Sunday, January 31, 2010

Nampak muda?

Seorang teman rapat menegur, "Kak Ita ni nampak 2-3 tahun muda dari umur sebenar la..". Saya hanya ketawa. Balik rumah, saya beritahu suami apa yang teman tadi beritahu. Dengan ketawa suami membalas, "Nampak muda, tapi yang bangun pagi sakit2 kaki tu orang tak tahu". Ketawa kami berderai.

Sejak akhir2 ni selalu sakit2 badan dan sakit kaki. Puas bertanya ke sana sini apa ubatnya. Pergi jumpa doktor. Doktor pun sakit kaki,"Awak pakai stokin macam ni tak?" katanya sambil menunjukkan stokin khas yang memang sama dengan saya punya. Saya tergelak, "Sama la doktor...", doktor pun tergelak sama.

Hmm...mungkin luarannya kelihatan muda, tapi yang empunya diri yang lebih tahu kekuatan fizikal yang mula menurun. Alhamdulillah, terlalu banyak nikmat yang Allah bagi.

**************

Mak

Baru balik kampung jumpa mak. Mak nampak letih. Tapi kerana anak cucu balik, digagahkan juga. Mak dah 75 tahun. Penat membanting tulang untuk besarkan anak2. Mula sakit2 sejak abah meninggal tahun 2000. Itulah biasanya mak kita. Bila masih ada suami, semua dibuat dengan seikhlas hati, tanpa merungut. Ketaatan kepada suami tidak berbelah bagi.

Mak lebih banyak berbaring. Sesekali menyampuk perbualan saya dan adik yang juga balik bersama anak2nya. Penat berbual mak sambung tidur.

"Kalau rumah korang dekat, boleh la mak selalu datang. Tapi jauh, mak dah tak larat". Kesian mak. Bila di Ipoh teringat rumah di kampung. Bila di kampung teringat kakak yang sakit di Ipoh.

Dah beberapa hari ni mulut mak pedih bila makan pedas. Mungkin cuaca panas yang menyebabkan mulut dan gusi mak sakit. Tekak mak pahit. Kadang2 mak buat bubur.

Kesiannya tengok mak. Nak diajak duduk rumah anak2, tak mahu. Mak suka duduk rumah. Alasan yang selalu diberi,"sapa nak bagi makan kucing2 kat rumah?". Dulu masa ada ayam, alasan sama juga diberi.

Semoga Allah beri kesihatan dan ketenangan fikiran untuk mak. Ameen.

Tuesday, January 26, 2010

Istikharah

Saya tahu tentang solat istikharah sewaktu saya membuat diploma. Ketika itu, ramai senior perempuan yang sibuk memperkatakan tentangnya. Ada yang kata tak nampak apa2, ada yang kata nampak berbalam2, ada yang kata baru nak nampak dah terjaga dari tidur.....macam2. Lalu saya pun mencari maklumat tentang solat istikharah.
Hmmm...rupa2nya masing2 buat solat istikharah untuk melihat wajah siapa (lelaki) yang muncul dalam mimpi...dan dikatakan bahawa lelaki itulah bakal jodoh mereka...astaghfirullah.
Solat istikaharah adalah solat yang kita lakukan untuk memohon petunjuk daripada Allah dalam membuat pilihan. Ia bukan sahaja berkenaan soal jodoh, tetapi apa jua keputusan yang hendak kita buat termasuk juga membeli rumah atau kereta, menyambung pelajaran, dll - semuanya kita meminta pertolongan Allah untuk memilihnya. Kita hendak mencari yang terbaik bagi setiap pilihan yang kita ada.

*****************

Saya meminta tempoh seminggu kepada kakak angkat saya selepas dia memberitahu ada orang berhajat meminang saya. Selama tempoh itu juga saya bersolat hajat dan istikharah mengharap Allah membantu saya membuat pilihan yang betul. Saya boleh saja berkata setuju ketika itu, jika saya mahu kerana ada ciri2 padanya yang saya senangi. Tetapi ia tidak begitu. Saya memilih untuk 'bercakap' dahulu dengan-Nya, kerana keputusan berumahtangga bukan semudah ABC.

Setiap kali habis bersolat, saya akan membaca al-Qur'an. Ketika itu saya merasakan bahawa Allah berkata2 kepada saya. Subhanallah...Saya tidak mengharapkan saya bermimpi untuk bertemu dengannya. Saya hanya mengharapkan jawapan yang saya cari akan saya temui melalui pembacaan al-Qur'an setiap kali selepas solat hajat dan istikharah. Hinggalah akhirnya saya benar2 merasakan salah satu daripada ayat2 al-Qur'an yang saya baca itu seperti memberitahu saya apakah keputusan yang patut saya buat. Berulangkali saya membacanya dan perasaan itu juga yang saya rasakan. Subhanallah.

***************

Kami akan bersolat istikharah pada setiap keputusan besar yang kami akan buat. Kami mahu keputusan yang kami ambil adalah yang terbaik...maka sudah tentulah hanya kepada Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui tempat kami memohon petunjuk. Beruntungnya kita ada Allah.

Sunday, January 24, 2010

Cinta

Telah beberapa bulan kami tidak melihat kelibat seseorang yang dikenali. Kalau dulu, kadang2 kami melihat kelibatnya berbasikal di pekan tempat kami tinggal. Semalam bertanya dengan seorang yang juga mengenalinya. Jawapannya membuat kami termenung dan terfikir sesuatu. Kata yang mengenalinya itu, dia memang dah tak ada di tempat kami. Keluarga dan saudara mara juga tidak tahu kemana dia menghilang kerana dia pergi secara diam2. Duit dan barang2 kemasnya dibawa semuanya sekali. Cuma dengar khabarnya dia hendak berkahwin dengan orang seberang dan dia ikut ke negara seberang. Wallahua'lam. Saudara maranya juga tidak tahu hal yang sebenar apatah lagi khabar beritanya. Hanya harapan kami, mudah2an dia selamat.

Teringat kata orang2 lama....buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan....

*****************

"Saya ingat dia akan berubah bila dah beranak pinak. Rupanya tidak. Saya teringin nak tengok dia imamkan sembahyang saya dan anak2. Mengaji jauh sekali".

"Dia langsung tak peduli tentang makan pakai anak2, semua saya yang kena fikir dan uruskan".

"Bukan sekali saya yang kena cukupkan bayaran bil2 dan keperluan rumah....".

Dialog di atas adalah biasa kita baca @ dengar yang keluar dari mulut isteri dari sebuah rumahtangga yang bermasalah. Bukan setakat tiga dialog itu sahaja, malah banyak lagi dialog2 yang seumpamanya.

Rumahtangga bukan khayalan seperti cerita bollywood@hollywood@drama melayu sekali pun. Rumahtangga adalah satu realiti yang ada susah senangnya, suka dukanya atau mungkin juga susah dan duka yang tiada kesudahannya.

Apa yang pasti, cinta yang berdasarkan hawa nafsu semata2 akan mengaburi bukan sahaja mata tapi akal juga. Dari awal perkenalan pasti telah tahu bagaimana perangai orang yang katanya amat dicintainya itu, kan?

Jika masih berkawan pun dah minta perempuan yang belanja @ duit tak cukup memanjang, apakah ia akan ada duit yang banyak bila telah berkahwin nanti jika perangai tidak berubah menjadi lebih baik?

Jika sebelum berkahwin dia tidak begitu mengambil berat hal ibubapa sendiri, adakah bila berkahwin nanti dia akan bertanggungjawab kepada anak isterinya?

Jika sebelum berkahwin pun jarang bersembahyang lima waktu dan mengaji, apakah begitu mudah dia akan berubah menjadi sebaliknya selepas berkahwin?

Kita biasa dengar,"...ingatkan dia berubah bila dah kahwin, rupanya tak juga, tambah teruk ada la...". Manusia jarang berubah jika apa yang dilalui adalah sama sepanjang hidupnya. Tetapi hidayah Allah kita tidak nafikan. Cuma kita kena ingat, Allah tak ubah nasib kita andai bukan kita yang berusaha untuk mengubahnya.

Dek kerana cinta, manusia melupakan @ mengambil mudah perkara2 yang menyakitkan hati yang disebutkan tadi. Pastinya berbakul-bakul nasihat dari ibubapa juga rakan taulan, tapi jarang di terima. Semuanya dianggap menyibuk dan cuba menghalang kebahagiaannya.

Ada yang sanggup (masa bercinta @ bertunang) datang ke rumah orang yang dicintainya sepenuh hati - bangun awal pagi sebelum bakal mentua bangun, membasuh di bilik air. Awal pagi dah siap dengan sarapan terhidang di meja, tengahari masak makanan kegemaran bakal mentua.....macam2 lagi.... Bila dah betul2 jadi menantu, terbalik pula jadinya. Mak mentua bangun lagi awal dari anak dan menantu. Silap2 haribulan mak mentua yang siapkan sarapan, anak dan menantu bangun, mandi, sarapan dan terus pergi keluar bekerja.

Tak payah la begitu. Kita akan jadi menantunya sepanjang hayat. Bila telah sah jadi menantu, buat la sungguh2 peranan sebagai isteri dan menantu. Masa tu baru tahu, macam2 cabaran dan dugaan sebenarnya akan dihadapi....baru tahu tinggi rendahnya langit!!

********************

Kami bertunang hanya 4 bulan. Temujanji kami hanya di rumah kakak angkat saya dan perbincangan kami disertai sekali oleh kakak angkat dan suaminya. Perbualan telefon kami hanya tentang majlis pernikahan yang akan dilangsungkan. Surat2 kami hanya tentang harapan kami untuk membina 'Baitul Muslim'. Hanya sekali dia berkunjung ke rumah saya itu pun ketika saya tiada di rumah. Hanya sekali juga saya berkunjung ke rumahnya untuk menziarahi ibunya yang tidak sihat dan kakaknya yang baru menimang cahayamata, saya datang bersama mak dan dua kakak saya, pun dia ketika itu tiada di rumahnya.

Bukan mudah menjaga hati sendiri supaya tidak hanyut dibuai perasaan dalam tempoh bertunang walaupun sekejap. Tapi ia boleh dilakukan dengan bersungguh2 dan sentiasa memohon kepada-Nya agar dijauhi dari godaan syaitan. Kami bercinta sebaik sahaja kami sah sebagai suami isteri.

*****************

Cinta bukan segala2nya. Tapi ramai orang rasa sebaliknya. Bila kita telah sah sebagai suami isteri baru kita tahu apa yang penting ialah rasa tanggungjawab pasangan kita. Begitu juga diri kita sendiri mesti juga merasakan kita ada tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Kita tak akan rasa bahagia andai hanya seorang sahaja yang rasa ada tanggungjawab. Berbeza pendapat itu biasa dan adakalanya ia bagus untuk membuka minda kita menilai sesuatu dari sudut yang berbeza.

Kita yang pilih untuk bahagia.....

Sunday, January 10, 2010

Bezanya Kita...

"Mi...umi tahu, senangnya semalam kakak nak kenal mana satu Kak Han dan Kak Ila masa jemput kakak2 tu kat bus stand walaupun kakak tak pernah jumpa", kata kakak bila kami lalu di depan stesen bas petang tadi.

"Macamana kakak kenal?", sengaja saya bertanya walaupun saya rasa saya tahu apa jawapannya.

"Sebab kakak2 tu pakai baju lain dari orang lain...kakak2 tu pakai baju yang tutup aurat", pantas kakak menjawab.

"Hmm...baguslah kalau kakak tahu. Macam umi ajar dan beritahu selalu kat rumah, kat kelas...orang Islam kena tutup aurat macam yang Allah suruh dan Nabi Muhammad saw ajarkan. Orang Islam itu sepatutnya dikenal melalui auratnya yang ditutup, akhlaknya yang baik. Kita tak boleh pakai macam orang bukan Islam pakai, Nabi tak ajar kita macam tu. Kita juga kena jaga kelakuan kita kat mana pun kita berada...samada kita sorang atau pun bersama orang lain...kita kena rasa Allah sentiasa melihat kita", panjang saya bersyarah. Kakak dan abang mendengar.

************

"Bang, gi tukar seluar yang abang pakai tu...", suami saya bersuara kepada abang yang sedang berbaring di buaian.

"Kenapa, yah?".

"Tuu...kan dah nampak aurat abang, tu. Dulu masa abang 8 tahun memang la seluar tu bawah lutut. Sekarang dah singkat. Nampak aurat, kan. Dah tak boleh nak buat solah, nak pakai untuk naik basikal pun tak boleh juga...sebab dah nampak lutut abang".

"Kalau abang pakai kain pelikat abang boleh tak?".

"Boleh, tapi nanti tidur abang boleh ke pastikan yang kain pelikat abang tu tak terselak bila kipas angin tiup?", saya menyampuk dengan nada bergurau, kakak dan dik Yam pun tergelak sama.

"Ok lah...abang tukar", katanya sambil bangun ke bilik.

***************

Aurat adalah di antara perkara asas yang ibubapa kena sentiasa beritahu anak2. Saya selalu teringatkan akan hadis Rasulullah saw yang menyebutkan bahawa anak2 itu lahirnya adalah fitrah, suci bersih, ibubapalah yang mencorakkan samada anak2 itu akan menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Rasulullah saw tidak berteori. Kata2 yang keluar dari mulut baginda adalah apa yang Allah wahyukan. Kami juga tidak rela jika pakaian anak2 kami menyerupai kaum lain yang bukan Islam. Perkara itu juga telah disebutkan oleh baginda Rasulullah saw.

Semuanya bermula dari rumah. Sibuk bekerja bukan alasan untuk kita tidak punya masa memberitahu anak2 tentang ajaran2 Islam. Ibubapa kena saling berganding bahu untuk kejayaan hidup, bukan setakat di dunia, tetapi yang paling utama di akhirat sana.

"Mi, kakak pakai baju kurung umi yang umi dah tak pakai, boleh tak? Kakak dah muat baju kurung umi masa umi kurus dulu. Lagipun semua tangan baju umi ada cekak, nanti tak terselak bila kakak angkat tangan. Tak nampak aurat".

"Hmm...alasan la tu!....Pakailah mana2 yang kakak nak, umi pun dah tak selesa nak pakai baju sempit ni".

"Yeaaa...kakak ada banyak baju", kakak ceria. "Adik Yam pun nakkk...", tergelak kami berdua tengok adik Yam yang tak habis2 cemburu dengan kakak atau abang....adik....adik.

Wednesday, January 6, 2010

Kakak

Betul kata orang, kita tidak akan tahu apa rasanya jika bercakap tentang penyakit, hinggalah kita atau saudara terdekat menghidapinya.

Dua tahun lepas, abang ipar (abang suami) didapati menghidap kanser usus. Hari ini alhamdulillah, dia bebas dari penyakitnya selepas melalui rawatan pemulihan yang menyakitkan. Hanya Allah yang tahu perasaan kami berdua.

Akhir 2009 kakak saya dikenal pasti menghidap kanser payudara. Kakak saya tidak boleh bercakap seperti kita yang normal. Bahasa percakapannya hanya kami adik beradik dan anak2 buah yang dijaganya sahaja yang memahami. Kalau saya sedih dan bimbang, apatah lagi dia yang mengalaminya, tapi bagaimana dia mampu melahirkan kebimbangan dan kesedihannya dalam keadaan kemampuan kami semua yang terhad untuk memahami bahasa 'bisu'nya? Tiada tempat lain selain Allah untuk kami mengadu dan meminta semoga diberi kekuatan untuk kakak saya melaluinya.

Semua adik beradik saya beritahu ayat2 al-Qur'an yang diamalkan untuk kesembuhan penyakit kanser. Kami berdoa dan bersolah hajat. Kadang2 airmata ini mengalir sendiri tanpa sedar apabila teringatkan kakak. Sabarkah dia? Mampukah dia?

30.11.09 kakak menjalani pembedahan membuang kanser tersebut. Hari ini dia akan melalui proses kimoterapi yang pertama dan akan ada lima lagi yang akan dilaluinya.

Melalui pembacaan, saya tahu kimoterapi adalah suatu proses yang menyakitkan. Rambut gugur, badan lemah, fikiran kacau (rasa orang tak sayang, tak peduli,...), muntah, pening,....Ya Allah, berilah kekuatan untuk kakakku!

Mengimbas zaman kecil saya, kakak banyak berjasa untuk kami. Dia yang menghantar dan menjemput kami adik2nya ke/dari sekolah. Menunggu saya makan bekalan nasi sebelum saya masuk ke kelas agama di sebelah petang, di bawah pokok berhampiran sekolah. Dia amat ringan tulang. Dia membantu abah dan emak menoreh, mencari kayu api, membasuh, memasak,....Beberapa kali dia pernah bertanya saya, kenapa abah tak hantar dia ke sekolah orang2 bisu supaya dia pandai membaca dan menulis? Saya hanya 'telan' rasa sedih dan kasihan di hati...abah tak mampu nak hantar kakak ke sekolah khas itu yang ada hanya di Johor Bahru. Abah dan emak berhempas pulas nak cukupkan makan pakai anak2 seramai 12 orang.

Hanya Allah harapan kami dan kami berusaha untuk kesembuhan kakak.

Sikap Yang Benar

Dari terjemahan Hadis:

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Hendaklah kamu menjadi orang yang benar. Bersikap benar menghasilkan kebaikan. Kebaikan membawa ke syurga. Seseorang itu berterusan bersikap benar dan memberikan perhatian yang lebih terhadap kebenaran sehinggalah dicatatkan bahawa dia adalah orang yang benar. (HR Muslim)


Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang berbuat baik kepada kamu, berilah balasan yang setimpal kepadanya. Jika kamu tidak mendapati (sesuatu yang setimpal untuk membalasnya), berdoalah sehingga kamu mengetahui bahawa kamu telah membalasnya (mengulangi doa sehingga kamu menyangka bahawa haknya telah ditunaikan). (HR Abu Daud dan Nasa'i)


Daripada Jabir bin Abdullah r.a., Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Setiap kebaikan adalah sedekah. (HR Bukhari dan Muslim)