Thursday, March 7, 2013

Nostalgia : Aku, Suami dan PhD (2)

27.10.2011 kira2 pukul 4.05 petang, suami menelefon, "Alhamdulillah, mi, tesis ayah diterima dengan 'minor corrections'. Terimakasih sebab umi selalu doakan ayah...ok mi, dah dulu, ayah sebak".

Dia tidak tahu, aku juga sebak dihujung talian satu lagi.

"Ayah solah sunat dulu sebelum bertolak balik. Supaya hati tenang", aku menghantar mesej. Lalu aku sendiri berwudhu' untuk menunaikan solat sunat dan sujud syukur. Airmata tidak berhenti mengalir...hanya Allah yang tahu perasaan ini.

(Sebenarnya, sepanjang hari itu aku sebak...kerana aku mengingatkan diriku, bukankah lebih baik jika kebimbangan dan kerisauan ini adalah kerana takutkan-Nya? Bimbang apa akan Allah nilai aku saat aku menghadap-Nya di hari pembalasan nanti? Kenapa aku perlu bimbang dan risau kepada ganjaran dunia sedang belum pasti lagi ia bernilai di sisi-Nya?. Aku memohon keampunan-Mu, ya Allah)

"Terimakasih, mi. Umi banyak berkorban untuk ayah sepanjang pengajian ini", mesej baru ku terima. Aku tidak membalas mesejnya kerana dia juga banyak berkorban untuk kami. Segala kemudahan untuk aku dan anak2 disediakan walaupun dia sibuk belajar. Sakit pening, makan minum aku dan anak2 tetap diambil tahu. Ajakannya supaya kami membesarkan Allah tetap tidak dilupa. Dia sentiasa mengambil tanggungjawab terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepadaku andai dia benar2 tidak mampu melaksanakannya - itu pun dengan berkali2 kemaafan diminta dariku. Apa lagi yang aku mahu rungutkan?

3 tahun bukan satu tempoh pendek untuk menjaga perasaan sendiri supaya sentiasa mampu meniupkan semangat untuk suami tercinta yang sedang berjuang untuk PhDnya. Hanya Allah tempat memohon kekuatan.

Kami telah berbincang, di awal suami mahu melanjutkan pelajaran - PhD bukan matlamat. Ia hanya alat untuk menjadikan kami manusia yang hampir kepada Allah. Bukankah ilmu Allah amat luas? Ilmu yang ada pada kita hanya seumpama air yang melekat di hujung jari kita jika kita celupkannya di lautan...sedang tujuh lautan itu pun andai kering untuk menulis apa yang Allah miliki, ia masih belum cukup lagi untuk menulis semuanya. Masih mahu sombong dan takburkah kita dengan ilmu yang sedikit itu?

Di tahun ketiganya, aku sering mendesak supaya dia menyudahkan PhDnya 'on time'. Bukan aku tidak lagi mampu bertahan untuk menyokongnya, tetapi, "Yah, banyak lagi kerja yang kita kena buat, yah. Setiap kali, ada saja kerja2 baru menanti kita untuk menolong agama Allah ni, yah".

"Ye, mi. Ayah akan cuba. Umi terus doakan ayah, ye", itulah yang sering diucapkan setiap kali aku mengingatkan tentang masa yang tinggal. Aku tidak pernah memungkiri janjiku untuk mendoakannya setiap masa dan di mana sahaja setiap kali aku teringatkannya. Lalu Allah lah sebaik2 tempat mengadu.

***************

( PhD suamiku telah tamat secara rasminya pada 12 Mei, 2012. PhD bukan segala2nya. Ia kenangan sepanjang hayat untuk kami. Allahu akbar....bantulah kami untuk menjadi hamba-Mu yang dapat membantu agama-Mu. Bantulah kami menghindari fitnah dunia. Berilah kami kekuatan, ya Allah!)  

Monday, March 4, 2013

Allah bayar 'cash'

Kakak suka bercerita setiap kali ada pengalaman baru. Sepanjang jalan balik dari menjemputnya di asrama, pasti ada cerita menarik untuk dikongsi. Biasanya kami akan respond kepada cerita2nya itu ke arah yang positif....kami mahu anak2 ceria dan gembira....bukan anak2 yang berfikiran negatif dan pesimis.

Balik baru ni, kakak bercerita. Satu hari tu, kakak haus sangat bila habis kelas petang. Jadi kakak beli aiskrim yang Makcik Zam buat dan jual. Sampai di kantin, ada pula anak makcik kantin kat situ...dia tengok aiskrim kakak. Alamak...kakak haus sangat ni...adik tu pula OKU...kakak rasa tak patut la pula kakak pentingkan diri sendiri. Kakak tanya pada makcik kantin tu, adakah adik ni boleh makan aiskrim yang kakak beli, makcik kata boleh. Jadi dengan separuh hati kakakpun bagilah kat adik tu. Makcik tu senyum kat kakak lalu menghulurkan RM1. Kakak tolak sebab kakak kata kakak ada duit. Makcik tu kata tak apa, ambil je, pegi beli aiskrim untuk awak pula. Tapi aiskrim tu 20 sen je, kakak keberatan mengambilnya. Tapi akhirnya kakak mengalah juga lalu mengambil dan mengucapkan terimakasih kepada makcik kantin tu.

"Kakak tahu sebab apa makcik bg RM1? Sedangkan Allah kata satu kebaikan balasannya sepuluh?", ayahnya sengaja menduga.

"Entah...tapi kakak dah ikhlaskan hati bagi adik tu aiskrim kakak".

"Sebab mula2 kakak rasa berat, kan...jadi kakak hanya separuh hati je masa tu, bukan sepenuh hati. Tapi Allah balas juga kebaikan kakak tu", sambung ayahnya.

"Allah bayar cash ye, yah!", kakak menambah.

"Ye...sekarang ni, banyak yang Allah bagi balasan masa tu juga. Jadi kita kena sentiasa berhati2 kalau kita nak buat jahat...Allah sentiasa melihat dan Maha Mengetahui", nasihat ayahnya.

"Ye lah, yah....".

Tidak rugi kita memberi, kerana ada banyak lagi pemberian Allah untuk kita yang adakalanya tidak kita minta tetapi Allah beri juga. Sesungguhnya Allah lah Pemilik segala2nya. Mintalah apa sahaja kebaikan daripada-Nya.