Monday, September 22, 2008

Kuih raya & bunga api




"Umi tak buat kuih raya ke?", tanya kakak pagi kelmarin.
"Umi mana pandai buat kuih raya. Lagipun kita kan dah beli kuih yang makcik Zah jual", saya menjawab sambil membasuh pinggan.
"Alaaa...mi...itu kuih orang buat. Umi buatlah cornflakes madu macam tahun lepas, kakak boleh tolong", kakak memujuk lagi. "Umi kan dah beli cornflakes kotak besar tu, umi nak buat apa?", kakak masih tidak puashati.
"Ok, hujung minggu depan dah cuti sekolah, kita buat, tapi kakak mesti tolong umi. Esok kita minta ayah belikan marjerin".
"Ye, kakak memang nak tolong umi buat kuih tu", kakak menjawab dengan gembira.

Saya bukan seorang yang rajin di dapur. Bukan tak biasa makan lauk 'dua dalam satu' - itulah lauk itulah juga sayur. Selalu saya beritahu suami, saya tak suka nak habiskan banyak masa di dapur hanya untuk memasak. Alhamdulillah suami bukan seorang yang cerewet soal makan. Begitu juga dengan persiapan hariraya. Semuanya ala kadar. Kami lebih untuk mengajak anak2 merasai kegembiraan menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Bukan untuk melupakan Syawal, baju baru, sedikit kuih2 raya tetap ada, tapi kami tidak mahu ia jadi sesuatu yang menyusahkan untuk menyambut Syawal dengan menyediakan pelbagai keperluan yang kadang2 tak perlu pun.

Cuma suami sering mengingatkan, kita kena raikan anak2. Kuih, baju baru, kasut baru, bunga api, lampu pelita - adalah sesuatu yang menceriakan anak2 bila Syawal menjelma. Memang pun, suami saya lebih lembut dalam hal ini dengan anak2. Okey lah tu, kan. Sebab adakalanya kita kena kata "tidak" pada anak2.

Kakak lebih mewarisi sifat lembut suami saya. Dia sering mengalah dan pandai memujuk adik2nya. Dia suka kerja2 dapur, cuma saya yang kadang2 kurang sabar...maklumlah, akhirnya nanti saya juga yang kena selesaikan kerja2 tu, kan lebih baik saya yang buat semua dari awal hingga akhir...hehehe. Tapi saya tahu, kakak seorang yang mudah untuk diajar, saya pun tahu dia telah mula pandai membuat kerja2 di rumah. Alhamdulillah.

Telah beberapa hari abang merengek nakkan bunga api. Hampir seluruh kedai di tempat tinggal kami suami mencari bunga api, hingga ke pasar malam. Malangnya tidak ada yang menjual bunga api. Peniaga pasar malam kata polis enggan keluarkan lesen untuk jual bunga api sebab biasanya peniaga akan menjual mercun sekali....gitu pulak! Kempunan abang nak main bunga api, mujur ada dijual mercun pop-pop, suami saya membeli beberapa kotak. Seronoknya bukan main, Maryam pun tumpang sekaki walaupun takut2.

Begitulah anak2 kami. Abang asyik mengira hari bila akan sampai 1 Syawal. Dia baru belajar puasa. Saya sangkakan dia belum boleh bertahan hingga ke petang, tapi alhamdulillah dia mampu melakukannya walaupun ini adalah Ramadhannya yang pertama. Kakak telah mula berpuasa sejak berumur 6 tahun. Alhamdulillah, kali ni dia belum ponteng puasa lagi. Dik Yam suka menyakat abangnya, "Yam puasa, abang tak puasa", walaupun ke hulu ke hilir dengan makanan, mana lah si abang tak naik angin!.

Umi gembira dan bahagia ada kakak, abang dan dik Yam, walaupun kadang2 penat sangat dengan kerja2 rumah dan usik dik Yam,"umi nak gi kerja, dik Yam duduk dengan orang", umi gurau je, tapi dik Yam mesti merajuk dengan umi. Last2 dia pula kata kat umi, "adik nak keja, umi tak payah keja.....". Anak, anak,....semoga ia tidak menyebabkan kita lalai, ye, yah.

Sunday, September 21, 2008

Berbuka bersama


Semalam, 20 Ramadhan 1429, ada majlis berbuka bersama anak2 usrah. Kali kedua untuk bulan Ramadhan tahun ini.

"Makcik Ita, saya dah masuk juzuk 20," ceria Farah berkongsi kegembiraannya.
"Oo ye ke? Alhamdulillah, makcik Ita pun tak sampai situ lagi," Farah senyum mendengar pengakuan saya.
"Yang lain2 dah habis baca juzuk yang makcik Ita bagi? Fatin? Syahmin? Athirah?," saya menyebut beberapa nama.
"Dah, makcik Ita," hampir serentak mereka menjawab.
"Alhamdulillah. Tapi teruskan membaca kerana al-Qur'an semakin kita membacanya kita tidak akan berasa jemu. Tak apa jika kita khatam berkali2 pun. Jangan kita buat pulut kuning bila kita telah khatam membacanya, tapi lepas tu kita tutup dan terus melupakan al-Qur'an, kerana al-Qur'an itu apa, Nadirah?,".
"Panduan hidup kita," jawab Nadirah yakin.
"Betul".

Saya memberikan mereka juzuk2 untuk dibaca sepanjang Ramadhan kepada anak2 ini seawal pertengahan Syaaban untuk dibaca bersama2 ibu/bapa mereka. Alhamdulillah, mereka amat seronok untuk membacanya terutama Farah. Farah berada dalam Darjah 3, tinggal bersama datuk saudaranya di sini bersama dengan kakak sulungnya. Anak yang cerdik dan mudah untuk mendengar nasihat. Malangnya punya ibubapa yang hanya sibuk mencari wang kesana-sini hingga tak punya masa untuk anak2nya. Mujur datuk dan nenek saudaranya amat prihatin soal didikan agama, maka mereka tidak dibiarkan begitu sahaja. Cuma saya agak sedih, tahun depan mereka akan tinggal semula dengan ibubapanya. Nenek saudaranya yang juga kakak angkat saya sering tidak sihat, dia tak mampu lagi untuk menjemput dan menghantar mereka ke sekolah. Berat keputusan itu, tapi apalah dayanya...

Mak Andak menyentuh tentang malam al-Qadar.
"Malam yang lebih baik dari seribu bulan jika kita isi malamnya dengan beribadat," ramai2 mereka menjawab bila Mak Andak mengajukan soalan apa itu malam al-Qadar.
"Berapa tahun seribu bulan tu?"
"83 tahun 4 bulan," pantas Farzana menjawab.
"Siapa yakin dia rasa dia boleh hidup selama itu?"
"Saya," Athirah mengangkat tangan.
"Tapi mampukah kita beribadah sepanjang umur itu, tanpa ada kecuaian?"
"Takkk...," ramai2 mereka menjawab serentak.
"Kenapa?"
"Kerana kita sentiasa berperang dengan hawa nafsu," Azam dan Zubair menjawab serentak.
"Betul, kita manusia ni sentiasa berperang dengan hawa nafsu. Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini adalah masa kita untuk mendidik hawa nafsu supaya patuh dan tunduk kepada Allah. Kenapa?"
"Bulan Ramadhan Allah ikat syaitan,"jawab Insyirah.
"Jadi?," Mak Andak menduga Insyirah.
"Allah nak tengok kita boleh tak kawal hawa nafsu kita untuk terus taat kepada-Nya dengan melakukan perkara yang Allah suruh dan tinggalkan perkara yang Allah larang, tanpa ajakan dan godaan dari syaitan," panjang Insyirah menjawab.
"Betul. Kalau di bulan Ramadhan kita masih melakukan perkara2 yang Allah tak suka, bermakna 11 bulan sebelum ini syaitan berjaya mendidik kita. Tapi tengoklah, Maha Pengasihnya Allah, Ramadhan Allah beri pada kita untuk kita bersihkan hati dan jiwa kita dari terus lalai dan leka dengan keseronokan. Puasa kita bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia mengajak kita untuk terus taat dan patuh kepada Allah."

Itulah anak2. Setiap ketika kena sentiasa diingatkan. Mungkin ketika mereka belum dewasa ini mereka belum memahami sepenuhnya apa yang diajarkan, tetapi ia tetap menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa/guru untuk terus mengajak mereka memahami ajaran2 di dalam Islam, tanpa jemu. Kita mengharapkan mereka akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat dan menjadi pembela agama Allah di dunia ini.

Wahai Tuhan kami, kuniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan anak-anak kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa - al-Furqan, 74.