Wednesday, June 29, 2011

Barang Berharga

Suatu ketika, rumah seorang teman rapat di Shah Alam dimasuki pencuri. Ketika saya berkesempatan mengunjunginya beberapa hari selepas peristiwa itu, saya telah bertanya kepadanya, "Ada barang berharga yang pencuri tu dapat ambil, kak?".

Teman saya menjawab,"Tiada yang lebih berharga daripada iman dan Islam, Ta. Akak tak sedih pun dengan apa yang pencuri tu ambil".

Peristiwa itu berlaku lebih sepuluh tahun lepas, tetapi kata2nya masih saya ingat. Amat benar apa yang disebutkan oleh teman itu....tiada yang lebih berharga dari nikmat iman dan Islam.

Kepada anak2, kami selalu kongsikan kata2 itu. Tidak berguna hidup jika tiada iman dan bukan Islam yang menjadi cara hidup. Ketiadaan kedua2nya dalam hidup pasti menjerumuskan manusia ke dalam tempat yang paling dahsyat iaitu neraka. Na'uzubillah.

Kepada anak2 juga kami selalu ingatkan, tiada gunanya hidup jika tidak kenal Allah, Rasul-Nya dan Islam dan ianya merupakan kejahilan yang paling bahaya.

Apa yang disebut sebagai jahiliyah adalah apabila kita menolak Allah sebagai Rabb(Tuhan) dan Illah(sembahan), menolak Rasulullah sebagai contoh teladan serta menolak Islam sebagai cara hidup.

Dalam dunia serba materialistik hari ini, segala2nya diukur mengikut acuan material...seolah2 hidup tidak bahagia jika tiada harta, pangkat, kedudukan dan seribu satu macam habuan dunia yang tiada nilai sedikit pun di sisi Allah. Masa banyak dihabiskan untuk memuaskan hati dan nafsu semata2....hinggalah tanpa disedari rupa2nya nyawa telah hampir untuk diambil kembali...

Selalu kami bercakap kepada anak2, Islam bukan setakat menunaikan Rukun Islam yang lima. Islam adalah cara hidup kita. Apa guna suka bersedekah jika rasuah? Apa guna berjaya dan berkedudukan jika tidak cinta kepada ibubapa? Kenapa masih melakukan perbuatan keji dan mungkar walaupun sembahyang lima waktu tak tinggal? Kenapa masih tidak menjaga aurat dan batas pergaulan walaupun rajin berpuasa? Soalan2 ini yang sering kami sebutkan kepada anak2 supaya mereka memahami bahawa Islam berada bersama2 dengan kita dalam setiap keadaan.

Orang selalu kata,"Dia bagus orangnya, sembahyang lima waktu tak tinggal...puasa tak pernah ponteng...". Bukankah sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan Rukun Islam yang lain itu memang WAJIB dilaksanakan dalam kehidupan kita? Jika Rukun Islam dilaksanakan tetapi AKHLAQnya buruk, bolehkah kita mengatakan dia orang yang baik? Jika begitu, bermakna Islam masih belum menjadi cara hidupnya kerana Rasulullah itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq mengikut acuan Allah bukan mengikut hawa nafsu manusia.

Islam kena difahami dan dipelajari sebagaimana Rasulullah mengajar para sahabat. Susah untuk memahami Islam dengan hanya membaca buku atau ceramah2 bebas, sebagai contoh. Ia kena ada perbincangan dalam kelompok2 kecil yang biasanya kita panggil usrah.

Islam susah difahami dengan hanya adanya dakwah. Ia mesti ada DAKWAH dan TARBIYYAH (pendidikan). Hati perlu dididik untuk memahami dan menerima Islam.

Islam bukan hanya untuk ustaz dan ustazah. Saya mengenali ahli arkeologi, arkitek, akauntan, doktor, peniaga berjaya, kerani,orang biasa2 ....yang kenal Islam, yang berdakwah dan mendidik manusia supaya kenal Allah, Rasul-Nya dan Islam...MasyaAllah!

Thursday, June 16, 2011

Lupa

"Kenapa ayah beli kelapa?".

"Kan umi pesan tadi beli kelapa".

"Ye ke? Umi rasa umi sebut roti untuk anak2!".

"Betulll...umi sebut kelapa. Mungkin dalam fikiran umi ingat roti, tapi tersebut kelapa masa beritahu ayah".

Hmm...betullah dah tua saya ni. Ini bukan pertama kali ingat lain tersebut lain. Banyak kali.

'Kehidupan bermula di usia 40'- itu yang biasa kita dengar. Ia benar dalam konteks kehidupan di 'sana', saya rasa. Usia 40 sepatutnya menjadi satu 'turning point' untuk kita lebih serius memikirkan kehidupan selepas mati. Cuma ujian keduniaan di usia 40an biasanya lebih...misalnya kedudukan dalam jawatan mula menuju ke puncak, maka akan sibuklah kita dengan perkara yang berkaitan dengan jawatan. Atau di waktu2 itu anak2 juga semuanya sedang bersekolah, maka suri rumah macam saya ni pun jadi sibuk juga memikirkan hal anak2.

Sibuk. Sibuk. Sibuk. Sibuk jadi alasan untuk kita mengurangkan tumpuan kita kepada kehidupan selepas mati. Sedangkan, seperti yang selalu diingatkan, masa yang tinggal untuk kita hidup semakin pendek...tetapi bersungguh2kah kita untuk mencari redha-Nya dalam setiap urusan kehidupan dalam sisa usia yang tinggal?.

"Umi pakailah macam dalam iklan tu, supaya umi nampak muda. Nanti kawan2 umi pun tak kenal umi", usik anak2 bila saya selalu mengingatkan mereka yang saya ni dah tua dan kerap tersasul bila menyebut sesuatu. Saya tahu anak2 kami hanya bergurau.

Ya Allah, bantulah kami dalam urusan dunia kami. Sibukkan kami dengan urusan untuk mencari redha-Mu bukan urusan yang menjauhkan kami dari-Mu. Berkati kehidupan kami, di dunia dan akhirat. Jauhkan kami dari azab api neraka. Ameen, Ya Allah.

Tuesday, June 14, 2011

Cinta dan Kasih Sayang (5)

"Ayah rindu umi, la".

"Kenapa? Kan kita ada bersama?".

"Rindu untuk bercakap dan berbincang banyak perkara macam dulu. Ayah rasa sejak akhir2 ni ayah sibuk sangat dengan study ayah...sampai takde masa nak sembang dan bincang banyak dengan umi".

"Alaa...umi tak kisah ayah sibuk dengan study ayah. Umi cuma boleh bagi semangat, umi cuma boleh dengar apa yang ayah buat dengan kajian ayah...tak lebih dari itu".

"Tapi kesian umi dan anak2....".

Memang pun, waktu2 terakhir sebelum suami menamatkan tempoh pengajiannya sekarang, dia memang sedikit sibuk. Jika ada pun waktu kami selepas anak2 ke sekolah, kami bersarapan berdua. Selepas itu suami akan meneruskan kerja2nya di hadapan komputer dan saya dengan kerja2 rumah yang sedia menanti.

Sebagai isteri, seboleh2nya saya tidak mahu membebankan suami dengan permintaan atau perhatian yang berlebih2an. Cukup sekadar apa yang ada, kerana saya tahu, walaupun kami kurang berkomunikasi oleh kerana kesibukannya itu, saya dan anak2 tidak kehilangan kasih sayangnya. Saya dan anak2 sentiasa diambil berat olehnya.

Kita ada Allah Yang Maha Mendengar. Kadang2 saya rasa beratnya pengajian yang sedang suami lalui sekarang. Siapa lagi untuk saya bermohon kalau bukan kepada-Nya. Saya juga selalu berharap saya tidak menyusahkannya.

Kasih sayang dan rasa cinta di antara suami isteri dan anak2 kena sentiasa dipupuk. Bukan tiada ujian dalam rumahtangga, tetapi doa dan harapan yang dipohonkan dari-Nya tidak boleh berhenti.

Memetik dari tulisan Saudara Pahrol Mohamad Juoi tentang perkahwinan. Katanya, perkahwinan hakikatnya bukan hanya penyatuan fikiran, perasaan dan badan sahaja, tetapi ia adalah penyatuan hati. Hati pula rencam sifatnya dan sering berubah2. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk menyatukan hati sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Anfal : 63 yang bermaksud, "Jika kamu membelanjakan segala yang ada di bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi Allah jualah yang menjinakkan hati antara hati2 mereka". Jangan hanya memikirkan tentang kecantikan, kekayaan dan keturunan untuk mencapai kebahagiaan dalam rumahtangga. Tanpa iman, segala2nya boleh bertukar menjadi bencana.

Setiap dari kita pasti mengharapkan rumahtangga yang bahagia. Niat dan asas yang benar semasa mendirikan rumahtangga dulu adalah penentu kebahagiaan di masa akan datang. Hanya kepada Allah kita mengharapkan pertolongan.