Monday, July 28, 2008

Mereka perlu dibantu......


(Terimakasih kepada Aniisma kerana mencetuskan idea ini selepas membaca 'Hak Kanak2 [3]')

Memang betul, naluri keibuan kita amat tersentuh apabila melihat dan mendengar anak2 yang tidak berdosa itu teraniaya sedemikian rupa. Lebih2 lagi bagi yang pernah merasai kepayahan dan kesakitan mengandung dan melahirkan, kejadian seperti ini amat memilukan dan seperti merobek2 hati dan perasaan.

Cuma bagi saya, manusia tidak akan bertindak di luar batasan jika jiwanya tenang dan tidak tertekan perasaannya.

Sebagai contoh, dalam satu kes dikatakan bahawa suaminya mengugut untuk berkahwin lain lalu si isteri bertindak menjerut leher anak2nya. Seorang ibu lain yang masih dalam pantang bertindak menikam perut bayinya dengan sebilah gunting kerana tidak tertahan mendengar tangisan si bayi. Seorang ibu ditinggalkan suami, dibiarkan sendiri menghadapi kepayahan bersama anak2, bertindak melemaskan anaknya di dalam kolam....Ini di antara kes2 yang berlaku dan dilaporkan di akhbar2.

Boleh kita bayangkan tekanan yang dihadapi oleh ibu2 ini sebelum kejadian tragis itu berlaku? Bagaimana tidak tertekan jika selama perkahwinan itu berjalan pun dia dan anak2 diabaikan tiba2 mengugut untuk berkahwin lain? Bagaimana tidak tertekan jika dalam proses berpantang selepas bersalin tiada yang membantu dan memberi sokongan dari segi emosi untuk menyesuaikan diri dengan anak yang baru dilahirkan? (Ada ramai wanita yang tertekan perasaannya selepas melahirkan - kita boleh cari maklumat2 ini di dalam banyak bahan bacaan yang berkaitan dengan kesihatan). Bagaimana tidak tertekan jika hidup susah lalu ditinggal suami begitu sahaja tanpa nafkah untuk dirinya dan anak2?

Siapa yang datang membantu orang2 yang bermasalah seperti ini? Saya setuju dengan Aniisma, masalah rumahtangga kadang2 tidak mahu dikongsi dengan orang lain. Tapi saya percaya, ramai lagi orang2 yang tertekan hidupnya, perasaannya, jiwanya, emosinya...yang memerlukan pertolongan, bantuan dan sokongan dan bersedia untuk diambil tahu masalahnya.

Longgarnya pegangan agama, tiada keharmonian dalam rumahtangga (termasuk tiadanya komunikasi berkesan), hubungan yang tidak rapat dengan orang sekeliling termasuk kaum kerabat, dll, bagi saya boleh menyumbang kepada masalah ini.

Saya ada rakan yang diabaikan oleh suaminya sebelum dan selepas dimadukan. Betul, mungkin ada kesilapan di pihaknya sehinggakan ia dimadukan, tetapi itu bukan alasan untuk seorang suami mengabaikan tanggungjawabnya kepada isteri dan anak2. Urusan rumahtangga, anak2 sekolah tidak dipedulikan oleh si suami walaupun sebelum dia berkahwin lain. Makankah? Sihatkah? Ada duitkah?....tidak pernah ditanya. Rakan saya ni mencari sedikit pendapatan dengan menjual kuih. Saya pernah sekali membantunya menyiapkan kuih2 jualannya -aduh...penatnya badan amat terasa. Bayangkan dia yang menguruskan semuanya sendiri di samping kerja2 rumah lain yang perlu dilakukan.

Bila sesekali kami berjumpa, dia bercerita dan meluahkan rasa kecewanya. Saya lebih banyak mendengar dengan harapan ia mampu mengurangkan sedikit tekanan yang dirasainya. Ramai kaunselor berkata kadang2 jika kita ada masalah, orang dengar masalah kita pun cukup untuk buat kita merasa lega. Mungkin betul pandangan ini kerana dia selalu ternanti2 bila kami boleh berjumpa.

Untuk membantu dengan wang ringgit, saya tidak mampu walaupun kadang2 amat teringin untuk berbuat demikian. Apa yang saya mampu hanyalah mendengar, mendengar dan mendengar. Sesekali saya memberi pandangan dan nasihat dan paling utama saya ingatkan dia supaya berdoa kepada Yang Maha Mendengar, Maha Pengasih dan Maha Penyayang kerana DIA lah Yang Maha Mengetahui.

Saya percaya, ramai lagi orang2 yang inginkan masalahnya didengar, dibantu emosi dan jiwanya supaya ada kekuatan untuk menghadapi kehidupan. Paling penting kita dapat mengajak mereka untuk merasai pentingnya agama itu dijadikan landasan dalam kehidupan. Kita pasti tidak mahu tragedi menyayat hati itu berlaku lebih2 lagi jika ia melibatkan saudara mara kita @ rakan2 kita @ orang2 yang kita kenali.

"Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang", (terjemahan Ar-Ra'du :28)



Saturday, July 26, 2008

Bukan rahsia lagi...


"Umi, buah apa yang tak boleh simpan rahsia?", tanya kakak kepada saya yang sedang memasak di dapur.
"Apa ek? Entah, tak tahu la umi, kak", saya membalas.
"Ayah tahu tak?", kakak mengajukan pula pertanyaan yang sama kepada suami yang sedang membaca.
"Tak tahu. Buah apa?", kedengaran suami membalas pertanyaan kakak.
"Buah manggis la, yah. Kan buah manggis ada tunjukkan berapa bilangan isi dia kat bahagian bawah buah tu....hehehe.....," kakak seronok dapat mengenakan kami. Saya di dapur pun tergelak mendengarnya.

Lalu hari ini saya terfikir, aurat yang tidak ditutup dengan sempurna juga umpama manggis, orang lain yang melihat dengan hati yang ada penyakit akan meneka saiz, bentuk, ukuran,.....astaghfirullah..... Hakikatnya, itulah yang berlaku mutakhir kini. Sukarnya menjaga pandangan. Lirikan yang menarik, gerakan yang menggoda, dandanan kecantikan yang berlebihan, tubuh yang terbuka,......semuanya pasti membangkitkan dan menyalakan syahwat. Maka yang terjadi kemudian adalah perlampiasan hawa nafsu yang membabi buta dan kacau bilau yang tidak terikat dengan suatu ikatan pun.

Surah an-Nur:30-31, Allah ingatkan kita, lelaki dan perempuan supaya menjaga pandangan. Begitu juga, Allah mengingatkan kepada wanita2 beriman bagaimana caranya menutup aurat.

Dalam 'Tafsir Fi Zilalil Qur'an" As-Syahid Sayyid Quthb menulis :
Setelah Allah memerintahkan wanita2 untuk menutup dada dan tidak menampakkan perhiasannya, wanita2 mukminat bersikap seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah dalam riwayat Bukhari, " Semoga Allah merahmati wanita2 Muhajirin yang pertama , setelah Allah menurunkan ayat, "....dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya...", maka mereka mengoyak pakaian yang lain lalu menjadikannya sebagai kain yang menutup tubuh mereka.....Kaum lelaki Ansar segera kembali ke rumah masing2 untuk membacakan ayat yang turun kepada wanita2 mereka. Seorang lelaki membacakannya kepada isterinya, anak perempuannya, saudara perempuannya, juga kepada setiap kerabatnya. Mereka bersegera mengambil pakaian lalu mengikatnya di kepala sebagai pembenaran dan keimanan mereka terhadap ayat2 yang Allah turunkan. Subhanallah........

Dalam "Surat2 Maududi - Maryam Jameelah", Maryam Jameelah menulis:
Bersama ini saya lampirkan satu gambar rencana yang dipetik dari Majalah Look mengenai fesyen pakaian wanita yang terbaru. Bagi saya, fesyen itu kelihatan begitu jelek, hingga saya merasa lebih baik dipukul mati sahaja dari memakainya.

Pereka2 fesyen ini nampaknya berbuat apa sahaja untuk menjadikan wanita2 moden Eropah kelihatan seperti pelacur2 yang merayau di jalan2.......

Salah satu dari langkah pertama yang saya lakukan setelah memeluk Islam ialah melabuhkan gaun2 saya. Kaum keluarga saya begitu terperanjat apabila melihat saya memakai gaun2 labuh hingga ke buku lali, sedangkan semua perempuan yang lain memakai gaun2 singkat di atas lutut.......

Saya masih mengulang baca buku tulisan Maryam Jameelah ini. Isu2 yang dibincangkan oleh beliau dengan Maududi masih tetap relevan hingga kini, walaupun ia mula ditulis pada akhir tahun 1960. Ajaran2 dalam Islam memang tidak akan berubah sebagaimana yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya yang terakhir. Manusia yang suka mengubah mengikut hawa nafsu masing2.

Kepada anak2 dalam usrah, selalu saya ulang2kan akan satu hadis, "Al hayaa'u minal iman," Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman. Jika kita tidak malu, itulah jadinya, memakai pakaian yang katanya mengikut fesyen terkini, sehingga menampakkan apa yang sepatutnya menjadi rahsia.

Rasulullah juga telah bersabda yang maksudnya,"Jika kamu tidak malu, buatlah apa sahaja yang kamu mahu".

Semoga Allah terus memberikan kepada kita taufik dan hidayah-Nya untuk mengharungi kehidupan yang amat mencabar ini. Ameen.

Tuesday, July 22, 2008

Ingat sihat masa sakit....

Hari ni kepala masih berat lagi, mungkin kesan dari ubat yang dimakan. Ke klinik dengan suami semalam, sakit tak tertahan.

"Jangan risau, ini jangkitan kuman, insyaAllah kita ada ubat," doktor berkata dengan tenang dan mengurangkan debaran yang datang.

Alhamdulillah ada banyak perubahan walaupun masih terasa sedikit kesakitannya. Ubat2 masih ada untuk dihabiskan.

"Umi boleh rehat la bila ayah ke Shah Alam," suami bergurau.
Surirumah macam saya mana ada MC. Lebih2 lagi ada si kecil Maryam berumur 2 tahun lebih, mana boleh duduk diam. "Umi, cakap la dengan Yam...", katanya bila saya hanya mendiamkan diri mendengar celotehnya. Kelam kabut sedikit bila waktu pagi bila suami ada kelas di Shah Alam, pertamanya nak pujuk abang bangun, keduanya nak pastikan Maryam tidur nyenyak sehingga kakak dan abang siap untuk ke sekolah. Alhamdulillah, pagi ni selesai tanpa masalah.

Rasa nak tidur sahaja selepas makan ubat ni. Tapi teringat banyak kerja nak di buat.

Rasulullah saw telah mengingatkan kita ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati.

Bila sakit, walaupun tak teruk, selalu teringat tentang mati. Kita cuma dipinjamkan nyawa, sampai masa Allah ambil kembali. Teruk @ tidak sakit kita, itu bukan alasan untuk dipanjangkan usia. Seorang rakan, meninggal dunia dalam keadaan sihat, cuma dia terjatuh tersepak bendul pintu sewaktu terburu2 hendak mengangkat kain di jemuran.

Bila sakit, teringat apa bekalan yang nak dibawa bertemu-Nya? Banyak yang dicuaikan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sebagai isteri, anak, ibu...yang semuanya akan ditanya di sana nanti. Maksud hadis : " Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya apa yang dipimpinnya".

Seorang ustaz dalam satu majlis ilmu berkata, "Jangan risaukan apa yang kita tinggalkan bila kita mati......contohnya anak2, itu tanggungjawab orang yang hidup untuk menguruskannya, tapi risaukan apa bekalan yang kita nak bawa bila bertemu Allah kelak....,".

Ya Allah, rahmat dan kasih sayang-Mu amat aku harapkan. Jangan Kau biarkan aku menentukan nasibku sendiri walau dalam kadar sekelip mata atau lebih pendek dari itu. Ameen.

Friday, July 11, 2008

Panggilan telefon di suatu petang.....


Saya sedang menyiapkan minum petang beberapa hari lepas tatkala panggilan itu masuk. Seorang ibu kepada rakan sekelas kakak(anak sulung saya) di hujung talian. Suaranya sedih dan mungkin berbaur kecewa.

Dia memperkenalkan dirinya serba ringkas dan meminta maaf kepada saya jika panggilannya ini mengganggu saya. Dia mula bercerita dengan panjang. Cerita tentang ketidakpuasan hatinya terhadap pihak sekolah dan guru2 yang mengajar anak kami. Saya mula sakit kepala bila mendengar banyak cerita yang tidak sedap untuk didengar. Saya serba salah, tapi saya tetap mendengar luahan hatinya. Perbualan tiba2 terputus, mungkin kreditnya habis. Sebelah malam dia menelefon lagi tapi sekadar untuk mengucapkan terimakasih kerana mendengar luahan hatinya dan meminta maaf sekali lagi jika saya terganggu dengan panggilannya.


Bukan saya dan suami berpuashati sepenuhnya dengan sekolah, sedikit sebanyak kadang2 ada yang tidak puas hati, tapi kami anggap itu sebagai biasa. Tidak ada yang sempurna segala2nya. Pun bukan disebabkan kakak di antara harapan guru2nya, maka kami puashati dengan semuanya. Tidak begitu. Abang(anak kedua) hanya beroleh nombor 13 dalam kelasnya, pun kami puashati kerana kami tahu kelemahan dan kelebihan anak2 kami.


Kami tidak bertanya berita baik dan berita buruk di sekolah setiap hari. Kami akan biarkan anak2 bercerita sendiri apa yang berlaku. Yang biasa saya tanya," ada kerja rumah? Kakak/abang di sekolah hari ni ok? Makan apa hari ni kat sekolah?....dan soalan2 lain yang saya anggap ringan. Anak2 kami berada di sekolah dari pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang, cukuplah kepenatan yang mereka hadapi setiap hari2 persekolahan, jadi kami tidak mahu menghujani mereka dengan pelbagai soalan. Soalan yang pelbagai memungkinkan anak2 akan bercerita perkara2 yang tidak seronok di sekolah. Kami tidak mahu anak2 jadi tidak seronok di sekolah. Bagaimana untuk dia belajar jika di hatinya bersarang rasa tidak puas hati akan sekolah dan guru2nya?


Kadang2 anak2 kami ada juga mengadu tentang guru2nya, tapi kami biasanya akan menjawab,"Tak apa la kak, mungkin cikgu penat......mungkin cikgu ada masalah"......dll

Seboleh2nya kami tidak mahu bercakap perkara yang negatif tentang sekolah dan guru mereka. Kalau adapun perbincangan, ia di antara saya dan suami, bukan di depan anak2.


Sekolah tidak boleh memberi semua apa yang kita harapkan. Setiap pihak sebenarnya ada peranan masing2. Kami percaya, setiap pihak pengurusan sekolah pasti mahu yang terbaik untuk sekolah dan pelajar2nya. Mungkin anak kita banyak masanya di sekolah, tetapi itu tidak mengurangkan tugas hakiki kita sebagai ibubapa yang bertanggungjawab untuk mendidik anak2. Sama2lah kita memberi dan menerima.

Ya Allah, mudahkanlah anak2 kami untuk menerima kebaikan dan kebenaran, juga mudahkan anak2 kami untuk menolak kejahatan dan kebatilan. Beri kami kejayaan di dunia dan di akhirat. Ameen.

Pasangan Romantis dan Harmoni

Hubungan yang harmoni dan baik antara ayah dan ibu mempunyai pengaruh yang hebat dalam tingkahlaku anak. Ayah dan ibu adalah contoh nyata dalam hidup seorang anak. Seorang anak akan menimba nilai2 hubungan yang baik itu dan akan memberi manfaat besar kala dewasa dan berumahtangga.

Tsana al-Banna menceritakan, "Pernah suatu hari ayah pulang agak malam bersama rakannya dan ibuku sedang tidur. Ketika itulah aku melihat penerapan firman Allah yang bermaksud,"Dan (Dia) menjadikan antara kalian rasa kasih dan sayang". Ketika itu ayah tidak membangunkan ibu sama sekali, ayah menyiapkan sendiri makanan untuk menjamu makan malam rakannya yang datang bertamu. Ayah kulihat masuk ke dapur dan mempersiapkan makan malam sendiri. Ayah tahu letak semua barang2 di dapur juga rempah ratus yang diperlukannya. Ayah juga menyiapkan meja dan kemudian ayah dan tetamunya makan malam bersama.

Saiful Islam juga menceritakan hal serupa. Katanya,"Jika pulang larut malam, ayah tidak pernah mengganggu seorang pun di rumah kami. Padahal kunci rumah kami cukup panjang, dan pasti ia akan mengeluarkan bunyi. Suatu malam, aku belajar hingga larut malam. Betapa terkejutnya aku ketika mendapati ayah sudah berada di dalam rumah, padahal aku tidak mendengar bunyi pintu dibuka. Ternyata ayah membuka pintu dengan sangat berhati2. Ayah mempunyai perasaan yang sangat halus, bahkan mungkin boleh dikatakan sangat lembut."
(Petikan dari buku 'Cinta Di Rumah Hassan al-Banna')

Wednesday, July 2, 2008

Komunikasi itu penting.


"Lama saya tunggu akak, tak balik2", dia memulakan bicara.

"Kenapa", saya bertanya.

"Nak ceritalah dengan akak. Banyak dalam kepala ni nak cerita," katanya sambil tangannya menguli kuih. "Akak tengokla tu, kalau tak kerja bukan tahu nak tolong saya buat kuih ni....tolong goreng karipap ke, donat ke....sibuk 24jam dengan motor dia".

"Cakap la dengan dia, minta ditolong kerja2 kat dapur ni. Awak cuma tolong dia untuk cukupkan duit belanja rumah. Sepatutnya tanggungjawab dia untuk cukupkan keperluan rumah dan anak2", saya membalas.

"Dah banyak kali minta tolong kak, dah malas nak cakap. Naik sedih saya ni kenangkan nasib diri", dia meluahkan rasa hatinya.

Begitulah selalunya, dia bercerita macam2 pada saya bila sesekali berjumpa. Seperti biasa juga saya jadi pendengar yang setia. Sesekali menyampuk cakapnya, sesekali memberi pendapat, sesekali memberi nasihat.

Dalam rumahtangga, komunikasi amat penting supaya suami tahu apa kehendak isteri dan isteri tahu apa kehendak suami. Mungkin ada perkara yang tidak perlu disuarakan bila masing2 faham sendiri, tapi banyak lagi yang memerlukan interaksi di antara suami dan isteri.

Jika dulu masa bercinta, banyak sangat boleh cerita, [sampai tak dengar nasihat orang yang lebih tua] tapi bila telah sah sebagai suami isteri, mana pergi cerita2nya? Bukankah ianya sepatutnya jadi lebih banyak untuk dibual bincangkan memandangkan banyaknya tanggungjawab seorang suami dan isteri?

"Bang, beras habis....bang, barang dapur habis,.....bang, saya nak baju dan tudung baru, etc".

Kelihatannya remeh kata2 seperti itu, tapi percayalah, jika ia dibiarkan, dengan harapan pasangan tahu apa yang kurang dalam rumah, lama kelamaan, ia akan menimbulkan rasa sakit hati. Apatah lagi pada perkara2 lain yang lebih besar, jika tidak dibincangkan, kerana beranggapan masing2 tahu tugas dan tanggungjawab, maka lebih besarlah nanti masalah yang menanti.

Suami isteri kena selalu berkomunikasi. Memang kadang2 timbul suasana hangat tapi bukankah itu lebih baik daripada ianya dibiarkan begitu sahaja sehingga ia akan menimbulkan masalah besar dalam rumahtangga?

Perbezaan pendapat itu biasa, maklumlah asalnya suami isteri itu adalah dari latar kehidupan yang berbeza, bersatu mengikat janji untuk mengharungi hidup berkeluarga bersama2.

Terimakasih ayah kerana sentiasa berusaha untuk mewujudkan pelbagai cara komunikasi dalam kehidupan kita sebagai suami isteri dan dengan anak2 kita juga....

Tuesday, July 1, 2008

Umi dah tua...

Kami dalam perjalanan ke satu destinasi, bila tiba2 abang melontarkan pertanyaan," Betul ke umur umi...........tahun?"


"Betul. Kenapa?"

"Umi dah tua laa...". Saya dan suami hanya senyum.

"Mi, ari tu masa kita jumpa Rabiatul kat Pasar Tani, dia ingat umi muda lagi sebab suara umi dalam telefon dia kata macam suara orang muda", kakak mencelah. "Rupanya umur umi sama dengan umur mak dia", kakak menambah.

"Betul la umi dah tua, tapi umi kena rasa umi ni muda....".

"Kenapa?", abang mencelah.

"Sebab umi nak jaga kakak, abang, dik Yam. Anak2 umi kan masih belum dewasa, jadi umi kena kuat macam orang muda. Bukan anak2 umi je umi nak jaga, ayah pun umi kena jaga tau!", suami saya ketawa mendengar lawak spontan, anak2 juga ketawa.

"Ayah pun umi kena jaga?", abang lurus melontarkan soalan.

"Ya...", saya sekadar mengiyakan, sambil menjeling suami yang masih belum hilang senyumnya.

Begitulah manusia bergelar ibu. Banyak peranannya dalam sebuah rumahtangga. Ada seorang kaunselor berkata, ibu adalah tunggak kepada sebuah keluarga. Dia kena kuat emosi dan jasmaninya untuk melaksanakan tanggungjawab yang terpikul di bahunya.

"Tak best la umi dah tua, nanti umi mati dulu", abang menyambung kata2nya.

"Takpe umi mati dulu. Sebab tu umi nak abang jadi orang soleh supaya abang boleh doakan umi bila umi mati nanti", jawab saya. Suami hanya mendengar. Abang pun diam. Sedih barangkali.

Bila balik kampung, emak tiada di rumah, mungkin pergi kenduri rumah jiran atau ada hal lain di kampung, memang terasa kekurangannya. Walaupun kadang2 kita hanya pendengar yang setia pada cerita2nya, tapi hati rasa senang dengan adanya dia depan mata.

Seorang ibu banyak tugas dan tanggungjawabnya. Pengalaman melahirkan anak2, membuat saya lebih menghargai pengorbanan emak, terutama dalam kepayahannya membesarkan kami 12 adik beradik dalam keadaan serba kekurangan. Begitu juga suami, melihat saya melahirkan anak2 juga membuat dia lebih menghargai pengorbanan ibunya.

Kita pasti ingat akan hadis2 Nabi saw yang mengingatkan kita bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu dan seorang anak itu wajib mengutamakan ibunya bebanding bapanya sekiranya kedua berkehendak sesuatu.

Besar sungguh peranan ibu, jika tidak, masakan Nabi saw menyebutkan dua hadis di atas sebagai ingatan kepada umatnya.

Berjayakah saya menjalankan tugas sebagai umi kepada anak2? Hanya kepada Allah saya mengharapkan ada kekuatan untuk menjadi umi yang di tapak kakinya ada syurga dan dipatuhi serta ditaati oleh anak2nya..........