Sunday, September 21, 2008

Berbuka bersama


Semalam, 20 Ramadhan 1429, ada majlis berbuka bersama anak2 usrah. Kali kedua untuk bulan Ramadhan tahun ini.

"Makcik Ita, saya dah masuk juzuk 20," ceria Farah berkongsi kegembiraannya.
"Oo ye ke? Alhamdulillah, makcik Ita pun tak sampai situ lagi," Farah senyum mendengar pengakuan saya.
"Yang lain2 dah habis baca juzuk yang makcik Ita bagi? Fatin? Syahmin? Athirah?," saya menyebut beberapa nama.
"Dah, makcik Ita," hampir serentak mereka menjawab.
"Alhamdulillah. Tapi teruskan membaca kerana al-Qur'an semakin kita membacanya kita tidak akan berasa jemu. Tak apa jika kita khatam berkali2 pun. Jangan kita buat pulut kuning bila kita telah khatam membacanya, tapi lepas tu kita tutup dan terus melupakan al-Qur'an, kerana al-Qur'an itu apa, Nadirah?,".
"Panduan hidup kita," jawab Nadirah yakin.
"Betul".

Saya memberikan mereka juzuk2 untuk dibaca sepanjang Ramadhan kepada anak2 ini seawal pertengahan Syaaban untuk dibaca bersama2 ibu/bapa mereka. Alhamdulillah, mereka amat seronok untuk membacanya terutama Farah. Farah berada dalam Darjah 3, tinggal bersama datuk saudaranya di sini bersama dengan kakak sulungnya. Anak yang cerdik dan mudah untuk mendengar nasihat. Malangnya punya ibubapa yang hanya sibuk mencari wang kesana-sini hingga tak punya masa untuk anak2nya. Mujur datuk dan nenek saudaranya amat prihatin soal didikan agama, maka mereka tidak dibiarkan begitu sahaja. Cuma saya agak sedih, tahun depan mereka akan tinggal semula dengan ibubapanya. Nenek saudaranya yang juga kakak angkat saya sering tidak sihat, dia tak mampu lagi untuk menjemput dan menghantar mereka ke sekolah. Berat keputusan itu, tapi apalah dayanya...

Mak Andak menyentuh tentang malam al-Qadar.
"Malam yang lebih baik dari seribu bulan jika kita isi malamnya dengan beribadat," ramai2 mereka menjawab bila Mak Andak mengajukan soalan apa itu malam al-Qadar.
"Berapa tahun seribu bulan tu?"
"83 tahun 4 bulan," pantas Farzana menjawab.
"Siapa yakin dia rasa dia boleh hidup selama itu?"
"Saya," Athirah mengangkat tangan.
"Tapi mampukah kita beribadah sepanjang umur itu, tanpa ada kecuaian?"
"Takkk...," ramai2 mereka menjawab serentak.
"Kenapa?"
"Kerana kita sentiasa berperang dengan hawa nafsu," Azam dan Zubair menjawab serentak.
"Betul, kita manusia ni sentiasa berperang dengan hawa nafsu. Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini adalah masa kita untuk mendidik hawa nafsu supaya patuh dan tunduk kepada Allah. Kenapa?"
"Bulan Ramadhan Allah ikat syaitan,"jawab Insyirah.
"Jadi?," Mak Andak menduga Insyirah.
"Allah nak tengok kita boleh tak kawal hawa nafsu kita untuk terus taat kepada-Nya dengan melakukan perkara yang Allah suruh dan tinggalkan perkara yang Allah larang, tanpa ajakan dan godaan dari syaitan," panjang Insyirah menjawab.
"Betul. Kalau di bulan Ramadhan kita masih melakukan perkara2 yang Allah tak suka, bermakna 11 bulan sebelum ini syaitan berjaya mendidik kita. Tapi tengoklah, Maha Pengasihnya Allah, Ramadhan Allah beri pada kita untuk kita bersihkan hati dan jiwa kita dari terus lalai dan leka dengan keseronokan. Puasa kita bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia mengajak kita untuk terus taat dan patuh kepada Allah."

Itulah anak2. Setiap ketika kena sentiasa diingatkan. Mungkin ketika mereka belum dewasa ini mereka belum memahami sepenuhnya apa yang diajarkan, tetapi ia tetap menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa/guru untuk terus mengajak mereka memahami ajaran2 di dalam Islam, tanpa jemu. Kita mengharapkan mereka akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat dan menjadi pembela agama Allah di dunia ini.

Wahai Tuhan kami, kuniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan anak-anak kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa - al-Furqan, 74.

1 comment:

aliya said...

Oh bestnyer kalau ada anak kecil, best juga kalau masih berbulan madu, hehehee.. semoga semakin dekatnya syawal,semakin banyak amal yang kita lakukan keranaNya..