Tuesday, January 20, 2009

Islam Kembali Dagang

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw bersabda : "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang. Maka beruntunglah orang yang bersama Islam ketika ianya dagang". (HR Muslim)

Sejarah telah merakamkan bahawa Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing kerana pada ketika itu bilangan mereka yang menerima Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar di seluruh pelosok dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasai ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam lain yang iltizam dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Masyarakat sering memandang serong terhadap mereka yang mengajak kepada kebaikan, sedangkan melakukan kemaksiatan dan kemungkaran dianggap sebagai satu kebiasaan dan berbangga dengannya. Umat Islam hari ini kehilangan role model yang dapat dijadikan contoh, lantas mengambil contoh budaya Barat yang tidak bertamaddun dan tidak berakhlak mulia.

Faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang ialah faktor akidah Islam yang berlawanan dengan jahiliyyah. Islam mengajak kepada akidah yang sahih, serta kualiti hidup sejahtera yang bertentangan dengan jahiliyyah dan kekufuran.

Apa yang dikatakan jahiliyyah itu sama di mana2 dan di setiap masa iaitu menolak Allah dan Islam. Akidah umat Islam hari ini tidak berfungsi akibat terpengaruh dengan selain daripada Islam. Mereka menolak Allah sebagai Rabb dan Illah. Begitu juga tidak menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan. Ramai yang beriman sebahagian sahaja daripada kandungan al-Qur'an dan menolak sebahagian yang lain. Tambahan pula cabaran untuk berhadapan dengan dugaan kemewahan dunia yang menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam cintakan dunia dan benci mati. Begitu juga dengan penyakit perpecahan dan kedengkian yang menyerang hati orang Islam.

Hari ini, tidak ada jalan lain melainkan kita kembali kepada jalan yang pernah dipimpin oleh Rasulullah saw, jalan yang terbukti berjaya menghilangkan dagangnya Islam kali pertama di Mekah. Menegakkan kembali Islam adalah amanah yang besar. Meninggalkannya adalah satu dosa besar kerana menjadi tanggungjawab setiap Muslim memelihara Islam agar tidak dicerobohi oleh musuh2 Islam.

Kepada Allah kita memohon kekuatan.







Friday, January 9, 2009

Kemas Bilik

"Kakak dah 10 tahun, mi. Ahmad dah 7 tahun. Dah kena pisahkan tempat tidur", itu antara rungutan kakak masa cuti panjang baru ni.

"Ye lah, nanti umi dengan ayah kemas la bilik kakak, umi asingkan katil kakak dan abang. Tapi kena tunggu ayah ada masa la, ayah sibuk la sekarang ni. Umi mana larat nak buat semua".

Tapi hari ni dah masuk minggu kedua Januari 09. Nak tunggu ayahnya....hmmm...merungut tak sudah la anak2....Akhirnya umi juga la yang kena buat sorang2...nasib baik kakak dah boleh membantu. Alhamdulillah.

"Yeaa...abang ada ruang abang sendiri. Selesanya!", abang seronok katilnya dah ditarik ke tepi dinding. Katil kakak di tepi dinding satu lagi.

"Lepas ni takde lah kaki yang kena muka kakak lagi", kata kakak.

"Sama je..kalau bukan kaki abang...kaki kakak. Tidur masing2 lasak sangat. Atuk pun taknak tidur dengan kakak", saya menambah. Kakak sengih.

Begitulah anak2. Bagus juga kakak dah rasa dia besar dan kena asingkan tempat tidur dengan abang. Kami juga selalu mengingatkannya. Tak lama lagi saya pasti, bilik juga akan diasingkan.

Dah besar rupanya anak2 kita, yah! Kita pun dah tua rupanya.

Kahwin

Bukan tak bagi kahwin, tapi kenapa perlu tergesa2? Kalau selama ni tengok ibu bertungkus lumus mencari duit untuk cukupkan anak2 belajar, kenapa seorang anak tak boleh berkorban sedikit untuk ibunya? Sampai bila ibu membanting tulang empat kerat untuk anak2? Sedangkan anak2 bila mula bekerja, mula fikir diri sendiri, bukan fikir ibubapa yang telah bersusah payah mencari duit untuk pendidikan anak2. Mulalah fikir nak kahwin, nak beli kereta, nak beli itu ini.... Saya tahu bukan semua begitu, tapi pun tidak sedikit yang begitu.

Kenapa tak fikir nak suruh ibu duduk rumah? Ibu dah cukup penat bekerja demi kehidupan dan pendidikan anak2. Esok, bila dah kahwin, tak cukup duit, ibu juga yang dicari. Kenapa begitu? Orang lain boleh 'melihat' kepayahan ibu, tapi kenapa anak sendiri 'buta' untuk menilai pengorbanan ibu?

Fesyen

Saya menunggu suami membayar makanan, di luar kedai. Mata saya tertumpu pada sepasang remaja lelaki dan perempuan yang sedang berjalan. Remaja perempuannya biasa-berseluar jeans, baju-T agak ketat dan bertudung, tetapi remaja lelakinya agak pelik. Puas saya perhatikan untuk memastikan apa yang saya lihat. Rupa2nya ada kain lain yang sama jenis dengan jeans yang dipakai, yang kelihatan lebih besar dan longgar, yang dijahit di luar seluar jeansnya itu. Jadi sekali pandang ia akan kelihatan seolah2 seluarnya terlondeh dan menampakkan......, tetapi sebenarnya tidak. Yang kita nampak adalah seluar jeansnya yang sebenar, bukan.... MasyaAllah, saya hanya menggeleng2kan kepala. Seorang pakcik yang lalu berhampiran dengan saya juga turut menggeleng2kan kepala. Mujur anak2 saya yang berdua sibuk memilih gula2, kalaulah mereka nampak, pasti kecoh.

Kenapa begitu? Tidak adakah cara lain yang lebih positif untuk menarik perhatian orang lain selain dari terlondeh sana sini? Tepuk dada tanya iman.

Sunday, January 4, 2009

Dia pergi jua...

Aku dan anak2 rakanku baru sahaja habis membaca surah Yassin kala berita itu sampai. Kak Idah Rahim pergi jua meninggalkan dunia yang fana ini. Airmata yang kutahan sejak beberapa hari itu, tumpah jua akhirnya. Pergilah seorang sahabat/ isteri/ ibu/ anak menuju kehidupan yang abadi. Ahad 4 Januari 2009 / 7 Muharram 1430, lebih kurang pukul 10 pagi aku dan rakan2 menerima berita itu.

Rumah ibunya penuh sesak dengan sahabat handai yang datang, begitu juga di halaman rumah. Datang untuk berziarah kali terakhir seorang sahabat yang amat dekat di hati kami semua. Ramai yang turut bersolat jenazah di masjid berhampiran rumah ibunya. Semuanya selesai sejenak sebelum azan asar berkumandang.

Hanya doa dapatku berikan untuknya. Kenangan bersamanya tidak akan luput dari ingatan, aku pasti itu. Kala ini aku teringat anak2nya yang masih kecil, teringat anak2ku sendiri andai aku yang pergi dulu....siapalah kita untuk menolak ketentuan itu.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita pulang dan setiap yang hidup pasti merasai mati. Setiap berita kematian yang kita dengar pasti mengingatkan kita bahawa saat itu juga makin hampir untuk kita hadapi.

Ya Allah, cucurilah rahmat-Mu kepada roh sahabatku ini, terima amal2 solehnya, berikan kebaikan di dunia dan di akhirat untuk dia dan kami semua. Amiin.

Friday, January 2, 2009

Faridah Rahim

Aku mengenalinya sewaktu aku di semester 5 & 6 diplomaku di Shah Alam. Waktu itu dia sedang di semester akhir ADIA (sekarang BAcc). Seorang yang lemah lembut dalam pertuturan dan tingkah laku tetapi seorang yang tegas dalam mempertahankan prinsip.

Dia di antara orang terawal 'menyambut tanganku' dalam pencarianku untuk memahami Islam. Semua yang ada pada dirinya, membuat aku 'tidak lari' untuk terus berada bersama2nya dan rakan2 lain duduk bersama, bercakap, berbincang tentang agama yang sempurna ini. Perhubungan itu kekal hingga kini.

Perkhabaran sedih kuterima malam tadi dan pagi ini. Dia dalam situasi kritikal. Pendarahan tak henti sewaktu pembedahan dilakukan untuk membuang barah yang menyerang ovarinya memaksa doktor menghentikan pembedahan. Setakat pagi tadi, telah sepuluh beg darah diisi ke dalam badannya...dan ia masih begitu....

Semuanya terbayang di mata dan kotak ingatanku tentang dia. Hanya doa yang mampu kupanjatkan pada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Teringat aku akan anak2nya seramai 5 orang yang sedang membesar. Pasti suami dan anak2nya sedang bersedih dan tidak henti berdoa untuk isteri dan ibu yang mereka sayangi. Ya Allah, Kau selamatkanlah dia. Sembuhkanlah dia seperti sediakala....