Wednesday, March 30, 2011

Surat Untuk Adik2 Perempuanku (8)

Assalamualaikum wbt, adik2 yang aku ingati dan rindui selalu. Lima bulan aku tidak menulis untuk kalian. Namun percayalah, doa dan ingatan untuk kalian sentiasa ada. Doa agar kalian sentiasa menjaga akhlak dalam setiap tindakan yang dilakukan. Apa yang baik adalah apa yang Allah kata baik, bukan apa yang orang ramai lakukan.

Adik2ku, kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang Rasulullah saw sebut dalam hadisnya yang bermaksud - Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. Allah menegaskan lagi dalam Surah al-Hajj:41 yang bermaksud - Orang2 yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, mencegah dari perkara mungkar dan kepada Allah lah kembali segala urusan.

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang keran ia adalah buah dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak seperti yang Allah dan Rasul-Nya kehendaki. Baginda bersabda yang bermaksud - Bukanlah iman itu hanya dengan cita2 tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.

Adik2 yang aku sayangi kerana Allah, di dalam Islam, akhlak yang mulia lahir sebagai hasil dari ibadah yang dilakukan. Adik2 pasti ingat tentang maksud ayat Qur'an ini - Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari berbuat perkara keji dan mungkar - Al-Ankabut :45. Ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud - Sesiapa yang sembahyang tetapi tidak dapat mencegah dirinya dari berbuat keji dan mungkar, dia akan bertambah jauh dari Allah. Begitu juga dengan ibadah2 lain seperti puasa, haji, zakat yang kita lakukan, jika ia adalah buah dari keimanan tadi, maka ibadah2 ini akan mampu membentuk akhlak baik dalam diri kita, insyaAllah.

Adik2ku, di antara ciri2 akhlak yang sewajarnya menghiasi diri kita adalah seperti berikut :

1. Menjauhkan diri dari perkara2 yang syubahat iaitu menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara2 yang samar2 di antara halal dan haramnya.

2.
Menjaga pandangan dari melihat perkara2 yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan boleh merangsang syahwat dan boleh membawa akibat kepada perlakuan maksiat. Allah mengingatkan dalam surah An-nur:30 yang bermaksud - Katakanlah kepada orang2 mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka. Bagi wanita beriman, Allah juga mengingatkan perkara yang sama dalam ayat yang berikutnya. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, berhati-hatilah adik2ku...terlalu banyak pandangan yang boleh merosakkan hati dan jiwa kita.

3. Menjaga lidah dari menuturkan perkara2 yang tidak berfaedah, percakapan kosong, perbualan buruk dan kotor, mengumpat keji dan mengadu domba. Ingatan dari Rasulullah saw yang bermaksud - Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya api nerakalah paling layak untuk dirinya.

4.
Bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Jika kita amat-amati, kebanyakkan kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan hilangnya sifat malu...tidak malu kepada manusia lain yang melihat dan mengetahui perbuatan mungkar dan maksiat...tidak malu kepada Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Sedangkan Rasulullah saw telah menyebutkan yang bermaksud - Malu itu sebahagian dari iman. Malu adalah sifat yang menggerakkan kita untuk meninggalkan apa jua kejahatan.

5. Bersifat lemah lembut dan sabar dalam menyampaikan kebenaran.

6. Bersifat benar dan jujur kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan manusia.

7. Merendah diri terutama kepada saudara2nya yang muslim dengan memberi layanan yang sama, samada yang miskin mahupun yang kaya. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud - Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur.

8. Jauhi buruk sangka dan mengumpat serta mengintai2 keburukan orang lain. Allah mengingatkan kita dalam surah al-Hujurat : 12 yang maksudnya - Hai orang2 yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari2 kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kau memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Penyayang.

9. Bersifat pemurah dan sanggup berkorban jiwa dan hartanya di jalan Allah.

10. Menjadi contoh teladan dalam setiap tingkahlaku, seperti dalam pertuturan, pergaulan, berpakaian, makan minum, ketika bermusafir, malah dalam diamnya juga ada contoh teladan yang baik.

Adik2ku, aku tidak hanya mengingatkan kalian tentang apa yang aku telah tuliskan, ia juga ingatan untuk diriku...seorang hamba-Nya yang punya banyak kelemahan tetapi bercita2 untuk menjadi insan yang baik di sisi-Nya.

Aku juga mengharapkan, kalian punya cita2 sepertiku dan beruntungnya kalian kerana kalian masih muda, belum banyak kesalahan jika dibandingkan denganku yang lebih tua dari kalian.

Doakan aku, adik2ku. Aku akan selalu mendoakan yang baik2 untuk kalian. Jumpa lagi dalam surat2 yang lain, insyaAllah. Wassalam.

Tuesday, March 29, 2011

Pindah Lagi..

Mesej masuk pagi tadi membuat aku terkedu. Mesejnya mudah, kali ini dia akan pindah lagi...nun jauh di Perlis. Sedih yang dulu sewaktu dia berpindah dari daerah sama denganku, ke daerah yang berjarak hanya dua jam perjalanan, belum pun hilang....kali ini dia makin menjauh. Jarak dua belas jam perjalanan atau mungkin lebih dari itu akan aku tempuh andai aku mahu berziarah ke sana. Allahu....

Dia salah seorang teman rapatku. Banyak yang aku dan dia kongsi bersama terutama tentang proses kehidupan yang sama2 kami lalui, lebih2 lagi tentang anak2, juga tentang bagaimana kehidupan seorang hamba Allah itu menjalani kehidupan.....perbincangan yang tidak pernah habis setiap kali kami bertemu.

Solat dan doaku panjatkan kepada-Nya... agar ada hikmah di sebalik perpindahan ini. Airmata? Aku ingin menahannya, tapi aku tidak berjaya...

Friday, March 25, 2011

SMS Tak Diundang

Sejak akhir2 ni selalu sangat terima sms yang tidak saya tunggu2 kehadirannya. Sms yang menawarkan saya untuk menonton perlakuan tidak senonoh. Tidak pernah saya respon...padamkan sahaja. Saya tidak berhajat melihat perlakuan demikian...Na'uzubillah....handphone saya pun tak canggih, cuma boleh bersms dan bercakap. Tiada kamera, apatah lagi untuk menerima gambar.

Sakit hati.

Saya perasan sms seperti ini mula saya terima selepas rakyat yang memiliki handphone diarahkan untuk mendaftarkan nombor telefon masing2, atas alasan yang saya kira sekadar diada2kan. Saya rasa seperti tertipu dengan arahan itu...Kenapa kita (rakyat) sering ditipu?

Saya selalu terfikir tentang telefon2 canggih yang dimiliki oleh anak2 remaja terutamanya...apa agaknya respon mereka setiap kali menerima sms seperti yang saya terima?

Thursday, March 3, 2011

Belajar bertanggungjawab

"Abang!...Masukkan baju2 kotor abang dalam bakul baju kotor!".

"Abang!...Tutup lampu lepas tukar baju!".

"Abang!...Kemas buku2 yang abang dah habis baca tu!".

"Abang!...Letak tuala yang abang dah guna kat penyangkut tuala tu!".

Saya rasa itu di antara dialog yang entah berapa banyak kali saya katakan kepada abang...dan ia bukan setakat empat perkara itu...banyak lagi arahan2 yang saya (terutamanya) dan suami sebutkan kepada anak2.

Semuanya bersebab. Kami mahu anak2 kami belajar bertanggungjawab kepada perkara2 asas seperti itu. Saya juga tidak suka kenyataan, "alaa...esok2 bila anak dah besar, tahu la diaorang apa nak buat". Bagi saya, kalau bukan dari kecil mahu mengajar, bila lagi? Bukankah pepatah kalau melentur buluh biar dari rebungnya amat sinonim dengan budaya Melayu?

"Anak2 umi...lelaki atau perempuan...semua kena belajar mengemas, memasak, basuh pinggan. Kalau kakak dan abang duduk asrama nanti atau bila umi takde, masing2 dah tahu apa yang patut dibuat dengan pinggan kotor, baju kotor, buku2 yang dah digunakan...", saya katakan ini selalu kepada anak2.

Saya pasti, kakak sedang mempraktikkan apa yang dia belajar di rumah dulu, di asrama sekarang.

"Kawan kakak ajar macamana nak simpan baju supaya almari tak nampak penuh", itu yang kakak kongsi dengan kami selepas sebulan dia di asrama.

"Kakak susun barang2 aksesori kakak dalam bakul kecil dalam almari supaya tak tercicir".

Sewaktu bekerja dulu, seorang rakan sekerja merungut kepada saya tentang suaminya yang suka sangat meletakkan tuala yang telah digunakan merata2. Tambah sakit hati, katanya, atas katil atau baju bersih...itu belum masuk kain pelikat atau baju2 kotornya yang 'di mana dia berdiri, di situlah letaknya kain pelikat atau baju kotornya'.

Satu lagi, saya selalu ingatkan anak2 supaya tidak memijak bantal. Kadangkala saya dapati, anak2 sesuka hati memijak bantal (terutama yang di depan tv) sewaktu berjalan. Sebab itulah saya tidak menggalakkan anak2 membawa bantal ketika menonton tv, kecuali mereka berbaring di atasnya.

Sikap seperti itu yang kami mahu elakkan ada dalam diri anak2 kami apabila mereka dewasa. Ia kelihatannya kecil, tetapi sebenarnya ia mencerminkan peribadi.

Tuesday, March 1, 2011

Emak

Sudah lebih sebulan emak (mentua) meninggalkan kami. Tetapi kesedihan masih terasa2 bagi kami berdua. Tiada siapa menyangka, 28hb Januari 2011 akan menjadi tarikh yang akan kami kenang sepanjang hayat.

Tiada siapa bersama emak sewaktu emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Emak lepas berwudhu' untuk bersolah isyak. Menantu yang tinggal bersama emak hairan, kenapa emak tak muncul2, lalu dia menjengah ke dapur tempat emak selalu berwudhu'. Emak telah tersandar di sebelah tong gas. Subhanallah. Sesungguhnya, tiada yang boleh menghalang akan kematian kita, ia tidak tercepat atau terlambat walau sedetik pun.

Cuma, ianya berlaku terlalu cepat dan tanpa kami menduganya. Rakan baik emak, tidak mampu untuk bangun dan datang berziarah kerana terlalu terkejutnya dia mendengar berita kematian emak....dia baru datang dan bersembang dengan emak selepas asar, dan menjelang isyak emak meninggal.

Terlalu banyak ujian dan dugaan hidup yang emak lalui...tapi emak sering mengulang kata2nya, "Allah nak emak lebih sabar lagi", setiap kali ujian datang satu2. Emak kematian suami di awal usia 40-an dengan anak2 seramai 8 orang, dengan anak paling kecil baru berusia 80 hari. Melalui kehidupan dengan bantuan anak2nya terutama anak keduanya. Lebih 13 tahun menjadi menantu emak, terlalu banyak kisah2 kehidupannya yang saya ketahui....dan saya pasti hanya orang seperti emak yang berjiwa kental sahaja yang mampu melaluinya! Subhanallah.

Tahun 2000 emak juga diuji. Anak bongsunya yang telah kehilangan kasih bapa sejak di usia 80 hari, meninggal di dalam kemalangan. Sejak itu, emak mula sakit2...adakalanya teruk, adakalanya tidak....sehinggalah emak meninggalkan kami.

Emak suka memuji anak2, menantu2 dan cucu2 akan setiap 'kebaikan' yang kami semua lakukan untuknya. Cuma saya pasti, saya tidak pernah 'lemas' dengan pujian emak kerana apa yang kami lakukan sebenarnya adalah tanggungjawab kami sebagai anak. Dari situ juga sebenarnya saya belajar untuk memuji dan menghargai kebaikan yang orang lain lakukan untuk saya.

Emak suka bersedekah...dan benar janji Allah, rezeki emak tak pernah putus. Emak tidak suka bermusuh. Ramainya orang yang datang berziarah jenazah emak sebagai bukti. Begitu juga ramainya orang yang bersolah jenazah di masjid sebelum emak dikebumikan.

Tiada lagi doa emak untuk kami. Tugas kami lah sekarang untuk sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana. Semoga Allah tempatkan emak di dalam kelompok orang2 yang beriman. Semoga emak damai di sana....