Tuesday, March 31, 2009

Kisah Anak2 (3)


"Umiii.......tengok ni umi, Allah dah tumbuhkan bunga adik!!", dik Yam menjerit kegirangan melihat bunga orkidnya telah berkembang. Saya sedang menyidai kain berhampirannya.

"MasyaAllah...cantiknya bunga adik ye?", saya membalas walaupun saya telah melihatnya terlebih dahulu sebelum dik Yam perasan.

"Sapa yang tumbuhkan bunga, umi?"

"Allah. Allah Maha Hebat dan Maha Berkuasa untuk hidupkan bunga dik Yam".

"Umiii.......tengok, bunga kuning adik pun Allah tumbuhkan!", jerit dik Yam sekali lagi.

Saya menoleh ke kiri, subhanallah, bunga alamanda yang telah saya tanam hampir dua tahun lepas telah berbunga rupanya, sedangkan beberapa hari sebelum itu saya bercadang hendak mencabut sahaja pokok tersebut. Astaghfirullah...siapalah saya yang hendak memandai2 membuang bunga tersebut andai ia tidak berbunga, sedangkan Allah lah yang Maha Berkuasa untuk menghidup dan mematikan!!!.

Apa yang ada di sekeliling kita sebenarnya merupakan bahan tarbiyyah untuk mendidik kita dan anak2. Kita diajar di sekolah bahawa tanda Ada nya Allah itu adalah dengan adanya alam ini. Jadi apa sahaja yang ada, sebenarnya amat mudah untuk kita mengajak anak2 untuk merasai Kehebatan, Kebesaran, Kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta.

Setiap anak kami mempunyai kecenderungan yang berbeza. Kakak terlebih dahulu mengenal warna di sekeliling sewaktu kecilnya. Jadi saya mengajaknya merasai Maha Penyayangnya Allah itu dengan menjadikan tumbuh2an di sekeliling kita dengan warna hijau yang menyejukkan pandangan. Abang suka berfikir dan bertanya. Saya dan suami kena sedia dengan jawapan yang betul dan mudah pada setiap soalannya terutama jika kami dalam perjalanan ke satu2 destinasi. Andai dia tidak puashati, dia akan bertanya dan bertanya lagi. Adik Yam adalah kombinasi kakak dan abang. Kadang2 letihnya kami berdua menjawab soalan yang ditanya, tapi banyak yang dia tahu jika dibandingkan dengan umurnya. Subhanallah.

Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan orang-orang yang merasai Ihsan di hatinya, iaitu seolah2 kami melihat-Mu atau jika tidak demikian, merasai bahawa Engkau melihat kami pada setiap gerak geri, tingkah laku dan perbuatan. Amin

Wednesday, March 18, 2009

Cabaran

Saya baru habis membaca buku "Travelog Seorang Da'i" tulisan ustaz Abdul Rahman Mohamed. Beliau menetap di Singapura sejak kecil. Kehidupannya penuh dengan dugaan dan ujian sebelum dan selepas menjadi pendakwah sehingga kini. Semuanya adalah himpunan kisah2 yang mengusik hati dan perasaan bagi yang membacanya, apatah lagi bagi beliau yang melaluinya. Memang, sungguh besar cabarannya bagi sesiapa yang berdakwah @ yang hendak menyampaikan kebenaran walaupun kecil dan sedikit.

Melalui pengalaman sendiri yang sedikit ini, cabaran pasti ada jika sesuatu yang kita hendak lakukan itu matlamat akhirnya nanti adalah untuk mendapat redha Allah. Cabaran itu datang dari luar dan dalam diri kita sendiri.

Kalau dari luar, biasalah, cakap2 orang yang sering melemahkan semangat atau kata2 yang tidak menyokong usaha kita. Bila ini berlaku, kita mula berperang dengan perasaan sendiri...betul ke apa yang aku buat ni? Takpe ke buat macam ni? Ada ke orang nak dengar ni?....dan pelbagai macam persoalan dalam kepala, yang seringkali menimbulkan ketegangan dalam diri dan orang terdekat.

Ketika itu, hanya Allah tempat kita mengadu dan berdoa agar semuanya berjalan lancar...dan tiada apa lagi yang boleh disebut selain dari puji2an kepada-Nya andai apa yang berlaku adalah lebih baik dari apa yang kita jangkakan...Subhanallah.

Pengajaran yang kita dapat dari semua itu - jangan peduli apa orang kata jika apa yang kita hendak lakukan itu kita pasti ada manfaatnya untuk kita dan orang lain. Jangan tangguhkan kebaikan yang kita hendak lakukan, bimbang jika kita tidak sempat melakukannya.


Sunday, March 15, 2009

Cuti

Abang posing

Adik pun sama...

Dalam kesibukan suami dengan PhDnya, dia sempat membawa saya dan anak2 ke Shah Alam awal cuti sekolah Sabtu yang lepas. Kami menginap di Hotel Uitm, selesa, anak2 amat seronok kerana ianya luas.
"Lain kali ayah sewa hotel ni lagi ye, abang suka sangat sebabbiliknya besar", biasalah anak lelaki kami, paling pandai membodek ayahnya.

"InsyaAllah, abang do'alah kat Allah next time kita dapat bercuti lagi dan sewa hotel ni", ayahnya menjawab.

"Ye...", balas abang sambil berbaring di atas katil.

Pemandangan di Taman 4 Musim


Satu pemandangan indah yang lain


Sebelumnya kami ke Taman Bukit Cahaya Seri Alam. Masa saya belajar dulu dipanggil Bukit Cerakah. Kami hanya melawat ke Taman Iklim Sederhana Empat Musim. Sekarang ni awal musim bunga, suhu 7-12 darjah Celcius. Subhanallah...cantiknya bunga2 yang sedang berkembang. Bayaran masuk amat berpatutan, RM3 untuk dewasa, RM1 untuk kanak2 bawah 12 tahun.

"Yah, kita datang lagi bila musim salji, ye yah", pujuk kakak kepada ayahnya.

"InsyaAllah", balas ayahnya.

"Adik pun nak ikut! Adik pun nak ikut!", sampuk dik Yam.

"Heeee...abang dah kesejukan ni!!!", kata abang girang.

Perasaan saya? Gembira jika anak2 gembira dan seronok. Paling utama anak2 tahu semua itu menunjukkan kehebatan dan kebesaran Allah. Walaupun ia adalah buatan manusia, tetapi semuanya berlaku adalah dengan izin-Nya.

Petang kami ke KL Sentral dengan menaiki komuter. Anak2 amat seronok. Orang terlalu ramai di KL Sentral. Abang terpisah dari kami. Berderau darah bila sedar abang tiada bersama kami. Katanya dia mahu mengikut saya ke tandas bersama kakak, sedangkan saya tidak menyedarinya. Ayahnya pula sibuk dengan dik Yam yang dah mula terjerit2. Hati mula dilanda gelisah sambil tak berhenti berdoa. Subhanallah!!! Mata melilau mencari, terpandang abang sedang berdiri bersama seorang pengawal di pintu depan. Dia juga terpandang saya, berlari meluru kepada kami lalu tangisnya berderai. Ia satu pengajaran untu kami sekeluarga. Alhamdulillah....hati saya tidak putus2 memuji-Nya.

Balik hari Ahad, kami singgah di Putrajaya. Ramai sangat pengunjung. Kami bersolat jamak qasar di Masjid Putrajaya.

Sampai di rumah, hampir Maghrib. Penatnya badan hanya Allah yang tahu. Tapi anak2 seronok dan gembira nampaknya. Alhamdulillah.

Wednesday, March 11, 2009

Mahal

Saya berjaya mendapatkan beberapa t-shirt yang menepati ciri2 menutup aurat untuk anak sulung kami. Harganya boleh tahan, tapi lebih murah jika dibandingkan dari iklan2 yang ada di internet, kerana saya mendapatkan terus dari pembuatnya.

Orang kata kalau nak yang baik memang mahal. Teringat anak2 buah di kampung yang ayah mereka bekerja sendiri, rasanya tak mampu untuk mendapatkan t-shirt yang berharga sedemikian walaupun mereka juga ingin memilikinya jika boleh.

Stokin tebal buatan Syria dulu2 saya beli di pasaraya terkenal dengan jualan borong pun dah tidak terjual. Yang ada stokin nipis yang tidak menepati syarat menutup aurat buatan negeri China. Klik di internet jumpa stokin tebal yang sesuai tapi harganya kalau dulu harga sebegitu saya dapat 3 pasang stokin tebal, tapi kini hanya sepasang dan tidak termasuk belanja pos.

Pilihan di tangan kita, tapi kadang2 kena ikut bajet juga. Hairannya pakaian yang tidak menutup aurat boleh dijual dengan harga yang jauh lebih murah.

Rasanya para pengeluar baju2 yang menepati syarat menutup aurat itu kena bergabung supaya harga dapat dikurangkan dan lebih ramai pembeli boleh membelinya.

Tuesday, March 10, 2009

Adat & Kebiasaan

Cuti baru ni, ada anak saudara lelaki kami bertunang. Banyaknya persiapan dan belanja yang telah dikeluarkan untuk majlis itu. Saya dan suami hanya menggeleng kepala. Itu baru bertunang, belum lagi kenduri.

Balik dari rumah bakal besan, sekali lagi saya menggeleng kepala bila suami saya bercerita. Sejumlah wang hantaran yang agak besar nilainya disebut oleh bapa si gadis dan ia tak sepadan dengan pekerjaan anak saudara kami. Tapi kedua2 pihak setuju dengan jumlah itu.

Kami lalu mengimbau kembali majlis pertunangan kami dulu. Semuanya ringkas. Suami datang bersama ibu, kakak, kakak ipar dan abang sulungnya. Aruah abah juga simple orangnya. Suatu yang amat suami bimbang ialah jika abah akan minta wang hantaran yang besar jumlahnya. Tapi tidak rupanya.

Abah tidak menyebut pun tentang wang hantaran. Perbincangan hanya tentang berapa lama dan bila majlis akan berlangsung. Saya juga tak tahu berapa suami akan bagi sebagai wang hantaran. Cuma bila majlis hampir selesai, selepas menyarung cincin tunang (tiada pun cincin merisik), kakaknya bersalam dengan saya bersama dengan sejumlah wang.

"Berapa duit yang dia bagi tadi?", makcik saya bertanya.
"RM.......", jawab saya tanpa mengetahui apa kaitan duit itu dengan pertunangan saya.
"Oo....maknayna RM.......... la hantarannya", balas makcik.
"Oooo....macam tu ke?", baru saya tahu 'rahsia' duit yang dihulur semasa bersalam tadi.

Wang hantaran semuanya saya beri pada abah untuk majlis kenduri 4 bulan selepas pertunangan kami. Abah menghulur sebahagiannya kepada saya sewaktu saya hendak 'berpindah rumah' mengikut suami 3 hari selepas pernikahan kami.

Perkara ini sering mengundang gurauan antara saya dan suami. Kami berdua memang 'jahil' tentang adat. Apa yang kami tahu, kami nak nikah. Itu je. Lain2 tak pernah masuk dalam perbincangan kami sebelum bernikah.

Selepas berkahwin, baru saya tahu pihak perempuan secara adat kebiasaannya akan membalas lebih dua dulang daripada bilangan dulang hadiah dari pihak lelaki. Hehe...gitu rupanya!! Saya pun tak ingat berapa dulang saya beri pada suami dan berapa suami beri pada saya. Semua tu tak penting bagi kami. Kami masing2 tidak tahu pun apa barang hantaran yang kami akan dapat. Kami tidak berbincang apa yang kami nak beri sebagai hadiah. Kebiasaannya bagi bakal pengantin akan keluar bersama untuk mencari barang2 hantaran. Kami tidak begitu. Terpulang kepada kami berdua apa nak beri sebagai barang hantaran.

Kami tidak bersanding. Selepas bernikah kami berdua turut melayan rakan2 yang datang. Saya sedang berdiri di sebelah emak bila seorang rakan emak bertanya, "Mana pengantinnya?", sambil dia bersalam dengan emak dan saya. Emak kata,"Ini lah pengantinnya". "Oo..ye ke?", katanya dalam keadaan tersipu. Saya pasti dia tidak menyangka bahawa sayalah pengantinnya.

Bagi pihak keluarga kami berdua, majlis perkahwinan kamilah yang paling simple. Semuanya kehendak kami yang tidak mahu berlebih2an sehingga berlaku pembaziran. Saya ada rakan2 yang hantaran tinggi tapi dikongsi berdua. Bimbang jika ini berlaku, ia hanya untuk dibangga2kan sahaja.

Apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua2nya ada peranan masing2. Dan anak2 adalah buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Ya Allah, berkatilah kehidupan kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.

Aku, Suami dan Ph.D

Tahun ini masuk tahun ke-12 perkahwinan kami, dan sepanjang tempoh itulah saya surirumah sepenuh masa. Jemu? Adakalanya jemu datang bertamu. Maklumlah hampir boleh dikatakan rutin yang sama dilalui. Mujur saya ada rakan2 rapat lain dan kami sering bertemu untuk berbincang tentang banyak perkara, di samping tusyen bersama anak2 rakan2 tadi. Ia sedikit sebanyak mengurangkan rasa jemu tersebut.

Suami mengajak saya menyambung pelajaran bersama2 dan mencadangkan saya bekerja selepas habis Master dan dalam masa yang sama dia juga tamat Ph.Dnya. Saya bukan seorang yang bercita2 tinggi. Rasanya cukuplah ijazah yang saya ada, walaupun ada orang kata 'cuma simpan kat muzium je ijazah tu..'. Rasanya saya juga dah tak mampu nak belajar seperti dulu, tambah umur makin meningkat. Paling utama, saya tak boleh nak tinggalkan anak2 walaupun adakalanya kerenah anak2 yang sedang membesar amat mencabar kesabaran. Saya tak mampu hendak membiarkan anak2 berkorban untuk saya. Pendek kata, saya tak boleh hidup tanpa anak2!!!

Ada kenalan perempuan yang menyambung belajar ketika anak2nya sedang membesar. Saya amat bersimpati dengan anak2nya. Seorang bapa yang boleh memasak, mengemas dan melayan anak2 tidak sama dengan seorang ibu. Percayalah. Anak remaja lelakinya memberontak-tidak mahu mendengar nasihat dan teguran si ayah, ponteng sekolah, keluar malam- walaupun sebelum itu dia adalah pelajar yang pintar dan cemerlang.

"Abang tak boleh hidup tanpa umi. Orang lain tak jaga abang macam umi jaga abang", itu luahan hati anak ke-2 kami, sambil memeluk pinggang saya, ketika dia baru pulang dari berhariraya tahun lepas bersama2 keluarga kakak saya. Luahan hati yang tulus dari seorang anak untuk ibunya.

Suami saya masih ada dua tahun lebih untuk Ph.Dnya. Semoga Allah mengizinkannya menamatkan Ph.Dnya dengan kejayaan. Amin. Sebagai isterinya, saya tidak pernah berhenti berdoa. Saya setuju dengan tulisan Prof. Dr. Hj. Muhd. Kamil Ibrahim dalam TDMHE, "Pergantungan kepada Allah adalah kunci kekuatan dalaman seorang insan. Ph.D adalah satu perjuangan. Perjuangan yang memerlukan ketabahan dan kekuatan dalaman yang luar biasa..." Lalu di setiap ketika, doa dan harapan sentiasa dipohon kepada-Nya.

Saya tahu, ada kalanya dia sedikit stress dengan apa yang dilaluinya sekarang. Selalu saya katakan padanya, dia bebas untuk ke Shah Alam bila2 masa pun dan jangan dibimbangkan tentang saya dan anak2. Suami menukar kereta kedua kami yang sering rosak dengan yang lebih baik untuk kemudahan saya bergerak jika dia ke Shah Alam. Saya tidak mahu menyusahkan hatinya. Saya mahu dia tenang untuk menamatkan Ph.Dnya. Mujur dia seorang yang tenang, dia masih boleh senyum setiap kali melangkah masuk ke rumah walau penat...saya yang kadangkala 'dah tak boleh senyum' dek kepenatan dengan kerja rumah dan anak2!!

Perkahwinan-satu ikatan yang kompleks kerana ia menyatukan dua manusia yang berbeza latar belakang. Tapi ia boleh menjadi sebuah kehidupan yang bahagia jika ada persefahaman dan tolak ansur dari kedua2 pihak. Semoga Allah memberkati kehidupan kita bersama anak2, yah.