Monday, June 30, 2008

Report Card anak2.


Pagi tadi saya dan suami ke sekolah anak2, ada Hari Terbuka sekolah. Alhamdulillah, kakak berjaya mengekalkan prestasinya, terbaik untuk keseluruhan Darjah 4. Abang tempat ke-13 dalam kelas, tempat ke-15 keseluruhan Darjah 1, alhamdulillah.

"Hassan berazam nak kalahkan Khadijah penggal depan," seorang ibu memulakan bicara semasa kami sama2 menunggu giliran untuk masuk. Saya hanya tersenyum.

"Khadijah bila waktu exam, tak dipaksa baca buku, dia tak baca. Sayalah yang kena duduk membaca sama2 dengan dia. Buat latih tubi bersama," saya membalas. Dia tersenyum.

Bagi kami, jika anak2 pandai dan mendapat markah serta kedudukan yang baik dalam kelasnya, ia adalah BONUS untuk kami. Saya dan suami sering mengingatkan anak2, orang Islam kena cemerlang di dunia dan akhirat. Cemerlang di dunia tidak bermakna apa2 jika kita tidak berusaha untuk cemerlang di akhirat. Bukankah kaum Tsamud (umat Nabi Saleh), adalah kaum yang hebat? Mereka membuat rumah2 yang cantik daripada bukit2 batu yang mereka ukir menjadi kediaman yang indah. Tetapi akhirnya Allah musnahkan mereka kerana keangkuhan dan keengganan mereka untuk menTauhidkan Allah, dan Allah menyelamatkan sedikit sahaja dari mereka yang mengikut Nabi Saleh.

Saya dan suami percaya, kita akan lebih tenang untuk melepaskan anak2 berjauhan dari kita untuk menuntut ilmu @ bekerja, jika anak2 kita melihat sesuatu itu 'baik jika Islam kata baik dan melihat sesuatu itu buruk jika Islam kata ia buruk'.

"Kakak jangan kecil hati ye jika saya tegur anak2 akak," kata ustazah Reniyati [guru bahasa Arab kakak dan abang].
"InsyaAllah, saya tidak berkecil hati jika ustazah menegur anak2 saya untuk kebaikan," saya membalas kata2 ustazah kakak dan abang dengan rasa senang.


Selepas itu kami meninggalkan anak-anak untuk bermain dengan kawan-kawan sebelum mengambil mereka sejam kemudian.

Tuesday, June 24, 2008

Tiada suara keras di rumah kami - Tsana al-Banna

Sikap pertama seorang ayah yang berjaya adalah bila dia mempunyai perhatian yang menyeluruh terhadap anak2nya. Tetapi saat seperti inilah yang hilang dari ramai para ayah. Bahkan tidak sedikit para da'i yang kurang memiliki perhatian terhadap perkembangan anak2nya dengan dalih kesibukan dan perhatiannya sepanjang hari di luar rumah untuk berdakwah. Lalu ketika pulang, anak2 telah lelap tidur. Mereka sedikit sekali memberi bekal yang cukup dan bermanfaat untuk anak2nya.

Tapi itu tidak terjadi pada Imam Hassan al-Banna yang fikirannya ditumpukan untuk membangun umat. Rumah beliau dan anak2nya tetap mendapat perhatian yang besar, diiringi keseriusan dalam bentuk peraturan dan pertarbiyahannya.

Tsana bercerita, " Kami tidak pernah merasakan adanya beban kegiatan yang dirasakan ayah selama di rumah. Contohnya, kami tidak melihatnya seperti kebiasaan orang yang kerap berteriak atau bersuara keras di dalam rumah atau seumpamanya akibat dari tekanan mental dan fizikalnya setelah penat bekerja di luar. Bahkan yang paling penting dalam kehidupan ayah adalah soal pengaturan keluarga. Jika anda membaca bagaimana cara kehidupan ayah, engkau akan lihat bahawa semuanya berjalan sesuai apa yang dicontohkan Rasulullah saw."

Siapa tidak kenal dengan Hassan al-Banna. Seorang mujahid dan mujaddid ulung di abad 20. Beliau pengasas kepada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Gerakan ini amat mencintai Islam serta menginginkan Islam diagungkan di seluruh dunia. Beliau menemui syahid dengan ditembak mati pada waktu zohor 12 Februari, 1949. Apabila beliau bercakap, ia dapat menggembirakan saudaranya. Beliau sedikit sekali berdebat. Apabila beliau ketawa, tidaklah melewati batas senyum. Beliau tidak bergurau kecuali sedikit. Beliau menghabiskan masanya dengan melakukan kerja2 yang serius dan berfaedah.

Saya surirumah sepenuh masa. Bila waktu petang tiba dan anak2 balik dari sekolah, susahnya untuk tetap berlemah lembut melayan anak2 setelah penat seharian dengan kerja2 rumah. Setiap kali berazam untuk berlemah lembut dengan anak2, pasti ada ujian menanti.........

Wednesday, June 18, 2008

Perkahwinan - Satu Tanggungjawab

Hari ni Khamis, hari kedua suami saya di USM, ada pembentangan kertas kerja di sana. Rasanya selepas ini saya akan selalu ditinggalkan bersama anak2 kerana suami akan mendaftar sebagai pelajar PhD pada 21 Jun 2008. Bila suami tiada di rumah, penat sedikit, selain daripada hantar dan jemput anak ke sekolah, saya sendiri jadi tumpuan anak2. Kemana pun saya pergi dalam rumah ni, anak2 ikut sebab masing2 menagih perhatian dari saya. Sedangkan jika suami ada di rumah, kakak dan abang lebih senang berdamping dengan ayahnya, maklumlah ayahnya sentiasa bersedia melayan kerenah masing2, berbanding saya.

Begitulah kehidupan berumahtangga, saling lengkap melengkapi dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu. Seorang rakan bertanya sebaik sahaja saya bernikah.

"Apa kak ita rasa sekarang?", rakan bertanya.
"Bahu terasa seolah2 berat, mungkin sebab lepas ni ada tanggungjawab yang mesti dipikul".

Kami tidak melalui proses bercinta sebelum bernikah. Kami tidak 'bercouple' @ 'berdating' walaupun kami sekelas sewaktu sama2 belajar untuk Ijazah Perakaunan di UiTM SA. Perkenalan dan perkahwinan kami di atur oleh orang tengah. Dan ianya seolah2 pelik di mata orang lain bila mereka tahu apa yang kami lalui.

"Zaman moden macam ni pun masih ada orang tengah?"
"Takkan lah kau tak pernah berbual @ tulis surat macam orang bercinta?"

Itu di antara rasa2 pelik yang dilontarkan pada saya waktu itu.

Tahun ini dah masuk 11 tahun perkahwinan kami, dan kami masing2 masih belajar tentang apa itu tanggungjawab dalam rumahtangga. Saya beruntung kerana suami seorang yang penyabar pada saya dan anak2. Dia menyayangi kedua ibubapa saya sebagaimana dia menyayangi kedua ibubapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibubapanya dan saya menerima keluarganya.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih dari itu. Meminjam kata2 Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya,

" Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan."

Saya amat setuju. Suami saya juga setuju. Sebaik2 contoh kehidupan berkeluarga adalah rumahtangga Rasulullah saw. Baginda yang paling berlemah lembut pada keluarganya. Baginda menyayangi kanak2 dan tidak segan untuk menciumi anak2 dan cucu2 baginda.....dan banyak lagi yang kita boleh baca dari buku2 yang baik yang bercerita tentang Sirah Rasulullah saw.

Saturday, June 14, 2008

Sabtu - hari ke pasar

Hari ni sabtu, 14.6.08, hari untuk saya mencari & membeli barang2 keperluan dapur untuk seminggu. Suami pun akan ke USM minggu depan untuk present paper, jadi kena carilah mana yang patut terutama untuk anak2. Saya jarang keluar bila suami tiada di Segamat, tak seronok keluar sorang2. Hari ni juga hari yang ditunggu2 oleh rakyat Malaysia untuk menuntut rebat kenderaan di pejabat pos. Kami lalu di hadapan pejabat pos Segamat, kalau2 ada ruang untuk mencelah, tetapi beratur sampai keluar, tak jadi singgah. Petang suami ke pejabat pos Jementah, tidak seramai di Segamat, alhamdulillah, dapat.

Di pasar tani, memilih sayur sambil berbual2 dengan seorang makcik. Dia membelek2 buah bacang.

"Beli buah bacang, makcik?", saya menegur makcik di sebelah.
"Ha'ah...kena beli 3 biji sebab nanti jiran2 bau, kena bagi", saya senyum.
"Sedap buat apa bacang ni, makcik?"
"Buat sambal belacan, racik halus2, gaulkan dalam sambal belacan".
"Saya tak pernah buat, makcik", saya membalas sambil membuka beg plastik untuknya.
"Cubalah. Ehh...baiknya awak, bukakan plastik untuk makcik", dia tersenyum lebar sambil memasukkan buah bacang ke dalam plastik yang telah saya buka dan hulurkan padanya.
Saya sekadar senyum, tapi dalam hati ada rasa gembira walaupun sekadar dapat buka plastik untuk makcik tu.

Pengalaman yang lepas2, saya dapat rasakan, orang2 yang lebih tua terasa gembira jika kita yang lebih muda menyapa dan bertanya khabar walaupun untuk pertama kali kita bercakap dengannya. Tak rugi untuk kita menyapa @ menegur mereka. Mungkin bila kita seumur dengan mereka, kita juga akan merasa demikian jika ada yang menyapa kita di mana2.

Seperti dalam satu hadis yang maksudnya, " bukanlah daripada kalangan kami orang2 yang tidak menyayangi kanak2 dan yang tidak mengetahui kemuliaan orang tua", riwayat Ahmad, Tarmizi, Hakam dan Abu Daud.

Wednesday, June 11, 2008

Hati adalah raja

Semalam entah kenapa hati saya risau dan sedih. Mungkin mengenangkan terlalu banyak yang saya tak buat untuk Islam. Sedang saya tercari2 buku2 yang boleh memberikan sedikit motivasi untuk diri, terjumpa helaian kertas yang saya guna untuk usrah bersama anak2 bertajuk 'Hati Adalah Raja'. Ada hadis yang kita sedia maklum yang maksudnya lebih kurang "Dalam diri anak adam ada segumpal daging, jika elok ia maka eloklah manusia itu, jika buruk ia maka buruklah manusia itu. Maka ketahuilah ia adalah hati". Ia memberi contoh mudah yang amat terasa di hati saya - kita tahu ular: sejenis reptilia yang menjalar, hidup di tempat yang sejuk, mempunyai deria bau yang tajam. Tetapi kenapa kita lari bila ada ular? Kita lari kerana kita rasa ular itu boleh mematuk kita. Jadi di sini ada perbezaan di antara 'tahu' dan 'rasa'. 'Tahu' ialah ilmu yang bertapak di akal, sedangkan 'rasa' adalah ilmu yang bertapak di hati. Jadi hati yang mengarahkan fizikal kita untuk lari bila kita terjumpa ular.

Jadi, hati adalah raja dalam diri manusia yang akan mengarahkan fizikal kita untuk bertindak. Begitu juga jika kita hanya tahu Allah itu ada, Allah itu Maha Mendengar, Allah Maha Melihat, dsb, tidak cukup untuk kita taat pada perintah-Nya. Kita wajib mengenal dan merasakan sifat2 Allah itu sehingga kita menjadi cinta dan takut kepada-Nya. Takut bukan seperti kita takut kepada ular dan ingin menjauhkan diri dari-Nya, tapi takut yang menyebabkan kita ingin berada hampir pada-Nya. Bila cinta dan takut pada-Nya telah bertapak dalam hati kita, maka hati yang menjadi raja dalam diri kita pasti akan mengarahkan akal, nafsu dan fizikal kita untuk taat kepada-Nya. Itulah yang dikatakan iman iaitu keyakinan yang bertapak di hati lalu melahirkan amal ibadah dan membuahkan akhlak yang mulia.

Jadi, marilah kita sama2 sentiasa berusaha untuk membersihkan hati kita supaya ia sentiasa bersedia untuk menerima kebenaran dan kebaikan, kerana satu keburukan yang kita lakukan akan meninggalkan satu titik hitam dalam hati kita. Titik2 hitam yang banyak dek kerana banyaknya keburukan yang kita lakukan akan menggelapkan hati kita dan menyebabkan kita susah untuk menerima kebenaran. Sama2lah kita meminta dan berdoa kepada-Nya agar kesibukan kita menguruskan kehidupan seharian tidak menyebabkan kita lupa dan lalai dari mengingati-Nya. Hubungkan hati kita kepada-Nya sentiasa supaya kita terpelihara dari melakukan dosa. Wallahua'lam.

Gambar ikan berenang

Gambar ikan berenang di tepi sebelah kanan blog ini saya ambil dari blog Nurhuda Cahaya Petunjuk. Anak saya yang berumur 2 tahun suka sangat tengok gambar ikan tersebut bila saya buka blog Nurhuda. Jadi saya letakla gambar tersebut dalam blog ini.

Tuesday, June 3, 2008

Ke Shah Alam

Semalam kami ke Shah Alam. Satu perjalanan yang memenatkan kerana pergi dan balik dalam satu hari. Kakak dan abang merengek nak menginap di hotel. Puas memujuk anak2 untuk tidak bermalam di hotel, akhirnya mereka setuju untuk balik semula ke Segamat, tapi ada 'upah' yang diberi-suami saya menunaikan hajat anak2 yang terlalu teringin makan 'dunkin' donat'. Untuk saya dan suami, tiada istimewanya donat tu, sekadar di letak coklat di atasnya untuk menggantikan gula halus yang biasa digaulkan pada donat. Begitu besarnya pengaruh iklan dalam hidup anak2 kita."Waa...macam dalam syurga abang dapat makan dunkin' donat ni!", anak kedua saya amat gembira hajatnya tertunai. Tetapi kami mengingatkan kepadanya supaya bersyukur kepada Allah kerana dapat apa yang dihajatkan.

Kami ke SA dengan dua tujuan. Pertama mencari ayam organik keluaran Mumtaz Food, kedua mencari bahan2 bacaan bermutu untuk kami dan anak2. Alhamdulillah kedua2nya kami perolehi, berbaloi penat ke SA.

Ayam organik keluaran Mumtaz Food diberi makan madu, habatussauda' , kurma dan herba2 terpilih. Yang paling penting ianya halal dan suci. Saya baru siap memasak sup ayam organik ni, masyaAllah sedap sungguh rasanya. Tidak hanyir dan dagingnya tidak liat tetapi tidak juga lembut- macam pure ayam kampung dulu2 yang saya makan masa kecil. Hampir 3 bulan kami tidak membeli ayam selepas pelbagai isu berkaitan ayam timbul. Kami hanya berlaukkan ikan, udang, sotong....pada anak2 kami nak kenalkan bukan ayam sahaja yang sedap untuk dimakan. Sesekali kami hanya berlaukkan ikan masin dan untuk anak2, ikan bilis goreng bertepung.

Dalam satu majlis ilmu yang saya ikuti, ustaz menyebut tentang anak2 pada hari ini yang diserang 'sindrom malas' - anak2 hanya suka baring/duduk menonton tv @ melayari internet @ bermain game di komputer, kalau diminta bantuan, bangun pun dalam keadaan malas. Sambil mendengar kuliahnya, fikiran saya menerawang ke kedai ayam depan rumah mak di kampung. Ayam2 tersebut hanya duduk diam @ makan dalam reban sambil menunggu untuk disembelih. Bila ada pembeli, pekedai akan menimbang ayam tersebut, pun ayam akan hanya duduk diam di atas penimbang tanpa berusaha untuk menyelamatkan diri. Dalam satu buku pendidikan anak2 yang saya baca, penulis mengingatkan jika kita memakan makanan yang haram akan menyebabkan pemakan terikut sikap buruk yang ada pada barang yang dimakan. Entah...mungkin teori saya silap, tapi saya selalu teringatkan ayam2 yang hanya duduk diam ada persamaan dengan anak2 kita yang hanya suka duduk di depan tv @ berinternet @ bermain game di komputer.

Kakak seronok mendapat buku yang dihajatkan, begitu juga saya. Abang menumpang baca buku kakak walaupun masih tersangkut2 pembacaannya. Saya dan suami sentiasa mencari bahan yang baik dan sesuai untuk anak2 terutama yang mempunyai nilai2 agama. Kami tidak mahu membiasakan anak2 dengan bahan bacaan yang hanya mementingkan hiburan @ terlalu santai. Cuma keadaan jadi sedikit rumit bila balik kampung- banyak bahan bacaan yang tidak begitu sesuai untuk mereka, jadi tugas saya dan suami yang akan beritahu anak2 apa yang sesuai, mana yang tidak patut dibaca untuk anak2 peringkat umur mereka. Alhamdulillah setakat ni, anak2 tidak membantah nasihat2 kami ibubapanya tentang bahan2 bacaan yang sesuai untuk mereka. Kami sentiasa berdoa anak2 tidak tertarik kepada perkara2 yang tidak berfaedah dan kami sentiasa beritahu ini kepada anak2 secara berulang2. Salah satu yang kekal bila kita mati nanti adalah anak2 yang soleh yang sentiasa mendoakan kita. Tapi semuanya bermula dari kita, nak jadikan anak kita soleh atau sebaliknya.