Wednesday, July 2, 2008

Komunikasi itu penting.


"Lama saya tunggu akak, tak balik2", dia memulakan bicara.

"Kenapa", saya bertanya.

"Nak ceritalah dengan akak. Banyak dalam kepala ni nak cerita," katanya sambil tangannya menguli kuih. "Akak tengokla tu, kalau tak kerja bukan tahu nak tolong saya buat kuih ni....tolong goreng karipap ke, donat ke....sibuk 24jam dengan motor dia".

"Cakap la dengan dia, minta ditolong kerja2 kat dapur ni. Awak cuma tolong dia untuk cukupkan duit belanja rumah. Sepatutnya tanggungjawab dia untuk cukupkan keperluan rumah dan anak2", saya membalas.

"Dah banyak kali minta tolong kak, dah malas nak cakap. Naik sedih saya ni kenangkan nasib diri", dia meluahkan rasa hatinya.

Begitulah selalunya, dia bercerita macam2 pada saya bila sesekali berjumpa. Seperti biasa juga saya jadi pendengar yang setia. Sesekali menyampuk cakapnya, sesekali memberi pendapat, sesekali memberi nasihat.

Dalam rumahtangga, komunikasi amat penting supaya suami tahu apa kehendak isteri dan isteri tahu apa kehendak suami. Mungkin ada perkara yang tidak perlu disuarakan bila masing2 faham sendiri, tapi banyak lagi yang memerlukan interaksi di antara suami dan isteri.

Jika dulu masa bercinta, banyak sangat boleh cerita, [sampai tak dengar nasihat orang yang lebih tua] tapi bila telah sah sebagai suami isteri, mana pergi cerita2nya? Bukankah ianya sepatutnya jadi lebih banyak untuk dibual bincangkan memandangkan banyaknya tanggungjawab seorang suami dan isteri?

"Bang, beras habis....bang, barang dapur habis,.....bang, saya nak baju dan tudung baru, etc".

Kelihatannya remeh kata2 seperti itu, tapi percayalah, jika ia dibiarkan, dengan harapan pasangan tahu apa yang kurang dalam rumah, lama kelamaan, ia akan menimbulkan rasa sakit hati. Apatah lagi pada perkara2 lain yang lebih besar, jika tidak dibincangkan, kerana beranggapan masing2 tahu tugas dan tanggungjawab, maka lebih besarlah nanti masalah yang menanti.

Suami isteri kena selalu berkomunikasi. Memang kadang2 timbul suasana hangat tapi bukankah itu lebih baik daripada ianya dibiarkan begitu sahaja sehingga ia akan menimbulkan masalah besar dalam rumahtangga?

Perbezaan pendapat itu biasa, maklumlah asalnya suami isteri itu adalah dari latar kehidupan yang berbeza, bersatu mengikat janji untuk mengharungi hidup berkeluarga bersama2.

Terimakasih ayah kerana sentiasa berusaha untuk mewujudkan pelbagai cara komunikasi dalam kehidupan kita sebagai suami isteri dan dengan anak2 kita juga....

4 comments:

aliya said...

Pernah seorang tua menasihati saya: jangan pilih suami yg kacak kerana dia akan sentiasa diminati wanita lain, jangan pilih suami yg terlalu kaya kerana dia akan sentiasa diuji dengan wang ringgit, jangan pilih suami yg menyanjungimu kerana dialah yg harus memimpinmu. Pilihlah suami yg beriman kepadaNya supaya anda dan anak-anak anda sentiasa selamat dunia akhirat. Pilihlah suami yg anda senang berbicara dengannya kerana anda akan hidup dengannya sepanjang hidup anda.

ROS said...

Assalamualaikum Aliya,

Memang betul. Tapi tak semua orang fikir macam tu masa nak kahwin dulu. Contohnya, masa nak kahwin dulu, makayah kata carilah calon isteri/suami yang dekat, supaya senang bila nak balik raya. Tapi biasanya dijawab,
"Alaa...mak, bila dah kahwin nanti, kami gilir2lah balik kampung". Itu cerita sebelum berkahwin, bila dah kahwin, lain jadinya. Bukan sedikit yang bergaduh dengan masalah yang dianggap remeh seperti ini. Nasihat mak ayah dianggap sebagai penghalang kebahagiaan. Itu baru hal balik kampung, belum hal2 lain yang lebih besar kesannya dalam sebuah rumahtangga. Ini contoh aje.... Walau apa pun, jauh atau dekat kita dengan pasangan kita, komunikasi itu penting. Apa guna dekat tapi tiada komunikasi, kan lebih baik jauh tapi sentiasa ada hubungan dua hala antara suami, isteri dan anak2.

aniisma said...

Salam Aliya dan Ita,

Nasihat orang tua itu ada kebenarannya. Seorang kawan saya sentiasa dalam kerisauan kerana suaminya sangat segak. Tetapi seorang kawan lain, walaupun suaminya tidaklah sesegak mana tetapi tetap diminati gadis muda kerana poketnya sentiasa penuh. Tetapi kalau dapat suami yang segak, kaya dan beriman,siapalah yang tidak akan bersyukur...

Yang pasti, dalam hidup kita sebagai isteri, tentu akan diuji dengan pelbagai ujian...Hanya kepada Allah sahaja kita para isteri mengadu kerana akhirnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui...

ROS said...

Salam Ani,

Betul,Ani. Jika dia beriman, dia akan tahu tugas dan tanggungjawabnya. Dan amat setuju, hanya Allah tempat kita mengadu dengan sesungguh hati. Ujian ada di mana2 dalam melalui kehidupan berkeluarga....hanya pada Allah jua dipanjatkan doa.