Thursday, February 10, 2011

Kesedihan Seorang Anak

Seorang remaja lepasan sekolah bercerita tentang kesedihan yang sedang dialaminya. Bapanya punya kekasih lain. Sibuk berpacaran, hal anak isteri tidak dihirau.

Tidak banyak yang boleh saya beri untuknya selain dari nasihat...nasihat supaya sentiasa mengadu kepada Allah, sentiasa hormatkan ayahnya (walaupun katanya cukup susah baginya sekarang ini), sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk ibunya.

Senario ini memang banyak berlaku sekarang. Kebanyakan tidak berusaha menyelesaikan masalah yang ada, tapi cuba lari dari masalah dengan mencipta masalah yang lain. Mencari orang lain yang berlainan jantina dan bukan pasangan yang sah adalah bibit2 kepada masalah yang lebih besar lagi.

Adakalanya masalah sudah boleh diselesaikan dengan kedua suami isteri itu duduk berdua, berbincang (bukan bergaduh) dengan berlapang dada dan masing2 menerima penjelasan di antara satu sama lain. Ada masalah yang suami isteri itu sahaja yang tahu dan patut tahu. Jika tidak boleh diselesaikan sendiri, carilah orang tengah yang adil dan amanah untuk sama2 dibawa berbincang. Tapi saya kira, tidak ramai orang bermasalah yang cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. Lebih parah jika orang bermasalah ini merasakan bukan dia yang ada masalah, tapi pasangannya.

Penyakit ini juga bukan sahaja melanda orang2 yang berwang, tetapi juga orang2 yang kita sendiri pun tahu ia tidak cukup pun untuk menyara anak isteri yang sedia ada. Kadang2 rasa marah pun sering bertamu di hati saya (sebagai seorang isteri, ibu, perempuan)...kenapa orang2 perempuan ni mudah sangat percaya dengan lelaki seperti ini?.

Bagimanalah hati si anak tidak sedih, dia teringat tentang masa depannya. Dia mahu terus belajar jika berpeluang, tetapi bagaimana seorang bapa yang begitu akan mengambil berat hal anak2? Sakit hatinya melihat keadaan bapanya seperti orang muda yang mabuk kepayang sedang di rumah ada anak isteri yang menunggu.

Saya susah hati setiap kali remaja ini menghubungi saya...kerana saya hanya mampu mendengar dan menasihatinya. Mudah2an kesediaan saya untuk mendengar ceritanya memberi sedikit kelegaan kepadanya.

Hanya kepada-Mu aku mohon keampunan. Allahuakbar.

Wednesday, February 9, 2011

Keluhan...

Kita biasa dengar keluhan2 dari ibubapa hari ini tentang anak2. Macam2 bentuk keluhan - tentang pergaulan, tentang kawan2, tentang pakaian, tentang perangai/kelakuan,.....

Apa usaha yang telah kita lakukan untuk mengatasi semua masalah itu? Adakah sekadar berserah dan mengatakan perkara itu lumrah dalam dunia serba mencabar ini?

Pernahkah kita mengambil tahu dengan siapa anak2 kita berkawan, lelaki/perempuan?. Sama jantina pula bukan bermakna akan kurang masalah.

Pernahkah kita menjenguk ke blog/facebook anak2? Apa yang mereka sembangkan dengan rakan2 facebook mereka?

Pernahkah kita melihat apa dalam telefon tangan anak2 yang canggih itu?

Pernahkah kita kisah dengan pakaian yang anak2 pakai?

Pernahkah kita menegur tentang akhlak/kelakuan anak2 yang tidak sepatutnya?

Pernahkah.....?.

Tiada guna kita mengeluh dengan pelbagai keluhan, jika kita tidak pernah pun mengajak dan mendidik anak2 kita untuk menjalani kehidupan ini sebagai seorang Islam.

Seorang rakan pernah bercerita, rakannya mengeluarkan anaknya yang sedang belajar di sebuah tadika Islam kerana dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan2 yang ditimbulkan oleh anaknya yang masih di tadika itu. Sayang....kenapa dia tidak berusaha untuk memahami Islam dan berusaha untuk mendidik anaknya supaya faham Islam?. Tidak mustahil, si anak juga akan menjadi seperti ibunya bila dewasa.

Mendidik diri sendiri dan anak2 untuk memahami Islam, tidak ada hujungnya. Juga tidak ada alasan. Suami dan isteri kena saling menguatkan di antara satu sama lain dalam mendidik diri dan anak2. Janganlah kita terus2an sibuk dengan urusan dunia yang tiada penghujung dan seolah tiada kepuasan yang dirasai. Sesekali bayangkan tentang kematian yang datang dengan tiba2...saat yang memutuskan kelazatan dunia....Mengeluh selepas kita berada di dunia yang satu lagi, tiada gunanya....