Faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang ialah faktor akidah Islam yang berlawanan dengan jahiliyyah. Islam mengajak kepada akidah yang sahih, serta kualiti hidup sejahtera yang bertentangan dengan jahiliyyah dan kekufuran.

Apa yang dikatakan jahiliyyah itu sama di mana2 dan di setiap masa iaitu menolak Allah dan Islam. Akidah umat Islam hari ini tidak berfungsi akibat terpengaruh dengan selain daripada Islam. Mereka menolak Allah sebagai Rabb dan Illah. Begitu juga tidak menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan. Ramai yang beriman sebahagian sahaja daripada kandungan al-Qur'an dan menolak sebahagian yang lain. Tambahan pula cabaran untuk berhadapan dengan dugaan kemewahan dunia yang menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam cintakan dunia dan benci mati. Begitu juga dengan penyakit perpecahan dan kedengkian yang menyerang hati orang Islam.

Hari ini, tidak ada jalan lain melainkan kita kembali kepada jalan yang pernah dipimpin oleh Rasulullah saw, jalan yang terbukti berjaya menghilangkan dagangnya Islam kali pertama di Mekah. Menegakkan kembali Islam adalah amanah yang besar. Meninggalkannya adalah satu dosa besar kerana menjadi tanggungjawab setiap Muslim memelihara Islam agar tidak dicerobohi oleh musuh2 Islam.

Kepada Allah kita memohon kekuatan.







1 comment:

khadijah said...

assalamualaikum w.r.h ummu jah,

beruntunglah mereka yang mengambilnya semasa dagang.

Allah izin jumpa juga kak jai(kak zainab) di sana kami di hotel yang sama .

dalam tempoh terdekat insha-A akan pergi ke segamat atas urusan kerja,kalau di izinkan Allah akan ziarah kakak-kakak disana.rindu kat semua kak su,kak mah,kak zah..sekadar menyebut beberapa nama.

kirim salam kat khadijah,ahmad dan maryam.